Tuesday, November 30, 2010

Minyak Comei dan Molek RON97 naik 15 sen

Harga petrol RON97 akan dinaikkan 15 sen lagi kepada RM2.30 seliter berkuatkuasa 1 Disember ini, mengikut sumber.

Pengumuman rasmi dijangka akan dibuat lewat hari ini. Bagaimanapun harga petrol RON 95 kekal tidak berubah pada RM1.85 seliter.

Berat Doh...

Kerajaan Pahang berkemungkinan besar akan muflis jika tiada perancangan segera dibuat bagi menangani kegawatan ekonomi di negeri terbesar di Semenanjung itu yang baru-baru ini mencatatkan rekod 13 tahun berturut-turut mengalami belanjawan defisit.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini, Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyelar belanjawan 2011 negeri Pahang yang disifatkan beliau sebagai ‘tidak praktikal’ apabila kerajaan negeri bertindak untuk menuntut 50 peratus keuntungan anak-anak syarikat kerajaan negeri (GLC) kepada kerajaan negeri sebagai satu langkah untuk meningkatkan pendapatan negeri.

“Apa yang mendukacitakan ialah tiada perancangan baru dalam meningkatkan sumber hasil negeri, selain rancangan jangka pendek kerajaan bagi memaksa anak-anak syarikat kerajaan negeri (GLC) menyumbang 50% dari keuntungan kepada kerajaan negeri.

Persoalannya berapa kerat anak syarikat kerajaan negeri yang mencatat keuntungan. Setahu kita hampir semua anak-anak syarikat kerajaan negeri berada dalam keadaan kritikal, dan terus mengharapkan suntikan kerajaan,” kata Tuan Ibrahim, yang baru sahaja pulang ke tanah air selepas menunaikan tanggungjawab haji di Mekah.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim, yang juga merupakan Naib Presiden PAS turut menuntut kerajaan negeri bagi mendedahkan kedudukan kewangan semasa anak-anak syarikat kerajaan negeri untuk dinilai oleh rakyat, sejauhmanakah anak-anak syarikat yang ditubuh untuk membantu kerajaan dapat mencapai hasil sebagaimana diharapkan oleh kerajaan negeri dan seluruh rakyat Pahang dalam menjana pendapatan untuk membiayai belanjawan negeri.

Kenyataan Tuan Ibrahim hari ini merupakan reaksi kepada laporan akhbar Umno dan Perkasa, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mewajibkan semua agensi di bawah naungannya menyalurkan 50 peratus keuntungan tahunan mereka kepada kerajaan negeri berkuat kuasa tahun depan.

"Kita mewajibkan agensi-agensi kerajaan negeri menyalurkan 50 peratus keuntungan kepada kerajaan negeri dan dalam masa sama anak-anak syarikat agensi berkenaan pula diwajibkan menyalurkan 50 peratus keuntungan mereka kepada agensi berkenaan.

"Langkah itu merupakan sebahagian usaha bagi mengurangkan defisit yang dialami oleh kerajaan negeri bagi tahun ke-13 berturut-turut," Adnan dipetik sebagai berkata ketika membentangkan Bajet 2011 Kerajaan Negeri Pahang pada Persidangan Ketiga.

Menurut Adnan, terdapat kira-kira 18 agensi di bawah kerajaan negeri, antaranya Yayasan Pahang, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Amanah Saham Pahang (Aspa), Lembaga Kemajuan Perladangan Pahang (LKPP) dan Lembaga Pembangunan Tioman.

"Bajet 2011 disasarkan sebanyak RM871,117,390 iaitu sebanyak RM600,424,140 disediakan untuk perbelanjaan pengurusan dan selebihnya adalah untuk pembangunan," katanya

Adnan turut meminta rakyat negeri Pahang supaya tidak bimbang dengan Bajet Pahang 2011 yang menyaksikan defisit sebanyak RM92.48 juta dengan memberikan alasan bahawa defisit untuk kali ke 13 berturut-turut itu berpunca daripada usaha pertumbuhan ekonomi di negeri berkenaan.

Malah bukan itu sahaja, Adnan turut menunjukkan kelemahan memimpinnya dengan tanpa segan silu mengaku bahawa ‘kedudukan kewangan negeri Pahang tidak mungkin, bahkan mustahil sehingga Hari Kiamat, boleh menanggung kesemua kos pembangunan tanpa bantuan kerajaan persekutuan.’

“Kenyataan beliau bahawa “kedudukan kewangan negeri tidak mungkin, bahkan mustahil sehingga hari Kiamat, boleh menanggung kesemua kos pembangunan tanpa bantuan kerajaan persekutuan’, benar-benar mengambarkan kerajaan UMNO/BN ‘sudah menopaus’.

Kenyataan ini adalah gambaran keseluruhan belanjawan kerajaan negeri yang hanya merancang dengan bantuan Pusat; tanpa berusaha untuk merangcang sumber baru bagi meningkatkan hasil negeri,” selar Tuan Ibrahim.

Dengan membuat perbandingan dengan RM 500 juta komisyen yang dibayar untuk membeli kapal selam Scorpene negara, Tuan Ibrahim menyoal apakah rasionalnya hanya RM 270.6 diperuntukan untuk pembangunan negeri yang terbesar di semenanjung itu.

“Dengan peruntukan sebanyak RM270.6 juta tentulah tidak banyak perkara yang dapat dilakukan. Ini mengingatkan kita kepada komisyen pembelian kapal selam sebanyak RM530 juta, ternyata melebihi keseluruhan projek pembagunan setahun kerajaan Pahang.

Peruntukan pembangunan yang kecil adalah kerana sumber kewangan yang terhad yang dapat dikutip oleh kerajaan,” kata Tuan Ibrahim.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim turut menyoal ke mana semua hasil negeri terutamanya hasil hutan daripada aktiviti pembalakan.

“Dalam belanjawan yang dibentang kerajaan negeri, ia hanya menyatakan hasrat untuk meneruskan projek penanaman semula hutan yang telah gondol, tetapi rakyat juga perlu tahu berapa hasil diperolehi.

Polisi penebangan sehingga 90% hasil hutan dalam tanah milik kerajaan perlu diubah segera,” saran Tuan Ibrahim, yang turut menyifatkan aktiviti penebangan hutan melampau mencerminkan kerakusan kerajaan UMNO-Barisan Nasional tanpa memikirkan masa depan generasi akan datang.

Selain itu, Tuan Ibrahim turut menyoal ke mana perginya pungutan negeri daripada hasil keluaran emas daripada lombong di Lipis, Raub dan Cameron Highland dan juga hasil dari bijih besi, di Daerah Rompin, Maran dan Jerantut.

“Rakyat perlu tahu kemana hasil tersebut, berapa kerajaan perolehi dan juga usaha kerajaan meneroka sumber minyak di perairan Pahang, yang satu masa dahulu di maklum Pahang berkemungkinan mempunyai hasil minyak.

Demikian juga berapa hasil pelaburan luar yang melabur di Pahang; walaupun kita menyediakan hampir setiap daerah kawasan industri, tapi kawasannya ternyata masih kosong dan terbiar.

Seandainya tiada sesuatu perangcangan segera dibuat, tidak mustahil Pahang akan muflis,” tambah Tuan Ibrahim.

Terbit Fajar


“Solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isyak dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung didalamnya, mereka pasti mendatangi keduanya, walaupun dengan merangkak.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ramai ulama hadis memberi penjelasan berkenaan hadis ini. Diantaranya, bagi melihat sama ada seseorang itu beriman ataupun munafik, perhatikan solat Subuhnya. Sekiranya kita nampak dia di saf solat Subuh, bolehlah kita katakan yang dia benar-benar beriman.

Tetapi sekiranya sebaliknya, hatinya sudah dijangkiti virus munafik. Salah satu petandanya adalah seseorang ragu-ragu dengan kebenaran dan keagungan Allah yang bernama Solat Subuh ini.

Dalam hadis juga mengatakan , waktu subuh lah pengantian malam dan siang bermula. Pada saat ini juga , malaikat malam dan malaikat siang berkumpul bagi berganti tugas.

“Solat berjemaah lebih utama daripada solat sendirian sebanyak 25 kali ganda. Malaikat penjaga malam dan siang berkumpul pada waktu solat subuh.” (Hadis Riwayat Bukhari)

“Kemudian naiklah para malaikat yang menyertai kamu pada malam harinya, lalu Rabb mereka yang sebenarnya maha mengetahui bertanya kepada mereka, ‘Bagaimana hamba-hambaku ketika kalian meninggalkan mereka?”

Para malaikat menjawab, ‘Kami tinggalkan mereka dalam keadaan solat dan kami jumpai mereka dalam keadaan solat juga.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Jadi beruntunglah bagi orang yang dapat mendirikan solat subuh berjemaah di masjid kerana ia disaksikan oleh malaikat, baik malaikat yang bertugas pada malam hari, mahupun siang hari.

Allah menjelaskan, “Dan dirikanlah solat Subuh. Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan oleh para malaikat,”(Surah al-Israk , ayat 78)

Bayangkanlah waktu itu kalau malaikat melaporkan yang , kita sedang nyenyak tidur dan tidak mengutamakan waktu solat. Di waktu ini juga lah Syaitan sedang memeluk kita dengan erat sekali supaya kita terus lena dan tinggalkan solat subuh.

“Dua rakaat fajar (solat sunat sebelum ataupun qabliyah Subuh) lebih baik daripada dunia dan seisinya, “(Hadis Riwayat Muslim)

Solat Qabliyah Subuh adalah solat sunat yang paling banyak pahala. Lebih baik daripada segala kebaikan isi dunia.

Cuba bayangkan, harta, wang, pangkat jawatan, isteri , anak…semuanya tidak kekal. Yang dulu cantik lama-lama jadi tua, bongkok, berkedut dan tidak secantik masa muda. “Segala sesuatu akan binasa,”(Surah al-Qashash ayat 88).

Segala dunia dan isinya tidak lebih baik dari solat sunat fajar ini. Dalam situasi apa pun , jangan tinggalkan solat sunat Subuh ini kerana Rasulullah sendiri memesan dalam situasi apa pun sama ada dalam perjalanan ataupun dalam pertempuran, jangan tinggalkan solat sunat Subuh.

Solat Subuh juga dapat menjadi penerang pada Hari Kiamat seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah, “Berilah khabar gembira bagi orang yang berjalan dalam kegelapan menuju masjid dengan cahaya yang terang benderang pertolongan pada Hari Kiamat” (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah).

Cahaya ini penting semasa melintasi titian Sirath. Sirath ini menakutkan. Waktu itu keadaan gelap gelita dan manusia meraba-raba untuk melintasi Sirath yang bawahnya Api Neraka Jahanam.

“Di kedua-dua belah Sirath terdapat anjing yang terikat yang diperintahkan menyerang sesiapa sahaja yang mendekatinya. Sesiapa yang berjalan dengan tegak, selamat manakala yang bertatih-tatih masuk ke dalam neraka,” Nabi Muhammad SAW berkata.

Itulah pentingnya cahaya untuk orang yang solat subuh berjemaah di masjid dan mereka bisa melintasi titian sirath berjalan bagaikan kilat(sekelip mata). Bukan orang yang sembahyang subuh seorang diri ataupun berjemaah di rumah.

Hikmah solat Subuh begitu hebat kerana ia adalah solat yang paling sukar dikerjakan pada awal waktu. Ramai diantara kita yang memilih untuk tidur di tilam empuk dan berselimut hangat.

Seorang pemimpin Yahudi pernah mengatakan yang mereka tidak takut dengan orang Islam melainkan dengan satu perkara, iaitu apabila jumlah jemaah solat subuh sama dengan jumlah jemaah solat Jumaat.

Umat yang menjaga solat Subuh berjemaah adalah umat yang berhak berdiri kukuh di muka bumi. Manakala Umat yang lalai mengerjakan solat Subuh berjemaah adalah umat yang tidak berhak mendapat kejayaan.

Monday, November 29, 2010

Kecuaian Siapa?

Bandar Jengka, Pahang : 29 November 2010 Siapa yang harus di persalahkan? Lubang itukah atau pemilik kenderaan ini kah? Di kiri dan kanan jalan di Nadi Kota Bandar Jengka telah diperbesarkan laluannya, cantik, luas dan memenuhi keperluan pengguna jalanraya.

Namun terdapat satu lubang yang merupakan 'Jerangkap Samar' kepada pengguna jalan raya di sekitar Bandar Jengka ini, di mana lokasinya betul-betul terletak di hadapan Mantan Pasaraya Sinaran Kota dan Mantan Prodnaz Sinaran Kota.

Hari ini sahaja sudah 3 buah kenderaan berupa kereta-kereta pengguna jalan raya di Bandar Jengka terjatuh ke dalam lubang tersebut.

Diharap kepada pihak-pihak yang berwajib dapat memberikan perhatian yang serius dan melakukan tindakan yang sewajarnya ke atas lubang 'Jerangkap Samar' tersebut

Saturday, November 27, 2010

Nenek Doakan OBAMA Peluk ISLAM

Nenek Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dari pihak ayahnya, Hajah Omar melaksanakan ibadah haji tahun ini. Dia berangkat dari Kenya bersama lima anggota keluarganya. Di tanah suci dia memanjatkan doa agar Obama memeluk Islam.

“Saya berdoa untuk cucuku Barack, agar dia memeluk Islam,” ujar Hajah Sarah Omar, 88 tahun, ketika diwawancarai oleh akhbar Al-Watan di Jedah semasa menjalankan rukun haji, Khamis (25/11).

Akhbar tersebut dalam laporannya mewartakan, Hajah Omar berada di Arab Saudi untuk menjalankan ibadah haji bersama bapa saudara Obama iaitu Saeed Hussein Obama dan empat cucunya. Mereka menjadi tamu Raja Abdullah.

Dalam pernyataanya kepada akhbar tersebut Hajah Omar mengatakan bahawa dirinya hanya boleh berbicara pasal ibadat haji dan tak dapat memberi komen masalah politik yang dilakukan Obama.

“Saya sangat takjub dan teringat kembali apa yang diceritakan oleh guru saya semasa di sekolah. Dia dulu pernah bercerita berkenaan Mekah dan Madinah ketika saya masih kecil” kata Hajah Omar yang berasal dari Desa Koglilu, Kenya Barat.

Ketika ditanya soal kemungkinan Obama menjadi presiden Amerika Syarikat untuk dua penggal , Hajah yang ditemani Saeed Obama dan cucu-cucunya menjawab, “Hanya Allah yang tahu, masa depan tidak ada yang tahu.”

Selain berdoa untuk Presiden Obama, Hajah juga memanjatkan keinginan agar Raja Abdullah segera sembuh dari penyakitnya.

Kehadiran Hajah bersama putera dan cucu-cucunya di Arab Saudi mendapat sambutan luar biasa dari Kerajaan.

Faisal Ambuya, salah satu sepupu Obama, mengatakan “Nenek saya sangat berminat mendoakan umat nonMuslim menjadi Muslim dan saya belajar tentang Islam dari beliau.”

“Jika saya kembali ke kampung, saya akan sampaikan kepada warga desa tentang kekuatan Islam,” ujarnya.

Pak cik Obama mengaku berterus terang bahawa dirinya tak pernah berfikir sanggup menunaikan ibadah haji tahun ini. “Saya sangat berasa bersyukur, sebab saya dapat melaksanakan ibadah haji. Alhamdulillah, saya panjatkan kepada Allah dan terima kasih untuk Raja Abdullah yang bersedia menyambut kami.”

Tuesday, November 23, 2010

Pelajar lemas ditarik ombak besar di pantai Batu Buruk

Kegembiraan seorang pelajar tingkatan dua bercuti di Primula Beach Hotel, sempena musim cuti sekolah dengan bermain dipantai bersama keluarga berakhir dengan tragedi setelah dihanyutkan ombak besar di Pantai Batu Buruk, lewat petang semalam.

Dalam kejadian berlaku 6.30 petang semalam, Afham Syahir Omar, 14 tahun dari Kampung Belakang Masjid Pauh, Pasir Mas, Kelantan mati lemas selepas dipukul omabk besar di pantai itu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Bemban, Pasir Mas dikatakan bermain di situ bersama adik dan seorang saudara selepas selesai mandi air di kolam renang hotel berkenaan dengan saudara yang lain.

Ibu Saudara Norliana Yusof, Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Bemban, Pasir Mas, Kelantan dan empat lagi anak saudaranya masing–masing dari Pasir mas Kelantan dan Jertih, Terengganu dilaporkan mula menginap di hotel berkenaan 4 jam sebelum kejadian.

Salah seorang saudara mangsa, Mohd Harifuddin Yushadi 16 tahun pelajar Sekolah Menengah Iktifa, Besut yang menyaksikan kejadian itu menjelaskan, mangsa bersama adiknya Hasif Sufian Omar, 13 tahun dan Muhammad Asyraf Yushadi, 15 tahun dipukul ombak besar selepas selesai mandi di pantai itu.

Keadaan arus dan ombak besar menyebabkan ketiga-tiga mereka dihanyutkan sejauh 200 meter dari pesisir pantai sebelum dibawa naik.

Beliau yang menyaksikan kejadian itu bersama dengan ibu saudara menyifatkan, ianya berlaku terlalu pantas dan gagal berbuat apa-apa.

"Masa tu saya tengah duduk rileks, saya nak pergi jugak lah ikut tetapi lama-lama semakin jauh mereka hanyut, ombak tarik ombak besar mari. Kita nampak, nak tolong tetapi orang suruh patah balik kalau tolong dengan kita mati sekali,"katanya dengan nada sebak.

Mangsa dan adiknya serta saudaranya itu berjaya dibawa naik ke gigi pasir oleh pengawal keselamatan pantai Hotel terbabit, Rohaimi Yusof 47 tahun selepas dimaklumkam oleh rakan setugas pada waktu kejadian..

Rohaimi yang ketika itu tamat waktu bertugas bergegas tempat kejadian menjelaskan, ketiga-tiga pelajar ini sudah kehabisan tenaga untuk berenang naik ke darat dan mangsa yang sudah tengelam berjaya ditarik naik oleh adiknya dalam keadaan gelombang dan ombak yang kuat.

Ketiga-tiga pelajar ini berjaya dibawa naik selepas 15 minit namun mangsa yang tengelam gagal diselamatkan nyawanya walaupun diberi rawatan pertolongan cemas (CPR) oleh Jabatan Bomba dan penyelamat, petugas Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu dan orang awan.

Hanya adik mangsa dan Muhammad Asyraf Yushadi berjaya diselamatkan dari lemas.

Dalam pada itu, Jagjit Singh Gill, Assistant Office Manager Primula Beach Hotel Kuala Terengganu yang ditemui menjelaskan, kes lemas ini adalah pertama kali berlaku membabitkan penginap di hotel itu, manakala dua tahun lepas mangsa berjaya diselamatkan oleh life guard yang bertugas.

Ujarnya juga, setiap pelanggan yang menginap di hotel itu sudah diberi penerangan untuk tidak turun mandi dan bermain di persisiran pantai di waktu musin tengkujuh ini, selain mempamerkan papan amaran bahaya kepada pengunjung.

"Kita juga ada pasan papan tanda mengatakan dilarang mandi dilaut, kita pun susah nak kawal ini musim cuti sekolah dia orang pergi pun kita tak perasan kerana kita sibuk jaga kolam kita, " kata Jagjit Singh Gill.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Zamri Shamsuddin yang kami hubungi menasihati orang ramai, terutama penjaga mengawasi pergerakan anak-anak dan hindari dari tempat bahaya mandi dipantai dan pusat perkelahan dimusim tengkujuh ini.

Saturday, November 13, 2010

Pemain billiard terkenal dunia pula peluk Islam


Pemain billiard terkenal dunia, David John (gambar) mengumumkan dirinya memeluk agama Islam dalam satu upacara di bandar Mashad, Iran timur laut.

Upacara itu turut dihadiri oleh Ketua Pendidikan Jasmani, Ali Saeid Lou dan Imam Sayyed Reza Taghavi, menurut Taqrib News Agency (TNA).

David pernah menajdi juara EBSA, kejohanan billiard yang penting di peringkat dunia, pada tahun 2002 dan 2003.

Sebelum ini, adik ipar bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair, Lauren Booth, memeluk Islam selepas menziarahi makam Fatimah al-Masumeh di bandar Qom, Iran sekembalinya ke Britain enam minggu lalu.

Booth, 43, wartawan penyiaran di Press TV, saluran berita bahasa Inggeris Iran adalah adik kepada Cherie Blair, isteri bekas perdana menteri Britain itu.

"Setelah menziarah makam Fatimah Al-Masumeh itu, saya merasa suatu kejutan spiritual, nyaman dan tenteram," katanya kepada akhbar The Mail.

David John menukar namanya menjadi Davood setelah memeluk Islam (Davood sama dengan David mengikut nama Iran) dan berkata, "Revolusi terjadi dalam diri saya ketika saya sampai di Mashad. Saya berharap bahawa selama ini saya boleh menjadi seorang Muslim lebih baik lagi belajar," katanya.

"Saya pernah menjadi jurulatih di Dubai, Qatar dan Bahrain untuk beberapa tahun dan selama itu saya sudah begitu akrab dengan Islam," tambah David.

"Ketika saya datang ke Iran, saya tertawan dengan budaya Iran dan setelah menuju ke Mashad saya memutuskan untuk memeluk Islam," tegas David.

Ketika upacara, Imam Sayyed Reza Taqhavi mengucapkan selamat kepada kemasukannya dalam Islam sambil menyebut, "pandangan kita terhadap Non-Muslim dan Muslim adalah humanistik."

"Menghormati semua manusia adalah salah satu peraturan dalam Islam," kata Imam Sayyed Reza Taqavi.

ADUN Kerdau Dimasukkan Ke HSAS


Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang kawasan Kerdau Datuk Zaharuddin Abu Kassim yang sebelum ini dilaporkan kritikal selepas mengalami masalah buah pinggang dan jantung, sekali lagi dimasukkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah (HSAS) Temerloh kerana masalah tekanan darah tidak stabil.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang mengesahkan perkara itu berkata Zaharuddin dirawat di hospital itu sejak dua minggu lepas, bagaimanapun keadaannya stabil dan tidak membimbangkan dipetik Bernama.

Beliau berkata mesyuarat Perhubungan Umno Pahang malam tadi memutuskan supaya Anggota Parlimen Kuala Krau yang juga Ketua bahagian Umno Kuala Krau,Datuk Ismail Mohamed Said mengambil alih tugas menyelaras DUN Kerdau.

"Beliau (Ismail) akan dibantu Penasihat Agama kepada Menteri Besar yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Mohamad," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Antarabangsa IKIP, disini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai keadaan kesihatan Zaharuddin.

Zaharuddin, 63, sebelum ini pernah menerima rawatan selama lebih dua bulandi Institut Jantung Negara kerana komplikasi buah pinggang dan jantung selepas menjalani pembedahan ulser usus di HSAH Mei lepas.

Thursday, November 11, 2010

Ramainya Cerdik Pandai

48,327 Calon UPSR 2010 Dapat Semua A

Seramai 48,327 daripada 482,334 calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini mendapat keputusan cemerlang (semua A).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud berkata, pencapaian itu menunjukkan peningkatan kepada 10.02 peratus daripada 9.51 peratus tahun lalu.

"Pencapaian keseluruhan calon UPSR 2010 meningkat dan merupakan yang terbaik dalam empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN)," katanya pada pembentangan analisis keputusan UPSR di sini, Khamis.

Semua calon UPSR akan menerima keputusan mereka mulai pukul 10 pagi ini di sekolah masing-masing seluruh negara.

Bagaimanapun Abd Ghaffar berkata, peratusan calon yang mendapat minimum Gred C menurun 1.37 peratus berbanding tahun lalu.

"Pencapaian baik (Minimum C termasuk semua A) bagi calon UPSR tahun ini seramai 310,605 manakala di bawah tahap penguasaan minimum (semua D/3 atau kombinasi kedua-duanya) iaitu 16,334 orang," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pencapaian calon cemerlang bandar dan luar bandar meningkat sekali gus merapatkan jurang pencapaian calon cemerlang antara kedua-duanya iaitu 0.04 peratus.

"Pencapaian calon cemerlang bandar meningkat 0.35 peratus manakala calon cemerlang luar bandar 0.8 peratus," katanya.

Selain itu katanya, terdapat 1,270 calon istimewa menyaksikan pertambahan 184 orang berbanding tahun lalu dan daripada jumlah itu, 12 calon mendapat pencapaian cemerlang.

Walaupun bilangan calon istimewa yang mendapat pencapaian Cemerlang kurang seorang berbanding tahun lalu seramai 13 orang, namun Abd Ghaffar menjelaskan terdapat peningkatan 1.97 peratus bagi calon yang mendapat pencapaian Baik.

"GPN bagi pencapaian keseluruhan calon istimewa meningkat 0.02 peratus," katanya.

Mengenai pretasi semua mata pelajaran, Bahasa Melayu Pemahaman di Sekolah Kebangsaan (SK) terdapat peningkatan signifikan pada Gred A iaitu 4.5 peratus namun menurun bagi Bahasa Melayu Penulisan sebanyak 8.9 peratus.

Abd Ghaffar berkata, prestasi mata pelajaran Bahasa Inggeris di SK meningkat dengan mencatatkan nilai Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) sebanyak 2.74 peratus pada tahun ini berbanding 2.79 peratus pada tahun lalu.

"Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), Bahasa Melayu Pemahaman dan Penulisan Gred A menurun iaitu masing-masing 2.9 peratus dan 3.4 peratus.

"Namun prestasi Bahasa Inggeris di SJK mencatatkan peningkatan dalam GPMP iaitu 2.69 peratus pada tahun ini berbanding 2.8 peratus pada tahun lalu." katanya.

Beliau menambah, sukatan mata pelajaran Matematik dan Sains bagi SK dan SJK adalah sama dari segi kandungan.

"Peratusan calon yang mendapat Gred A bagi Matematik meningkat 1.9 peratus berbanding tahun sebelumnya manakala Sains turut meningkat 1.7 peratus," katanya.

Wednesday, November 3, 2010

Berita Betul Benar

Tok Guru Islamkan 3 Orang Asal

"Aku bersaksi tiada tuhan selain Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah," demikian kalimah syahadah yang telah dilafazkan oleh tiga orang penduduk asal Kampung Sandrop dalam Program Muhibbah Menteri Besar Kelantan bersama Masyarakat Orang Asal semalam.

Majlis pengislaman mereka yang dihadiri lebih daripada 300 orang penduduk asal menjadi lebih bermakna apabila ucapan lafaz syahadah mereka dipimpin oleh YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri dan disaksikan oleh calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed dan turut hadir pada majlis itu adalah Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Exco kerajaan negeri, Abdul Fattah Mahmood dan Dr. Hatta Ramli, Ahli Parlimen Kuala Krai.

Ketiga-tiga saudara baru itu, Hashim Along, 32, Ramle Sabri, 20 dan Asot Jeli adalah berasal dari Kampung Sandrop juga.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan diiringi calon PAS juga sempat meluangkan masa menziarahi Keluarga arwah Salmah Bt. Uda, 43 tahun yang meninggal pada Jumaat lalu.

Suami arwah, Alim Akai, 49 tahun yang terkejut dengan ziarah itu menyambut baik kunjungan Tok Guru dinasihati agar bersabar dan turut diberi sumbangan peribadi oleh beliau.

Calon PAS yang merupakan seorang doktor, sempat memberi penerangan ringkas mengenai bahaya penyakit stroke dan darah tinggi.

Orang Asal dapat zakat, Umno kata rasuah

Umno benar-benar terdesak sekarang apabila pemberian zakat kepada tiga Orang Asal yang memeluk Islam kelmarin dianggap pula sebagai rasuah pilihan raya.

Kejahilan mereka tidak mampu disembunyikan lagi apabila memperlekehkan pemberian zakat kepada Orang Asal yang menganut Islam.

Pemberian duit zakat kepada tiga Orang Asal tersebut disumbang Tabung Amanah Tok Kenali sebagai bantuan awal bagi membolehkan mereka membina penghidupan baru selepas menganut Islam.

Bagaimanapun bagi Umno pemberian zakat seolah-olah hina bagi mereka. Ini secara tidak langsung menggambarkan Umno benar-benar memperjuangkan kebendaan tanpa menghiraukan kehidupan rakyat.

Mungkin dalam diari Umno langsung tidak ada soal dakwah bagi menarik lebih ramai masyarakat Orang Asal menganut Islam sebagaimana dilakukan pemimpin PAS dan NGO Islam.

Pengurus Tabung Amanah Tok Kenali, Mohd Khir Zahri Abdul Ghani berkata, tidak timbul sama sekali duit yang diberi kepada pemuda Orang Asal yang menganut Islam sebagai rasuah pilihan raya kerana ia merupakan pemberian zakat.

“Islam menggalakkan saudara baru dibantu bagi membolehkan mereka membina penghidupan baru. Jadi bantuan tidak seberapa yang diberi kelmarin ketika kunjungan Menteri Besar ke penempatan Orang Asal bagi membolehkan mereka membina penghidupan baru.

“Saudara baru termasuk dalam lapan asnaf yang perlu dibantu terutamanya melalui sumbangan duit. Jadi isu ini nampak sangat dipolitik Umno selepas mereka kehabisan modal,” katanya.

Laman berita Umno semalam menganggap PAS terdesak apabila merasuah wang tunai sehingga RM250 kepada pengundi Orang Asal di perkampungan Sendrop.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yusoff berkata, Umno cuba menyembunyikan perkara sebenar pemberian zakat disampaikan Menteri Besar kepada tiga Orang Asal yang menganut Islam.

Katanya, segala strategi Umno bagi memburukkan PAS ternyata menyimpang jauh termasuk juga isu khalwat yang dijaja mereka terkena kepada batang hidung pemimpin Umno sendiri.



Tuesday, November 2, 2010

Harga Petrol Ron 97 naik 5 sen

Harga petrol RON 97 dinaikkan 5 sen lagi mulai hari ini. Berikutan itu, harganya kini RM2.15 seliter, demikian menurut laporan.
.
Bagaimanapun harga pertrol RON 95 dan diesel tidak berubah.

Tidak seperti sebelumnya, tidak ada pengumuman dibuat mengenai kenaikan tersebut.

Khabar angin mengenai kenaikan harga RON 97 itu tersebar sejak semalam dan pemilik stesen minyak berkata arahan mengenainya telah dikeluarkan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe mengesahkannya ketika dihubungi oleh beberapa akhbar.

Ini adalah kenaikan pertama harga minyak selepas kenaikan "5-dalam-1" pada 15 Julai tahun ini, yang bertujuan untuk mengurangkan beban subsidi kerajaan.

Pemotongan subsidi merupakan sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk mengurangkan subsidi untuk barangan keperluan seperti yang dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala.

Jala telah memberi amaran awal tahun ini bahawa Malaysia menghadapi prospek muflis pada 2019 - seperti yang berlaku di Greece dan Iceland kerana beban hutang - sekiranya subsidi tidak dikurangkan.

Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini menegaskan bahawa pengurangan subsidi adalah perlu, tetapi para pengkritik berkata usaha untuk memaksa pengguna berjimat, tanpa tindakan yang sama di pihak kerajaan, tidak membawa sebarang makna.

Lewat bulan lalu, Najib mengumumkan senarai projek baru - termasuk pembinaan Menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat bernilai RM5 bilion, yang menurut kerajaan akan menarik pelabur dan membuat Malaysia lebih menarik kepada pelancong.


Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails