Thursday, September 30, 2010

Judi oh judi

Rakyat Pulang Hasil Judi, Kerajaan BN Boleh Lumpuh

SHAH ALAM 30 SEPT: Pentadbiran kerajaan Pusat pimpinan Umno Barisan Nasional (BN) mungkin lumpuh jika semua rakyat mencontohi perbuatan lebih 40 warga emas yang memulangkan sumbangan lantaran curiga dengan 'kesucian' RM100 itu.

Bercakap kepada TV Selangor, Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Asia (Shura), Ghani Samsuddin khuatir tindakan kelompok warga emas itu akan dituruti kakitangan kerajaan yang curiga sama ada gaji mereka dari sumber halal atau haram.

“ Kalau semua kakitangan kerajaan pusat berhenti hanya kerana ada unsur judi yang dipungut dari Berjaya dan Sport Toto, maka kerajaan akan lumpuh. Jadi, kerajaan Pusat perlu berusaha mengurangkan kadar sumber haram.

“Mereka (kerajaan Pusat) biarkan banyak perkara haram memenuhi kantung khazanah negara. Ini bermakna rakyat terpaksa menerima,” katanya apabila diminta mengulas perbuatan lebih 40 warga emas memulangkan sumbangan kerajaan Pulau Pinang sebanyak RM100 sebulan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan hasil judi digunakan sebagai sumbangan kepada warga emas beragama Islam walaupun Setiausaha Agung DAP itu mengakui diberi kepada warga emas bukan Islam dan hal ini disahkan pegawai kewangan negeri, Datuk Farizan Darus.

Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin pula sebelum ini menyatakan penerimaan hasil judi tidak bertentangan dengan Islam sebaliknya perbuatan berjudi yang menyalahi ajaran.

Bagaimanapun, berita pemulangan sumbangan itu digembar-gembur media arus perdana, khususnya Utusan Malaysia yang memberi gambaran seolah-olah kerajaan Pusat langung tidak menggunakan hasil judi dalam pengurusan kewangan negara.

Ghani, tanpa menyalahkan kelompok warga emas di Pulau Pinang itu, bagaimanapun lebih berminat melihat gambaran isu hasil judi dijadikan sumbangan kepada rakyat secara menyeluruh dan tidak tertumpu kepada satu-satu negeri.

“Kecenderungan umat Islam akhir-akhir ini untuk kembali mencari rezeki halal harus juga menjadi perhatian kerajaan Pusat. Sebab itu mereka tidak menghalalkan judi bola, Sport Toto dan sebagainya kerana hasilnya akan masuk ke kantung negara,” katanya.

Ahli Perniagaan Menang Loteri Terbesar RM48 Juta

PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan telah memenangi wang tunai sejumlah RM47.82 juta yang merupakan cepumas loteri atau jackpot terbesar di Malaysia.

Sports Toto Malaysia Sdn Bhd berkata, cepumas tertinggi sebelum itu adalah RM20.9 juta yang dikeluarkan pada Disember 2008.

Difahamkan, ahli perniagaan yang berusia 50an itu mengetahui kemenangan tersebut menerusi laman web Sports Toto pada malam Selasa selepas keputusan diumumkan.

“Dia tidak percaya tentang berita itu sehingga tergamam untuk seketika sebelum meminta isterinya mengesahkan kemenangan itu berulang kali,” kata jurucakap Sports Toto dalam satu kenyataan semalam.

Jurucakap itu berkata, pasangan berkenaan amat gembira sehingga tidak dapat tidur dan tidak sabar untuk menebus hadiah wang tunai daripada ibu pejabat Sports Toto di Kuala Lumpur.

Difahamkan, ahli perniagaan itu merupakan pengikut setia bagi Sumpreme Toto 6/58 sejak permainan itu dilancarkan pada 20 Mac.

Kebiasaannya dia bertaruh sebanyak RM20 bagi setiap permainan yang memberikannya 10 peluang untuk mendapatkan cepumas.

Nombor kemenangannya adalah 8, 11, 19, 22, 54 dan 55 yang kesemuanya dipilih secara rawak dan berkomputer.

“Pasangan itu berkata mereka tidak hanya menggunakan wang kemenangan itu untuk mereka sendiri bahkan akan menyalurkan sebahagiannya kepada badan kebajikan.

“Mereka juga mahu membantu orang di sekeliling terutama adik-beradik yang tidak kukuh dari segi kewangan dan mereka yang terdesak untuk mendapatkan bantuan kewangan,” kata jurucakap Sports Toto itu lagi.

Sports Toto pada bulan lalu telah menawarkan dua kemenangan terbesar dengan cepumas berjumlah RM17.55 juta.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails