Thursday, September 30, 2010

Judi oh judi

Rakyat Pulang Hasil Judi, Kerajaan BN Boleh Lumpuh

SHAH ALAM 30 SEPT: Pentadbiran kerajaan Pusat pimpinan Umno Barisan Nasional (BN) mungkin lumpuh jika semua rakyat mencontohi perbuatan lebih 40 warga emas yang memulangkan sumbangan lantaran curiga dengan 'kesucian' RM100 itu.

Bercakap kepada TV Selangor, Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Asia (Shura), Ghani Samsuddin khuatir tindakan kelompok warga emas itu akan dituruti kakitangan kerajaan yang curiga sama ada gaji mereka dari sumber halal atau haram.

“ Kalau semua kakitangan kerajaan pusat berhenti hanya kerana ada unsur judi yang dipungut dari Berjaya dan Sport Toto, maka kerajaan akan lumpuh. Jadi, kerajaan Pusat perlu berusaha mengurangkan kadar sumber haram.

“Mereka (kerajaan Pusat) biarkan banyak perkara haram memenuhi kantung khazanah negara. Ini bermakna rakyat terpaksa menerima,” katanya apabila diminta mengulas perbuatan lebih 40 warga emas memulangkan sumbangan kerajaan Pulau Pinang sebanyak RM100 sebulan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan hasil judi digunakan sebagai sumbangan kepada warga emas beragama Islam walaupun Setiausaha Agung DAP itu mengakui diberi kepada warga emas bukan Islam dan hal ini disahkan pegawai kewangan negeri, Datuk Farizan Darus.

Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin pula sebelum ini menyatakan penerimaan hasil judi tidak bertentangan dengan Islam sebaliknya perbuatan berjudi yang menyalahi ajaran.

Bagaimanapun, berita pemulangan sumbangan itu digembar-gembur media arus perdana, khususnya Utusan Malaysia yang memberi gambaran seolah-olah kerajaan Pusat langung tidak menggunakan hasil judi dalam pengurusan kewangan negara.

Ghani, tanpa menyalahkan kelompok warga emas di Pulau Pinang itu, bagaimanapun lebih berminat melihat gambaran isu hasil judi dijadikan sumbangan kepada rakyat secara menyeluruh dan tidak tertumpu kepada satu-satu negeri.

“Kecenderungan umat Islam akhir-akhir ini untuk kembali mencari rezeki halal harus juga menjadi perhatian kerajaan Pusat. Sebab itu mereka tidak menghalalkan judi bola, Sport Toto dan sebagainya kerana hasilnya akan masuk ke kantung negara,” katanya.

Ahli Perniagaan Menang Loteri Terbesar RM48 Juta

PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan telah memenangi wang tunai sejumlah RM47.82 juta yang merupakan cepumas loteri atau jackpot terbesar di Malaysia.

Sports Toto Malaysia Sdn Bhd berkata, cepumas tertinggi sebelum itu adalah RM20.9 juta yang dikeluarkan pada Disember 2008.

Difahamkan, ahli perniagaan yang berusia 50an itu mengetahui kemenangan tersebut menerusi laman web Sports Toto pada malam Selasa selepas keputusan diumumkan.

“Dia tidak percaya tentang berita itu sehingga tergamam untuk seketika sebelum meminta isterinya mengesahkan kemenangan itu berulang kali,” kata jurucakap Sports Toto dalam satu kenyataan semalam.

Jurucakap itu berkata, pasangan berkenaan amat gembira sehingga tidak dapat tidur dan tidak sabar untuk menebus hadiah wang tunai daripada ibu pejabat Sports Toto di Kuala Lumpur.

Difahamkan, ahli perniagaan itu merupakan pengikut setia bagi Sumpreme Toto 6/58 sejak permainan itu dilancarkan pada 20 Mac.

Kebiasaannya dia bertaruh sebanyak RM20 bagi setiap permainan yang memberikannya 10 peluang untuk mendapatkan cepumas.

Nombor kemenangannya adalah 8, 11, 19, 22, 54 dan 55 yang kesemuanya dipilih secara rawak dan berkomputer.

“Pasangan itu berkata mereka tidak hanya menggunakan wang kemenangan itu untuk mereka sendiri bahkan akan menyalurkan sebahagiannya kepada badan kebajikan.

“Mereka juga mahu membantu orang di sekeliling terutama adik-beradik yang tidak kukuh dari segi kewangan dan mereka yang terdesak untuk mendapatkan bantuan kewangan,” kata jurucakap Sports Toto itu lagi.

Sports Toto pada bulan lalu telah menawarkan dua kemenangan terbesar dengan cepumas berjumlah RM17.55 juta.

Tuesday, September 28, 2010

Phobia

Najib tawar bantu Obama atasi Islamophobia

Malaysia mahu membantu Amerika Syarikat (AS) mengatasi fenomena Islamophobia di kalangan masyarakat kuasa besar itu agar mereka tidak salah faham dan berpandangan negatif terhadap agama Islam.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau telah menyuarakan perkara itu kepada Presiden Barack Obama semasa mencelah dalam mesyuarat kedua pemimpin ASEAN-Amerika di kotaraya New York pada Jumaat.

Malah Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Obama kerana pendirian tegasnya terhadap cadangan seorang paderi di Florida untuk membakar kitab suci Al-Quran yang akhirnya membatalkan hasratnya.

Sungguhpun mesyuarat itu lebih berkisar soal perdagangan, keselamatan dan isu serantau, Najib sempat menarik perhatian Presiden Obama mengenai peningkatan fenomena Islamophobia di Amerika Syarikat kebelakangan ini.

Ensiklopedia dalam talian Wikipedia mentafsirkan Islamophobia sebagai ketakutan atau kebencian terhadap agama Islam dan penganutnya.

"Langkah paling penting ialah memberi kefahaman asas mengenai agama Islam bahawa ia membawa nilai-nilai sejagat dan selari dengan konsep pemodenan dan agama yang progresif.

"Islam juga dapat menjamin hak, bukan sahaja orang Islam tetapi juga hak bukan Islam," kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia yang meliputi lawatan kerjanya selama enam hari di New York.

Fobia itu meningkat ekoran cadangan pembinaan pusat Islam dan sebuah masjid di tapak "Ground Zero" iaitu lokasi serangan pada 11 September, 2001 yang meranapkan Pusat Dagangan Dunia New York.

Seorang paderi di Florida yang mulanya mengugut untuk membakar kitab suci Al-Quran sempena ulang tahun serangan pengganas 9/11 membatalkan hasratnya berikutan gesaan Obama yang menegaskan bahawa langkah itu hanya menguntungkan al-Qaeda dan membahayakan beribu-ribu tentera AS di Afghanistan dan Iraq.

Ditanya langkah untuk mengatasi fenomena Islamophobia, Najib menegaskan perlunya kefahaman yang lebih baik tentang Islam di kalangan rakyat Amerika Syarikat.

Sebagai contohnya, Perdana Menteri merujuk kepada kajian majalah Time baru-baru ini menunjukkan 26 peratus rakyat Amerika menyangka Presiden Obama adalah beragama Islam.

Najib: "Ini bererti di Amerika Syarikat, pengetahuan tentang perkara seperti ini adalah amat rendah dan peningkatan terhadap apa itu Islam sebenarnya amat perlu dilakukan.

"Dan juga kita tidak seharusnya ditekan oleh kumpulan-kumpulan yang ekstrem yang bersuara lantang hingga mengambarkan seolah-olah seluruh Amerika Syarikat tidak setuju (dengan Islam), tetapi ia (kumpulan ekstrem) sebenarnya cuma kumpulan kecil."

Kaji selidik itu juga menunjukkan tahap keraguan rakyat Amerika hinggakan ada berpendapat seorang Muslim tidak seharusnya menjadi Presiden.

Tunjuk perasaan bagi membantah cadangan pembinaan masjid di Ground Zero kemudian turut diadakan berhampiran bangunan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ketika berlangsungnya sesi ke-65 Perhimpunan Agung PBB.

Najib dijadual menyampaikan ucapan sulungnya pada perhimpunan agung PBB (UNGA) pada Isnin.

Najib berkata beliau juga memberitahu Obama bahawa Malaysia mengalu-alukan proses damai yang sedang diusaha antara Palestin dan Israel ke arah mencapai penyelesaian konflik berasaskan prinsip kewujudan bersama dua negara.

Perdana Menteri juga menjelaskan mengenai pertemuan beliau dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas di ibu pejabat PBB, Khamis.

Menurut Najib, pemimpin Palestin itu menjelaskan mengenai laluan yang begitu sukar untuk mencapai penyelesaian konflik yang berpanjangan memandangkan pendirian keras rejim Tel Aviv selain masalah kerjasama dengan kumpulan Hamas.

Bagaimanapun, Mahmoud Abbas memberitahunya bahawa keadaan di Tebing Barat kini bertambah baik berbanding masa dulu.

Ini bermakna, menurut Najib, jika rakyat Palestin memilih kedamaian sebagai satu langkah ke hadapan dan bukannya konflik, bererti mereka boleh mendapat masa depan yang lebih baik dan terjamin.

"Peringkat awal sudah boleh lihat dengan baik di Tebing Barat, tetapi masih ada masalah dalaman iaitu dengan Hamas, bagi membolehkan mereka bertindak sebagai satu suara," kata Najib.

Menyentuh pertemuannya dengan Wakil Khas Amerika Syarikat ke Afghanistan dan Pakistan, Richard Holbrooke, Najib berkata mereka berbincang mengenai pemergian pasukan perubatan dari Malaysia pertengahan bulan depan ke sana atas jemputan kerajaan Afghanistan.

Najib berkata Holbrooke juga menceritakan kepadanya betapa dahsyatnya kesan banjir di Pakistan baru-baru ini terhadap 20 juta rakyat negara itu, yang disifatkan lebih buruk daripada bencana tsunami.

"Rakyat Pakistan ditimpa musibah yang amat dahsyat dengan kediaman, ternakan, sekolah dan jalan raya musnah teruk. Daripada aspek sosial, bencana ini lebih dahsyat skalanya berbanding tsunami," katanya......Bernama

Youtube : Umno BN alami fobia di penghujung hayat

Kerajaan Umno BN sekarang mengalami serangan penyakit kartun fobia, ceramah fobia, kuliah fobia, Youtube fobia, risalah fobia dan seumpamanya.

Justeru, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menganggap kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor supaya rakyat jangan terpengaruh dengan dakyah terbaru pembangkang yang memburuk-burukkan kerajaan melalui pengedaran cakera padat (CD) termasuk memuat naik bahan itu ke dalam laman web Youtube sebagai satu kenyataan orang yang takut menerima kenyataan kerana berada di penghujung hayat pemerintahan.

Menurutnya, menjadi lumrah mana-mana pemerintah yang banyak mengkhianati amanah rakyat cukup bimbang dengan maklumat yang benar sampai kepada rakyat yang mereka perintah.

Katanya, kerajaan Umno BN tahu mereka akan terus berkuasa selagi rakyat boleh ditipu melalui saluran berita berat sebelah.

Sehubungan itu, tambahnya PAS menganggap kenyataan supaya rakyat jangan percaya dengan Youtube adalah satu kenyataan yang ketinggalan zaman, seolah-olah rakyat pada hari ini hidup di zaman batu.

Sekarang, ujarnya program yang diuar-uarkan oleh kerajaan seperti koridor raya multi media sudah menjadi hantu raya kepada Umno BN, kerana apa sahaja dakyah melalui media perdana dengan pantas dijawab oleh media internet.

“Mereka merasa gusar apa sahaja strategi yang dibuat tidak menjadi untuk menjerat rakyat supaya menyokong mereka,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Ini, jelasnya menyebabkan semua berita yang dikeluarkan oleh media perdana telah dipandang sinis dan tidak boleh menaruh kepercayaan kepada rakyat.

“Inilah satu bala yang menimpa kepada kerajaan BN. Inilah akibat apabila selalu berbohong dalam pemberitaan akhirnya berita benar pun rakyat kata tipu,” katanya lagi. ......harakahdaily

Alam Barzah dan Padang Mahsyar

Setiap Umat Islam wajib mempercayai Hari Kiamat. Terdapat 5 alam yang perlu dilalui oleh setiap manusia yang hidup di muka bumi Allah ini iaitu : -

1. Alam Roh

Alam dimana setiap manusia berjanji mnyembah Allah dan mengikuti segala suruhan dan meninggalkan laranganNya. - Manusia dihidupkan selepas Nabi Adam.

2. Alam Rahim

Selama 120 hari berada didalam rahim (tidak lagi mengingati segala peristiwa Alam Roh)

3. Alam Dunia

Manusia hidup didalam satu alam yang amat-amat singkat tetapi amat-amat penting untuk alam yang seterusnya. (hidup sehingga 65thn-75thn...selebihnya adalah masa tambahan)

4. Alam Kubur

Alam Kubur adalah bersamaan 40 tahun. 1 tahun bersamaan 1,000 tahun didunia. - Hadis Imam At Turmudzi menerusi Abi'Sa'iid ; Rasulullah saw bersabda : "Sungguhnya Kubur itu adalah suatu kebun antara kebun-kebun Syurga ataupun satu lubang antara lubang-lubang Neraka"

5. Alam Mahsyar

Alam Mahsyar adalah bersamaan 300thn. 1 tahun bersamaan 50,000 tahun didunia. - Alam Mahsyar dimulakan apabila 2 tiupan sangkakala ditiup oleh Malaikat Israfil. - Tiupan pertama mematikan semua kehidupan manakala tiupan yang kedua menghidupkannya kembali dimana bumi memuntahkan isinya.

*Dalam riwayat, dinyatakan Kaabah akan berjalan masuk bersama dengan bumi Mekah dan Madinah bersama isi buminya apabila kiamat tiba (termasuk orang beriman yang mati di Mekah / Madinah). Sunat untuk kita berniat untuk mati di Mekah atau Madinah sahaja. Haram berniat untuk mati ditempat yang lain.*

Rasullullah s.a.w yang pertama sekali dibangkitkan dimana Rasullullah s.a.w bertanya pada Jibrail "Dimana kamu tinggalkan umatku" Didalam Surah Al-Waaqi'ah Allah menyebutkan dipermulaan keadaan/suasana Kiamat Besar dimana manusia terbahagi kepada tiga golongan :-

1.Muqarrabiin
Orang yang didekatkan kepada Allah; iaitu orang-orang yang dapat memasuki Syurga diperingkat awal.

2.Abraar
Baik-kebaikwan; iaitu orang-orang yang baik-baik; mereka ini ialah golongan Kanan (Golongan Bertuah Peringkat Kedua)

3.Fujjaar
Jahat-jahawan; iaitu orang-orang yang jahat-jahat; mereka ini ialah golongan kiri (golongan celaka/sial).

Kemudian Allah menyebutkan diakhirnya keadaan Kiamat Kecil dimana manusia terbahagi kepada tiga golongan juga iaitu; 1.Muqarrabiin. 2.Golongan Kanan. 3.Golongan Pendusta Yang Sesat.

Peristiwa di Padang Mahsyar

Manusia dibangunkan dalam keadaan telanjang melainkan mereka yang beriman. Jalan masing-masing tidak kenal antara satu kecuali 7 golongan. Mengikut Riwayat, Rasullullah saw dan Nabi Ibrahim as diberi pakaian terlebih dahulu diikuti yang lain (para Nabi, Sahabat dan mereka yang beriman).

7 golongan tersebut adalah:-
1. Pemimpin yang adil
2. Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid
3. Lelaki yang bersedekah tetapi tidak diketahui
4. Orang muda yang taat kepada perintah Allah
5. Lelaki yang diajak oleh wanita, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah"
6. Lelaki yang sentiasa mengingati Allah dan takut pada Allah
7. Bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.

(Didalam Al-Quran jika ia dirujuk sebagai lelaki maka ada juanya bermaksud atau bersama perempuan)

Setelah 40 tahun (di Mahsyar) iaitu 1 tahun bersamaan 50,000 tahun didunia, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi".. maka yang mengetuai setiap kumpulan ialah para ulama dan para ambia. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam menyatakan beliau juga ada melakukan dosa kerana memakan buah larangan di syurga.. maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah saw. Rasullullah saw memohon kepada Allah dan syafaat baginda telah meletakkan Padang Mahsyar menjadi tempat - Soal Jawab - Membaca catatan amalan - Hisab

Manakala orang kafir dan syaitan akan dikumpulkan disekeliling Neraka Jahanam. "Oleh itu, demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Sesungguhnya Kami akan himpunkan mereka yang kafir itu beserta syaitan-syaitan di Padang Mahsyar, kemudian Kami akan bawa mereka duduk bertelut di keliling Neraka Jahanam." Surah Maryam Ayat 68

Kemudian manusia meniti SiratulMustakim yang mana perjalanannya mengambil masa 15,000 tahun perjalanan (persamaan didunia tidak dinyatakan). Dimana setiap 1000 manusia yang meniti hanya tinggal 1 sahaja yang akan berada di titian sirat (iaitu mereka yang beriman dan beramal soleh) untuk meneruskan perjalanan ke syurga (sepantas kilat bagi mereka yang beriman). 999 manusia akan jatuh kebawah dari titian sirat dan akan tiba didasar neraka setelah 60 tahun. (Mengikut Riwayat, anak yang meninggal sewaktu kecil akan menunggu ibubapanya diatas sirat).

*Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, Di sisi "Sidratul-Muntaha"; Yang di sisinya terletak syurga "Jannatul-Makwa".(Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa "Sidratul-Muntaha" itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Surah An-Najm Ayat 13-16

*Kesimpulannya : Mati adalah benar, hidup kembali di Alam Barzah dan Alam Akhirat adalah benar. Amatlah ruginya jika kita leka di dunia yang masanya sungguh singkat namun amalan dan sumbangan kita terhadap agama Allah amatlah besar pada ketika itu untuk menghadapi Alam seterusnya. Diceritakan kisah didalam Al-Quran dimana manusia akan menyesali diatas kelalaian mereka didunia sebaik sahaja melihat api neraka.

Sumber : ukhwah.com

Monday, September 27, 2010

ADUN Galas meninggal dunia

ADUN Galas, Che Hashim Sulaima, 48, yang menghidap barah usus meninggal dunia di Hospital Al-IslamKampung Baru di Kuala Lumpur pada 4.30 petang tadi.

Perkara itu disahkan oleh naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menerusi twitternya sebentar tadi.

Pada 26 Julai lalu, beliau dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pakar Perdana di Kota Bharu, tetapi kemudiannya dibenarkan pulang.

Che Hashim dimasukkan Hospital Pakar Perdana itu, selepas tiga hari pulang daripada membuat rawatan kimoterapi di China selama 10 hari.

Beliau disahkan menghidap penyakit tersebut sejak Mei tahun lalu selepas batuk mengeluarkan darah.

Susulan itu beliau menjalani pembedahan di The First People's Hospital Fu San, Beijing selepas menerima rawatan di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur selama tiga bulan.

Keadaan kesihatannya agak serius sebelum itu. Kepulangannya daripada menjalani rawatan di China tahun lepas disambut wakil-wakil rakyat dan penduduk Gua Musang.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Mac lalu beliau turut hadir. Bagaimanapun pada persidangan Jun lalu beliau mohon bercuti.

Allahyarham memenangi kerusi Galas yang terletak dalam parlimen Gua Musang dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum yang lalu dengan mengalahkan calon BN, Saufi Deraman.

Ini adalah kali ke-12 pilihan raya kecil terpaksa diadakan selepas pilihan raya umum 2008 berikutan kematian atau perletakkan jawatan.

N45 GALAS
CHEK HASHIM BIN SULAIMA - Parti Islam Se Malaysia (PAS ) 4,399 WINNER
MOHAMAD SAUFI BIN DERAMAN - Barisan Nasional (BN ) 3,753

Voters : 10,330
Spoilt Votes : 171
Ballot Paper Issue : 8,356
Not Return Ballot Paper : 33
Votes Cast : 8,323
Voters Percentage : 80.89%
Majority : 646
(Malay:65.81% Chinese:22.03% Indian: 1.81% Others: 10.32%)

Thursday, September 23, 2010

Sedekah


الحمد لله الفتاح الوهاب الهادى إلى الحق والصواب، والصلاة والسلام على رسوله سيدنا محمد خاتم الأنبياء والمرسلين، واله وصحبه أجمعين.

Menghulurkan sedekah sunat adalah satu amalan mulia yang sangat dituntut oleh Islam, kerana ia boleh menggembirakan penerimanya dan juga memberi pulangan manfaat yang banyak kepada pemberi, sama ada di dunia dan di akhirat.

Diantara kelebihan bersedekah itu seperti yang disebutkan ayat dan hadis-hadis berikut:

من ذا الذى يقرض الله قرضا حسنا فيضعفه له أضعافا كثيرة
(سورة البقرة: 245)

Tafsirnya:” siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya.”

(Surah Al-Baqarah: 245)

Dalam Al-Qur’an banyak ayat yang menunjukkan bahawa Allah menyuruh kita bersedekah. Dalam sunnah pula banyak hadis menyuruh berbuat demikian, antaranya sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

من أطعم جائعا أطعمه الله من ثمار الجنة، ومن سقى مؤمنا على ظمأ سقاه الله عز وجل يوم القيامة من الرحيق المختوم، ومن كسا مؤمنا عاريا كساه الله من خضر الجنة

(رواه أبو داود والترمزي)

Maksudnya:”Sesiapa yang memberi makan seseorang yang lapar, Allah akan memberinya makan buah-buahan di syurga, sesiapa yang member minum seorang Mu’min yang dahaga, Allah akan memberinya minuman syurga “rahiq al-makhtum” pada Hari Kiamat, sesiapa yang memberi pakaian seorang Mu’min yang telanjang, Allah akan memberinya pakaian di syurga.”

(Hadis riwayat Abu DAud dan Tirmidzi)

Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lagi:

إن العبد إذا تصدق من طيب، تقبلها الله منه، وأخذها بيمينه، ورباها كما يربي أحدكم مهره أو فصيله، وإن الرجل ليصدق باللقمة فتربو في يد الله، (أو) قال في كف الله، حتى تكون مثل الجبل، فتصدقوا

(رواه أحمد)

Maksudnya:”Sesungguhnya hamba itu apabila dia bersedekah daripada hartanya yang baik, Allah akan menerimanya. Dia akan mengambilnya dengan tangan kananNya, Dia akan memelihara anak kuda atau anak untanya, sesungguhnya seorang yang bersedekah sesuap makanan dia akan membesar di tangan Allah (atau) di tapak tangan Allah hingga sebesar bukit, oleh itu hendaklah kmu bersedekah.”
(Hadis riwayat Ahmad)

Suruhan bersedekah itu boleh dilakukan pada bila-bila masa ada kesempatan dan lebihan perbelanjaan. Kebanyakan ayat dan hadis berkenaan menyebutkan lafaz
أنفقوا yang boleh diertikan sebagai membelanjakan, menafkahkan, mendermakan, menyumbangkan, menyedekahkan atau menghulurkan bantuan.

Allah Ta’ala berfirman:

ويسئلونك ماذا ينفقون قل العفو

Tafsirnya: “Dan mereka bertanya pula kepadamu, apakah yang mereka akan belanjakan (derma/sedekahkan)? Katakanlah: “Dermakanlah (sedekahkan) apa-apa yang berlebih daripada keperluan kamu.”

Melakukan amal-amal kebajikan seperti bersedekah ini pada bila-bila masa dan di tempat mana sekalipun sangat bermanfaat dan lebih digalakkan lagi pada waktu, hari atau tempat yang mempunyai kelebihan dan keutamaan.

Syeikh Ahmad Nasib Al-Mahamid berkata: “Sesungguhnya ibadat yang dilakukan di waktu-waktu seperti ini lebih banyak gunanya dan lebih besar manfaatnya. Ibadat yang dilakukan padanya akan digandakan ganjaran pahalanya, ia menyinari hati, menyucikan jiwa dan menaikkannya ke tahap kesempurnaan hari-hari yang mempunyai kelebihan ini, bahkan yang paling besar keutamaan, pahala dan kebaikannya ialah hari Jumaat. (Khushushiyyat Yaun Al-Jumu’ah: 6)

Hari Yang Utama Bersedekah

Secara umumnya hari yang paling baik dan utama untuk menghulurkan sedekah ialah hari Jumaat, kerana hari Jumaat merupakan penghulu hari-hari lain dalam seminggu dan mempunyai berbagai kelebihan. Bahkan, sesetengah ulama ada yang menyimpulkan kelebihan hari Jumaat mencapai seratus kelebihan sebagaimana yang dicatatkan oleh Imam as-Suyuthi di dalam kitabnya “100 Kelebihan Hari Jumaat.”

Salah satu yang dicatatkan di dalam kitab itu ialah: Hari Jumaat menjadi istimewa kerana pahala sedekah pada hari itu digandakan. Menurut Al-Imam As-Sayuthi: “Pahala sedekah pada hari Jumaat berlipat ganda berbanding sedekah pada hari lain. Ibnu Abu Syaibah telah mentakhrijkan di dalam kitab Al-Musannaf daripada Ka’ab, katanya:

الصدقة تضاعف يوم الجمعة

Maksudnya: “Pahala sedekah berlipat ganda pada hari Jumaat.” (As-Suyuthi, Khushushiyyat Yaum Al-Jumu’ah:103)

Mengikut catatan Ibnu Qayyim, teks lafaznya adalah seperti berikut: “Ka’ab berkata:

والصدقة فيه أعظم من الصدقة فى سائر الأيام

Maksudnya: “Dan sedekah pada hari itu (hari Jumaat) lebih besar pahalanya daripada sedekah pada hari-hari lain.”

Ibnu Qayyim berkata: “Sesungguhnya sedekah yang dikeluarkan pada hari Jumaat mempunyai kelebihan berbanding pada hari-hari lain. Bersedekah pada hari Jumaat nisbah kepada hari-hari lain di dalam seminggu, samalah dengan sedekah yang dikeluarkan di dalam bulan Ramadhan nisbah kepada yang dikeluarkan di dalam bulan-bulan lain di dalam setahun. (Zad Al-Ma’ad, 1/407)

Sekiranya hari Jumaat bertepatan dengan hari Jumaat bulan Ramadhan, keistimewaan bersedekah akan bertambah-tambah lagi pada hari itu kerana bulan Ramadhan mempunyai pelbagai kelebihan berbanding dengan bulan-bulan lain.

Dengan demikian bulan yang paling afdhal menghulurkan sedekah ialh hari Jumaat dan lebih afdhal lagi jika hari itu bertepatan dengan bulan Ramadhan. Sementara bulan yang paling afdhal bersedekah pula ialah bulan Ramadhan kerana At-Tirmidzi meriwayatkan daripada Anas Radhiallhu ‘anhu katanya:

سئل رسول الله صلى الله عليه وسلم، أي الصدقة أفضل؟ قال: صدقة في رمضان.
(رواه الترمزي)

Maksudnya: “Ditanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sedekah apakah yang paling afdhal?” Baginda menjawab: “Sedekah pada bulan Ramadhan.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)

Ini kerana fakir miskin pada bulan itu adalah lemah untuk mencari nafkah disebabkan oleh puasa, di samping pahala beribadat dan melakukan amal salih juga sememangnya berlipat ganda pada bulan yang mulia ini.

Kedudukan di atas adalah pada saat dan keadaan biasa. Adapun dalam keadaan-keadaan tertentu, adakala bersedekah itu lebih utama walaupun bukan pada hari Jumaat atau bulan Ramadhan. Misalnya, jika peluang untuk bersedekah pada hari Jumaat atau bulan Ramadhan itu dijangkakan tidak akan dapat dilakukan kerana benda yang akan disedekahkan itu tidak ada lagi pada hari atau bulan tersebut atau ada orang yang betul-betul mengharap dan memerlukan sedekah, seperti keluarga yang ditimpa musibah kebakaran rumah yang musnah semua harta dan keperluan, maka di dalam situasi dan kedudukan begini tidaklah perlu menuggu hari Jumaat tetapi afdhal dan paling eloklah sedekah itu disegerakan.

Sasaran sedekah

Sedekah atau pemberian ialah satu jenis ibadah yang digalakkan oleh syara’, maka panduan siapakah penerima utamanya hendaklah mengikut apa yang telah digariskan oleh syara’ pula.

Dalam ayat 177, surah al-Baqarah Allah Ta’ala menerangkan bahawa yang dinamakan kebajikan itu termasuklah menghulurkan derma atau sumbangan atau sedekah kepada enam golongan iaitu:
(1) Keluarga yang hampir.
(2) Anak-anak yatim.
(3) Orang-orang miskin.
(4) Orang yang terlantar dalam perjalanan.
(5) Orang yang meminta.
(6) Hamba sahaya yang berusaha untuk merdeka.

Firman Allah Ta’ala:

ليس البر أن تولوا وجوهكم قبل المشرق والمغرب ولكن البر من ءامن بالله واليوم الأخر والملئكة والكتب والنبين وءاتى المال على حبه ذوى القربى واليتمى والمسكين وابن السبيل والسائلين وفى الرقاب وأقام الصلوة وءاتى الزكوة والموفون بعهدهم إذا عهدوا والصبرين فى البأساء والضراء وحين البأس أولئك الذين صدقوا وأولئك هم المتقون
(سورة البقرة: 177)

Tafsirnya: “Bukanlah perkara kebajikan itu kamu mengadapkan muka ke pihak Timur dan Barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari Akhirat, dan segala malaikat, dan segala kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya-sedang dia menyayanginya,- kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekkan hamba-hamba abdi.”
(Surah Al-Baqarah:177)

Di dalam ayat lain pula diterngkan bahawa sasaran-sasaran tau golongan yang menerima sedekah itu terbahagi kepada lima golongan iaitu:

(1) Kedua ibu bapa.
(2) Keluarga yang terdekat.
(3) Anak-anak yatim.
(4) Orang-orang miskin.
(5) Orang musafir yang terlantar.

Firman Allah Ta’ala:

يسئلونك ماذا ينفقون قل مآ أنفقتم من خير فللولدين والأقربين واليتمى والمسكين وابن السبيل وما تفعلوا من خير فإن الله به عليم
(سورة البقرة: 215)

Tafsirnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)?” Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada kedua ibi bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan.” Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat daripada jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membakas dengan sebaik-baiknya).”
(Surah Al-Baqarah: 215)

Merujuk kepada ayat diatas, di antara tempat bersedekah atau sasaran pemberian ialah kedua-dua orang tua, keluarga sendiri yang terdekat seperti adik beradik, mertua, bapa saudara dan lain-lain, anak-anak yatim yang tidak berharta, orang miskin atau fakir, orang yang sedang dalam musafir, tetapi terhalang untuk sampai ke tempat tujuan kerana ketiadaan perbelanjaan, orang yang datang meminta bantuan kerana memerlukan perbelanjaan sara hidup dan hamba sahaya yang hendak menebus kebebasan daripada tuannya.

Selain itu termasuklah juga seperti melunaskan hutang, lebih-lebih lagi jika hutang itu bagi mashlahat orang ramai, juga seperti untuk meninggikan syi’ar Islam, penuntut dan guru-guru agama yang miskin dan semua bentuk progam fi sabilillah.

Sama halnya seperti kedudukan memillih masa bersedekah, maka memilih tempat dan si penerima sedekah juga hendaklah diperhatikan. Pihak yang lebih berhajat atau lebih memerlukan, dialah yang didahulukan. Begitu juga sesiapa yang lebih hampir dari segi kekeluargaan atau kejiranan, dialah yang diutamakan, sebagaimana perkara ini dijelaskan melalui ayat dan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Kaum Kerabat

Adalah afdhal bersedekah kaum kerabat, kemudian jiran, kerana firma Allah:

يتيما ذا مقربة
(سورة البلد: 15)

Tafsirnya: “Kepada anak yatim daripada kaum kerabat.”

(Surah Al-Balad:15)
Dan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada Zainab, isteri ‘Abdullah bin Mas’ud:
زوجك وولدك أحق من تصدقت به عليهم

(رواه البخاري)
Maksudnya: “Suamimu dan anakmu lebih berhak menerima sedekah.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Seterusnya Nabi Shallallhu ‘alaihi wasallam bersabda sebagaimana yang diriwayatkan di dalam sebuah hadis hasan oleh Ahmad, ibnu Majah dan At-Tirmidzi:

الصدقة على المسكين صدقة، وهي على ذى الرحم اثنتان: صدقة وصله

Maksudnya: “Sedekah kepada orang miskin hanya sekadar sedekah, tetapi sedekah kepada kaum kerabat dapat dua kebaikan, iaitu sedekah dan menghubungkan tali silaturahim.”

Juga riwayat Al-Bukhari daripada aisyah katanya:

إن لى جارين فإلى أيهما أهدى؟ فقال إلى أقربهما منك بابا

Maksudnya: “Aku mempunyai dua jiran, yang mana satu harus ku ber hadiah?” Baginda menjawab: “yang paling hampir pintunya dengan rumahmu.”

Bersedekah kepada Orang Bersungkai

Tempat menyalurkan sedekah termasuklah orang-orang yang berpuasa ketika mereka itu berbuka puasa. Ganjaran pahala yang diterima sangatlah besar, sama besarnya dengan yang diperolehi orang yang berpuasa itu sendiri.

Rasulullah Shallallhahu ‘alaihi wasallam bersabda:

من فطر صائما كان له مثل اجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا

(رواه الترمذي وابن ماجه وابن خريمة وابن حبان)

Maksudnya: “Sesiapa yang ‘menyungkaikan’ (memberi makan) kepada orang yang berbuka puasa, adalah baginya pahala seumpama pahala orang yang berpuasa itu, tanpa dikurangi walaupun sedikit daripada pahala orang yang berpuasa itu.”

(Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Khzaimah dan Ibnu Hibban)

Oleh kerana orang ramai, khasnya jemaah masjid mungkin mengetahui betapa besarnya pahal sedekah yang diberikan untuk ‘menyungkaikan’ (member makan orang yang berpuasa) sebagaimana hadis di atas, maka itulah sebabnya barangkali mengapa sedekah yang dihulurkan dalam bulan Ramadhan untuk tujuan perbelanjaan ‘bersungkai’ itu lebih banyak jumlahnya berbanding yang dihulurkan untuk bantuan anak-anak yatim. Mungkin juga para jemaah beranggapan bahawa menghukurkan bantuan kepada anak-anak yatim boleh dilakukan pada bulan-bulan lain sepanjang tahun sementara bersedekah unuk tujuan ‘menyungkaikan’ hanyalah dapat dibuat pada bulan Ramadhan sahaja.

Namun dalam hal ini hendaklah kita berhati-hati supaya jangan sampai berlaku pembaziran sewaktu ‘menyungkaikan’ orang yang berpuasa di masjid atau bahan-bahan hidangannya itu tidak sesuai seperti kuih muih yang tidak tahan disimpan.

Walau bagaimanapun, bersedekah dalam bulan Ramadhan pada hari jumaat tetaplah lebih utama berbanding pada bulan dan hari-hari yang lain.

Supaya sedekah itu tinggi mutunya, maka elakkan bersedekah dengan barang-barang yang kurang baik atau si pemberinya kurang menyayanginya kerana sedekah dengan barang-barang yang sedemikian itu kurang nilainya di sisi Allah, firman Allah :

........ولا يتمموا الخبيث منه تنفقون.................
( سورة البقرة : 267 )

Tafsirnya : “ … dan janganlah kamu senghaja memilih yang buruk daripada ( lalu kamu ) dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat….”

( surah Al-Baqarah : 267 )

Bersedekah dengan barang yang paling bermutu dan paling disayangi, itulah yang amat digalakkan sebagaimana firman Allah :

لًن تنالوا حى تنفقوا مما تحبون..........
(سورة آل عمران : 92 )

Tafsirnya : “ kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakihat) kebajikan dan kebaktian ( yang sempurna ) sebelum kamu dermakan sebagian daripada apa yang kamu sayangi….”
( surah Ali ‘Imran : 92 )

Pahala sedekah juga boleh hilang sebagaimana diperingatkan oleh Allah melalui ayat ini :

يأيها الذين ءامنوا لا تبطلوا صدقتهكم بالمن والاذى كالذى ينفق ماله رئاء الناس
( سورة البقرة : 264 )

Tafsirnya : “wahai orang yang beriman ! Jangan rosakkan ( pahala amal ) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan ( kelakuan yang ) menyakiti seperti rosaknya pahala amal sedekah orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia ( ria ).”

( surah al-Baqarah : 264 )

Menurut tafsir, makna المن itu ialah orang yang member sedekah itu menyebut-nyebut kebaikannya kepada penerima sedekah serta membangkit-bangkitkan pemberiannya itu seperti katanya : “ Aku telah membuat baik ( bersedekah ) kepadamu dan menutupi keadaanmu yang kurang.”

Sementara الأذى pula, si pemberi berbangga-bangga dengan pemberiannya dengan menyebut-nyebut kepada orang lain, sedang si penerima sedekah tidak suka didedahkan perkara itu sehingga menyakiti hatinya.

Membangkit-bangkit sedekah atau menyakiti orang yang menerimanya, samalah juga dengan yang membelanjakan hartanya dalam keadaan ria, sebagaimana ayat ini :

كالذى ينفق ماله ، رئآء الناس

( سورة البقرة : 264 )

Tafsirnya : “ seperti ( rosaknya pahala amal sedekah ) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia ( ria ).”

( Surah Al-Baqarah : 264 )

فاستبقوا الخيرات
( سورة البقرة : 148 )

Tafsirnya : “ Berlumba-lumbalah kamu melakukan kebajukan.”
( Surah Al-Baqarah : 148 )

Sumber : Universiti Islam Sains Malaysia

Monday, September 20, 2010

Perlu Wujud Universiti Harapan?

Pelajar IPTA Ditahan Kes Buang Bayi Di Jitra

JITRA: Seorang pelajar perempuan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam di Lembah Klang yang berumur 20 tahun ditahan malam semalam kerana dipercayai membuang bayi di belakang rumahnya di Taman Rasa Sayang di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu DSP Ibrahim Mohd Yusoff berkata pelajar itu ditahan kira-kira 8.30 malam selepas polis membuat siasatan setelah menerima maklumat orang awam berhubung penemuan bayi di belakang rumah tersebut pada sebelah petang.

"Kita menerima maklumat daripada orang awam tentang penemuan bayi tersebut kira-kira 5.30 petang semalam dan apabila kita ke tempat kejadian, bayi seberat 2.8kg yang masih bertali pusat itu telah dibawa ke Hospital Jitra untuk menerima rawatan," katanya ketika ditemui pemberita di sini, Ahad.

Beliau berkata selepas membuat siasatan, pihaknya menemui uri bayi tersebut dalam longkang di belakang rumah suspek.

Katanya berdasarkan siasatan lanjut, polis berjaya mengesan pelajar yang dipercayai ibu kepada bayi tersebut dan menghantarnya ke Hospital Jitra untuk rawatan.

"Suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan," katanya.

Berdasarkan maklumat, suspek pulang ke kampung sempena hari raya dan ibu bapanya tidak mengetahui suspek mengandung.

"Bayi itu dipercayai dilahirkan di bilik air rumah suspek sebelum diletakkan di belakang rumah suspek," katanya. -BERNAMA

Sumber : Harian Metro

JITRA: Helah seorang siswi sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berpura-pura konon menemui seorang bayi perempuan yang masih hidup di belakang dapur rumahnya di Taman Rasa Sayang, tidak menjadi apabila dia akhirnya mengaku membuang bayi itu ketika disoal siasat polis, kelmarin.

Sebelum ini, remaja berusia 20 tahun itu mendakwa tidak sihat selain muka pucat dan tidak bermaya bergerak menyebabkan polis mengesyaki sesuatu mencurigakan sebelum dia akhirnya mengaku melahirkan bayi berkenaan.

Suspek masih belajar semester ketiga di sebuah IPTA di Selangor itu dipercayai meletakkan bayi seberat 2.8 kilogram yang baru dilahirkannya di bahagian luar pintu dapur rumahnya sebelum masuk semula ke dalam rumah untuk mandi.

Difahamkan, suspek melahirkan bayi berkenaan di rumah terbabit seorang diri sebelum mengambil keputusan meletakkan bayi itu di luar rumah bagi mengelak dikesan ahli keluarganya.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 5 petang kelmarin sebelum bayi itu ditemui setengah jam kemudian selepas disedari ibu dan adik-beradik suspek yang sebelum itu mendakwa terdengar tangisan bayi ketika mandi.

Bagaimanapun, ibu suspek berusia 40-an menghubungi ambulans untuk memaklumkan penemuan bayi perempuan yang cukup sifat dan masih hidup itu untuk dibawa ke hospital.

Bayi perempuan itu kemudian dibawa ke Hospital Jitra (HJ) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan sihat.

Selain itu, polis turut menemui cebisan daging dipercayai uri bayi terbabit di lokasi kejadian dan mengambilnya sebelum dihantar ke HJ bagi membantu siasatan.


Menurut sumber, remaja perempuan berbadan kecil itu dikatakan menyembunyikan kandungannya itu dengan memakai pakaian bersaiz besar bagi mengelak diketahui keluarga kerana bimbang dimarahi.

Katanya, keluarga suspek terkejut apabila anggota polis yang datang ke rumah untuk mengambil keterangan memaklumkan bayi itu sebenarnya anak kepada remaja berkenaan.

“Keluarga remaja itu mendakwa langsung tidak tahu kejadian itu kerana tiada tanda-tanda yang suspek hamil, malah turut mendakwa datang haid bulan lalu.

“Selain itu, suspek mendakwa dia trauma sebaik menemui bayi itu menyebabkan keluarganya tidak mengesyaki apa-apa,” kata sumber berkenaan.

Berikutan itu, suspek ditahan polis kira-kira jam 8.30 malam kelmarin dan dibawa menjalani pemeriksaan lanjut di hospital sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohd Yusoff, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan pihaknya masih menjalankan siasatan.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan polis sudah menahan ibu bayi berkenaan bagi membantu siasatan.

“Suspek kini direman empat hari bermula semalam dan masih dirawat di hospital,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Kubang Pasu, Mohd Shabbri Othman berkata, bayi perempuan itu kini di bawah jagaan pihaknya selepas kes dimaklumkan polis.

“Bayi berkenaan diberi perlindungan JKM buat sementara dan kami masih menunggu siasatan polis,” katanya.

Sekolah Harapan?

Lima Remaja Hamil Akan Daftar Masuk Sekolah Harapan Mulai Hari Ini

JASIN: Seramai lima remaja yang sedang hamil akan menjadi pelajar kumpulan pertama yang mendaftar masuk ke Sekolah Harapan di Jalan Pegawai di sini yang ditubuhkan bagi memberi perlindungan kepada golongan berkenaan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang mencetuskan idea penubuhan sekolah tersebut berkata remaja berkenaan yang berusia antara 16 dan 17 tahun akan ditemani keluarga masing-masing ketika mendaftar.

"Empat daripada mereka akan bersekolah dalam Tingkatan Lima dan seorang di Tingkatan Empat.

"Mereka masing-masing dari Melaka, Johor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Pahang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis tahlil dan meninjau operasi sekolah tersebut, Ahad.

Sekolah Harapan itu yang dibuka Jumaat lepas dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Melaka, beroperasi di dua bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad yang diubah suai menjadi sekolah berserta sebuah asrama.

Mohd Ali menjelaskan kesemua remaja itu memasuki sekolah tersebut melalui bantuan ibu bapa masing-masing dan bukan datang secara sukarela.

"Seorang daripada lima pelajar perempuan berkenaan adalah berbangsa Cina.

Ini membuktikan kita tidak mengenakan sebarang sekatan atau had demi memberi perlindungan kebajikan kepada remaja yang memerlukan bantuan," katanya.

Beliau berkata peraturan yang ditetapkan di sekolah itu adalah sama dengan pusat pemulihan dan sekolah biasa yang lain termasuk mempraktikkan sistem pembelajaran yang sama.

"Bagaimanapun, orang ramai tidak dibenarkan memasuki sekolah ini tanpa kebenaran dan indentiti serta gambar pelajar dirahsiakan bagi menjaga kepentingan pihak berkaitan," katanya.

Mengenai tindakan undang-undang Syariah terhadap pelajar terbabit di atas kehamilan mereka tanpa hasil pernikahan yang sah, Mohd Ali berkata perbincangan lanjut akan diadakan bersama dengan keluarga remaja terbabit dan terpulang kepada Mahkamah Syariah untuk mengambil tindakan lanjut. -BERNAMA

Keperitan rakyat: Cakap Najib hanya retorik

KUALA LUMPUR, 19 Sept: PAS menganggap ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan supaya pemimpin perlu merasai derita rakyat, hanya retorik sahaja kerana ia menyimpang daripada tindakan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, realiti yang berlaku pada hari ini pemimpin negara yang memerintah 57 tahun setelah merdeka bukan memikirkan supaya rakyat miskin terbela dan kualiti hidup ditingkatkan.

Bahkan, katanya kemiskinan dan penderitaan rakyat ini telah menjadi umpan untuk memancing undi setiap kali pilihanraya.

“Nampaknya apabila selepas rakyat Malaysia mengajar pemimpin Barisan Nasional dalam pilihanraya 2008, baru mereka tahu tanggungjawab pemimpin mesti menyelami penderitaan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, katanya mereka tidak pernah menyebut hal itu kerana mereka anggap apa sahaja mereka buat rakyat tetap undi mereka.

Semalam, katanya Datuk Seri Khir Toyo, bekas Menteri Besar Selangor juga bercakap lebih kurang bahasa yang sama.

“Beliau mengingatkan kepada kerajaan supaya mengambil tahu penderitaan rakyat. Bimbang rakyat sudah merungut kos hidup semakin tinggi, beliau pun terasa dengan kenaikan harga beras RM18 ke RM25 sekampit,” katanya lagi.

Sedangkan, kata Idris PAS bersama dengan Pakatan Rakyat daripada awal lagi sudah memikirkan bagaimana untuk melaksanakan tanggungjawab ini.

Ini, katanya kerana PAS menyedari bahawa menjadi pemimpin bukan untuk bermegah, tetapi satu tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

Buktinya, ujar beliau PAS dan Pakatan Rakyat di Kelantan begitu prihatin dengan penderitaan rakyat telah melaksanakan program kifalah untuk warga emas yang meninggal dunia.

Selain itu, tambahnya program ladang rakyat untuk diberikan deviden kepada mereka yang susah, begitu juga di Kedah dan Pulau Pinang melaksanakan program yang mengambil kira penderitaan rakyat.

Selangor, ujarnya negeri yang kaya dengan hasil ekonominya yang melimpah ruah telah memberi air percuma kepada semua rakyat dan merakyatkan limpahan ekonomi kepada mereka yang susah.

Menurutnya, program-program itu yang tidak pernah terfikir oleh pemimpin BN walaupun selepas negara mencapai kemerdekaan selama 53 tahun.

“Pada hal kerajaan PAS dan Pakatan Rakyat yang mempunyai sumber kewangan yang terhad, tetapi mampu menyelami derita rakyat.

“Sepatutnya pemimpin BN sudah boleh menyelami dan menyelesaikan masalah rakyat kalau mereka mahu sedangkan banyak program yang boleh mengangkat taraf hidup rakyat, telah dikhianati,” ujarnya lagi.

Sumber : harakahdaily

Tuesday, September 14, 2010

Golongan muda perlu jadi ejen perubahan masyarakat

JENGKA 15 - Golongan muda diminta menjadi ejen perubahan masyarakat Melayu Islam dan membantu Pas dalam merealisasikan matlamat dengan perjuangan Islam di negara ini.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pahang, Suhaimi Saad berkata, orang Islam perlu membina semula kekuatan untuk mengelak daripada kembali dijajah.

Menurutnya, penjajahan yang berlaku kini bukan hanya dalam bentuk fizikal malah pemikiran dan jika tiada tindakan, generasi akan datang berkemungkinan akan kembali dijajah.

”Kita sebagai umat Islam perlu mencari jalan menuju puncak kekuatan iaitu dengan bersatu padu demi agama Islam.

“Jika kita salahkan musuh semata-mata, tanpa melihat ‘kekuatan dan kelemahan’ yang ada pada diri ummah, maka jadilah kita ‘si celik yang buta’.

“Jika kita masih berpecah, tidak bersatu di bawah panji Islam, maka cukup lemah suara amaran dan gerakan umat Islam,” katanya ketika berucap pada Rumah Terbuka Aidilfitri dan Himpunan Anak Muda Perantauan.

Kira- kira 1,500 tetamu hadir memeriahkan majlis anjuran Dewan Pemuda Pas Negeri Pahang dengan kerjasama Dewan Pemuda Pas Kawasan Kuala Krau, Nisa Kuala Krau dan Jawatankuasa Pas Cawangan Jengka 15.

Majlis disempurnakan Naib Presiden Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pemuda Pas Pahang, Shahril Azman Abd Halim dan Pengerusi Dewan Kelab Penyokong Pas, Bala Subramaniam.

Suhaimi berkata, anak muda di perantauan perlu pulang bukan hanya pada hari raya malah pada hari pilihan raya untuk memenangkan perjuangan Islam.

Kes Sosilawati mirip pembunuhan Altantuya

KUALA LUMPUR, 14 Sept: Wanita Keadilan mengecam pembunuhan kejam terhadap jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya Abdullah Yusof bersama pemandu, pegawai bank dan peguamnya.

Mereka meninggal dunia dalam insiden culik, pukul, bunuh dan bakar di Tanjung Sepat, Banting.
“Wanita Keadilan mengecam perbuatan terkutuk ini sebagai sesuatu yang kejam dan zalim.

“Wanita Keadilan juga merasakan tragedi tersebut merupakan satu lagi kes pencabulan terhadap wanita di negara ini,” ujar ketuanya, Zuraida Kamaruddin (gambar) dalam satu kenyataan.

Baginya, perasaan hormat kepada kaum Hawa semakin hari semakin terhakis.

Sebelum ini, katanya negara digemparkan dengan berita kematian ngeri seorang model yang dikenali sebagai Altantuya Shaariibbu beberapa tahun yang lalu yang dibunuh secara kejam dengan letupan bom.

“Peristiwa pembunuhan kejam dan zalim itu tidak wajar dan ini dengan jelas menunjukan bahawa tahap keselamatan rakyat di negara ini khususnya wanita makin tidak terjamin,” katanya.

Menurutnya, akibat daripada sikap lepas pandang dan tidak komitednya PDRM dalam membuat siasatan dan kegagalan menangkap penjenayah sebenar dalam kes Altantuya, menyebabkan ada pihak yang begitu berani mengambil kesempatan atas ketidakmampuan PDRM menyelesaikan kes pembunuhan tersebut dan juga beberapa kes lain yang melibatkan wanita.

“Masihkah kita ingat kes pembunuhan Mustakhizah?

“Jenayah ini berulang lagi hari ini akibat kegagalan kita sendiri memilih kerajaan yang telus, berwibawa, amanah yang tidak mempergunakan institusi kerajaan untuk kepentingan peribadi,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Oleh itu, katanya Wanita Keadilan mengecam kes pembunuhan itu dan menyampaikan perasaan simpati dan takziah kepada keluarga semua mangsa.

Wanita Keadilan, jelasnya mengharapkan satu bentuk tindakan yang tegas oleh pihak PDRM dan berharap Ketua Polis Negara yang baru dilantik dapat membawa perubahan dalam menjaga keamanan dan keselamatan rakyat Malaysia sekaligus menyegerakan siasatan dan mengheret semua mereka yang bersalah ke muka pengadilan.

Benarkah ?

NKRA capai hasil, kadar jenayah turun

Program Transformasi Kerajaan (GTP), yang diperkenalkan pada April tahun lalu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, telah mencapai hasil signifikan menerusi pelbagai inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Pengarah komunikasi bagi GTP di Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) di Jabatan Perdana Menteri, Alex Iskandar Liew, berkata indeks jenayah keseluruhan pada Januari hingga Ogos menurun 16.24 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jenayah jalanan turut menyaksikan penurunan signifikan ke 37 peratus dalam tempoh sama, katanya dalam satu kenyataan hari ini berhubung kemaskini prestasi GTP baru-baru ini.

Liew berkata hasil positif ini dipandu oleh, antara lain, kehadiran anggota polis (2,026 sehari), tindakan gigih di pelbagai kawasan panas jenayah, pemobilisasian 372,550 anggota Rakan Cop, 105,850 anggota skim rondaan sukarela di samping penugasan semula 6,791 personel polis ke barisan depan dan 3,814 anggota awam mengendali tugas meja.

Di bidang pendidikan, tambahan seramai 54,569 kanak-kanak telah mendapat manfaat dari 1,358 kelas pra sekolah dan semua sekolah rendah dan menengah dalam negara telah diberi ranking dan telah mengemukakan rancangan masing-masing demi mempertingkat prestasi mereka dalam Program Penambahbaikan Sekolah (SIP).

Berhubung infrastruktur asas luar bandar, 469km jalan telah disiapkan, 1,664 rumah dibina, 1,886 disambungkan dengan bekalan elektrik, dan 6,576 rumah disambung dengan bekalan air bersih dan dirawat di seluruh negara.

Liew berkata usaha kerajaan mengurangkan kemiskinan tegar juga menunjukkan hasil besar dengan sejumlah 23,679 atau 47 peratus dari 44,643 isi rumah miskin tegar dipisahkan dari kategori itu.

Pengangkutan awam luar bandar juga mencatat keputusan positif di mana jumlah penumpang harian meningkat dengan tambahan 2.4 juta orang atau 8.4 peratus.

Liew berkata usaha kerajaan menentang rasuah juga mencapai kemajuan, dengan beberapa inisiatif telah diwujudkan.

Ini termasuk Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, portal MyProcurement dan pangkalan data "name-and-shame" Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disiarkan di laman webnya.

Bagi meneruskan agenda nasional mentransformasi Malaysia untuk mencapai Wawasan 2020, kerajaan akan melancarkan Program Transformasi Ekonomi (ETP)terajuan swasta pada suku keempat tahun ini, kata beliau.

Friday, September 10, 2010

Selamat Hari Raya Idulfitri 2010


Dikesempatan ini diucapkan Selamat Hari Raya Idulfitri buat pembaca rhutapaimanis, mohon maaf zahir dan batin jika sekiranya terdapat segala salah dan silap sepanjang blog ini beroperasi sama ada dari tuturkata, penulisan mahupun terasa hati terhadap artikel yang pernah dipaparkan di blog ini.

Thursday, September 9, 2010

KISAH JUWAIRIYAH ISTERI RASULULLAH

Wanita yang paling bertuah di dunia ini ialah wanita yang menjadi isteri Rasulullah. Kerana bila seorang wanita itu berkahwin dengan Rasulullah maka dengan sendirinya Allah mengangkat darjat wanita tersebut. Sesiapa pun tidak boleh menandingi darjat itu sekalipun wanita solehah yang ibadahnya hebat, puasanya tiap hari, zikirnya banyak, akhlaknya cantik dan lain-lain ibadah yang termampu dilakukannya. Darjat Ummul Mukminin atau “Ibu orang-orang beriman” adalah darjat tertinggi dari Allah yang diberikan hanya kepada wanita yang bergelar isteri Rasulullah. Sudah selayaknya darjat itu diberikan kerana hanya wanita itu saja dapat bergaul, berhubung mesra seterusnya mengurus segala keperluan yang dihajati oleh Rasulullah. Rasulullah adalah orang yang paling sempurna dan sangat Allah cintai hingga kerana itu Allah SWT ada berfirman dalam hadis Qudsi yang bermaksud: “Tidak Aku jadikan dunia ini melainkan kerana Muhammad.”

Bila menjadi isteri Rasulullah bermakna sanggup menghadapi berbagai kemungkinan. Dia juga terpaksa berkongsi apa saja yang dihadapi oleh Rasulullah samada kesusahan, penderitaan dan kata nista. Kerana Rasulullah adalah seorang pejuang dan perjuangannya itu memerlukan pengorbanan yang besar. Itulah yang terpaksa dihadapi oleh kesemua isteri-isteri Rasulullah.

Mari kita menyingkap kisah salah seorang daripada isteri Rasulullah. Kalau dulunya (sebelum berkahwin dengan Rasulullah) adalah seorang yang sangat anti dengan Rasulullah dan perjuangan baginda menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini, tetapi bila Allah menghendaki dengan mudah saja Allah boleh memutarkan hatinya dan akhirnya dia adalah salah seorang yang sangat-sangat mencintai baginda dan mencintai perjuangan baginda. Dia sanggup mengorbankan segala kemewahan dan keseronokan hidup demi cintanya pada baginda.

Juwairiyah. Begitulah indah namanya, sebagaimana cantiknya akhlak dan peribadinya. Rasulullah memberikan nama tersebut sebaik saja baginda mengahwininya. Sebelum ini nama beliau ialah Barrah binti Al Harris Ad Dirar, keluarganya berketurunan Yahudi iaitu dari Kabilah Bani Al Mustaliq. Ayahnya adalah pemimpin puak tersebut yang mana beliau juga sangat memusuhi Islam dan memusuhi Rasulullah sendiri. Tapi akhirnya ayah dan seluruh kaumnya semua memeluk Islam iaitu berkat perkahwinan Juwairiyah dengan Rasulullah. Inilah hikmahnya perkahwinan Rasulullah, Rasulullah tidak akan sekali-kali menikahi dengan seseorang melainkan ada strategi perjuangan di sebalik perkahwinan itu, walaupun sebenarnya juwairiyah adalah seorang janda.

Kisahnya bermula begini. Selepas berlakunya peperangan Khandaq yang mana setelah Rasulullah bermesyuarat bersama pihak Yahudi untuk bertahan di dalam kota Madinah untuk menentang musuh dari kafir Quraisy, di saat-saat akhir pihak Yahudi itu telah memungkiri janji. Kesan dari itu Rasulullah tidak lagi memberi peluang kepada kaum Yahudi itu dan akhirnya peperangan berlaku antara pihak Muslimin dengan kaum Yahudi Bani Mustaliq itu. Pihak Yahudi yang belot itu akhirnya kalah teruk, ramai di antara tentera mereka yang mati termasuklah suami Juwairiyah dan Juwairiyah sendiri menjadi tawanan perang. Beliau menjadi tawanan perang kepada seorang sahabat Rasulullah bernama Sabit bin Qias. Begitulah juga tawanan yang lain telah pun diagih-agihkan menjadi tawanan kepada umat Islam termasuklah harta ghanimah (harta rampasan perang).

Menyedari yang dirinya telah jatuh ke tangan musuhnya, maka Barrah (Juwairiyah) mengambil keputusan untuk menebus dirinya. Sabit bin Qais telah mengenakan tebusan yang tinggi kerana dia tahu Barrah adalah seorang puteri kepada orang yang ternama dan terkaya di kalangan kaumnya. Maka sudah tentu ayahnya tidak keberatan membayar berapa saja untuk menyelamatkan anaknya. Oleh kerana Sabit mengenakan tebusan yang terlalu tinggi, Barrah bimbang permintaan itu akan membawa akibat yang melampaui batas, lalu Barrah mengambii keputusan untuk berjumpa dengan Rasulullah sendiri untuk menyelesaikan masalahnya. Ketika itu Rasulullah berada di rumah Siti Aisyah. Apabila berhadapan dengan Rasuiullah, beliau pun mengajukan masalahnya.

“Ya Rasulullah, saya adalah Barrah binti Al Harris bin Dirar, anak kepada penghulu kaumku.Tujuan kedatangan saya ini, sebagaimana tuan ketahui iaitu saya menjadi bahagian Sabit bin Qais. Tetapi saya telah diberinya kesempatan untuk menebus diri saya dengan bayaran sebanyak 9 uqiyyah (1 uqiyyah bersamaan 1 setengah tahil emas). Sekarang saya datang kepada tuan dan bermohon agar tuan membantu saya dalam hal ini agar dengan itu saya dapat melepaskan diri saya (dari perhambaan) ini,” katanya bersungguh-sungguh.

Rasulullah diam seketika. Baginda mengamat-amati ucapan Barrah itu, sambil baginda berfikir. Barrah, puteri pemimpin Bani Mustaliq itu juga diam bila lihat Rasulullah SAW menundukkan kepalanya. Apa yang difikir dan disedihkan oleh baginda. Hati Barrah tertanya-tanya.

Sebentar kemudian Rasulullah mengangkat kepalanya dan memandang kepada Barrah yang sedang diam membatu di hadapan baginda. Rasulullah dengan nada lembut berkata, “Adakah mahu bagimu yang lebih baik daripada yang kamu minta itu?” tanya Rasulullah SAW.

“Apalah lagi ya Rasulullah,” Barrah lantas bertanya.

“Begini,” ujar Rasulullah, “Biarlah aku bayarkan tebusan dirimu yang diwajibkan oleh Sabit bin Qais, kemudian aku mengahwini engkau,” Rasulullah berterus-terang.

Mengakhiri ucapan Rasulullah SAW itu spontan Barrah menjawab, “Baiklah, ya Rasulullah. Saya setuju.”

Rasulullah menepati janjinya. Baginda membayar wang tebusan sebanyak yang dipinta oleh Sabit dan mengahwini Barrah. Kini, Barrah bukan lagi seorang hamba, tetapi darjatnya telah naik ke taraf Ummul Mukminin. Sejak itu namanya ditukar oleh Rasulullah kepada Juwairiyah.

Rasulullah SAW bersabda: Dunia adalah sebaik-baik tempat dan sebaik-baik tempat di dalam dunia adalah wanita yang solehah

Berita perkahwinan Rasulullah SAW dengan Juwairiyah cepat tersebar kepada umum. Tidak ada seorang pun tidak tahu tentang perkahwinan itu. Ada yang dengar dengan perasaan gembira dan bersyukur dan ada mendengarnya dengan perasaan berbuku di hati dan dendam. Walau apa keadaan sekalipun ragam masyarakat mendengarkan berita itu, namun Allah SWT jua mengetahui dan tetap mengurniakan nikmat yang besar kepada perkahwinan Juwairiyah dengan Rasulullah itu. Masakan Juwairiyah tidak gembira berkahwin dengan seorang pemimpin umat yang dikasihi oleh Allah SWT. Kaum Muslimin yang ada menawan keturunan Bani Mustaliq sebagai hamba sahaya apabila mendengarkan berita itu, lantas mereka berkata, “Tidak layaklah kiranya biras atau ipar-ipar Rasulullah SAW dijadikan hamba sahaya.”

Lantaran itu para sahabat yang memiliki bekas tawanan perang Bani Mustaliq yang dijadikan sebagai hamba, memerdekakan hamba-hamba mereka tanpa wang tebusan. Inilah keberkatan yang Allah SWT limpahkan kepada Juwairiyah kerana perkahwinannya dengan Rasulullah SAW.

Khabar gembira ini disambut oleh kaum Bani Mustaliq dengan penuh kesyukuran. Dalam hal ini pernah Sayidatina Aisyah, Ummul Mukminin berbicara dengan katanya, “Sungguh telah dimerdekakan dengan sebab perkahwinan itu, seratus keluarga kaum Bani Mustaliq. Maka tidak pernah kuketahui seorang wanita yang banyak berkatnya atas kaumnya, lebih daripada Juwairiyah.”

Kerana itu jugalah ayahanda Juwairiyah iaitu Al-Haris bin Abi Dirar memeluk Islam di hadapan Rasulullah SAW. Dan ada di kalangan mereka tidak mahu kembali ke desa dan kaum mereka tapi lebih suka tinggal di Madinah saja bersama Rasulutlah SAW.

Begitulah besarnya berkat perkahwinan Juwairiyah dengan Rasulullah SAW.

Sejak perkahwinannya, Juwairiyah tidak ke mana-mana, dia lebih suka menetap di rumah yang disediakan oleh Rasulullah SAW di sisi masjid Madinah. Dia juga seorang yang mempunyai paras wajah yang menawan dan ini juga menimbulkan perasaan cemburu pada isteri-isteri Rasululah SAW yang lain. Sikap cemburu itu hanya dapat dilihat dengan kerdipan mata antara satu sama lain, mengata-ngata di antara mereka, dan ada juga yang menyatakan rasa cemburunya itu dengan sikap dan kata- kata. Hal itu menimbulkan perasaan tidak senang di hati Juwairiyah dan segera diadukannya kepada baginda Rasulullah SAW.

“Wahai Rasulullah, isteri-isterimu yang lain terasa bangga dan lebih mulia daripadaku. Apalagi mereka mengatakan bahawa saya tidak tuan kahwini (maksudnya hanya sebagai hamba sahaya Rasulullah saja),” katanya.

Bila mendengar aduan itu, Rasulullah SAW tidak senang duduk melihat ragam isteri-isterinya. Yang lebih Baginda tersinggung biIa mengatakan Juwairiyah hanya sebagai hamba sahayanya.

Rasulullah SAW berkata, “Wahai Juwairiyah! Bukankah aku telah memberimu mahar yang mahal yang telah memerdekakan empat puluh orang daripada kaummu.”

Ucapan itu membuatkan hati Juwairiyah gembira, tidak jadi memberontak. Dia dapat menenteramkan hatinya dan membuat kebaikan terhadap isteri-isteri Rasulullah yang lainnya. Itulah sifat yang ada pada diri isteri yang barakah ini setelah diberi penawar oleh Rasulullah SAW.

Setelah Rasulullah SAW wafat, Juwairiyah tetap teguh imannya dan semakin hampir dia di sisi Allah SWT. Baki usianya yang sedikit itu sejak kewafatan Rasulullah SAW telah dihabiskannya untuk berdamping dengan Allah SWT.

“Tiada siapa lagi yang aku cintai selepas Rasulullah hanya Allah jua yang akan mematikan aku bila-bila masa saja. Dan aku kini menanti kehadiranMu untuk membawa aku bersama ke alam yang lebih indah ini,” itulah bisikan hati Juwairiyah dalam menghabiskan hidupnya beribadah kepada Allah SWT.

Juwairiyah juga seorang perawi hadis selain daripada Aisyah Ummul Mukminin, terutama yang berhubung rapat dengan masalah hukum syariat. Di antara beberapa masalah yang diriwayatkannya dari Rasulullah iaitu: “Pernah Rasulullah masuk ke rumahku dan didapatinya aku sedang berpuasa {puasa sunat). Kemudian Rasulullah bertanya kepadaku: “Adakah kelmarin engkau berpuasa?”

“Tidak,” jawabku. Kemudian Rasulullah bertanya lagi: “Apakah esok nanti engkau mahu berpuasa?”

“Tidak,” jawabku lagi. Lantas Rasulullah bersabda: “Kalau demikian berbukalah!”

Pada suatu masa yang lain Rasulullah datang ke rumahku, lalu bertanya kepadaku, “Apakah engkau punyai makanan?” Aku menjawab, “Tidak ada ya Rasulullah! Kecuali tulang kambing yang diberikan menantumu yang berasal dari sedekah.” Beliau bersabda, “Hidangkanlah kepadaku, kerana hukum sedekah telah hilang dan ia menjadi halal bagi kita.”

Dengan demikian jelaslah sudah bagi kita kedudukan Juwairiyah selaku Ummul Mukminin bukan saja menjadi ibu segala orang yang beriman, kuat ibadahnya kepada Allah dan guru kepada masyarakatnya selama kepergian Rasulullah SAW, tetapi dia juga muncul sebagai seorang perawi hadis yang luas pengetahuannya.

Juwairiyah meninggalkan dunia yang fana ini pada tahun ke 50 Hijrah. Ketika itu di zaman pemerintahan Khalifah Muawiyah. Dalam usianya menjangkau 65 tahun, Juwairiyaah telah ditakdirkan oleh Allah SWT untuk tamat masanya menjalani kehidupan di dunia dan kembali ke hadrat Allah SWT dengan membawa segugus hati yang merindui-Nya. Kerinduannya itu dapat dirasai oieh sahabat-sahabat baginda dan wanita-wanita Mukmin dengan linangan air mata kerana Juwairiyah wanita yang banyak membawa barokah kepada orang-orang yang hidup sezaman dengannya.

Wednesday, September 8, 2010

Alat BN: Buka mulut setelah tarikh bersara diumum

Pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang dipergunakan untuk kepentingan Barisan Nasional (BN) hanya mampu membuka mulut apabila tarikh persaraan mereka diumumkan.

Bagaimanapun, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, ia sudah cukup memberitahu rakyat apa yang berlaku di sebalik pemerintahan BN di Putrajaya.

“Rakyat kini jelas bahawa banyak perkara dan salahguna kuasa yang berlaku dalam pentadbiran negara dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan ini terdesak untuk bersubahat melindungi mereka demi untuk memastikan pegawai ini boleh pencen dengan selamat tanpa tekanan,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Justeru, katanya PAS melihat bahawa tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendedahkan kepada rakyat bahawa terdapatnya pihak ketiga yang memberikan arahan kepada anggota Polis Diraja Malaysia hingga mengganggu struktur command and control dalam organisasinya sebagai tindakan yang wajar.

Katanya, PAS menyifatkannya sebagai tindakan yang belum terlewat, walaupun beliau kini telah dibersarakan melalui kenyataan akhbar Menteri Dalam Negeri.

Baginya, memang agak mengejutkan kerana persaraannya disampaikan melalui media bukannya melalui arahan dalaman.

Ini, ujarnya tidak sepatutnya berlaku ke atas seorang yang amat setia kepada kerajaan, kerana pengumuman persaraan beliau dengan terus menamakan pengganti itu ibarat tindakan "habis madu sepah dibuang".

Tambahnya, Musa begitu popular dalam PDRM selepas berjaya mengheret Datuk Mokhtar Hashim, mantan Menteri Belia dan Sukan yang telah membunuh Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, Mohamad Taha Talib pada 1982 kerana berebut jawatan dalam pemilihan Umno Bahagian Tampin.

“Selepas itu beliau juga turut terlibat dalam kes tuduhan liwat ke atas Datuk seri Anwar Ibrahim pada 1998 dan 2009.

“Beliau juga berjaya melepasi tuduhan rasuah ke atasnya bernilai RM3 juta yang didakwa diterima kerana membebaskan 3 orang anggota sindiket judi haram. Peguam Negara dan SPRM menutup kes ini pada 2007 dengan penuh kontroversi,” ujarnya lagi.

PAS, katanya melihat Musa telah melalui kemuncaknya perkhidmatan dengan begitu akrab membantu Barisan Nasional atas nama kerajaan.

Namun, beliau berkata, cetusan rasa tidak puas hati yang disebutkan Musa baru-baru ini menceritakan hakikat tekanan yang dialami sepanjang menjadi anggota polis di bawah pentadbiran BN.

Idris menambah, tangan dan kaki Musa terikat dalam banyak kes termasuklah kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang melibatkan anggotanya dan beberapa orang politik.

“Pengakuanya kepada media bahawa terdapatnya campur tangan politik ketika beliau jalankan tugas menyokong penuh kenyataan mantan Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Shafee Yahaya yang turut menyatakan terdapatnya campurtangan dan penglibatan orang politik dalam kerajaan yang mengganggu penjawat awam melaksanakan tugas hingga mendorong penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” ujarnya.

Beliau berkata, rakyat akan terus membuka mata dan telinga bagi mengetahui kebenaran itu.

Katanya, kenyataan Musa dan Shafee adalah kebenaran yang sukar disangkal kerana merekalah antara orang-orang yang banyak dipergunakan oleh pihak-pihak berkepentingan khususnya melalui Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perdana Menteri yang begitu kebal dari undang-undang.

Justeru, beliau menambah, PAS berharap agar pegawai-pegawai kerajaan tidak membiarkan diri mereka terus dijadikan alat untuk kepentingan pemimpin BN.

Jika tidak, ujarnya mereka akan mengakhiri perkhidmatan mereka dengan perasaan bersalah kepada rakyat dan negara ini sama seperti yang Musa dan Shafee lalui.

Kisah Sahabat Nabi Abdul Rahman Bin Auf

Maha Suci Allah Taala dengan sifat2 kesempurnaannya yang menjadikan sahabat-sahabat Rasulullah sebagai penguat gerakan Dakwah dan Harakah . Selawat dan Salam buat Junjungan Mulia Teragung..Rasulullah s.a.w yang sentiasa membakar semangat sahabat2 untuk cintakan SYAHID di jalan Nya

Abdul Rahman Bin Auf adalah salah seorang sahabat Rasulullah yang akrab. Beliau juga adalah salah seorang sahabat Rasulullah yang terkaya sebagaimana juga halnya dengan Saiyidina Uthman Bin Affan r.a. Menurut ahli sejarah, Abdul Rahman Bin Auf dilahirkan 10 tahun sesudah tahun gajah dan beliau hidup sebagai seorang pemuda Quraisy dikota Mekah yang ketika itu penuh dengan bermacam-macam kemaksiatan jahiliah berupa penyembahan berhala maupun kejahatan-kejahatan lainnya. Namun demikian Abdul Rahman terhindar dan bermacam-macam kejahatan yang berleluasa ketika itu. Bahkan sebelum memeluk agama Islam lagi, Abdul Rahman Bin Auf telah mempunyai anggapan bahawa minuman arak itu adalah terlarang.

Abdul Rahman Bin Auf telah memeluk Islam sebelum Rasulullah s.a.w memasuki Darul Arqam lagi. Dengan hal demikian nyatalah bahawa beliau tergolong orang-orang Islam yang permulaan dan menurut riwayat beliau adalah orang yang 8 dan orang-orang permulaan yang memeluk Islam. Adalah diriwayatkan bahawa ibu Abdul Rahman Bin Auf sesudah mengetahui Abdul Rahman Bin Auf memeluk Islam, iapun berkata kepada anaknya, "Aku akan berjemur dipanas matahari yang terik di waktu siang dan di waktu ma1am yang sejuk aku akan bermalam diruang lapang, hinggalah engkau mengaku akan kembali semula kepada agama nenek moyangmu. Demikian ibunya mengancam. Sungguhpun begitu Abdul Rahman Bin Auf tetap tegak memeluk ugama suci dan mencintai Rasulullah S.A.W.

Adapun nama asal Abdul Rahman sebelum beliau memeluk Islam ialah Abdul Ka'abah, tetapi kemudian setelah Islam beliau menukar namanya kepada Abdul Rahman. Sebagai seorang sahabat Rasulullah yang akrab, Abdul Rahman mempunyai satu keistimewaan yang khas iaitu berjuang untuk menegakkan ugama Allah bukan saja dengan pedangnya bahkan dengan harta dan kekayaannya. Beliaulah antara para sahabat yang banyak sekali mengorbankan kekayaannya untuk memperjuangkan kepentingan Islam. Abdul Rahman pernah membahagikan dua kekayaannya untuk dibahagikan kepada fakir miskin dan pernah pula menyerahkan seluruh kekayaannya untuk keperluan sabilillah demi menegakkan panji-panji Islam.

Ramai sahabat yang telah memimpin penjuangan Islam dan menyibarkan syiar Islam yang berjuang sebagai panglima atau sebagai pahlawan Islam yang dikenal sejarah, tetapi Abdul Rahman Bin Auf telah melakukan kepahlawanannya dengan jalan menyerahkan seluruh kekayaannya dalam menegakkan Islam.

Sebagai seorang Islam yang permulaan, Abdul Rahman Bin Auf juga telah mengalami berbagai penderitaan dan penyiksaan dari masyarakat Quraish di Mekah. Oleh kerana memandangkan keadaan kaum Muslimin yang sangat sedikit itu sementelahan pula mengalami berbagai macam ancaman maka Rasulullah s.a.w akhirnya telah memerintahkan para pengikutnya supaya melakukan hijrah ke negeri Abbysinia kerana menurut Rasul disana ada sebuah kerajaan yang tidak berlaku zalim terhadap rakyatnya. Tidak lama kemudian maka berangkatlah rombongan pertama yang melakukan hijrah yang terdiri dan 10 orang lelaki dan 4 orang wanita dan 17 wanita serta anak-anak. Dan diantara yang melakukan hijrah yang terdiri dan 10 orang lelaki dan 4 orang wanita lalu disusul dengan rombongan kedua yang terdiri dan 83 lelaki dan 17 wanita serta anak-anak dan di antara yang melakukan hijrah tersebut termasuklah Abdul Rahman Bin Auf.

Tidak lama kemudian Abdul Rahman Bin Auf dan beberapa temannya telah kembali ke kota Mekah sehingga sampai pada waktu Allah s.w.t memenintahkan kepada Rasulullah s.a.w untuk melakukan hijrah ke Yathrib (Madinah) dilakukan Rasulullah sendiri dan para sahabatnya dan diantaranya termasuk juga Abdul Rahman Bin Auf.

Setiba di Madinah sebagaimana yang diperlakukan oleh Rasul terhadap lain-lain sahabat dalam rangka memberikan bantuan, maka Abdul Rahman Bin Auf telah dipersaudarakan oleh Baginda dengan Sa'ad Bin Rabi' seorang daripada golongan Ansar.

Demi kecintaan Saad Bin Rabi' kepada saudaranya dan golongan Muhajirin, beliau telah mengatakan kepada Abdul Rahman demikian antara lainnya, "Saudara, ketahuilah bahawa saya adalah seorang Ansar yang banyak harta, dan kiranya saudara sudi ambillah separuh dan kekayaan saya itu. Saya juga mempunyai dua orang isteri dan kiranya Saudara sudi mana satu antaranya, saya sedia mencaraikannya supaya boleh saudara mengahwininya. Mendengarkan kata-kata sahabatnya itu Abdul Rahman Bin Auf seraya menjawab, "Saudaraku, semoga Allah akan memberikan berkat terhadap keluarga dan hartabenda saudara. Janganlah disusahkan tentang diri saya ini, yang penting bagi saya ialah kiranya saudara sudi menunjukkan saya jalan menuju ke pasar.

Sungguh beliau memang seorang pedagang yang berbakat dan pintar. Dalam sekejap masa saja beliau berjaya menunjukkan keahliannya dalam berdagang hingga berjaya memperoleh harta yang banyak. Beliau mempunyai 100 ekor kuda yang dapat dipergunakan dalam peperangan 100 ekor unta dan 10,000 ekor kambing sehingga diwaktu beliau meninggal, tatkala dihitung seperempat dari kekayaannya menyamai jumlah 84 ribu dinar. Akan tetapi disamping kekayaannya yang melimpah-limpah itu, beliau termasuk orang yang paling dermawan dan paling pemurah juga merupakan seorang tokoh sahabat yang paling banyak berbuat kebajikan terhadap kaum fakir miskin.

Pada zaman Rasulullah S.A.W, beliau pernah membahagikan seluruh kekayaannya dan menyerahkan yang sebahagian itu kepada orang-orang yang memerlukannya. Pernah terjadi dalam satu peristiwa, Abdul Rahman Bin Auf mengeluarkan sedekah sekali duduk sebesar 40 ribu dinar, dan pernah ia membiayai peperangan dengan menyediakan perlengkapan sebanyak 500 ekor kuda tempur lengkap dengan senjatanya, pakaian, makanan untuk dipergunakan oleh para perajurit dan juga dalam waktu yang sama membawa konvoi perbekalan yang diangkut oleh 500 unta.

Memandangkan jasa dan pengorbanan menegakkan Islam dengan hanta kekayaannya Rasulullah S.A.W pernah bersabda, "Abdul Rahinan Bin Auf adalah saudagar Tuhan " sebagai memujinya atas peranannya menegakkan ugama ALlah dengan harta kekayaan. Dalam satu riwayat lain pula Rasulullah pernah bersabda, "Sesungguhnya mereka yang memelihara keluarga saya setelah saya meninggal dunia adalah manusia yang benar dan manusia yang mempunyai kebajikan. Dalam hal ini Abdul Rahmanlah salah seorang sahabat yang menyahut seruan Rasulullah s.a.w kerana beliaulah yang menyiapkan kemudahan untuk Ummul Mu'minin dalam melakukan ibadah haji dibawah lindungan beliau.

Disamping memiliki kekayaan yang melimpah-limpah beliau adalah seorang yang takut dan benci kepada harta kekayaan dan selalu menghindarkan diri dari pengaruh kekayaannya. Adalah diriwayatkan bahawa pada suatu hari Abdul Rahman Bin Auf menangis tersedu-sedu lalu ia ditanyai orang apakah yang menyebabkan beliau menangis itu, lalu dijawabnya, "Sesungguhnya Mas'ab adalah lebih baik daripadaku kerana ia meninggal dunia di zaman Rasul dan diwaktu meninggal dunia ia tidak memiliki sepotong kain yang dapat dijadikan kafan untuk membungkusnya. Sesungguhnya Hamzah Bin Muttalib adalah manusia yang lebih utama daripada saya padahal ia tidak mempunyai kain yang dapat dijadikan kafan untuk memakamkannya. Saya khuatir saya ini termasuk di antara orang-orang yang dipercepat untuk menikmati kebahgiaan dunia fana ini dan saya khuatir bahawa saya akan tersisih daripada para sahabat Nabi diAkhirat kelak disebabkan kerana saya mempunyai banyak harta. Dalam satu riwayat yang lain pula diceritakan orang bahawa tatkala Abdul Rahman Bin Auf memberikan makanan kepada tamunya beliau tiba-tiba menangis lalu ditanya orang, "Mengapakah engkau menangis hai Ibnu Auf ?" Ia lalu menjawab, "Nabi telah wafat, sedangkan ia dan keluarganya tidak pernah kenyang oleh roti gandum.

Demikianlah jiwa Abdul Rahman Bin Auf salah seorang sahabat besar Rasulullah. Memandangkan besarnya semangat pengorbanannya itu maka tidaklah hairan kiranya Rasulullah s.a.w mengatakan bahawa Abdul Rahman adalah di antara sepuluh orang yang telah digembirakan oleh baginda Rasul akan memasuki syurga.

Dizaman Khalifah Umar Al Khattab, Abdul Rahman Bin Auf telah memperoleh kehormatan dan keutamaan di sisi Khalifah. Di zaman Khalifah, beliau pernah dilantik oleh Khalifah Umar untuk memimpin rombongan haji pada tahun pertama setelah Saiyidina Umar dipilih sebagai khalifah. Malah beliau jugalah salah seorang yang telah diwasiatkan oleh Khalifah Umar Al Khattab sebelum kewafatan beliau menjadi salah seorang ahli dalam majlis jawatankuasa di antara enam orang anggota bagi memilih calon khalifah yang akan menggantikan baginda. Beliaulah juga tokoh yang mengetuai tugas untuk menentukan siapakah yang bakal menggantikan Khalifah Umar Al Khattab sebagai khalifah ketiga umat Islam yang akhirnya jatuh ketangan Saiyidina Uthman Bin Affan r.a.

Pada tahun 31 Hijrah, setelah menempuh hidup didunia yang fana ini selama 74 tahun, berpulanglah tokoh sahabat besar ini kerahmatullah. Dalam usia 75 tahun dan sebelum meninggalnya, Ummul Mu'minin Aisyah telah menawarkan bahawa jika ia menghendakinya akan ditempatkan kuburannya nanti di sisi kuburan Nabi, Abu Bakar dan Umar r.a. Dengan suara yang merendah diri ia menjawab bahawa ia malu jika diberi kedudukan yang sedemikian tingginya untuk berkubur di samping Rasul. Dan ia juga menyatakan bahawa dirinya telah terikat janji dengan Uthman Bin Mazh'un bahawa jika salah satu di antara mereka berdua meninggal dunia lebih dahulu, maka ia akan berkubur di samping kuburan kawannya yang lain. Jenazah beliau telah dikebumikan di Baqi dan disembahyangkan oleh Saiyidina Uthman Bin Affan, Zubair Ibnul Awwam dan lain-lain tokoh sahabat.

Tuesday, September 7, 2010

Tangisan Yang Dikasihi Allah


Dalam dunia ini ramai orang yang menangis, akan tetapi sedikit sekali yang didapati orang yang menangis kerana takutkan Allah, menangis kerana mengenangkan hari Akhirat, menangis kerana gerunkan Neraka Allah dan rindukan Syurga Allah. Apa yang kita dapati kebanyakan manusia hari ini menangis kerana hal-hal lain yang bersangkutan dengan kepentingan duniawi semata-mata umpamanya menangis kerana tidak tahan dengan penderitaan hidup, menangis kerana kemiskinan, kesusahan, kesakitan, kehilangan orang yang dikasihi, gagal dalam peperiksaan, kecewa dalam percintaan, putus tunang, dicaci maki dan tidak kurang juga ada yang menangis kerana tersinggung atau kecil hati dengan tingkah laku seseorang.

Ada juga yang menangis kerana suaminya kahwin lagi dan tidak kurang juga ada yang menangis kerana kurang mendapat perhatian serta kasih sayang dari orang yang disayangi. Alangkah ruginya air mata yang dicurahkan ke bumi, sedangkan tiada nilai sedikit pun di sisi Allah. Malang sungguh bagi mereka yang menangis kerana hal lain, bukan kerana Allah, hidupnya menderita dan setiap tangisannya membawa kehancuran. Tidak kurang juga ada yang sanggup mengambil jalan singkat setelah puas menangis mengenangkan nasib diri iaitu dengan membunuh diri atau melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan syariat.

Akan tetapi alangkah bertuah dan beruntungnya orang yang menangis kerana takutkan Allah, kerana gerunkan azab Neraka dan rindukan nikmat Syurga yang tidak terhingga lazatnya kerana mereka ini akan mendapat jaminan rahmat dan pengampunan dari Allah SWT serta mendapat ketenangan jiwa lahir dan batin. Justeru semakin banyak mereka menangis, jiwa mereka semakin tenang dan iman mereka semakin menebal dan mantap. Sebagai buktinya Allah berfirman yang bermaksud:-

” Ketika dibacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan Tuhan yang Maha Pemurah, mereka lalu tunduk dan bersujud sambil menangis” – Surah Maryam:58

Pernah berlaku dalam sejarah Islam, seorang Khalifah yang cukup terkenal sifat warak dan zuhudnya yang bernama Khalifah Umar Abdul Aziz, suatu malam beliau bemunajat dengan Tuhan di tingkat atas bangunan kedua, oleh kerana terlalu takutkan Allah dan gerunkan Neraka Allah dan cemas memikirkan nasib diri di Akhirat kelak beliau sujud pada Allah sambil menangis yang teramat sangat hingga titisan air mata beliau menitis ke bangunan bawah melalui celah-celah lubang lantai.

Suatu kisah lagi pernah berlaku dalam sejarah hidp Sayidina Ali k.w.j, wakut itu ketika beliau sedang mengambil wuduk dengan serta merta wajah beliau berubah menjadi pucat dan seluruh tubuhnya menggeletar ketakutan.
Bila ditanya oleh sahabat yang lain,” Wahai Ali, kenapakah keadaan tuan begini?”
Maka dijawabnya ringkas,” Aku takut pada Allah.”

Lihatlah, Sayidina Ali berubah mukanya pucat dan cemas serta menggeletar tubuhnya hanya sekadar mengambil wuduk belum lagi mengangkat takbir utnuk mendirikan solat untuk menyembah Tuhan yang Maha Agung. Begitulah hebatnya keimanan dan ketaqwaan para sahabat dan orang-orang soleh dahulu.

Antara sifat oarang yang takutkan Allah ada dinyatakan dalam Al Quran yang bermaksud:
"Mereka lalu tunduk dengan dagu-dagu mereka sambil menangis dan keadaan itu akan menambah mereka khusyuk." – Al-Isra’:109

Di alam Akhirat kelak setiap orang akan menangis kerana menyesal akan dirinya tidak beramal tetapi ada orang yang beruntung, ia mampu ketawa dan senyum disaat orang lain menangis. Siapakah mereka itu? Mereka itulah golongan orang yang dikhabarkan oleh baginda Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud:

” Setiap mata akan menangis di hari Kiamat, melainkan mata yang telah menangis kerana takutan Allah dan mata yang celik kerana berjaga untuk jihad fi sabilillah.”

Sabda baginda lagi:
” Seseorang yang menangis kerana takutkan Allah tidak akan masuk ke dalam Neraka meskipun susu dapat kembali ke dalam tetek ataupun unta dapat masuk ke dalam lubang jarum.”

Mengikut baginda Rasulullah SAW titisan air mata yang keluar kerana takutkan Allah, nilainya sama dengan titsan darah yang tumpah di medan peperangan kerana jihad di jalan Allah.

Anehnya kita hari ini sukar sekali mengeluarkan air mata kerana Allah tapi senang dan mudah sekali mengeluarkan air mata kerana hal-hal lain yang bersangkutan dengan dunia.
Kenapa ini terjadi? Jawapannya kerana tipisnya iman dan rasa tauhid pada Allah. Selain dari itu tidak ada rasa kehambaan pada Allah dalam diri.

Dari itu untuk keselamatan diri kita, marilah kita berusaha melatih diri menangis kerana takutkan Allah bukan kerana hal lain. Peringkat permulaan kalau mata tidak boleh mengeluarkan air mata, cukuplah hati yang menangis. Tetapi awas, jangan tertipu oleh perangkap syaitan, yakni elakkan diri menangis dikhalayak ramai, nanti sifat ujub menguasai diri.

Untuk menyelamatkan hati, menangislah ketika berseorangan di waktu malam yang hening bening, ketika insan lain sedang nyenyak tidur dan dibuai mimpi. Maka ketika ini bangunlah seorang diri untuk bermunajat dengan Allah. Tangiskan dosa-dosa kita yang banyak. InsyaAllah tangisan air mata ketika itu akan ada hasil dan nilainya di sisi Allah.

Sumber : kisahteladan.info

Monday, September 6, 2010

Kisah Thumamah bin Uthal

Ilmu Islam yang sahih menilai sesuatu berdasarkan dalil dan fakta. Kebenaran dalam Islam itu buta warna parti atau kumpulan. Kebenaran itu kebenaran, tanpa mengira dari mana dan kepada siapa ia berpihak. Firman Allah: (maksudnya):

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maidah, ayat 8).

Bukan muslim bertambah keliru dengan hukam-hakam berkaitan mereka yang dikeluarkan kebelakangan ini. Fatwa-fatwa ‘ala-Taliban’ yang menggambarkan sikap keras Islam terhadap pihak lain dicadang dan didendangkan oleh sesetengah media. ‘Juru-juru fatwa’ yang boleh ditekan suisnya oleh pihak politik bersedia menunggu. Islam dikaburkan oleh permainan yang seperti ini. Dalam Islam, hubungan dengan bukan muslim bermula dengan terang dahulu, setelah diperjelaskan dan masih ada permusuhan barulah tindakan ‘peperangan’ boleh diambil jika ada keperluan. Ini dalam masyarakat kita ‘perang dahulu’ tanpa sebarang penerangan awal yang jelas.

Saya telah ulas dalam banyak media tentang isu doa kebaikan kepada bukan muslim. Kini timbul pula isu bukan muslim masuk masjid. Ya, isu ini bermula dengan orang politik. Namun janganlah dalam keghairahan hendak menghentam musuh politik, fakta Islam pula yang dimangsakan. Jika kita enggan menerima mereka masuk, itu persoalan lain. Tetapi menggambarkan kepada mereka bahawa Islam melarang mereka sama sekali memasuki masjid, itu boleh menimbulkan salah faham. Islam ala melayu atau Islam yang ada dalam sejarahnya yang gemilang? Rasulullah menerima perwakilan dalam masjid, bagaimana tiba-tiba hari ini masjid diharamkan untuk mereka?
Masuk Masjid

Ya, para fuqaha (ahli fekah) berbeza pendapat tentang hukum bukan muslim masuk ke dalam masjid. Namun, majoriti fuqaha termasuk dalam Mazhab al-Syafi’i berpendapat bahawa bukan muslim boleh masuk ke dalam masjid jika ada keperluan untuk itu. Pendapat ini disokong oleh beberapa dalil yang kuat. Di samping, ia juga membantu memahamkan masyarakat bukan Islam mengenai Islam. Dalam negara yang berbilang agama seperti negara kita, pandangan ini bukan sahaja kuat dari segi dalilnya, ia juga memberikan kebaikan kepada dakwah Islam itu sendiri.

Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa:

Nabi s.a.w telah menghantar pasukan (skuad) tentera berkuda dan menawan Thumamah bin Uthal yang merupakan kepimpinan Bani Hanifah dari Yamamah. Beliau dibawa ke Madinah dan diikat di tiang masjid Nabi s.a.w. Apabila Nabi s.a.w datang ke masjid dan melihatnya, baginda bertanya: “Apa yang ada engkau dapati wahai Thumamah?”

Jawabnya: “Bersamaku kebaikan, wahai Muhammad! Jika engkau membunuhku, engkau membunuh orang yang punyai darah (berhak dibunuh atau mungkin beliau meminta simpati), jika engkau memberi kurnia, engkau memberikan kurnia kepada orang yang berterima kasih. Jika engkau mahu harta, engkau boleh minta seberapa banyak yang engkau mahu”.

Lalu Nabi s.a.w meninggalkannya. Keesokannya Nabi s.a.w bertanya lagi: “Apa yang engkau dapati Wahai Thumamah?”.

Jawabnya: “Seperti yang aku katakan, jika engkau memberi kurnia, engkau memberi kurnia kepada orang yang berterima kasih”.

Nabi meninggalkannya. Keesokannya lagi Nabi s.a.w bertanya lagi: “Apa yang engkau dapati wahai Thumamah?”.

Jawabnya: “Seperti yang aku katakan kepadamu”.

Lalu Nabi s.a.w memerintahkan: “Bebaskan Thumamah”.

Lalu Thumamah pun keluar pergi ke mata air berdekatan masjid, beliau mandi, kemudian masuk semula ke masjid dan mengucapkan: “Aku bersaksi bahawa tiada ilah (yang diabdikan diri) melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah”.

Beliau juga berkata: “Wahai Muhammad! Demi Allah, duhulu tiada atas muka bumi yang lebih aku benci daripada engkau, sekarang berubah engkau telah menjadi orang yang paling aku sayangi. Demi Allah, dahulu tiada agama yang lebih aku benci dari agamamu, sekarang berubah agamamu menjadi agama yang paling aku sayangi. Demi Allah, tiada dahulu negara yang lebih aku benci dari negaramu, sekarang berubah negaramu menjadi negara yang paling aku sayangi..”.

Hadis di atas menunjukkan bagaimana Thumamah bin Uthal seorang tawanan perang yang menentang kerajaan Nabi s.a.w dibawa masuk ke dalam masjid. Antara tujuannya, agar dia dapat melihat kehebatan ibadah dalam Islam. Sekalipun dia musuh dan tawanan perang, Nabi s.a.w menggunakan pendekatan yang menarik jiwanya sehingga dia akhirnya menganut Islam. Ini dengan cara menempatkannya dalam masjid dan baginda bertanya soalan selama tiga hari lalu memaafkannya. Kesan berada di masjid dan kemaafan Nabi s.a.w, akhirnya kepimpinan musuh tersebut menganut Islam. Hadis ini menjadi bukti bahawa orang bukan Islam boleh masuk ke dalam masjid. Inilah pegangan kebanyakan ulama termasuk dalam Mazhab al-Syafi’i. Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H):

“Hadis ini menunjukkan harus membawa orang kafir masuk ke dalam masjid. Mazhab Syafi’i mengharuskannya dengan izin muslim. Ini merangkumi kafir ahli kitab atau selain mereka”. (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, 12/435, Beirut: Dar al-Khair).

Majlis Fatwa Tetap Arab Saudi mengeluarkan hukum tentang bukan muslim masuk ke masjid seperti berikut:

“Pendapat yang tepat bukan muslim boleh masuk ke dalam masjid untuk sesuatu kemaslahatan syariah atau sesuatu keperluan tertentu seperti mendengar sesuatu yang membawa masuk ke dalam Islam, atau keperluannya untuk minum air yang berada dalam masjid atau selainnya. Ini kerana Nabi s.a.w mengikat Thumamah bin Uthal al-Hanafi dalam masjid sebelum dia menganut Islam, baginda juga menempatkan perwakilan Thaqif dan perwakilan Kristian Najran di masjid sebelum mereka menganut Islam. Ini kerana ada banyak faedah mereka memasuki masjid, antaranya; mendengar ucapan dan nasihat Nabi s.a.w, melihat orang bersolat dan membaca al-Quran dan berbagai faedah besar yang lain bagi sesiapa yang melazimi masjid”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah 6/276. Riyadh: Idarah al-Buhuth)

Luaskan Fungsi Masjid

Kita sepatutnya meluaskan fungsi masjid agar dapat menjadi ‘centre for Islamic Information’ yang mesra pelanggan. Masjid sepatutnya berfungsi menyampaikan Islam kepada setiap pihak; muslim dan bukan muslim. Di negara seperti Malaysia yang berbilang agama dan budaya, kaum muslimin perlulah aktif dan intraktif dalam menyampaikan mesej Islam. Jika masjid dijadikan zon larangan bagi orang bukan muslim sehingga tidak dapat mendekatinya, bilakah Islam akan dapat difahami oleh mereka. Sudahlah dalam negara ini banyak fatwa ala-taliban yang cuba menggambarkan seakan tiada rahmah antara muslim dan non-muslim, ditambah lagi dengan ditutup ruang untuk mereka mendengar ajaran Islam. Masjid digambarkan musuh mereka dan mereka dilarang menghampirinya. Sementara dalam masa yang sama ada pihak bukan Islam yang menjemput muslim dengan hormat ke tempat ibadah mereka serta menghulurkan berbagai bantuan. Akhirnya, kita terus bermusuhan tanpa mencari titik dakwah, atau sekurang-kurang noktah yang mengurangkan sangkaan salah terhadap agama hidayah ini. Ke manakah hala tuju Islam yang hendak kita bawa dalam negara ini?

Sumber : drmaza.com

Sunday, September 5, 2010

Beca Terbang Sambut Idulfitri 2010?

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak tegas terhadap mereka yang menyalahgunakan laman jaringan sosial Facebook untuk menghina dan mengutuk agama, kaum dan peribadi seseorang secara keterlaluan.

Perdana Menteri berkata, dengan menggunakan peruntukan undang-undang sedia, SKMM perlu mengambil tindakan sewajarnya kerana penyalahgunaan laman sosial internet itu boleh menjejaskan keamanan dan kesejahteraan negara.

SKMM kena bertindak tegas dalam menangani perkara ini sebab ini adalah sesuatu perkara yang tidak boleh kita benarkan. Kita tidak melindungi mana-mana pihak yang cuba menyentuh soal yang terlalu sensitif atau mencemar kemuliaan agama, katanya.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengingatkan pemilik Facebook tidak menggunakan media alternatif itu untuk mempermainkan isu agama dan berbaur sensitif kerana ia boleh mencetuskan masalah keselamatan serta menjejaskan hubungan antara kaum.

Beliau berkata, kerajaan mahu pihak berkuasa segera bertindak menangani perkara itu bagi mengelakkan salah guna kemudahan berkenaan daripada berterusan, sekali gus menyebabkan isu sensitif merebak.

Isu agama dan kaum antara faktor penting yang menentukan keamanan negara. Jika tidak dipelihara dan dihormati, ia boleh cetuskan kemarahan, katanya.

Bagaimana pula tentang iklan raya TV3 yang dikatakan menghina Islam yang disiarkan oleh stesyen televisyen itu sekarang ini baca cerita lanjutnya disini, Iklan Aidil Fitri ala Santa Claus ini juga dilihat sebagai satu perbuatan menghina agama Islam dan mendidik penonton khasnya kanak-kanak menjadi syirik. Kalaupun mahu mempromosikan 1 Malaysia , janganlah keterlaluan sehingga mengenepikan persoalan sensitif mengenai agama dan pegangan hidup ummat Islam, mari sama-sama kita melihat bagaimana pula tindakan dari pihak kerajaan dan PM Najib dalam menangani isu ini?

25 Ramadhan - Perang Ain Jalut

Sesungguhnya bulan Ramadhan ini adalah bulan rahmat yang mana seorang Muslim itu giat berusaha mendekatkan dirinya kepada Allah SWT dan mendapatkan ganjaran yang berlipat ganda dariNya. Ia juga merupakan bulan yang memberikan banyak pelajaran kepada umat Islam seperti yang tertulis di dalam lipatan sejarahnya. Sepanjang bulan ini kaum Muslimin telah banyak berjuang dalam pertempuran yang dengan demikian itu rahmat Islam telah berjaya dikembangkan ke tanah yang baru dan penjajah tanah umat Islam dihalau demi menegakkan kembali kekuasaan Islam dan umatnya. Salah satu peperangan yang terkenal adalah Perang Ain Jalut yang berlaku dalam tahun 658 hijriah menentang penjajahan kaum Tartar, yang dianggap sebagai salah satu daripada kejayaan luar biasa yang pernah tercatat dalam sejarah kemanusiaan. Mengambil kira situasi sukar yang berlaku terhadap umat Islam masa kini di Afghanistan, Palestin, Kashmir, Indonesia, Bosnia, Chechnya - malah umat Islam di seluruh dunia secara umumnya, banyak /kesamaan dan iktibar penting yang dapat kita timba dari peristiwa peperangan yang terkenal ini.

Gambaran Keseluruhan Peperangan

Di penghujung tahun 656 Hijriah, bangsa Tartar telah melancarkan satu serangan mereka yang terbesar ke atas tanah Khilafah Muslimin yang mengakibatkan jatuhnya kota Baghdad, terbunuhnya Khalifah Al-Musta'shim Billah, dan terjajahnya tiga per-empat dari wilayahnya. Sewaktu dalam perjalanan menghala ke Mesir dan Maghribi, kubu akhir yang terkuat bagi kaum Muslimin, tentera Tartar telah menghantar sepucuk surat ancaman untuk Wali (Gabenor) wilayah Mesir, Mahmoud Saifudeen Qutuz, yang antara lain menyatakan, "Kami telah menghancurkan tanah itu, menjadikan anak-anak mereka yatim-piatu, menyeksa dan membunuh mereka, mencabul kehormatan mereka dan menjadikan pemimpin mereka tawanan. Apakah anda fikir anda boleh melepaskan diri daripada kami? Anda akan tahu selepas ini apa yang akan datang kepada anda..." mereka menjangkakan, ugutan semacam ini sudah mampu untuk mematahkan rintangan kaum Muslimin terhadap kemaraan mereka lantaran kelemahan dan rendahnya moral dan semangat kaum Muslimin ketika itu. Qutuz bagaimanapun telah memberikan jawapan yang berbeza. Beliau telah membunuh semua delegasi tentera Tartar tersebut dan mayat mereka dibiarkan tergantung di dalam kotanya, sehingga tindakannya itu dilihat berjaya meningkatkan semangat tentera dan rakyatnya, dan dari satu sudut yang lain pula ia berjaya menyampaikan amaran keras terhadap pengintip yang dihantar serta pengikut setia musuhnya.

Ia telah berjaya menaikkan semangat kaum Muslimin ketika itu dan pada masa yang sama telah mengejutkan kaum Tartar kerana mereka sedar bahawa mereka sedang menghadapi seorang pemimpin yang lain daripada apa yang telah mereka jumpai sebelum ini.

Qutuz kemudiannya menghimpunkan kaum Muslimin untuk menghadapi pertempuran yang tidak dapat dielakkan tersebut. Di bawah kepimpinannya, kaum Muslimin telah bersatu atas dasar Iman, kesepakatan, dan senjata-senjata besi yang perlu telah disediakan untuk berhadapan dengan musuhnya. Dia turut memohon bantuan dari pegawai-pegawainya dan para ulama’ untuk bersama-sama dengannya menyeru kaum muslimin untuk berjuang mempertahankan Islam dan menumpukan usaha untuk membebaskan tanah-tanah mereka yang telah dijajah.

Tibalah masa untuk pertempuran yang kemudiannya berlaku di medan perang Ain Jalut bersamaan dengan hari Jumaat, 25 Ramadhan 658 hijriyah. Qutuz sendiri yang mengepalai tentera kaum Muslimin ke medan perang telah memberikan goncangan pada jiwa tentera-tentera Tartar. Memerhatikan situasi ini, Qutuz kemudiannya memanjat naik atas seketul batu besar, mencampakkan topi perangnya, beliau melaungkan "Wa Islamah. Wa Islamah." (Demi Islam! Demi Islam!). Beliau menyeru tentera-tenteranya menetapkan hati berjuang menentang musuh-musuh Allah. Kemudian pemimpin tentera Muslimin beliau yang asalnya berasa goyah dan putus asa terhadap pertempuran ini berpaling apabila mendengar suara beliau yang garang bersama riak mukanya yang kemerahan marah menghayun dan menebas pedangnya dengan penuh keberanian untuk menewaskan musuh-musuhnya. Keberanian Qutuz ini telah memeranjatkan pemimpin-pemimpinnya yang pantas mengikuti langkah-langkahnya, dan akhirnya meningkatkan semangat tentera Islam keseluruhannya. Lama-kelamaan pertempuran itu telah mulai memihak kepada tentera Muslimin sehinggalah kemudiannya barisan tentera Tartar dihancurkan memaksa mereka melarikan diri dari medan pertempuran. Kemenangan berpihak kepada Islam dan kaum Muslimin. Bagi tentera Tartar, apabila mereka menyedari serangan dan dominasi mereka ke atas wilayah Timur Islam semakin pudar dan umat Islam berjaya meningkatkan kembali kekuatannya, mereka telah melarikan diri pulang ke tanah air mereka, yang memudahkan usaha-usaha Qutuz untuk membebaskan kesemua wilayah Shaam dalam masa beberapa minggu. Kemenangan besar kaum Muslimin di bawah kepimpinan yang ikhlas tersebut, yang pada satu masanya adalah sangat lemah dan dikuasai oleh musuh, mempunyai banyak kesamaan ke atas keadaan umat Islam pada hari ini.

Perbandingan 1 - Pengkhianatan Pemimpin

Keupayaan kaum Tartar menghancurkan umat Islam, mengambil alih ibu kota Khilafah, membunuh rakyat-rakyatnya yang tidak berdosa, dan menjajah sehingga dua pertiga tanah umat Islam, adalah sebagai akibat daripada pengkhianatan yang dilakukan oleh Al-‘Alkami. Al-‘Alkami adalah menteri Khalifah Mu’tasim Billah. Dia memperdaya Mu’tasim supaya melakukan perdamaian dengan pihak Tartar sementara itu pada masa yang sama dia telah mengikat perjanjian rahsia dengan mereka, menjanjikan untuk mereka pelepasan dari sebarang halangan semasa serangan mereka dengan syarat mereka melantiknya menjadi Khalifah dan membenarkan dia mendirikan kerajaannya sendiri di Baghdad. Pengkhianatan ini telah membawa kepada kematian Mu’tasim dan pegawai-pegawainya yang ikhlas serta ulama yang diutus oleh khalifah untuk berunding dengan kaum Tartar kemudiannya telah dibunuh oleh mereka. Ia juga membawa kematian kepada dirinya sendiri di tangan kaum Tartar, dan janji mereka kepadanya tidak memberikan apa-apa makna.

Bandingkan pengkhianatan yang dilakukan oleh Al-Alkami dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin umat Islam pada masa sekarang. Kaum Muslimin telah diperdaya supaya melakukan perdamaian dengan Israel melalui tindakan pemimpin-pemimpin, yang kebanyakannya telah melakukan perdamaian ini secara terbuka, seperti Hosni Mubarak di Mesir, Raja Abdullah di Jordan, dan Yasser Arafat di Palestin. Hasil dari pengkhianatan ini, entiti Israel terus wujud dan juga pembelotan serta pertumpahan darah Muslimin di Palestin yang hidup umat yang tertindas di bawah pemerintahan Israel. Apa yang pemerintah ini dapat sebagai balasan daripada pihak musuh tersebut? Keadaan ekonomi yang parah, masyarakat yang terabai, hilangnya kuasa politik, ketakutan yang berpanjangan terhadap Israel dan umat Islam yang telah mengetahui tentang pembelotan pemimpin-pemimpin ini yang berusaha untuk menjatuhkannya. Contohnya Musharraf yang cuba meyakinkan umat Islam di Pakistan tentang faedah-faedah membenarkan Amerika mengebom muslimin di Afghanistan atas dasar manfaat ekonomi, penghapusan sekatan ekonomi dan pembentukan kerajaan baru di Afghanistan. Apa yang Musharraf dapat sebagai balasan terhadap perkhidmatannya kepada Amerika? Faedah ekonomi yang dijanjikan oleh Amerika tidak memberi sebarang kesan terhadap jumlah hutang yang dimilikinya lantaran polisi penyesuaian struktur IMF yang sukar dan telah menempatkan sumber ekonomi paling penting Pakistan berada di tangan pelabur-pelabur dan institusi swasta asing sehingga meletakkan umat Islam di Pakistan terus berada dalam kesusahan. Secara politik, Musharraf ‘terkejut' apabila mendapat tahu NATO telah memasuki Kabul dengan kebenaran Amerika, walhal sebelumnya Amerika telah berjanji untuk menghalang NATO daripada memasukinya sehingga ia berunding dengan kepimpinan Pakistan.

Pemimpin-pemimpin ini dan pengkhianatan yang mereka lakukan tidak membawa apa-apa keuntungan sama ada kepada Islam, Muslimin, malah kepada diri mereka sendiri - namun mereka masih meneruskannya.

Firman Allah SWT:

“(Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya).”[TMQ An-Nisa’[4]: 139]

Perbandingan 2 – Reaksi kepada Ancaman Musuh

Tentera Tartar telah memberikan ugutan dan peringatan kepada kaum Muslimin mengenai sebarang penentangan terhadap penjajahan dan pemerintahan mereka. Tetapi, walaupun tentera Muslim berada dalam keadaan yang lemah dan rendah semangat mereka, Qutuz bangkit dengan keyakinan terhadap Islam dan bertindak balas terhadap surat ancaman tersebut dengan ancaman yang lebih kurang serupa. Tindakan beliau ke atas delegasi kaum Tartar tersebut adalah untuk menyampaikan mesej kepada mereka bahawa mereka sedang berhadapan dengan seorang pemimpin yang tidak akan berkompromi terhadap penghinaan/penodaan terhadap Islam, umatnya dan tanahnya. Beliau kemudiannya telah menggerakkan tentera-tenteranya untuk persediaan peperangan tersebut.

Bandingkan hal ini dengan keadaan semasa Bush, Presiden AS mengumumkan bahawa perang Afghanistan adalah peperangan yang mana negara-negara dunia harus memilih sama ada ingin berpihak kepada AS atau menjadi musuh AS. Di hadapan delegasi PBB, dia memberikan ancaman dengan menyatakan “Sama ada anda bersama atau menentang kami”. Bagaimana pemimpin-pemimpin umat Islam telah bertindak balas terhadap ugutan ini yang membawa kepada penodaan ke atas Islam, umat dan tanahnya?

Musharraf, Karimov dan pemimpin Turki adalah antara mereka yang bukan hanya menyokong tindakan dan ugutan Amerika ini, malah turut menyediakan bantuan logistik dan perisikan ke atas serangan yang dilakukan pada umat Islam di Afghanistan. Pemimpin Libya, Muamar Gadafi dan pemimpin Jordan, Abdullah adalah antara mereka yang menyatakan sokongan mereka pada Amerika kepada umum dan malah memberikan sokongan kepada Amerika untuk meneruskan pengeboman walaupun dalam bulan Ramadhan. Pemimpin yang lain seperti Bashier (Sudan) dan Arafat menawarkan sokongan mereka dengan mengumpulkan senarai “pengganas yang disyaki” di dalam negara mereka dan menyerahkannya kepada CIA.

Orang-orang seperti Basar al-Assad pemerintah Syria, yang memberikan sokongan secara tidak lansung mereka kepada Amerika untuk mendapatkan jaminan supaya ancaman dan serangan Amerika ini hanya terbatas setakat di Afghanistan sahaja dan tidak merebak ke negara-negara Arab. Manakala untuk orang-orang seperti Saddam Hussein, penentangannya terhadap Amerika yang ditunjuk-tunjukkan kepada umum tidak boleh dianggap sama seperti kedudukan Qutuz. Qutuz berdiri untuk Islam dan semangatnya untuk membela Islam, manakala Saddam pula telah menodai/menghina agama Islam, mencabut nyawa kaum muslimin, dan mengaut kesemua kekayaan milik rakyat di Iraq lebih dahulu awal-awal lagi sebelum kedatangan Amerika. Dan untuk kedudukan politiknya, ianya jelas untuk kepentingan dan faedah tuannya, iaitu pihak British.

Sementara tindak balas Qutuz kepada kaum Tartar telah menaikkan semangat kaum Muslimin dan pada masa yang sama telah memberikan kejutan kepada musuhnya, tindak balas pemimpin hari ini pula dalam menghadapi keadaan yang sama seperti dahulu, telah menyebabkan umat Islam menderita dan pada masa yang sama menjanjikan Amerika mencapai apa sahaja kehendaknya. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu” [TMQ Muhammad (47) : 7]

Perbandingan 3 – Reaksi Para Ulama’

Antara ulama’ terkenal yang melibatkan diri menyeru kaum Muslimin untuk bersatu dan bersedia untuk berjihad di waktu Ain Jalut adalah Sheikh-ul-ulama’ Al-Izz Bin Abdis-Salam. Selain menyahut seruan Qutuz menyeru kaum Muslimin dengan bersemangat dan juga menggunakan mimbar-mimbar masjid untuk memperingatkan kaum Muslimin tentang tanggungjawab mereka, keikhlasan beliau terserlah contohnya apabila Qutuz meminta fatwa untuk membenarkan kerajaan mengambil cukai daripada rakyat bagi tujuan untuk menyediakan kelengkapan perang dan tentera Muslimin, beliau menolak sehinggalah semua harta pemerintah dan pegawai kerajaan dibelanjakan untuk tujuan itu.

Bandingkan hal ini dengan ulama’-ulama’ yang duduk dalam masyarakat pada masa kini, manakala pada masa yang sama ramai lagi pejuang-pejuang agama yang ikhlas menderita disumbatkan ke dalam penjara-penjara di negara umat Islam. Bagaimana ulama’ hari ini sanggup turut bersekongkol bersama dengan pemerintah membelot terhadap Islam dan umatnya di Afghanistan dan di negeri-negeri mereka sendiri. Ketika Putera Nayef, Menteri Dalam Negeri Arab Saudi menyatakan “tidak ada sesiapa yang berhak mengeluarkan fatwa melancarkan jihad dan memberi sokongan ke atas rejim Afghanistan, kecuali Majlis Fatwa atau sesiapa sahaja yang dibenarkan oleh majlis tersebut untuk mengeluarkan fatwa. Ulama bersepakat ke atas perkara ini, dan jihad tidak menjadi wajib sehinggalah perintah melaksanakannya dikeluarkan oleh pemerintah negara tersebut”, ke manakah perginya para ulama’ yang duduk dalam majlis fatwa tersebut yang sepatutnya mengisytiharkan jihad? Malah di Amerika Syarikat, ada seorang Imam yang mengisytiharkan bahawa tanggungjawab seorang tentera Muslim dalam pasukan tentera Amerika dalam mempertahankan tanah air mereka dan menyerang sesiapa sahaja yang dianggap oleh Amerika sebagai musuh. Daripada mempertahankan kebenaran pimpinan yang adil, mereka lebih suka membenarkan pemesongan yang dilakukan oleh pemimpin yang zalim yang telah memisahkan tanah-tanah kaum Muslimin dan menerapkan undang-undang kufur ke atas mereka. Malahan mereka telah mereka telah membenarkan para pemimpin merampas kekayaan kaum Muslimin dengan mengenakan cukai yang tinggi dan melampau seperti kerajaan Pakistan yang mengenakan Cukai Jualan dan peningkatan Cukai Tambahan (Value Added Tax-VAT) yang dikenakan oleh kerajaan Sudan sebagai tambahan kepada cukai yang sedia ada.

Abi al-‘Awar as-Silmi (ra) melaporkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Berhati-hatilah kamu terhadap pintu-pintu yang mendekati penguasa, kerana ia sebenarnya menjadi punca fitnah dan juga kehinaan” [Sahih ad-Dailamee, Ibn Mundah, Ibn-Asaki - as-Saheehah: 1253]


Perbandingan 4 – Persediaan Menghadapi Peperangan

Qutuz telah menghimpunkan pegawai-pegawainya, para Ulama’ dan kaum Muslimin atas dasar Iman, perpaduan dan persediaan untuk berperang serta menumpukan kepada kejayaan yang bakal Allah berikan pada kaum Muslimin ke atas musuhNya. Dana yang mencukupi talah dikumpulkan untuk mencapai objektif ini dan tenteranya telah digerakkan untuk bertarung di medan jihad demi mempertahankan Islam, umat dan tanah kaum muslimin menentang kaum penjajah.

Bandingkan pemerintah umat Islam pada hari ini yang juga telah mengumpulkan para pegawai, ulama’ dan tentera untuk peperangan. Musharraf telah membantu Amerika untuk persediaan peperangan menentang kaum Muslimin dan meninggalkan mereka sepenuhnya. Dia lebih sanggup mengarahkan tenteranya berkawal di sepanjang sempadan Afghanistan-Pakistan bagi menghalang kemasukan kaum Muslimin dari negara itu ke sempadan negaranya bagi mencari perlindungan daripada memerintahkan tenteranya berdiri bersama-sama umat Islam Afghanistan menentang musuh mereka. Musharraf juga menggunakan tenteranya untuk menekan sebarang usaha demonstrasi yang menyatakan sokongan terhadap Jihad di Afghanistan dan menghalang sebarang penyaluran dana untuk jihad di sana. Sementara itu di sebelah Jordan pula ketika serangan Israel ke atas Palestin sedang berlaku. Salah satu unit tentera Jordan yang baru sahaja pulang dari melaksanakan tugas yang jauhnya adalah 1500 batu dari tempat mereka untuk mempertahankan kepentingan British di Sierra Leone sanggup hanya sekadar melintasi sempadan Palestin dan membiarkan sahaja kaum Muslimin yang dibunuh oleh tentera Israel, yang jaraknya dari kawasan mereka hanyalah 10 meter.

Adakah para pemerintah ini telah melupakan perintah Allah SWT yang firmanNya berbunyi:

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.” [TMQ Al-Anfaal (8) :60]

Dan Allah SWT juga berfirman:

“ Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat...”[TMQ al-Mumtahanah[60]:1]

Perbandingan 5 - Seruan Kembali kepada Islam Ketika Saat Memerlukan

Di waktu tentera Tartar masih lagi menguasai pertempuran, Qutuz telah memanjat sebuah batu besar, mencampakkan topi perangnya sambil melaungkan “Wa Islamah... Wa Islamah” (Demi Islam..Demi Islam), menyeru tenteranya berdiri teguh menentang musuh-musuh Allah. Tindakan beliau ini adalah sama seperti yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sewaktu dalam peperangan Uhud yang mana baginda menyeru sembilan orang Sahabat (radhiallahuanhum) yang berada di sekitar baginda sambil melaungkan, ”Marilah sini! Marilah sini! Akulah Rasulullah,” yang mana pada ketika itu kafir Quraisy telah pun menguasai pertempuran tersebut mengatasi kekuatan Muslimin dan ramai di kalangan kaum Muslimin ketika itu yang mulai lemah dan meninggalkan medan pertempuran selepas mendengar khabar bahawa Rasulullah SAW telah terbunuh. Inilah keimanan, semangat dan rasa cinta terhadap Islam yang ingin dibina oleh Qutuz pada tentera-tenteranya.

Bandingkan situasi tersebut pada pemerintah hari ini. Walaupun keadaan pada ketika ini amat memerlukan penyatuan kaum Muslimin atas dasar Islam dan bantuan dari Allah merupakan satu kepastian, malangnya kita masih melihat pemerintah hari ini melaungkan, “Demi Amerika!! Demi PBB!! Demi NATO!!” Arafat dan pemerintah Arab tidak berusaha mengumpulkan kekuatan kaum Muslimin atas dasar Islam ketika berhadapan dengan Israel. Sebaliknya Arafat telah menyatakan bahawa tidak akan ada perdamaian selagi Amerika tidak masuk campur tangan. Juga seperti mana Mushararraf. Ketika beliau ditekan oleh Amerika berkenaan Afghanistan, dia bertindak menghimpunkan kaum Muslimin supaya menyokongnya di dalam menerima tuntutan Amerika yang mahu menggunakan lapangan terbang Pakistan bagi melancarkan serangan ke atas Afghanistan.

Tidakkah pemerintah-pemerintah ini ingat akan doa Rasulullah SAW ketika baginda dihalau keluar dari Kota Thaif sambil tubuh baginda dibasahi darah akibat dibaling batu oleh kanak-kanak dan hamba abdi, beliau mengadu: “Ya Allah! Kepada Engkaulah aku mengadukan kelemahan kekuatanku, dan sedikitnya daya upayaku dan kehinaanku bagi manusia, ya Tuhan yang Maha Penyayang kepada orang-orang yang kasih sayang. Ya Tuhan, Engkaulah yang memelihara orang-orang yang dipandang lemah, yang tertindas, dan Engkaulah Tuhanku, kepada siapa Engkau akan menyerahkan aku? apakah kepada musuh yang jauh yang amat benci kepadaku, ataukah kepada kawan yang dekat yang telah Engkau beri kekuasaan mengurus urusanku? Jika engkau tidak murka kepadaku, maka tidaklah mengapa, aku tidak peduli, melainkan kemurahan Engkau lebih lapang kepadaku, itulah yang aku harapkan. Aku berlindung kepada Nur Wajah Engkau yang mulia, yang menyinari langit dan bumi, dan yang menerangi semua kegelapan dan memperbaiki urusan dunia dan akhirat. Semoga Engkau janganlah menjatuhkan kemarahan Engkau kepadaku; atau janganlah Engkau menurunkan kemurkaan Engkau kepadaku; Dan kepada engkaulah semua celaan ini aku serahkan sehingga Engkau redha. Dan tidak ada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Engkau jua.”

Perbandingan 6 – Kesan daripada peperangan

Kesan utama daripada peperangan ini adalah pembebasan kaum Muslimin dari penguasaan kaum Tartar dan aqidah mereka yang sesat, meningkatnya keyakinan dan semangat kaum Muslimin, dan juga mendapatkan semula kekuatan dan kedudukan Negara Islam yang telah berdiri semenjak berabad lamanya mempertahankan Islam dan umatnya ke atas tersebarnya kekufuran.

Bandingkan dengan hari ini. Lihat sahajalah pada perang Arab-Israel, Pakistan-India, Bosnia, Palestin, Perang Teluk dan lain-lain lagi yang melibatkan umat Islam, hasil langsung dari kesemua ini adalah pemerintah-pemerintah umat Islam ini telah mengukuhkan lagi kekuasaan kufur ke atas mereka, menghancurkan semangat dan keyakinan kaum Muslimin, mengkhianati Islam dan umatnya. Kesan malapetaka yang berlaku di Afghanistan telah memperlihatkan betapa pemimpin-pemimpin Afghanistan berkumpul seperti peminta sedekah di persidangan Bonn, German yang membincangkan kerajaan baru Afghanistan setelah tertumpahnya darah kaum Muslimin di sana, sementara penjajah Amerika pula sibuk untuk mencari kawasan baru bagi serangan mereka ke atas pengganas.

Kesimpulan

Perang Ain Jalut adalah peristiwa gilang-gemilang yang berlaku dalam lipatan sejarah umat Islam. Jika hendak dibuat perbandingan dengan tujuan untuk mencari pengajaran di dalam usaha untuk membangkitkan semula umat Islam, maka pengajaran yang dapat diambil daripada sejarah perang tersebut adalah:

Di bawah kepimpinan Islam yang ikhlas, umat Islam itu telah disatukan, mereka berjaya memperoleh kekuatan dan mengatasi kelemahan, Iman mereka dihidupkan dan tentera-tenteranya pula dipersiapkan dan digerakkan untuk menghalau penjajah, mempertahankan tanah dan jiwa umat Islam dan mengembalikan kekuasaan kepada Islam.

Pada hari ini kita tidak lagi memiliki pemimpin yang ikhlas dan juga negara Islam yang akan menggerakkan sumber-sumber yang dimiliki umat Islam untuk memikul tanggungjawab terhadap agama dan umatnya. Iaitu pemimpin-pemimpin yang sentiasa mencari kemenangan ke atas musuh Allah, rasulnya dan juga kaum muslimin.

Bulan Ramadhan yang dirahmati ini tidak seharusnya berlalu tanpa umat Islam itu bangkit dan melibatkan diri dalam tugas untuk mengebumikan kepimpinan dan sistem kufur yang sedang menguasai ruang lingkup kehidupan kita pada hari ini.

Semoga Allah SWT memberikan pertolongan kepada kita untuk menunaikan ibadah puasa ini dan menegakkan kembali Khilafah yang akan mengembalikan hak dan kehormatan umat Islam dalam masa terdekat ini.

Sumber : www.khilafah.com

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails