Wednesday, December 30, 2009

KFC Jengka Kini Di Buka


29 Disember 2009, tepat jam 12.30 tengahari KFC Bandar Jengka kini di buka sepenuhnya kepada penduduk Jengka khususnya. Serbuan yang dilakukan oleh penduduk Jengka ke KFC maha dahsyat....sehingga berbaris panjang.

Bak kata orang yang cacat datang mengesot, yang bongkok datang bertongkat yang lumpuh datang berusung dan yang sihat datang berlari. Mana taknya selama ini penduduk Jengka sebelum ini yang ngin mnikmati hidangan KFC perlu ke Temerloh, Kuantan atau Bandar Jerantut.

Kepada yang tidak tahu di mana lokasi KFC di Bandar Jengka, ianya bertempat bersebelahan dengan Desa Sport dan Klinik Suhaizat. KFC Jengka Beroperasi dari Jam 9.30am hingga 11.00pm setiap hari.

Saturday, December 26, 2009

10 maut bas terbabas di lebuh raya PLUS


Sepuluh penumpang maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila bas dua tingkat Sani Express terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan, awal pagi ini.

Ketua Polis Trafik Negeri Supt Wan Abdullah Ishak berkata mereka yang terbunuh dalam kejadian pukul 1 pagi itu ialah:

1. Shaharin Mohd Nor, 61, dari Taman Setia, Klang, Selangor;
2. Supiah Adam, 46, dari Taman Setia, Klang, Selangor;
3. Musa @ Ismail Abdullah, 64, dari Gurun, Kedah;
4. Mohd Shukri Mohd Ali, 22, dari Sungai Besar, Selangor;
5. Noor Jasmi Noordin, 25, dari Kangar, Perlis.
6. Mohd Bilal Osman, 22, dari Sungai Besar, Selangor;
7. Ng Kah Kit, 14, Ng Poh Ngoh, 23, dari Alor Setar, Kedah;
8. Ng Poh Ngoh, 23, dari Alor Setar;
9. Sharifah Raheel Al-Junid Syed Harun, 21, dari Sungai Petani, Kedah;
10. Identiti mangsa belum dikenalpasti - wanita dipercaya Melayu.

Wan Abdullah berkata penungpang yang cedera parah dikenali Md Razip Fadzir, seorang anggota tentera manakala penumpang yang cedera ringan ialah Siti Munira Hashim, 30, dari Langgar, Kedah.

Katanya kedua-dua penumpang yang cedera kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh manakala kesemua mangsa yang maut juga dibawa ke hospital yang sama untuk bedah siasat.

Wan Abdullah berkata semua yang terbunuh dan cedera merupakan penumpang yang duduk di tingkat bawah bas dua tingkat berkenaan manakala semua penumpang di bahagian atas serta kedua-dua pemandu bas tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata bas ekspres itu berlepas dari Klang, Selangor pada 9 malam tadi menuju ke Kangar dan membawa 48 penumpang.

"Di tempat kejadian, bas itu tiba-tiba terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri lebuh raya. Ia kemudiannya melantun serta merempuh pula pembahagi jalan di sebelah kanan lebuh raya sebelum berhenti," katanya.

Beliau berkata besi daripada pembahagi jalan yang menusuk masuk ke dalam bas selepas rempuhan yang pertama (rempuhan di sebelah kiri) menyebabkan kematian dan kecederaan penumpang berkenaan.

Wan Abdullah berkata pemandu yang memandu bas ketika kemalangan itu telah ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan pemandu yang ditahan itu baru sahaja mengambil giliran memandu selepas bas itu berhenti di Hentian Sebelah, Simpang Pulai dekat sini sebelum kejadian.

Sementara itu, seorang daripada penumpang yang terselamat, Marziana Mahmud, 24, mendakwa pemandu bas tersebut kelihatan mengantuk sebelum kemalangan tersebut.

"Bas dipandu dalam keadaaan tidak stabil, terhoyong-hayang ke kiri...kanan sebelum kejadian," dakwa penjawat awam itu yang duduk di bahagian depan di tingkat atas bas berkenaan.

[ Asal ada perayaan ada saja kemalangan maut...memang betul ajal & maut ketentuan tuhan namun kita sebagai hamba di muka dunia ini perlu berhati-hati dan sentiasa berwaspada... persoalan yang wujud adakah pemandu yang cuai? keadaan jalan yang tak sesuai? keadaan bas yang tidak elok? Namun ucapan tahniah buat PRDM yang berjaya menahan pemandu bas yang terlibat dalam mengorbankan 10 orang penumpangnya. Cekap pula PRDM kita, bila melibatkan kes-kes lain seperti contoh jambatan gantung yang mengorbankan pelajar sekolah tidak pula ditahan serta merta jurutera yang meluluskannya, begitu juga dengan kejadian atau kes-kes runtuhan yang lain boleh dikatakan banyak juga yalah lebih dari satu. Sesuatu perlu dilakukan bagi membendung para jurutera dari meluluskan projek-projek yang tiada kualiti jangka panjang....adakah mereka-mereka ini yang mempunyai 'title' dengan gaji yang lumayan 'kebal' untuk di tahan oleh pihak PRDM manakala pemandu bas yang tidak mempunyai 'title' dengan hanya gaji yang cukup makan mudah saja ditahan. Adakah ini ketidakadilan? Tepuk Perut tengok buncit ke dakkkkkk]

Tuesday, December 22, 2009

Saya Tak Peduli


KUALA LUMPUR: “Saya tak kisah orang nak cakap apa pun selepas ini. Itu terpulanglah kepada mereka. Pada masa sama, saya juga tidak tertekan dengan apa yang berlaku.

“Apa yang penting, saya melakukan perkara yang baik di sisi Allah. Siapa pun jodoh saya, itu ketentuan Allah. Saya juga mendapat restu keluarga sebelum memutuskan untuk berkahwin dengannya,” kata pelakon popular, Zizie Izette Abd Samad ketika diminta mengulas mengenai pernikahannya dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin.

Selepas sekian lama berteka-teki, Zizie akhirnya tampil membuat pengakuan dia memang sudah berkahwin dengan Bung Moktar seperti dihebohkan ketika ini.

Sehubungan itu, Zizie, 31, ketika dihubungi Harian Metro semalam berharap pihak media tidak akan memperbesarkan lagi cerita itu selepas pengakuannya.

“Maaflah, saya tak boleh beritahu lebih lanjut di mana dan bilakah majlis pernikahan kami berlangsung.

“Saya juga tak dapat mengulas lanjut cerita berkaitan majlis pernikahan kami kerana perlu menjaga hati pihak satu lagi (isteri pertama Bung Moktar, Datin Nor Asidah Alimuddin),” katanya.

Zizie berkata, dia yakin keputusannya menamatkan zaman bujang perkara terbaik dilakukan dalam hidupnya.

“Sebelum ini, saya memang tak pernah menyembunyikan apa-apa daripada media mahupun peminat kerana saya tak suka bersikap hipokrit. Cuma kali ini saya terpaksa berdiam diri daripada bercerita perkara sebenar untuk kebaikan semua pihak.

“Saya berharap media dan peminat memahami keadaan dan situasi yang saya hadapi ketika ini. Saya juga ucapkan jutaan terima kasih kepada media yang sentiasa menyokong,” katanya.

Zizie berkata, dia akan tetap meneruskan kehidupannya seperti biasa.

“Bagi saya, semuanya selesai. Saya masih di lokasi penggambaran drama Suraya sehingga 25 Disember ini. Selepas semuanya reda dan apabila sampai masanya, saya akan fokus kepada kerjaya seni dan syarikat produksi yang ditubuhkan lebih sebulan lalu, 2121 Vision Pictures Sdn Bhd,” katanya.

[Ishh...Ishh...Isshh... amcam macam cerita di dengor yer dok? Sorang kata terserah sorang kata tak kacak....dunia oh dunia lor nie.....Agak-agak zizie terpikat kat Bung Mokhtar dimana kacaknya?....anda sudah pasti tahu jawapannya]

Saturday, December 19, 2009

Dasar Bersama Pakatan Sasar Putrajaya


Pakatan Rakyat mempertingkatkan usahanya untuk menguasai Putrajaya dengan mengumumkan dasar bersama Pakatan yang menjanjikan pembaharuan segera dan kesaksamaan.

Sebagai respons kepada musuh politiknya, Barisan Nasional, dasar bersama itu berjanji untuk mengurangkan dasar-dasar yang berasaskan kaum dan menggubal akta hubungan kaum dan akta peluang saksama serta dasar-dasar lain yang berasaskan merit seperti pemberian biasiswa kerajaan.

Ia turut menjanjikan layanan istimewa kepada Sabah dan Sarawak - di mana pengaruh Pakatan tidak kuat - dengan menjanjikan akses kepada royalti minyak serta berjanji untuk menyelesaikan masalah-masalah yang sudah lama berlanjutan.

Pakatan juga berjanji untuk menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyelesaikan isu-isu membabitkan isu pendatang haram, yang didakwanya tidak diberi perhatian oleh kerajaan pusat.

Sokongan kuat dari dua negeri Malaysia Timur itu amat penting dalam usaha Pakatan untuk menguasai Putrajaya dalam pilihanraya umum kerana satu perempat jumlah kerusi parlimen adalah dari sana.

Pakatan juga berjanji untuk menangani isu-isu agama yang selama ini telah menimbulkan pergeseran antara parti Islam PAS dan parti sekular DAP.

Di samping itu, Pakatan juga berjanji untuk mewujudkan satu mekanisme yang komprehensif untuk menangani kes-kes di mana berlaku bertindihan antara undang-undang sivil dan Syariah.

Untuk tujuan itu, sebuah suruhanjaya diraja akan ditubuhkan untuk mengkaji secara mendalam isu-isu yang berkaitan dengannya.

Di peringkat institusi pula, Pakatan berjanji untuk memastikan kebebasan dan ketelusan sepenuhnya Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi memulihkan keyakinan rakyat terhasdap sistem kehakiman.

Pembaharuan lain yang dijanjikan termasuk menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Petronas dan institusi-institusi kerajaan yang lain dipertanggungjawabkan terus kepada Parlimen.

Ini termasuk mendapatkan kelulusan Parlimen bagi pelantikan jawatan penting kerajaan seperti ketua polis negara, peguam negara, pesuruhjaya SPRM dan ketua audit negara.

Mengenai ekonomi, Pakatan bercadang mendesentralisasikan pengurusan ekonomi negara bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan taburan pembangunan yang seimbang.

Cadangan ini termasuk pengagihan kuasa pentadbiran dan ekonomi dan pelaksanaan kerja-kerja infrastruktur kepada kerajaan negeri.

Dasar Pakatan Rakyat itu merangkumi empat perkara, iaitu demokrasi telus dan tulen; memacu ekonomi berprestasi tinggi, mampan dan adil; keadilan sosial dan pembangunan insan; dan hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara.

sumber : malaysiakini

Mohamad Bin Sapak (Dalam Kenangan)



Genap 59 tahun Mohamad Bin Sapak atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sapak oleh warga Jengka khususnya telah kembali ke rahmatullah pada 18 Disember 2009 dan telah di kebumikan pada 19 Disember 2009 pada jam 11.30 tengahari.

Beliau merupakan seorang warga Jengka yang gigih dalam memahatkan namanya di Bandar Jengka ataranya terkenal dengan peniagaan yang bermula dari bawah sehingga mampu membina empayar perniagaan yang membanggakan. Antara perniagaan yang masih di kenang oleh warga Jengka adalah kasut BATA, perniagaan tayar, perniagaan hardware dan yang masih wujud bangunan 3 tingkat miliknya di Nadi Kota Bandar Jengka iaitu Wisma Mohamad Sapak iaitu lebih dikenali dengan Pasaraya Sinaran Kota.

Kenangan yang ditinggalkan oleh beilau akan menjadi sejarah tersendiri bagi penghuni mahupun warga jengka khususnya. Beliau merupakan salah seorang peniaga Melayu yang hebat pada zamannya.

Alfatihah buat arwah.

Thursday, December 17, 2009

Malaysia tewaskan Vietnam untuk emas Sukan Sea


MALAYSIA mengakhiri penantian 20 tahun pingat emas bola sepak Sukan Sea apabila menewaskan Vietnam 1-0 di Laos, sebentar tadi.

Gol kemenangan hasil jaringan sendiri pemain Vietnam, Mai Xuan Hop pada minit ke-84.
Pada separuh masa pertama pasukan Malaysia lebih banyak bertahan dan Vietnam melakukan serangan demi serangan namun separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.

Apabila separuh masa kedua bermula corak permainan pasukan Malaysia berubah dengan membuat serangan ke arah pintu gol pasukan Vietnam dan Vietnam cuba bertahan namun rezeki berpihak kepada pasukan Malaysia apabila usaha serangan bertubi-tubi ke arah pintu gol pasukan Vietnam berhasil apabila tendangan dari pasukan Malaysia telah mengenai pertahan Vietnam dan menghasilkan gol kemenangan.

Wednesday, December 16, 2009

Pemimpin Rohani PR-Tok Guru Sedia Dilantik


Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersedia dilantik sebagai 'pemimpin rohani' Pakatan Rakyat setelah gabungan parti pembangkang itu berjaya didaftarkan.

"Sekarang ini saya dilantik (sebagai) mursyidul am (PAS) oleh jawatankuasa agung (parti). Apa salahnya jika (dilantik) mursyidul am bagi Pakatan Rakyat, tidak ada apa (masalah)," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini.

"Hendak dengar (pandangan saya) terima kasih. Tidak (mahu) dengar, (kalau) kata tidak terima (cadangan saya), saya tanya balik, tidak terima kenapa?"

Nik Aziz diminta mengulas cadangan Datuk Zaid Ibrahim, seorang anggota biro politik PKR yang ditugaskan untuk mengukuhkan Pakatan, yang mengesyorkan Nik Aziz dilantik sebagai "pemimpin rohani" Pakatan.


Menulis di blognya pada 17 November lalu, bekas menteri itu berkata, syor itu ditimbulkan kerana Pakatan memerlukan seorang seperti tokoh kemerdekaan India, Mahatma Gandhi, yang tidak bercita-cita merebut jawatan perdana menteru, tetapi bergerak atas idealisme perjuangan.

Ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, Nik Aziz berkata, sekiranya dilantik memegang jawatan itu, beliau akan bersikap terbuka walaupun cadangan-cadangannya mungkin ditolak.

"Jangan pula orang tolak (cadangan), kita marah. Itu tidak Islamik. Saya acapkali kata, kalau awak tolak Islam dan kalau awak boleh bawa hujah yang kukuh, saya pun tidak mahu Islam.

"Tetapi awak tolak Islam tanpa ada hujah, hanya begitu-begitu sahaja, mana boleh saya terima?" katanya, Khamis lalu.

Ditanya sama ada jawatan tersebut akan menambahkan bebannya yang sedia ada, Nik Aziz berkata, tidak mengapa selagi "menambahkan pengikutnya".

"Saya lebih suka pimpin orang Cina yang berfikiran terbuka daripada pimpin orang Melayu yang tertutup fikiran," tambahnya.

Monday, December 14, 2009

Malaysia-lwn-Vietnam Final Sukan Sea Laos

Laos:Malaysia akan bertemu Vietnam dalam perlawanan bolasepak edisi ke 25 sukan sea laos 2009 pada 17 Disember 2009 ini. Malaysia melangkah ke perlawanan akhir pada edisi sukan sea untuk kali ini setelah mengalahkan pasukan laos dengan kemenangan bergaya 3 berbalas 1.

Sebelum ini pada tahun 2001 pasukan Malaysia berjaya melangkah ke aksi final namun tewas kepada pasukan Thailand. Kini perlawanan akhir akan mempertemukan mereka dengan pasukan Vietnam yang mana Malaysia sebelum ini pernah ditewaskan oleh mereka.

Gol pertama Malaysia muncul pada separuh masa pertama dari jaringan pemain tengah Baddrol Bakhtiar. Namun pada separuh masa kedua pasukan laos telah menyamakan kedudukan jaringan setelah asakan bertali arus yang dilakukan oleh pemain mereka.

Gol kedua Malaysia juga dijaringkan oleh pemain yang sama pada separuh masa kedua dan gol ketiga muncul pada minit-minit terakhir permainan dari jaringan pemain pertahanan iaitu Nasriq Baharom.

Manakala bagi Vietnam pula melangkah ke perlawanan akhir setelah mengalahkan Singapura dengan jaringan 4 berbalas 1

Jururawat Berhadapan 70 Sebatan Berkhalawat Di Jeddah

KUALA LUMPUR: Seorang jururawat warga Malaysia berusia 30-an berdepan hukuman sehingga 70 sebatan serta penjara selepas ditahan berkhalwat di sebuah rumah di Jeddah, Arab Saudi.

Pasangannya, seorang doktor juga rakyat Malaysia berusia 40-an, bagaimanapun melarikan diri meninggalkan kekasihnya, dipercayai menggunakan pasport palsu Indonesia untuk keluar dari Arab Saudi sebelum kes itu dibicarakan.

Kedua-duanya yang bertugas di sebuah hospital di Jeddah, ditahan bersama seorang lagi lelaki warga Malaysia yang menghadapi tuduhan bersubahat kerana tinggal di rumah sama.

Menurut sumber, ketiga-tiga tertuduh sudah didakwa di mahkamah dan dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu keputusan kes berkenaan.

Bagaimanapun, sebelum kes itu diputuskan, doktor berkenaan melarikan diri dan dipercayai sudah pulang ke tanah air.

Beliau berkata, rakannya yang berusia 40-an juga cuba melarikan diri menggunakan pasport palsu, kira-kira dua minggu lalu, tetapi dapat ditahan pihak berkuasa Arab Saudi.

Difahamkan, lelaki itu masih ditahan pihak berkuasa Arab Saudi untuk siasatan lanjut berhubung penggunaan dokumen palsu yang dipercayai dibekalkan satu sindiket.

"Dia ditahan ketika cuba meninggalkan Arab Saudi melalui lapangan terbang di Jeddah, akhir bulan lalu.

"Pihak berkuasa negara itu berasa pelik apabila menemui beberapa dokumen yang menunjukkan lelaki itu mempunyai identiti rakyat Malaysia, sedangkan dia mengemukakan pasport negara jiran.

"Dia ditahan apabila siasatan mendapati lelaki itu sebenarnya dalam jaminan mahkamah berhubung kes subahat khalwat," katanya.

Berikutan itu, lelaki berkenaan mungkin menghadapi satu lagi tuduhan, selain didakwa bersubahat dengan pasangan berkenaan.

Sementara itu, satu sumber lain berkata, kes doktor dan rakannya menggunakan pasport palsu untuk meninggalkan Arab Saudi adalah yang pertama dikesan pihak berkuasa negara itu membabitkan rakyat Malaysia.

"Kita percaya ada sindiket membekalkan pasport palsu dengan mengenakan bayaran sehingga mencecah lima angka," katanya.

[Masyaallah...kesitu perginya nak buat maksiat....ermmm yealah kat SINI tak berkesempatan agaknya kerja menambun, pesakit banyok kot...kat sana free tu yang ambil peluang hehehe]

Sunday, December 13, 2009

Siapa Sentuh Tok Guru Akan Mendapat Tentangan


KULIM, 13 Dis: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada sesiapa sahaja yang cuba menyentuh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mendapat tentangan hebat daripada ratusan ribu rakyat yang menyokong beliau.

Menurut Anwar lagi dalam isu yang menyentuh kedudukan Nik Aziz sebagai Menteri Besar dan keupayaan beliau mentadbir negeri Kelantan tidak harus dipertikaikan oleh Umno dan Barisan Nasional.

"Saya ingatkan kepada semua sekiranya Tuan Guru, Datuk Nik Aziz disentuh oleh mereka kita tidak akan teragak-agak untuk bangun bukan saja daripada Kelantan malah Kedah dan seluruh negara akan turut sama mempertahankan Tuan Guru kita.

"Jika isu royalti minyak yang sememangnya perlu diberikan kepada Kelantan mereka nafikan. Kemudian isu untuk mengerjakan haji ke Baitullah untuk beribadat pun mereka pertikaikan terhadap Menteri Besar Kelantan.

"Apakah kita mahu biarkan lagi mereka yang tidak tahu menilai dan membezakan antara rasuah dan ibadah ini berterusan mencelarukan masyarakat.

"Sudah pasti tidak. Oleh kerana itu kita tunjukkan sokongan kita dengan memberi pengajaran kepada Umno dan Barisan Nasional dengan menolak kepimpinan mereka," katanya.

Kenyataan Anwar itu disambut dengan tepukan gemuruh daripada ribuan hadirin yang membanjiri Stadium Mini Keladi tersebut.

Dalam ucapan tersebut Anwar juga membidas tindakan media arus perdana yang sengaja memutarbelitkan fakta dengan tidak menceritakan keadaan sebenar yang berlaku.

"Apa yang berlaku tidak dinyatakan dengan benar oleh media mereka.Bagi mereka berita yang sememangnya benar tetapi tidak menyebelahi mereka tidak akan menjadi laporan utama.

"Tetapi sekiranya berita tersebut walaupun kecil tetapi dapat mereka sensasikan maka itu akan menjadi tajuk utama mereka."

Anwar berkata demikian semasa melancarkan ceramah tanpa henti selama 40 hari seluruh negara anjuran PKR yang telah diadakan di Stadium Mini Keladi, Klang Lama, Kulim.

Turut hadir ialah Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Tian Chua, Ahli Parlimen Padang Serai, N.Gobalakrishnan, Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Caves, Amiruddin Shaari. Ahli Parlimen Kulim- Bandar Bharu, Zulkifly Noordin dan kepimpinan Pakatan Rakyat Kedah dan Pulau Pinang.

Sumber : harakahdaily

Saturday, December 12, 2009

Sukan Sea Laos 2009 : Bola Sepak Malaysia Melangkah ke Separuh Akhir

PEMAIN Malaysia merai detik gemilang selepas Ahmad Fakri meledak gol kemenangan 2-1 ke atas Thailand petang semalam

Singkir juara lapan kali berturut-turut untuk ke separuh akhir

TANGISAN bukan milik Malaysia apabila skuad negara gah menempah tiket mara ke separuh akhir selepas menyingkirkan juara lapan kali berturut-turut, Thailand 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional Laos, petang semalam.

Ketika segalanya ibarat sudah ternoktah, apabila Thailand menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-53, anak buah K Rajagobal menjelmakan kebangkitan luar biasa dengan dua jaringan dalam tempoh 10 minit terakhir untuk menebus kehampaan dua tahun lalu di Korat.

Kejayaan itu menjamin pertemuan dengan tuan rumah, Laos, Isnin ini, ketika Thailand dipaksa pulang berduka selepas rekod 36 tahun tidak pernah gagal mara ke peringkat empat terakhir itu, akhirnya dileburkan.

"Hari ini, pasukan yang lebih baik menang dan pasukan itu adalah Malaysia. Saya amat gembira untuk pemain saya. Mereka tidak pernah mengalah biarpun ketinggalan. Saya bangga kerana mereka membuktikan punya kemampuan bangkit biar pun dalam situasi sesukar ini," kata Rajagobal sebaik tamat perlawanan.

Sememangnya pada peringkat mula, segalanya menuding ke arah pintu keluar. Malaysia perlukan kemenangan ketika Thailand hanya mencari seri untuk melangkah.

PEMAIN negara meraikan kejayaan luar dugaan mereka selepas mengejutkan juara lapan kali berturut-turut, Thailand 2-1

Petanda bahaya terjelma seawal minit keenam, apabila Ahmad Sharbinie Allawee berdepan situasi satu lawan satu dengan Sompong Soleb. Rembatan deras dijelmakan lawan, namun Sharbinie kemas mendakapnya.

Dua kesempatan dimiliki skuad negara pada babak pertama – kedua-duanya menerusi gerak serang balas pantas. Sayangnya, Safiq Rahim tertampan sipi umpanan silang Norshahrul Idlan Talaha ketika Shahrul kemudian lambat menolak bola umpanan Safiq untuk benteng lawan cepat mengeluarkannya.

Minit ke-53, apa yang dibimbangkan bertukar menjadi nyata. Daripada sepakan percuma sedikit di luar kawasan penalti, Arthit Sunthorphit melencongkan bola cantik terus menerjah jaring tanpa Sharbinie mampu berbuat apa-apa.

Tetapi kemasukan Mohamad Azmi Muslim kemudiannya menyuntik kebangkitan apabila benteng lawan kerap kali dipaksa berundur. Hasil gerak balas pantas pada minit ke-81, lintangan pemain itu yang berlalu di hadapan pintu gol Thailand disambut Nasriq Baharom untuk mengikat kedudukan.

Selepas itu, Malaysia terus mengasak tanpa kenal erti mengalah. Dua minit pada masa kecederaan, usaha itu dibalas gol kemenangan Ahmad Fakri Saarani yang menghulur kaki untuk menyambung umpanan Norshahrul terus ke sasaran.

Kesebelasan Thailand rebah kecewa, diiringi tangisan, ketika seluruh pemain negara melonjak gembira apabila manisnya kejayaan berjaya direalitikan.

Sumber : Berita Harian

[Harapan semoga Pasukan Bawah 23 Tahun Malaysia Akan GAH sehingga ke Peringkat Akhir dan seterusnya menjadi JUARA dan terpahat dalam Sejarah]

Tragedi Pengantin 4 Jam


TEH Affifah Shahirah Abd Hamid tidak dapat menahan sebak ketika menziarahi jenazah suaminya, Mohd Ariff Ab Kadir yang maut bersama tiga lagi dalam kemalangan di Kangar tengah hari semalam, selepas pulang dari majlis akad nikah di rumahnya, di Alor Setar. Beliau sempat bersalaman dengan suaminya dan menerima kucupan pada dahinya pada majlis membatalkan wuduk selepas pernikahan pada jam 10 pagi sebelum kemalangan pada
jam 1.05 minit tengah hari

Bakal pensyarah bersama bapa, ibu dan rakan maut nahas dengan bas

KANGAR: Penuntut universiti, Teh Affifah Shahirah Abd Hamid, hanya sempat bergelar isteri selama tiga jam selepas suami yang dinikahinya pagi semalam, meninggal dunia dalam kemalangan ngeri sejurus majlis akad nikah di rumahnya, di Taman Berlian, Alor Setar.

Suaminya, Mohd Ariff Ab Kadir, 23, lulusan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal universiti di United Kingdom, meninggal apabila kereta yang dinaikinya untuk pulang ke rumah di Taman Melati Indah, Beseri, dekat sini bertembung dengan bas persiaran di Kilometer 7Jalan Kangar-Padang Besar pada jam 1.05 minit tengah hari, selepas bernikah kira-kira jam 10 pagi.

Lebih menyedihkan kemalangan turut mengorbankan bapa Mohd Ariff iaitu Ab Kadir Awang, 55, yang memandu kereta dan ibunya, Apsah Othman, 58, serta rakannya, Mohd Farhan Musa, 18 tahun.

Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Zull Aznam Haron, berkata semua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah

Katanya, siasatan awal mendapati kereta Proton Iswara yang dipandu Ab Kadir, pembantu makmal di Sekolah Menengah Sains Syed Putra, di sini dipercayai terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas berkenaan.

Arwah Mohd Ariff dan isteri pada majlis akad nikah mereka, semalam

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat.

Zull Aznam berkata, pemandu dan 27 penumpang bas persiaran dari Klang, Selangor yang dalam perjalanan pulang dari Padang Besar tidak cedera.

"Kita sudah mengambil keterangan pemandu serta beberapa penumpang bas persiaran terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, abang Mohd Ariff, Mohd Hazly Ab Kadir, 32, berkata beliau bersama rombongan pengantin lelaki menaiki empat kereta untuk majlis akad nikah Mohd Ariff yang juga anak bongsu tiga beradik itu dengan Teh Affifah, 23 tahun.

"Saya menaiki kereta lain dan sampai ke rumah terlebih dulu. Tidak lama selepas itu, saya menerima panggilan daripada bapa Mohd Farhan memaklumkan kemalangan itu," katanya.

Beliau berkata, keluarga pengantin lelaki sudah mengadakan persiapan untuk majlis kenduri esok, manakala pihak perempuan hari ini di Taman Berlian.

Katanya, Mohd Ariff mendaftar untuk memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara Arau, pada Rabu depan.

Mohd Hazly berkata, Mohd Ariff dan Teh Affifah Shahirah, seorang penuntut di sebuah universiti di Australia, berkenalan sejak di bangku sekolah sebelum mengambil keputusan berkahwin.

"Selepas majlis akad nikah, saya melihat arwah adik serta ibu dan bapa begitu ceria dan tidak menduga keriangan mereka berakhir dengan tragedi," katanya.

Kenduri kahwin bertukar majlis tahlil

ALOR SETAR: Majlis kenduri meraikan perkahwinan Teh Affifah Shahirah Abd Hamid, 23, bersama suaminya Mohd Ariff Ab Kadir, 23, yang maut dalam nahas di Kilometer 7 Jalan Kangar-Padang Besar bertukar majlis tahlil dengan pengurusan diambil alih Jawatankuasa Surau Taman Berlian, Anak Bukit, bermula malam tadi.

Setiausaha Jawatankuasa Surau Taman Berlian, Abd Jabir Mokhtar, 50, berkata pada mulanya pihak pengantin perempuan berhasrat mengadakan majlis khatam al-Quran pada sebelah malam diikuti kenduri kahwin hari ini, namun kedua-duanya terpaksa ditukar kepada majlis tahlil.

"Perkara berlaku tanpa diduga dan kami sebagai jiran mengambil alih pengurusan majlis yang tetap perlu diteruskan.

"Kita jalankan majlis seperti biasa dengan menerima 1,500 tetamu yang sudah dijemput selain pihak perempuan juga mengeluarkan belanja besar sekitar RM12,000 untuk majlis ini.

"Sekarang menjadi tugas kami untuk menjayakan majlis tahlil itu dan memastikan semua tetamu dilayan dengan baik.

"Kami bersimpati dengan Teh Affifah dan keluarga kerana mereka memang dikenali sebagai orang yang baik dan mempunyai hubungan akrab dengan jiran.

"Teh Affifah juga seorang gadis yang lemah lembut dan baik budi pekerti," katanya ketika di temui di sini, semalam.

Sementara itu, tinjauan Berita Harian di tempat persiapan kenduri di homestay G Glamour di Taman Kancil 3, Anak Bukit semalam mendapati segala persiapan termasuk pelamin dan bilik pengantin sudah disiapkan dengan rapi oleh pihak pengantin perempuan.

Bagaimanapun tiada ahli keluarga di situ kerana berada di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis berikutan kejadian tidak diingini itu.

Kelihatan lapan daripada sembilan dulang hantaran pengantin lelaki kepada pengantin perempuan di homestay itu yang tersusun dengan kemas untuk majlis yang bakal berlangsung hari ini.

Sumber : Berita Harian

Friday, December 11, 2009

Pengantin Maut Selepas 4 Jam Akad Nikah


Seorang pengantin lelaki yang baru empat jam bernikah adalah antara empat orang yang terbunuh dalam kemalangan membabitkan
pertembungan sebuah kereta dan bas di kilometer 7, Jalan Kangar- Padang Besar hari ini.

Timbalan Ketua Polis Perlis, ACP Zull Aznam Harun berkata, pengantin yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 1.05 tengah hari itu dikenali sebagai Mohd Ariff Abdul Kadir, 23, seorang jurutera.

Turut terbunuh ialah ibu bapa Mohd Ariff iaitu Abdul Kadir Awang, 53, dan Aspah Osman, 58 serta seorang jurugambar, Mohd Farhan Musa, 18, yang juga rakan Mohd Ariff.

Katanya, kejadian berlaku ketika kesemua mangsa yang menetap di Taman Melati Indah dekat Kangar sedang dalam perjalanan pulang daripada majlis akad nikah di Anak Bukit, Kedah.

Kesemua mereka terbunuh di tempat kejadian manakala 27 penumpang serta pemandu bas yang datang dari arah bertentangan menghala Kangar tidak mengalami sebarang kecederaan.

Zull Aznam berkata kereta yang dipandu Abdul Kadir, seorang pesara pembantu makmal SM Sains Tuanku Syed Putra, dipercayai pancit tayarnya, menyebabkan kenderaan yang sedang menghala arah Beseri itu tidak dapat dikawal, lalu bertembung dengan bas persiaran yang membawa pelancong dari Selangor itu.

"Kami masih menyiasat punca kejadian. Pemandu bas itu juga telah direkodkan kenyataannya," katanya semasa ditemui di rumah mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) hari ini.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi rumah mayat hospital itu apabila dibanjiri ratusan sanak saudara mangsa, manakala di rumah mangsa di Taman Melati Indah turut dipenuhi orang ramai.

Kerja-kerja gotong royong untuk mendirikan khemah kenduri untuk majlis perkahwinan Mohd Ariff dan pasangannya Teh Hafifah Shahirah Abdul Hamid, 23, dibatalkan.

Setiausaha akhbar kepada Menteri Besar Perlis, Jamsari Jamaluddin, yang merupakan jiran kepada mangsa berkata kesemua mangsa sedang dalam perjalanan pulang daripada majlis akad nikah di Anak Bukit dan majlis kenduri perkahwinan Mohd Ariff dijadualkan Ahad ini.

[Benarlah kata pepatah kalau waktu kita bertunang dan nikah ni dipanggil 'Darah Manis'...kepada sesiapa yang bakal melangsungkan perkahwinan harap berwaspada tahap GABAN yealah bila dah ada gelaran Darah Manis ni eloklah 'BEWARE']

Tuesday, December 8, 2009

Heroes Season 4 Episode 12

2 Ditahan Kes Kereta Junam di KB Mall


Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian sebuah kereta yang menjunam jatuh ke dalam pasar raya KB Mall di Kota Bharu dua hari lepas yang membunuh dua pelajar kolej kejururawatan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata lelaki berusia 20-an itu di tahan pukul 3 petang semalam, manakala yang perempuan ditahan malam tadi di rumah masing-masing.

"Kedua-duanya kini direman beberapa hari bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana dikaitkan menyebabkan kematian dalam insiden itu," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Bharu, hari ini.

Dalam kejadian pukul 5 petang Ahad lepas, dua pelajar perempuan Kolej Kejururawatan Masterskill cawangan Kota Bharu, Siti Nor Amira Samsuddin, 19, dan Siti Nor Diana Azman, 18, terbunuh akibat dihempap kereta terbabit ketika berada di atas tangga bergerak pasar raya itu.

Dua lagi cedera parah iaitu Rashidah Ahmad Lutfi, 24, juga pelajar kolej yang sama dan pemandu kereta terbabit, Nurul Ain Said, 17 - kedua-dua dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Kedua-dua lelaki dan wanita yang dipercayai rakan kepada Nurul Ain menghilangkan diri selepas kejadian itu.

Siasatan lanjut kini tertumpu kepada punca dan sebab kejadian.

Semalam Abdul Rahim berkata struktur tembok penghadang kenderaan di tempat letak kereta tingkat tiga bangunan pasaraya KB Mall yang tidak kukuh dipercayai punca kepada kereta yang dipandu Nurul Ain terjunam ke dalam bangunan.

Beliau berkata sekiranya tembok setinggi 1.8 meter itu dibina dengan bata dengan terdapat tetulang besi di dalam, mustahil ia boleh runtuh sebagaimana yang berlaku itu.

Difahamkan lelaki yang ditahan semalam adalah abang angkat kepada Nurul Ain dan kenderaan Ford Laser TX3 itu telah dipinjam oleh abang angkat berkenaan daripada seorang rakannya untuk membawa Nurul Ain dan adik Nurul Akmal, 14, ke pasar raya itu untuk membeli-belah. BERNAMA

[Ishh...ishhh...udah ler kereta terjunam kena tahan pulak tu, kereta pulak kereta pinjam! Masyaalah...mungkin ada sesuatu yang tersirat di sebalik tersurat...pikir-pikirkanlah]

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails