Tuesday, May 11, 2010

Kemana Pergi GULA makan dek semut ke?


Bimbang bekalan gula kurang - sinar harian

KUANTAN – Penduduk di sekitar daerah ini mulai bimbang mengenai masalah kekurangan gula selepas mula sukar mendapat bekalan gula di pasar raya dan kedai runcit yang kehabisan bekalan sejak beberapa hari lalu.

Tinjauan ke beberapa pasar raya di bandar ini mendapati, kebelakangan ini ini pemilik kedai runcit dan pasar raya hanya membenarkan pembelian gula sebanyak dua kilogram bagi setiap pelanggan.

Salah sebuah pasar raya di Jalan Beserah hanya meletakkan gula di kaunter pembayaran sebagai kaedah catuan supaya pembeli tidak boleh membeli gula melebihi had dua kilogram yang dibenarkan.

Seorang kakitangan pasar raya di sini, Richard Pu, 69, berkata, kebanyakan pengunjung yang ingin mendapatkan bekalan gula terkejut apabila diberitahu pembelian gula dihadkan kepada dua kilogram bagi setiap pelanggan.

“Bagaimanapun mereka lega bekalan gula masih ada walaupun hanya dibenarkan membeli dua peket sahaja,” katanya.

Seorang suri rumah yang ditemui, Halimah Wan Daud, 47, berkata, sejak tiga hari lepas, dia mencari bekalan gula di sekitar kedai runcit di Beserah namun hampa apabila diberitahu bekalan gula di kedai-kedai berkenaan habis.

“Apabila ditanya bila bekalan gula akan sampai, peniaga menjawab mereka sendiri tidak pasti bila bekalan baru akan tiba.

“Bimbang dengan keadaan ini, saya mencarinya di pasar raya pula namun dapati, pembelian gula juga sudah dihadkan,” katanya.

Menurutnya, dia sudah menghubungi suami dan anaknya yang bekerja di bandar supaya membeli gula selepas di pasar raya berdekatan pejabat mereka untuk memastikan bekalan gula di rumah sentiasa ada.

Seorang peniaga kedai makan, Jamilah Mat Rasad, 45, berkata, kebanyakan kedai runcit di sekitar bandar ini hanya membenarkan pelanggan membeli dua kilogram gula sahaja.

“Sekarang sudah tidak semudah dahulu untuk membeli gula malah saya kadang-kadang terpaksa merayu jika mahu beli lebih daripada dua kilogram.

“Saya juga tidak mengetahui punca sebenar yang menyebabkan pembelian gula dihadkan kebelakangan ini,” katanya.

Pekerja swasta, Thaliff Hadi, 28, pula berkata, kebanyakan kedai runcit di tempat tinggalnya di Bukit Setongkol di sini, tiada bekalan gula menyebabkan dia terpaksa bergegas ke pasar raya untuk mendapatkannya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pahang, Wan Suhaimi Wan Ibrahim memberi jaminan bahawa bekalan gula yang berkurangan sejak beberapa hari lepas akan pulih seperti biasa pagi ini.

“Masalah kekurangan gula yang dihadapi ketika ini disebabkan kelewatan penghantaran daripada pengilang kepada pemborong utama namun bukan semua pemborong menghadapi masalah ini, hanya pemborong tertentu sahaja.

“Jadi kelewatan ini memberi sedikit kesan kepada pembekalan gula ke pasar raya dan kedai runcit,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, masalah kekurangan gula beberapa hari lalu turut berpunca daripada sikap panik pengguna yang bimbang lantas membelinya dalam kadar yang banyak.

“Ketika kita mengadakan perjumpaan dengan pemborong semalam (kelmarin), kita dimaklumkan mereka tidak mempunyai masalah bekalan .

“Pegawai yang ditugaskan juga turut mengadakan pemantauan berterusan di lokasi setiap hari bagi memastikan bekalan gula mencukupi dan mengelakkan pembelian panik pengguna,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai dan pengguna supaya tidak panik dan peniaga kedai runcit yang bermasalah mendapatkan bekalan diminta menghubungi pihaknya secepat mungkin untuk menyelesaikan masalah itu.

PANIK apanya? Dah menjadi kebiasaan bagi peniaga-peniaga restoran, gerai-gerai makan, pembuat jelly kelapa dan lain-lain peniaga yang mana bahan asas mereka adalah GULA oleh itu sudah menjadi kelaziman bagi mereka membeli GULA dalam kuantiti yang banyak, tidak timbul masalah PANIK! Apa yang menjadi persoalan sekarang ke mana menghilangnya bekalan gula? sehingga catuan terpaksa dilakukan. Kebiasaanya bekalan GULA hanya mengalami masalah apabila tiba musim perayaan, kini pengguna tak pasti apa yang bakal berlaku kelak. Adakah harga GULA bakal naik lagi? atau memang benar GULA habis dek kerana semut?

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails