Sunday, October 31, 2010

30/10/2010 Gomo Kelate Gomo Juara Piala Malaysia


The Red Warriors tamat badi 40 tahun

PEMAIN Kelantan me­­lutut dan berdoa tan­­da syukur sejurus wisel penamat apabila mencipta bangga muncul juara baru Piala Malaysia menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, ma­­lam tadi.

Dua gol menerusi tandukan padu Hairuddin Omar pada minit ke-57 dan Mohd Badhri Mohd Radzi, m-65 berjaya menidakkan jari­­ngan awal lawan menerusi sepakan penalti oleh Shahurain Abu Samah (m-13) - sekali gus menamatkan badi 40 tahun yang diiri­­ngi dentuman mercun me­­ngiringi kejayaan manis The Red Warriors.

Kejayaan ini memboleh­­kan Kelantan meletakkan diri dalam kumpulan unik yang kini bertambah kepada 14 pasukan yang pernah menjulang piala keagungan bola sepak tanah air itu termasuk sebelum ini yang dikenali Piala HMS Malaya dan Piala Malaya.

Namun, skrip itu tidak kelihatan begitu pada awal saingan babak pertama apabila Shahurain yang dinaikkan kepada posisi serangan berikutan ke­­tandusan penye­­rang akibat kecederaan yang menimpa Zaquan Adha Abd Radzak me­­ngulangi jaringan awal ke atas lawan sama, apabila mudah menyempurnakan penalti mengatasi Khairul Fahmi Che Mat selepas penjaga gol itu menjatuhkan S Kunalan dalam ko­­­­tak penalti.


Shahurain yang mele­­dakkan gol cantik dalam laluan kejayaan 3-1 musim lalu berjaya mengelirukan penjaga gol itu yang semakin meningkat naik dalam skuad kebangsaan pada percubaan kedua selepas pengadil, Sub­­khiddin Mohd Salleh me­­ngarahkannya diambil semula.

Pada masa kecederaan babak pertama, gerakan pantas Mohd Badri Mohd Radzi dengan Indra Putra Mahayuddin hampir menjelmakan gol penyamaan, tetapi tendangan lencong kapten Kelantan itu berjaya ditumbuk penjaga gol, Sani Anuar Kamsani.

Hairuddin menceriakan pasukan apabila berjaya mengelakkan diri daripada kawalan pertahanan untuk menghalakan han­­taran lintang Norshahrul dengan jaringan penya­­maan menerusi tandukan untuk menghidupkan api perjuangan the Red Warriors dan hampir 60,000 penyokong mereka.

Momentum beralih arah kepada Kelantan yang mengambil alih tam­­puk penguasaan de­­ngan Mohd Badri men­­cetuskan dentuman mer­­cun oleh penyokong hasil gol kemenangan buat mencipta sejarah baru mereka.

Cuti Peristiwa Buat Rakyat Kelantan

Kerajaan negeri Kelantan mengumumkan cuti peristiwa hari ini sempena kejayaan pasukan bola sepak The Red Warriors menjulang Piala Malaysia edisi ke 84 malam tadi.


Pengumuman dibuat Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini selepas menyaksikan sendiri detik gemilang Kelantan menewaskan Negeri Sembilan 2-1.

"Saya mewakili Menteri Besar Kelantan, mengumumkan esok cuti peristiwa supaya rakyat dapat tenang, gembira, bersyukur dan dapat balik ke Kelantan dengan selamat. "Kita juga ucap terima kasih kepada semua yang memberi kejayaan kepada Kelantan khususnya kepada Presiden Kafa dan rakyat Kelantan," katanya.

Kemenangan itu turut menebus kehampaan tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan pada saingan akhir piala paling berprestij Liga Malaysia itu musim lepas, selain menamatkan kemarau selama 55 tahun sejak kali pertama Kelantan mara ke pusingan akhir pada 1955, ketika piala tersebut dikenali sebagai Piala H.M.S Malaya. Negeri Sembilan memperolehi gol pertama seawal minit ke-13 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Shahurain Abu Samah. Manakala Kelantan memperoleh gol penyamaan hanya pada separuh masa kedua apabila hantaran luar Norshahrul Idlan Talaha tidak disia-siakan Hairuddin Omar yang menanduk dan merobek gol Negeri Sembilan pada minit ke-57.

Mohd Badhri Mohd Radzi menambah jaringan pada minit ke-65 hasil hantaran cantik Mohd Norfarhan Muhamad. Kedudukan kekal 2-1 sehingga wisel penamat, mengembirakan sekurang-kurangnya 60,000 penyokong Kelantan yang hadir ke stadium. Sementara itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga turut berjanji akan memberi imbuhan wang tunai kepada pemain Kelantan ekoran berjaya ke saingan peringkat akhir akhir Piala Malaysia musim ini.

Kenangan Manis Ketinggalan 0-1

Di sebalik kemelut yang melandanya sejak dua minggu lalu, ketua jurulatih Kelantan, B Sathianathan tampak begitu tenang ketika meraikan kejayaan anak didiknya menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada aksi final Piala Malaysia, malam tadi.

Namun, jauh di lubuk hatinya tersimpan perasaan puas dapat menjulang trofi berprestij itu kali ini. Sathia melalui tempoh memeritkan apabila digantung enam bulan yang kemudiannya ditangguhkan sebelum mengetuai pasukannya mara ke separuh akhir yang disusuli kejayaan manis, malam tadi. “Saya yakin kami akan menang walaupun pada babak pertama kami ketinggalan 0-1.

Tekanan sentiasa membelenggu saya. “Tetapi apa yang membantu saya adalah Tan Sri Annuar Musa (Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan). Dia kata jika apa-apa berlaku kepada saya, dia tetap akan bersama saya,” kata Sathia pada sidang akhbar pasca perlawanan.

Di sebalik kejayaannya membawa pulang Piala Malaysia buat pertama kali ke Kelantan, Sathia bagaimanapun tidak mahu menganggap dirinya wira. “Saya bukan wira Kelantan, wira sebenar adalah Tan Sri,” katanya yang baru mengendali pasukan itu sejak 13 bulan lalu. Menurut Sathia, Kelantan tidak akan meningkat mendadak seperti sekarang sekiranya Annuar tidak memberikan kepercayaan penuh kepada jurulatih untuk mengendali pasukan.

Detik-detik Manis


Wednesday, October 27, 2010

Tsunami Mentawai


Beratus-ratus penduduk maut, hilang dalam bencana alam terbaru Indonesia

Ombak tsunami meragut nyawa sekurang-kurangnya 113 orang, manakala 502 orang yang lain dilaporkan hilang selepas melanda Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat, semalam, berikutan gempa bumi yang kuat meratakan sejumlah kampung di tepi pantai.

Usaha mencari masih diteruskan di kawasan terjejas teruk iaitu di Pulau Pagai Selatan, Pulau Sipora dan mukim Sipora Selatan. Kebanyakan bangunan dan kediaman di kampung Betu Monga musnah, kata pegawai di pejabat wilayah Jabatan Perikanan, Hardimansyah.

“Daripada 200 orang penduduk kampung hanya 40 saja ditemui. Seramai 160 yang lain dilaporkan hilang, termasuk wanita dan kanak-kanak,” katanya.

“Kami menerima laporan daripada penduduk bahawa mereka gagal menyelamatkan anak masing-masing kerana pukulan ombak terlalu kuat. Kebanyakan penduduk yang ditemui dalam tangisan mengenang kehilangan sanak saudara mereka.”

Hardimansyah berkata, 80 peratus dari rumah di kampung itu musnah dan bekalan makanan hampir kehabisan.
Seorang pegawai badan bukan kerajaan Yayasan Citra Mandiri Mentawai, Rachmadi, berkata sejumlah kampung di di pantai barat Pulau Pagai Selatan rata dipukul ombak.

Polis di Mentawai berkata, pihaknya bersama sukarelawan sedang mencari mereka yang hilang. Pos bantuan bencana juga sudah didirikan bagi menyalurkan bantuan.

“Kami menjangka ramai penduduk akan memerlukan makanan dan tempat berlindung. Hujan sudah mula turun lebat dan angin sangat kencang di sini,” kata Ronald, pegawai polis di daerah Sikakap.


Ketua pusat menangani krisis di Kementerian Kesihatan Indonesia, Mujiharto berkata ombak tsunami yang melanda kepulauan Mentawai itu adalah setinggi tiga meter.

“Kebanyakan kawasan terbabit tidak mempunyai ramai penduduk. Namun pihak kami menyediakan 200 beg mayat.”


Gempa bumi lewat kelmarin yang mencetuskan tsunami berkenaan berukuran 7.7 skala Richter dan berpusat di dasar laut 78 kilometer di barat Pagai Selatan di kepulauan Mentawai.

Gempa bumi itu berlaku di garis gelincir sama dengan gempa bumi 9.1 skala Richter di Aceh yang mencetuskan tsunami besar di lautan Hindi pada 2004 hingga meragut 230,000 nyawa di berpuluh negara.

Kepulauan Mentawai yang dapat perhatian mendadak berikutan tsunami terbaru ini sudah lama menarik pelancong tetapi sudah mula dilupai.


“Pulaunya dengan pasir putih, sangat indah tetapi sepi. Pengunjung di sana seolah-olah memiliki pulau itu,” kata seorang pelancong yang baru kembali dari bercuti di kepulauan berkenaan.

Keindahan Kepulauan Mentawai memang dianggap luar biasa. Pasir putih menghampar, laut biru berhiaskan terumbu karang. Sementara kesenian penduduknya terutama suku Mentawai dikenali di seluruh dunia.

Pulau utama di kepulauan Mentawai ialah Pulau Siberut. Feri dari Padang boleh menghantar pengunjung ke sana dalam masa 10 jam

Malaysia di Tangga 56 Indeks Rasuah

Malaysia masih kekal di tangga ke-56 pada Indeks Persepsi Rasuah yang dijalankan oleh Transparency International (TI) tetapi mata yang dikutipnya terus merosot daripada 4.5 kepada 4.4.

Markah itu membuktikan bahawa negara telah gagal mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang meletakkan sasaran mereka daripada 4.5 kepada 4.9 daripada markah maksimum -10 mata.

Tempat teratas dikongsi oleh tiga negara - Singapura, New Zealand dan Denmark daripada 178 negara yang dikaji.

Menurut TI Malaysia, meskipun laporan yang dikeluarkan petang tadi, menunjukkan negara menuju ke arah yang betul, namun masalah timbul ketika pelaksanaannya.

Presidennya, Paul Low berkata kejatuhan dalam markah itu “secara statistik tidak signifikan”.

Beliau berkata kegagalan menangani rasuah akan mengagalkan usaha kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai negara berpendapatan tinggi memandangkan pertalian terus antara rasuah dan pendapatan per kapita.

Di samping itu, katanya lagi, usaha yang dibuat oleh kerajaan melalui GTP belum lagi menghasilkan sebbarang kejayaan kerana faedah daripada usaha yang dilakkukan akan mengambil masa sebelum kesannya dapat dirasai oleh rakyat di negara ini.

Menurut setiausaha agung TI Malaysia, Ngooi Chu-Ing, antara yang paling ketara adalah persepsi umum bahawa kerajaan kurang azam politik untuk menangani rasuah.

"Kita boleh lihat sebagai contoh, terdapat kebimbangan di kalangan umu bahawa tiada "ikan besar" yang didakwa dan juga kemajuan yang lembab dalam mengenalpasti serta mendakwa individu yang terbabit dalam skandal PKFZ (Port Klang Free Trade Zone).

"Begitu juga dengan keputusan "tiada sebarang tindakan"" (NFA) oleh peguam negara terhadap individu-individu yang didakwa mempengaruhi pelantikan hakim dalam badan kehakiman dan amalan berterusan memberikan kontrak projek-projek Mega secara tidak telus," katanya.

TI-Malaysia, katanya mengesyorkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kuasa mendakwa disamping membolehkan badan itu melaporkan secara terus kepada ahli jawatankuasa parlimen.

"Pada masa kini, menteri kabinet mengistiharkan harta mereka kepada Perdana Menteri namun butir-butir pengisytiharan harta mereka tidak pernah diumumkan kepada awam...kami juga menggesa ditegakkan kebebasan maklumat melalui pemansuhan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Penerbitan dan Percetakan," katanya.



Monday, October 25, 2010

Terbakar 12 Bas Hangus


KOTA BAHARU, 24 Okt - Dua belas bas Ekspres Budaya musnah dalam kebakaran di depoh simpanan bas itu di Kampung Panji, Pengkalan Chepa di sini, Sabtu malam.

Pegawai Operasi syarikat bas ekspres itu, Kamaruzaman Abdullah berkata kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan bernilai RM6 juta. "Kebakaran semua bas yang diletakkan berhampiran dan tersusun antara satu sama itu disedari oleh pengawal keselamatan pada kira-kira pukul 12 tengah malam," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata bas ekspres itu baru sahaja diletakkan di situ selepas selesai menurunkan penumpang dari beberapa destinasi. Kebakaran itu merebak terlalu cepat dan ketika bomba tiba, 70 peratus bas berkenaan telah musnah terbakar, katanya. Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Zahruddin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Sunday, October 24, 2010

Kelantan Bertemu N.9 Final Piala Malaysia Pada 30 Oktober 2010

Kota Bahru : Stadium Sultan Muhammed Ke-IV menjadi saksi kepada pasukan tuan rumah yang juga naib juara Piala Malaysia pada musim lepas begitu bersemangat untuk mencari gol awal pada separuh masa pertama lagi dengan melakukan lebih lapan percubaan.

Bagaimanapun, serangan itu berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Mohd Helmi Eliza Elias yang beraksi cemerlang.

Pada minit ke-2 Kelantan nyaris menyumbat gol awal melalui sepakan Nur Shahrul Idlan Talaha yang terkena tiang.

Pada babak separuh masa kedua, Kelantan lebih banyak mengasak dan Mohd Helmi terpaksa bekerja keras mengekang asakan pemain Red Warriors itu.

Kekebalan Mohd Helmi akhirnya tewas pada minit ke-78 melalui sepakan sudut yang diambil Nur Shahrul Idlan Talaha.

Sepakan bola tersebut melencong masuk dan gagal ditampan kemas Mohd Helmi yang menyaksikan lebih 20,000 penonton bersorak kegembiraan.


Manakala, juara Piala Malaysia musim lepas, Negeri Sembilan dan Kelantan sekali lagi berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia setelah mengalahkan lawan masing-masing pada perlawanan separuh akhir kedua malam Sabtu.

Di Stadium JCORP, Pasir Gudang, pasukan pelawat, Negeri Sembilan berjaya menumpaskan Johor FC dengan kemenangan 2-0.

Sebelum ini pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pasukan Johor FC mendahului Negeri Sembilan 1-0.

Pada babak separuh masa pertama perlawanan tampak kedua-dua pasukan lebih bertumpu kepada jentera serangan bagi menghasilkan gol pendahuluan perlawanan.

Pengadil perlawanan Nagor Amin Noor MOhamed telah mengiktiraf gol pertama pasukan negeri Sembilan apabila tandukan Mohd Shukor Adan telah melintasi garisan gol pada minit yang ke-36.

Pada babak kedua para penyokong pasukan Johor FC bagaikan terdiam apabila pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan Negeri Sembilan apabila Kunalan Subramaniam telah dijatuhkan oleh Khiri Kiman di dalam kotak penalti dan Sharurain Abu Samah menyempurnakan sepakan tersebut pada minit ke-60 perlawanan.

Kelantan dan Negeri Sembilan akan bertemu pada perlawanan akhir Piala Malaysia pada 30 Okt ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kecil Pun Hebat!

SwissMiniGun ini sangat kecil, ukurannya nampak lebih kurang seperti anak kunci, tapi boleh menembakkan peluru dengan kecepatan 270 mph, yang boleh membunuh dalam jarak dekat. Pistol ini diakui secara rasmi sebagai senjata terkecil di dunia, dan dipasarkan sebagai barangan koleksi. Ukuran panjangnya hanya 5,5 cm. Bahan pembuatnya adalah baja anti karat.

Ikan ini ditemukan di rawa-rawa di daerah Sumatra. Ikan ini jika dewasa, panjangnya boleh mencapai 7,9 mm

Boneka yang tingginya cuma 5 mm ini dibuat oleh Bettina Kaminski dari Jerman. Boneka ini secara rasmi dinyatakan sebagai boneka Teddy Bear terkecil di dunia.

Nama kuda ini adalah thumbelina, kuda yang tingginya hanya 17 inci, atau lebih kurang setengah meter. Thumbelina lahir di peternakan yang mengkhususkan diri menyediakan kuda mini.

Pinnochio, nama anjing ini, beratnya hanya setengah kilo dan ukuran tubuhnya lebih kurang besar tin minuman coca cola. Sayangnya Pinnochio telah meninggal, hanya kerana nafsu makannya yang terlalu besar. Jadi Pinnichio ditemui meninggal oleh pemiliknya, meninggal dengan keadaan perut penuh/kekenyangan.


Burger ini adalah burger terkecil yang boleh dimakan, lengkap dengan roti kecil beserta pakej kentang goreng mini juga.

Perkenalkan, Amillia Taylor, pada ketika dilahirkan iaitu 24 Oktober 2006, ia dilahirkan pada usia sangat muda dan dianggap sebagai bayi pramatang termuda yang masih bertahan. Ia lahir pada usia 22 minggu. Ketika saat kelahiran, beratnya hanya 280 gram, dan tingginya hanya 24 cm! Bayangkan, tersangatlah kecilnya.

Teko seramik ini dibuat oleh Wu Ruishen, ahli seramik terkemuka di China. Berat teko ini hanya 1,4 gram, dan benar-benar boleh berfungsi seperti teko biasa, cuma yang membezakan hanyalah kuantiti air di dalamnya.

Tokek kerdil atau Jaragua Sphaero, hanya berukuran 0.6 cm, atau kurang dari 2 cm saja. Tokek ini memiliki habitat asli di Amerika Latin.

Willard Wigan MBE, seniman yang melahirkan karya diatas, bertempat di Birmingham pada 1957. Ia menderita penyakit disleksia dan kesulitan belajar, sekolah ditempohinya dengan susah payah, dan akhirnya ia menemukan dunianya iaitu membuat miniatur terkecil. Bayangkan saja, betapa kecilnya miniatur Patung Liberty ini bahkan dapat muat di lubang kepala jarum!


Kesimpulannya....

Dan berkatalah Firaun : "Hai Haman buatkanlah bagiku sebuah bangunan yang tinggi supaya aku sampai ke pintu-pintu langit, supaya aku dapat melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku memandangnya seorang pendusta...." (al-Mu'min; 36-37).

Pada suatu hari, Firaun menitahkan para menteri serta pemimpin di Mesir berkumpul di istananya. Firaun mengeluarkan perintah kepada Haman supaya mengetuai pertemuan tersebut.

Firaun tidak berpuas hati dengan seruan Nabi Musa yang menyatakan bahawa hanya Allah sahaja yang layak disembah. Firaun mahu semua rakyat menyembah dirinya sahaja. Dia mendakwa dirinya adalah tuhan yang memerintah seluruh alam.

Sebaik sahaja semuanya berkumpul, Firaun terus berkata : "Hai Haman, adakah aku ini seorang pendusta?"

"Tidak ada seorang pun yang berani menentang tuanku," kata Haman.

Firaun berkata dengan marah: "Tetapi Musa berani menentang aku. Musa pernah mengatakan bahawa ada Tuhan lain selain aku di langit."

"Wahai tuanku, sesungguhnya Musa itu berbohong," jawab Haman.

"Aku sudah mengetahui bahawasanya dia berdusta!"

Firaun menoleh ke arah Haman lalu mengeluarkan perintah kepadanya: "Aku mahu engkau membina sebuah bangunan yang tinggi mencakar langit. Tingginya itu haruslah mencapai pintu-pintu langit. Aku hendak naik dan melihat bagaimanakah rupa Tuhan Musa itu. Bukankah Tuhan Musa itu berada di atas langit?"

"Aku akan melaksanakan perintah tuanku itu. Aku akan segera mengumpulkan jurutera-jurutera, beribu-ribu tukang kayu dan batu untuk membinanya," janji Haman kepada Firaun.

Setelah bertungkus lumus membina bangunan itu, maka siaplah bangunan yang tinggi hinggakan puncaknya tidak kelihatan. Sebaik sahaja bangunan itu siap, Firaun pun segera naik ke tingkat yang paling atas dan memerintahkan supaya di bawa anak panah kepadanya. Anak panah itu di panah ke arah langit. Dengan takdir Allah, anak panah itu kemudian terjatuh semula di hadapan Firaun. Anak panah itu berlumuran dengan darah. Padahal panah itu telah dicelupnya dengan darah sebelum dia memanah langit.

Dengan bangganya Firaun berkata : "Lihat, aku sudah pun membunuh Tuhan Musa. Tuhan Musa telah mati di tanganku. Aku yakin Musa adalah pendusta kerana dia mendakwa ada Tuhan di langit yang dapat menolongnya dan melantiknya sebagai Rasul."

Saturday, October 23, 2010

Kematian Abu Jahal

ABU Jahal atau namanya yang sebenar adalah Abu Hakam bin Syams. Beliau adalah pemimpin Quraisy yang sangat kuat dalam menentang usaha Rasulullah SAW untuk menyebarkan Islam.

Beliau mendapat gelaran Abu Jahal kerana sikapnya yang jahil dengan kebenaran.

Apabila beliau mendengar bahawa Rasulullah serta umat Islam di Madinah cuba menyekat kafilah Abu Sufian, beliaulah orang yang paling lantang mengapi-apikan permusuhan kaumnya dengan Rasulullah.

Abu Jahal selalu memaki dan memburuk-burukkan Rasulullah di hadapan kaumnya. Beliau sangat sombong dan selalu bercakap besar.

Beliau pernah berkata bahawa, beliau dan pengikut-pengikutnya tidak akan kembali sebelum tiba di Badar.

Mereka akan tinggal di sana selama tiga hari tiga malam, berpesta dengan riang ria sambil memotong kambing dan meminum khamar (arak), serta dihiburkan dengan syair-syair merdu yang dinyanyikan oleh wanita-wanita yang dibawa oleh mereka.

Semasa dalam Perang Badar, beliau dikawal oleh tentera-tentera yang ditugaskan khas untuk mengawalnya.

Abdul al-Rahman bin Auf menceritakan bahawa telah datang kepadanya dua orang pemuda iaitu Muaz bin Amru dan Muawiz bin Afra bertanyakan perihal Abu Jahal. Lalu ditunjukkan kepada mereka kedudukan Abu Jahal.

Berlakulah pertembungan yang sengit antara kedua-dua pemuda itu dengan Abu Jahal. Muaz terus memukul dan memenggal separuh daripada kaki Abu Jahal.

Tiba-tiba anak Abu Jahal telah menetak sebelah tangannya sehingga terkulai, lalu Muaz mengheret tangannya yang tergantung itu dan ditanggalkan terus daripada badannya.

Muaz pun terus mengasak Abu Jahal dengan pedangnya sehingga terhumban jatuh dan hampir menemui ajal. Sementara Muawiz pula terus berperang sehingga gugur sebagai seorang syahid.

Setelah selesai peperangan, Rasulullah memerintahkan orang-orang Islam supaya mencari Abu Jahal. Akhirnya Abdullah bin Mas'ud menjumpai Abu Jahal yang ketika itu masih dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

Abdullah meletakkan kakinya ke atas leher Abu Jahal dan memegang janggut beliau lalu memenggal kepala Abu Jahal dan dibawa ke hadapan Rasulullah.

Lalu baginda pergi ke tempat jasad Abu Jahal yang tersadai itu dan berkata, "Inilah dia Firaun umat ini".

Melihat kepala Abu Jahal itu maka, Rasulullah SAW pun turun dari tunggangan baginda. Rasulullah mengadakan sujud syukur serta memuji kebesaran Allah SWT apabila musuh nombor satu Islam itu akhirnya mati di tangan tentera Islam.

Kematian Abu Jahal bermakna lumpuhnya kepimpinan kaum Musyrikin Quraisy Mekah. Sehingga kini nama Abu Jahal masih disebut-sebut sebagai orang yang menjadi musuh Rasulullah. Begitulah tragisnya kematian Abu Jahal di tangan tentera Muslimin.

Friday, October 22, 2010

Dr Zulkefli Mohamad Calon Pas Di DUN Galas

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad diumumkan sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.45 Dun Galas.

Pengumuman itu dibuat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis pengisytiharan calon di Dataran Ilmu, di sini sekitar jam 11.54 malam ini.

“Inilah pemimpin yang PAS pilih sebagai ‘Calon Kita’ bagi Pilihan Raya Kecil N.45 Dun Galas. Beliau adalah Dr Zulkefli Mohamad,” umumnya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Menurut Tuan Guru Nik Aziz, Zulkefli dipilih kerana diyakini mampu meneruskan kerja cemerlang yang telah diusahakan wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Chek Hashim Sulaima.

Hadir sama pada majlis tersebut, semua pimpinan utama PAS Pusat termasuk Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharudin Mat Isa. Turut serta ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Datuk Ngeh Koo Ham.

Biodata Zulkefli:

Beliau merupakan anak kepada seorang pemimpin PAS, Mohamad Awang yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Penerangan PAS Kelantan tahun 1996.

Bapanya juga adalah bekas Adun Guchil, Kuala Krai tahun 1974-1978.

Ibunya pula, Ramelah Mat Jusoh seorang yang gigih mendidik 10 orang anak.

Hasilnya, calon PAS ini adalah anak yang ketujuh, seorang yang benar-benar mewarisi bakat perjuangan ayahnya.

Dr Zulkefli dilahirkan pada tanggal 16 Januari 1966 bertempat di Guchil 3, Kuala Krai.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Banggol Guchil, Kuala Krai. Kemudian meneruskan pengajian di peringkat menengah di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra.

Kecemerlangannya dalam pelajaran terbukti apabila mendapat tawaran belajar di Universiti Malaya dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan tahun 1992.

Pengalamannya sebagai seorang doktor kerajaan di Hospital Taiping, Perak (1992) kemudian berpindah ke Hospital Besar Kota Bharu (1993) dan Pusat Kesihatan Ciku 3 Gua Musang, telah mendidik beliau menyayangi masyarakat dan memahami kesusahan hidup rakyat.

Justeru itu, beliau mengambil keputusan membuka klinik sendiri di Ciku 3, Gua Musang sebagai meneruskan khidmat dan merapatkan lagi hubungannya dengan rakyat.

Dr Zulkefli mula aktif dalam PAS apabila terlibat dengan cawangan ketika berkhidmat di Ciku 3, sehinggalah beliau terpilih untuk jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang.

Beliau juga pernah bertanding dalam pilihan raya umum 2004 di Dun Galas dan pilihan raya umum 2008 bagi Parlimen Gua Musang.

Meskipun begitu, beliau menyedari bertanding di kubu kuat Tengku Razaleigh bukanlah mudah untuk mencapai kemenangan, namun dengan kegigihan dan kesungguhan, beliau tetap menghadapinya dan sedia memikul tanggungjawab parti.

Justeru, masyarakat dan parti menilainya sebagai seorang pemimpin yang ikhlas, taat dan rela berkorban demi perjuangan Islam.

DUN galas mempunyai 10,330 pengundi yang terdiri daripada 65.4 peratus Melayu, 22.3 peratus Cina dan 1.8 peratus India

Bakinya 10.5 peratus terdiri daripada pengundi dari kalangan Orang Asli yang seramai kira-kira 2,000 orang.

Galas adalah salah satu daripada tiga DUN dalam parlimen Gua Musang yang diwakili oleh Tengku Razaleigh, yang dianggap sebagai kubu kuat BN.

Kerusi tersebut jatuh ke tangan PAS dalam pilihan raya umum 2008, dilaporkan kerana peralihan undi bukan Melayu.

Sementara itu, BN akan mengumumkan calonnya untuk pilihan raya kecil DUN Galas dan parlimen Batu Sapi Ahad ini.

Tengku Razaleigh bersetuju menjadi pengarah pilihan raya kecil BN bagi DUN Galas, tetapi menolak dilantik sebagai calon.

Thursday, October 21, 2010

Mahathir Yang Terus Fobia

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya masih terus fobia dengan kehadiran bekas Timbalannya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam politik negara.

Fobianya Mahathir seolah-olah beliau sentiasa dihantui bayang-bayang Anwar, walau ke mana beliau pergi.

Sepatutnya pada usia extra emas seperti sekarang ini, bekas Presiden Umno itu harus banyak berehat dan meluangkan masa dengan anak cucu cicit. Tidak perlu hirau politik negara.

Baru-baru ini pun bekas PM itu dimasukkan ke sebuah hospital di Australia kerana keadaan kesihatannya tidak stabil. Ingatkan bila beliau dalam keadaan tidak sihat, beliau akan berhenti bersuara.

Namun, nampaknya Mahathir ini kata orang Utara jenis ‘ketegaq’ (keras kepala). Tidak hirau sakit demam, tidak hirau usia dah lanjut, masih hendak campur urusan politik juga.

Dalam satu sesi dialog pada program forum antarabangsa baru-baru ini, Anwar yang sudah dipecat, dipukul dan dihumban dalam penjara sejak 12 tahun lepas, masih menjadi ‘ulam’ beliau.

Katanya, keputusan mengheret Anwar ke muka pengadilan atas tuduhan meliwat kira-kira 12 tahun lalu merupakan satu tindakan tepat dan bukan konspirasi.

“Sebagai seorang yang rasional mustahil kes Anwar ini hasil daripada konspirasi. Kes Anwar membabitkan institusi kehakiman dan di dalam institusi ini, konspirasi sukar dilakukan kerana kita terpaksa berhadapan dengan banyak pihak.

“Kita bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan satu dua orang tetapi lebih 100 orang. Antaranya hakim, pendakwa, polis, saksi-saksi dan mangsa. Ini bukan kerja mudah kerana banyak pihak yang akan terlibat,” katanya pada sesi soal jawab itu.

Dakwanya, sepanjang 22 tahun memimpin negara, beliau tidak pernah sekali mempelawa hakim hadir untuk majlis-majlis rasmi sama ada di kediamannya atau di tempat lain kecuali Ketua Hakim Negara.

“Saya faham kedudukan hakim dan etika yang harus mereka patuhi. Sebagai hakim mereka perlu bebas daripada dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk golongan pemimpin kerana akhirnya mereka yang akan membuat keputusan bagi satu-satu kes,” katanya.

Bagi penulis, ironinya, mengapa selepas 12 tahun Anwar dipecat dan selepas tujuh tahun Mahathir bersara, beliau masih terpaksa mempertahankan tindakan memecat Anwar?

Bagaimana mungkin Mahathir boleh menafikan campur tangan beliau dalam urusan kehakiman negara. Semua orang tahu walaupun Ketua Hakim Negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, tetapi ianya adalah di atas nasihat Perdana Menteri. Dalam logik mudah, PM yang berkuasa melantik Ketua Hakim.

Isu Mahathir campur tangan dalam kehakiman bukannya baru. Rakyat tidak lupa bagaimana beliau terbabit dalam konspirasi memecat Tun Salleh Abas pada tahun 1988 yang lalu.

Kes Tun Salleh adalah satu isu besar yang merosakkan sistem kehakiman negara, sehingga menyebabkan rakyat meragui keadilan mahkamah kita. Ini berlaku zaman Mahathir menjadi PM.

Jika pada waktu itu (1988) pun beliau sudah campur tangan, apakah tidak mungkin tahun 1998 beliau tidak campur tangan? Dah tua-tua begini usahlah Mahathir hendak nafi. Budak-budak sekarang sudah cerdik.

Dalam kes Anwar secara spesifik. Bagaimana Mahathir boleh mengatakan beliau tidak ada konspirasi dan tidak campurtangan, sedangkan Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah (arwah) dan penggantinya, Tan Sri Abdul Gani Patail, duduk di bawah ketiak PM?

Ketika Anwar dibawa ke mahkamah selepas beberapa hari ditahan dan diseksa, dipukul sehingga lebam mata, Mahathir beriya-iya mendakwa Anwar memukul diri sendiri untuk meraih simpati rakyat.

Akhirnya terbukti melalui satu suruhanjaya, didapati Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor (ketika itu) yang memukul Anwar.

Ketegaqnya Mahathir ketika itu Allah sahaja yang tahu. Beliau beriya-iya mendakwa Anwar memukul dirinya sendiri, bila didapati sebaliknya, sedikit pun beliau tidak mahu meminta maaf.

Isu itu sudah lama berlalu, penulis sekadar mencatat sedikit rentetan sahaja.

Seterusnya, selepas Anwar dibebaskan pada November 2004, beliau tidak pernah menyerang Mahathir, malah enggan memburuk-burukkan bekas ketuanya.

Walaupun banyak kepahitan dialami Anwar, akibat daripada gelagat Mahathir, Anwar cuba ‘berjiwa besar’. Beliau enggan bertelingkah dengan orang yang sudah bersara. Biar banyak mana salah bekas PM tersebut, biarlah rakyat yang menghukumnya.

Namun bekas PM itu masih enggan duduk diam. Beliau terus menyerang dan mempersalahkan Anwar, di mana sahaja platform yang beliau sempat bersuara.

Mengapa Mahathir fobia sangat? Mengapa alergi sangat dengan Anwar? Khabarnya begitu fobia Mahathir dengan Anwar sehingga beliau enggan hadir ke majlis makan malam sempena 50 tahun Parlimen di PWTC, 15 Oktober lepas.

Pada majlis itu Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menjadi tetamu VVIP. Tun Abdullah Ahmad Badawi hadir, Dato’ Seri Najib Tun Razak hadir, semua VIP dan sebahagian besar bekas Ahli Parlimen turut hadir. Entahlah mungkin juga masa itu Mahathir tidak sihat.

Oleh itu, jika Umno-BN semakin lemah, semakin ditolak rakyat, bukan semuanya 100 peratus kerana Anwar. Ada salah Mahathir, ada salah Abdullah Badawi dan ada juga salah Najib.

Apakah semua ini disuarakan kerana Mahathir bimbang, jika Pakatan Rakyat menerajui Kerajaan Persekutuan nanti, beliau akan disumbat ke dalam penjara?

Usahlah fikir macam itu, beliau dah terlalu tua, kesian juga kita kepadanya.

Sepatah komen Anwar sewaktu sembang-sembang sambil menunggu lif di Parlimen dengan penulis, dalam nada berseloroh, “Orang tua ini tidak habis-habis menyerang saya, nanti kalau dikata nyanyuk, marah pula.”

Kata-kata spontan Anwar itu disambut gelak besar rakan-rakan Ahli Parlimen yang berada di situ.

Sumber : Oleh MOHD RASHIDI HASSAN

Tuan Guru Nik Aziz: Tokoh 20 Tahun Membangun Bersama Islam

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dinobatkan Tokoh 20 Tahun Membangun Bersama Islam sempena ulang tahun kerajaan Kelantan ke-20, malam tadi.

Sempena penganugerahan itu, Tuan Guru menerima cenderahati daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, pada acara yang penuh bersejarah itu.

Penganugerahan itu juga sebagai simbolik beliau menjadi tunjang pada pentadbiran Kelantan yang kini Menerajui Perubahan.

Saat biodatanya dibaca oleh penyair terkenal Kelantan, Abdul Hadi Yusof, Tuan Guru tidak dapat menahan sebaknya.

Turut hadir berangkat pada majlis itu, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Terdahulu, Sultan Kelantan telah berkenan merasmikan ulang tahun pentadbiran kerajaan Kelantan tepat jam 10.30 malam pada program yang diadakan di Kelantan Trade Cantre (KTC).

Tuan Guru sewaktu berucap pada majlis tersebut mengimbau kembali sejarah kemenangan kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah pada tahun 1990 sehingga ianya turut menjadi perhatian dunia.

Katanya, Kelantan tiba-tiba sahaja menjadi perhatian dunia bukan hanya kerana menang bersih pada pilihan raya 1990, sebaliknya berusaha mengamalkan dasar Islam dalam pentadbiran.

“Ramai yang mencela, ramai yang menyindir kerajaan Kelantan hanya mampu bertahan hanya tiga bulan, kemudian akan bankrap dan jatuh.

“Namun hari ini tuan-tuan dapat saksikan sendiri dengan pertolongan Allah yang tidak pernah menzalimi hamba-Nya sentiasa membantu dan terus membantu kerajaan negeri hingga berjaya sampai kini,” ujarnya.

Sementara itu, Wan Mohd Hanif Wan Mohammad, memenangi pertandingan mencipta logo sempena sambutan ulang tahun ke-20 itu.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob, Speaker Dun Kelantan, Datuk Mohd Nasharuddin Daud, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Adun dan ahli Parlimen.

Secara umumnya, sambutan program itu penuh dengan aktiviti keagamaan yang bermula dengan menunaikan solat Maghrib, solat sunat hajat yang diimamkan sendiri oleh Tuan Guru.

Sumber : harakahdaily

Tuesday, October 19, 2010

Bangunan UMNO Dibeli Pemuda PAS Kelantan

Bangunan Umno Kota Bharu yang tersergam indah di Jalan Sultanah Zainab di sini berjaya disiapkan Datuk Zaid Ibrahim ketika menerajui Umno bahagian tersebut pada 2001. Sebelum itu, bangunan berkenaan terbengkalai sejak berpuluh tahun.

Bangunan setinggi tiga tingkat itu mengandungi dewan yang boleh memuatkan sehingga 800 orang, bilik mesyuarat (100 orang) dan pejabat.

Pemuda PAS Kelantan membeli bangunan Umno Kota Bharu di Jalan Sultanah Zainab dari pemilik bangunan itu, Datuk Zaid Ibrahim.

Ia dibeli dengan harga RM4.5 juta yang bakal menjadi pejabat Pemuda PAS negeri dan pusat komersial.

Perjanjian jual beli ditandatangani antar Zaid dengan Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim dan juga kepimpinan Pemuda PAS negeri yang diketuai, Abdul Latif Abdul Rahman.

Majlis yang berlangsung di sebuah hotel di sini, tengah hari ini disaksikan Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tengku Fa-iz Petra dilantik Tengku Mahkota Kelantan

Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Sultan Ismail Petra, adinda kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke-V, dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan dan pewaris takhta kesultanan Kelantan berkutkuasa serta merta.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Aiseri Alias berkata keputusan itu dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri (MPN) yang bermesyuarat hari ini dengan dipengerusikan oleh Yang Dipertuanya, Tengku Abdul Halim Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ibrahim.

Istiadat penyerahan watikah pelantikan gelaran Tengku Mahkota Kelantan berlangsung di Istana Negeri di Kubang Kerian pada jam 2 petang tadi.

Mohd Aiseri memberitahu satu sidang akhbar bahawa mesyuarat MPN itu dihadiri oleh 14 daripada 15 anggotanya kecuali Tengku Razaleigh Hamzah yang tergugur secara automatik sebagai anggota kerana tidak hadir mesyuarat sebelum ini tanpa keizinan majlis itu.

Tengku Muhammad Fa-iz, 36, adalah anakanda kedua Sultan Ismail Petra daripada empat beradik. Dua lagi ialah Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Amalin A-Ishah Putri.

Tengku Muhammad Fa-iz, yang diputerakan di Istana Kota Lama pada 20 Jan 1974, dilantik sebagai Tengku Bendahara Kelantan pada 30 Mac 1989 dan menjadi Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sejak 21 Jun 2009.

Mohd Aiseri berkata, mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz bakal menjadi raja atau Pemangku Raja apabila baginda Sultan Kelantan berangkat ke luar negara melebihi 12 bulan atau tidak boleh menjalankan tugas sebagai Sultan dalam tempoh berkenaan.

Beliau juga berkata, mesyuarat MPN itu tidak membincangkan mengenai pelantikan Tengku Temenggong kerana mesyuarat hari ini adalah untuk menentukan pewaris yang bakal menjadi Raja.

"Pelantikan Tengku Temenggong hanya sebagai pelengkap sahaja dan tidak melibatkan pewaris yang bakal mewarisi takhta kesultanan Kelantan," katanya.

Gelaran Tengku Temenggong sebelum ini adalah milik Tengku Muhammad Fakhry Petra namun ia ditarik balik oleh Sultan Muhammad ke-V baru-baru ini.

Monday, October 18, 2010

Kuantan : 5 DiTembak Mati Polis

Polis menembak mati lima lelaki dipercayai warga asing di Indera Mahkota di sini selepas dipercayai terlibat dalam kejadian samun, awal pagi Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ACP T. Narenasagaran berkata sebelum kejadian kesemua lelaki terbabit dipercayai terlibat dalam satu kejadian samun membabitkan empat sekeluarga di Balok Baru dekat sini pada 3.30 pagi tadi.

Beliau berkata mangsa telah diikat namun salah seorang anak mangsa yang ketakutan telah menjerit menyebabkan penjenayah melarikan diri bersama telefon bimbit, kad ATM, barang kemas dan wang tunai.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis yang sedang membuat rondaan telah terserempak dengan sebuah kereta di jalan Kuantan By Pass yang dalam keadaan mencurigakan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Ahad.

Katanya, polis cuba menahan kenderaan terbabit namun ia terus memecut laju.

Narenasagaran berkata polis kemudian berjaya menghalang kenderaan terbabit di jalan masuk bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Indera Mahkota.

"Anggota terbabit telah memperkenalkan diri sebagai polis dan mengarahkan penjenayah berkenaan menyerah diri," katanya.

Bagaimanapun katanya penjenayah terbabit yang bersenjatakan parang dan sabit terus melibas dan menyerang anggota polis.

"Bagi mempertahankan diri, pasukan polis terpaksa melepaskan tembakan dan menyebabkan kelima-lima penjenayah mati di tempat kejadian," katanya.

Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada kesemua penjenayah, kata beliau.

Polis katanya turut menemui semula barangan yang disamun daripada mangsa di dalam kenderaan penjenayah terbabit yang dipercayai dicuri di Cheras pada 2005.

Katanya dengan tertumpasnya kesemua lelaki terbabit, polis percaya berjaya menyelesaikan sembilan kes samun iaitu lima di daerah Maran, masing-masing satu di Bera, Pekan, Temerloh dan Kuantan.

Sementara itu, mangsa Noraini Aziz, 44, ketika ditemui berkata anak perempuannya berumur 20 tahun yang sedang tidur terjaga selepas menyedari seorang lelaki yang tidak dikenali berada di dalam biliknya.

"Anak perempuan saya yang terkejut terus menjerit memanggil saya sebelum lelaki berkenaan mengeluarkan pisau dan menunjukkan isyarat diam," katanya.

Bagaimanapun, lelaki terbabit dan rakan-rakannya terus melarikan diri selepas jeritan itu bersama barangan yang disamun termasuk wang tunai RM20 dan tiga telefon bimbit.

Katanya dia turut mendapati terdapat beberapa pasang selipar yang bukan milik keluarga mereka di bahagian belakang rumahnya.

Sumber : bernama

Abu Bakar as-Siddiq

Abu Bakar as-Siddiq (b. Arab أبو بكر الصديق Abū Bakr al-Siddīq) ialah khalifah pertama orang Muslim dari tahun 632-634. Beliau pada awalnya digelar Abdul Kaabah (hamba Kaabah) tetapi selepas pengislamannya, beliau menukar namanya kepada Abdullah. Namun beliau selalu digelar Abu Bakar (daripada perkataan Arab Bakar yang bermaksud unta muda) kerana beliau amat gemar membiak unta. Beliau amat terkenal dengan gelaran As-Siddiq (yang membenarkan). Nama sebenar beliau ialah Abdullah ibni Abi Quhaafah.
Kehidupan Awal

Saidina Abu Bakar As-Siddiq merupakan sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang paling rapat sekali. Semasa Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah dari Makkah ke Madinah pada tahun 622, hanya beliau seorang yang mengikuti Rasulullah s.a.w. tanpa ditemani oleh orang lain. Rasulullah S.A.W mengahwini anak perempuan beliau iaitu Saidatina Aishah tidak lama selepas penghijrahan ke Madinah berlaku. Pernah menjadi kaya, dia juga dikenangi kerana jasanya membebaskan beberapa hamba yang beragama Islam daripada tuan mereka yang kafir termasuklah Bilal Bin Rabah. Belia juga merupakan salah seorang Muslim yang pertama sekali memeluk Islam.

Menjadi Khalifah Pertama

Semasa Rasulullah s.a.w. sedang sakit tenat, baginda mengarahkan supaya Saidina Abu Bakar mengimamkan solat orang Islam. Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., sebuah majlis yang dihadiri oleh golongan Ansar dan Muhajirin ditubuhkan untuk melantik seorang khalifah bagi memimpin umat Islam. Hasil daripada perjumpaan itu, Saidina Abu Bakar dilantik dan menjadi khalifah pertama umat Islam.

Perlantikan Saidina Abu Bakar mendapat tentangan daripada beberapa orang yang ingin melantik Saidina Ali Abi Talib sebagai khalifah kerana Saidina Ali merupakan menantu dan anak saudara Rasulullah s.a.w. Golongan Syiah yang merupakan golongan daripada keluarga Bani Hashim menentang perlantikan Saidina Abu Bakar. Tentangan itu tamat selepas Saidina Ali Abi Talib membaihkan Saidina Abu Bakar. Ada pendapat mengatakan bahawa Saidina Ali Abi Talib hanya membaihkan Saidina Abu Bakar selepas enam bulan.

Perang Riddah

Masalah mula timbul apabila Saidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah. Masalah ini mengugat kestabilan dan keamanan kerajaan Islam. Banyak puak-puak Arab memberontak dan menentang khalifah. Sesetengah daripada mereka enggan membayar zakat manakala ada pula yang kembali kepada menyembah berhala dan mengikut tradisi lama mereka. Puak-puak ini mendakwa bahawa mereka hanya menurut perintah Rasulullah s.a.w. dan memandangkan Rasulullah s.a.w. telah wafat maka mereka tidak perlu lagi mengikut ajaran Islam dan mereka telah bebas.

Saidina Abu Bakar menegaskan bahawa mereka bukan sahaja menyatakan taat sembah kepada seorang pemimpin malah mereka kini tergolong dalam golongan Muslim. Ada diantara mereka mendakwa bahawa mereka ialah nabi dan rasul. Bagi menumpaskan penghinaan dan perbuatan murtad ini maka Saidina Abu Bakar melancarkan perang terhadap golongan yang digelar golongan Riddah. Hal ini merupakan permulaan Perang Riddah. Antara orang yang mengaku menjadi nabi ialah Musailamah al-Kazzab. Khalid Al-Walid berjaya menumpaskan Musailimah dalam suatu pertempuran.

Ekspedisi ke Utara

Selepas berjaya mengurangkan golongan riddah, Syaidina Abu Bakar mula menghantar panglima-panglima perang Islam ke utara untuk memerangi Byzantine (Rom Timur) dan Empayar Parsi. Khalid Al-Walid berjaya menawan Iraq dalam hanya satu kempen ketenteraan. Beliau juga menempuh kejayaan dalam beberapa ekspedisi ke Syria. Menurut seorang orientalis Barat, kempen Saidina Abu Bakar hanyalah sebuah lanjutan daripada Perang Riddah. Hal ini jelas salah memandangkan kebanyakan golongan riddah terletak di selatan Semenanjung Arab dan bukannya di utara.

Pengumpulan Al Quran

Menurut ahli sejarah Islam, selepas Perang Riddah ramai orang yang mahir menghafaz Al Quran terbunuh. Saidina Umar Al-Khatab (khalifah yang berikutnya) meminta Saidina Abu Bakar untuk mula menjalankan aktviti pengumpulan semula ayat-ayat Al Quran. Saidina Uthman Affan kemudiannya melengkapkan aktiviti pengumpulan Al Quran semasa beliau menjadi khalifah.

Kewafatan Saidina Abu Bakar As-Siddiq

Saidina Abu Bakar wafat pada 23 Ogos 634 di Madinah iaitu dua tahun selepas menjadi khalifah. Ada dua pendapat mengenai sebab kematian Saidina Abu Bakar. Ada yang mengatakan disebabkan keracunan dan ada pula yang mengatakan Saidina Abu Bakar meninggal dunia secara biasa. Sebelum kewafatannya, Saidina Abu Bakar mengesa masyarakat menerima Saidina Umar Al-Khatab sebagai khalifah yang baru.

Saidina Abu Bakar dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. di Masjid an-Nabawi yang terletak di Madinah.

Sumbangan Saidina Abu Bakar

Saidina Abu Bakar walaupun hanya memerintah selama dua tahun (632-634), tetapi beliau banyak menyumbang terhadap perkembangan Islam. Beliau berjaya menumpaskan golongan Riddah yang ada diantaranya murtad dan ada diantaranya mengaku sebagai nabi. Beliau juga mula mengumpulkan ayat-ayat Al Quran dan beliau juga berjaya meluaskan pengaruh Islam.

Sumber : www.acehforum.or.id

Saturday, October 16, 2010

90 Juta Diperuntukkan Bagi Menaiktaraf Jalan

Parlimen Kuala Krau memohon peruntukan sebanyak RM90 juta untuk menaik taraf dan melebarkan tiga jalan Persekutuan utama di daerah ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, peruntukan khas itu akan digunakan menaik taraf jalan Kampung Awah-Simpang Jengka 8, Simpang Felda Jengka 18-Felda Jengka 21 dan melebarkan jalan Jengka 24 ke Kampung Kuala Mai.

Menurutnya, peruntukan itu nanti dapat dimasukkan di bawah RMK-10 memandangkan jalan raya terbabit perlu dinaik taraf dengan segera kerana ia menjadi laluan utama ketika ini.

’Jarak jalan Kampung Awah ke Simpang Felda Jengka 8 adalah sejauh 49 kilometer (km) membabitkan peruntukan RM50 juta manakala laluan jalan Simpang Felda Jengka 18 ke Felda Jengka 21 kira-kira 20km membabitkan kos RM20 juta.

‘’Kesulitan penduduk tanah rancangan Felda dan kampung tradisional di sini turut mendapat perhatian apabila jalan raya sepanjang kira-kira 20km dari Felda Jengka 24 ke Kampung Kuala Mai melalui jambatan baru Kuala Krau perlu dinaik taraf dengan anggaran peruntukan sebanyak RM20 juta,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada majlis hari raya Aidilfitri Parlimen Kuala Krau peringkat Dewan Undangan Negeri Jengka, di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Jengka, Wan Salman Wan Ismail.

Ismail berkata, jalan utama Kampung Awah-Simpang Kampung Awah perlu dinaik taraf segera berikutan jalan yang sempit, berselekoh, dan tidak rata serta mengundang risiko kemalangan maut.

Menurutnya, jalan berkenaan merupakan jalan yang sangat ‘produktif’ kerana menjadi laluan lori kelapa sawit dan getah serta nadi kepada kerancakan ekonomi di kawasan terbabit.

‘’Jalan ini sangat perlu dinaik taraf sekarang berikutan sudah siap pembinaan jambatan Kuala Krau yang merentangi Sungai Pahang sekali gus merancakkan lagi pembangunan di kawasan ini,’’ katanya.

Friday, October 15, 2010

Senyum Penoreh Getah

Getah cecah RM11.90 sekilogram

Harga catat sejarah, pekebun kecil RISDA mampu peroleh RM3,000 sebulan

Peningkatan harga getah SMR 20 secara konsisten dengan mencatat paras tertinggi RM11.90 sekilogram pagi kelmarin membolehkan 380,000 pekebun kecil RISDA memperoleh pendapatan sehingga RM3,000 sebulan.

Pengerusi RISDA, Tan Sri Rahim Tamby Chik, berkata kenaikan itu juga dijangka menarik perhatian orang ramai menoreh getah secara sambilan untuk menambah pendapatan, walaupun kegiatan menoreh getah semakin kurang popular sekarang.

"Pada 2008, apabila harga getah RM10 sekilogram, ada kakitangan awam dan swasta sanggup mengambil cuti tahunan untuk menoreh getah dan ada yang bangun awal pagi menoreh dulu sebelum pergi kerja. Berita baik ini juga dapat menarik perhatian belia untuk menjadi penoreh getah moden yang berjaya memandangkan ketika ini pekebun kecil majoritinya berumur 55 tahun ke atas.

"Kenaikan harga getah dan pendapatan yang diperoleh pekebun kecil pada masa ini boleh menarik minat mereka daripada bekerja di pejabat," katanya selepas merasmikan Kelab Keusahawanan RISDA Pahang, di sini semalam.

Sementara itu, Rahim ketika dihubungi berkata setakat jam 5 petang semalam harga SMR 20 ditutup RM12.02 sekilogram, iaitu yang tertinggi dalam sejarah industri getah negara dan dijangka akan terus memberi manfaat kepada pekebun kecil.

Katanya, berdasarkan harga semasa, pekebun kecil yang menjual getah sekerap mampu memperoleh 50 sen bagi setiap mangkuk susu getah yang dihasilkan dan memperoleh pendapatan sehingga RM170 sehari bagi setiap dua hektar kebun.
Pada tengah hari semalam, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia untuk gred tayar SMR 20 mengukuh 31 sen kepada RM12.02 sekilogram, manakala susu getah pukal menambah 8.5 sen kepada RM7.74 sekilogram. Harga penutup jualan tidak rasmi untuk gred tayar SMR 20 naik 27.5 sen kepada RM12.14 manakala susu getah pukal menokok 7.5 sen kepada RM7.78.

Selain itu, Rahim meminta pekebun kecil sentiasa mengamalkan langkah berjimat-cermat memandangkan harga komoditi itu banyak dipengaruhi faktor ekonomi global.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya bercadang mewujudkan skim simpanan khas bagi pekebun kecil bagi membantu mereka untuk jangka masa panjang.

"Malah, ia bertujuan menggalakkan pekebun kecil berjinak-jinak dalam bidang perniagaan supaya tidak hanya bergantung kepada pendapatan menoreh getah," katanya

Diselamatkan Selepas 2 Bulan Terperangkap

Setelah lebih dua bulan terperangkap, pasukan penyelamat Chile yang menggunakan sebuah kapsul hari ini akhirnya berjaya membawa keluar 14 daripada 33 pelombong yang terperangkap 700 meter di bawah tanah di sebuah lombong di sini, setakat pukul 10 pagi tadi (pukul 11 malam waktu Malaysia).

Sepuluh pelombong itu kesemuanya lelaki dibawa naik seorang demi seorang dalam tempoh lebih tujuh jam dalam operasi yang kelihatan berjalan lancar di gurun Atacama.
Drama menyelamat tersebut menarik perhatian seluruh dunia yang kagum dengan ketabahan dan semangat setiakawan pelombong-pelombong terbabit, sementara pegawai-pegawai merancang operasi menyelamat dengan rapi sejak dua bulan lalu untuk menyelamatkan mereka.

Pelombong pertama yang dibawa keluar ialah Florencio Avalos yang memakai kaca mata hitam untuk melindungi matanya daripada silau cahaya terang. Avalos, 31, keluar sambil senyuman lebar lalu memeluk anak lelakinya, Bairon, 7, dan isterinya sebelum didakap oleh Presiden Chile, Sebastian Pinera sejurus sebelum tengah malam tadi (11 pagi ini waktu Malaysia).

Pelombong kedua, Mario Sepulveda Espina muncul kira-kira sejam kemudian dan jeritannya telah kedengaran sebelum kapsul membawanya tiba di permukaan darat. Selepas memeluk isterinya, Elvira, Espina dengan gembira menghulurkan batu-batu dari bawah tanah itu yang dianggapnya sebagai ‘penjara’ sebagai cenderamata kepada para penyelamat.

Kemudian dia melompat-lompat seolah-olah untuk membuktikan dia masih kuat sebelum dibawa oleh pasukan perubatan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Sejam kemudian disusuli pelombong ketiga, Juan Illanes, diikuti satu-satunya warga asing di kalangan pelombong yang terperangkap itu, Carlos Mamani dari Bolivia, dan kemudian pelombong termuda, Jimmy Sanchez, 19.

Bagi lima pelombong pertama, operasi membawa naik seorang pelombong setiap satu jam, menepati jadual yang diumumkan untuk membawa keluar mereka semua dalam masa 36 jam.
Selepas operasi membawa keluar lima pelombong itu, pasukan penyelamat berhenti seketika untuk meletakkan minyak pelincir pada roda spring yang membolehkan kapsul bergerak lancar menerusi lubang keras dalam batu, sebelum membawa naik pelombong seterusnya.

Kejayaan membawa keluar pelombong terakhir di atas permukaan lombong menandakan tamatnya krisis pelombong terperangkap yang bermula apabila 700,000 tan batu runtuh pada 5 Ogos lalu, menyebabkan 33 pekerja lombong itu terperangkap di dasar lombong.

Thursday, October 14, 2010

Proton Inspira

Proton Holdings Bhd memperkenalkan Sedan baharu empat pintu bersaiz sederhana "Inspira", dengan harga permulaan pada RM79,888 dan ia bukan model pengganti bagi Waja.

"Waja sedang dihentikan. Ini bukan pengganti," kata Pengarah Urusannya Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir di pelancaran awal edisi terbaharu produk Proton itu di Subang.


Beliau berkata model baharu itu adalah hasil daripada perkongsian jangka panjang Proton dengan Mitsubishi Motors Corporation (MMC).

Kerjasama dengan MMC untuk menghasilkan Inspira membolehkan Proton menjimatkan banyak masa dan dana, katanya.

"Daripada padangan syarikat ia lebih murah," katanya sambil menambah kos untuk membangunkan sebuah kereta yang benar-benar baharu ialah kira-kira RM700 juta.



"Ia kerjasama sama-sama menang bagi Proton dan MMC," katanya.

Tempahan bermula hari ini dengan minimum RM1,000. Mereka yang menempah kereta dari hari ini sehingga 15 Nov akan mendapat perkhidmatan servis dua tahun percuma atau 50,000km pertama.

Pakej servis itu termasuk caj buruh percuma dan alat-alat servis bernilai RM1,658 bagi kereta tersebut yang akan dilancarkan pada 10 November.

Proton menawarkan penghantaran berubah berterusan (CVT) dengan sistem kawalan elektronik kenderaan pintar dan inovasi (INVECS-III) dalam varian Inspira.

Antara ciri-ciri praktikal yang boleh diharapkan pelanggan daripada model baharu ini termasuklah kruis auto, lampu automatik dan pengesan hujan, sistem penyaman udara automatik penuh dengan sistem kawalan cuaca bagi penumpang dihadapan dan belakang, dan beg udara keseluruhan bagi keselamatan penumpang.


Proton menyasar menjual 1,600 unit Inspira sebulan.

"Pasaran bagi kereta Segmen-C ialah kira-kira 5,000-6,000 unit sebulan. Oleh itu kami menyasar 1,600 sebulan kerana ia bernilai bagi wang," kata Syed Zainal.

Beliau berkata syarikat itu juga menyasar mengeksport Inspira, "tetapi kami akan terlebih dahulu memastikan kestabilan pengeluaran."


Inspira tampil dengan empat warna iaitu Putih, Hitam, Perak dan Merah.

Dakwa pegawai Imigresen di mahkamah, bukan ISA

Tindakan kerajaan yang menahan pegawai Jabatan Imigresen di bawah akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) langsung tidak boleh diterima.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, mana mungkin mencegah kejahatan dengan melakukan kezaliman terhadap manusia lain.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas tindakan kerajaan yang telah menahan tujuh kakitangan Jabatan Imigresen dan dua warga asing di bawah ISA kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan warga asing ke negara ini.

Katanya, ISA sejak dahulu diiktiraf rakyat sebagai akta drakonian yang zalim dan kejam yang berkuasa sewenangnya menangkap sesiapa sahaja tanpa bicara selama mana yang disukai oleh Menteri Dalam Negeri.

Beliau menambah, sepatutnya kerajaan bertindak wajar dengan menangkap dan mendakwa mereka di mahkamah.

“Bukankah negara kita mempunyai Akta Anti Penyeludupan Manusia 2007 (Akta) 670 yang telah dikuatkuasakan pada 28 Februari 2009,” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, berdasarkan kes yang sama sebelum ini pada 20 Julai 2009, lima pegawai kanan Jabatan Imigresen Johor dan empat perantara telah ditahan di beberapa tempat di Johor dan mereka telah disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda.

“Mengapa dalam kes kali ini, kerajaan memilih Akta ISA? Apakah kerajaan boleh bertindak sesuka hati tanpa mengikut undang-udang yang mereka cipta sendiri? Ataupun mungkinkah kerajaan bertindak sebegini kerana melindungi sesuatu pihak yang lain sehinggakan tidak mahu mendakwa pihak yang ditahan di mahkamah?” soalnya lagi.

Soalnya, mengapa pembunuh Datuk Sosilawati dan beberapa pembantunya yang dibunuh secara kejam yang dianggap pembunuhan paling dahsyat di negara ini didakwa di mahkamah tetapi pegawai-pegawai Imigresen berkenaan disumbat dalam ISA.

“Bagaimanakah keadilan dapat ditegakkan dengan cara sebegini?” tanya beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional dan Hubungan NGO DPPP.

Demi mengharapkan keadilan, ujarnya kerajaan wajar melepaskan mereka dari ISA dan dakwa mereka di mahkamah secara terbuka.

Tambahnya lagi, undang-undang dicipta untuk dipatuhi bukan untuk sekadar bahan pameran sahaja.

Justeru, beliau berkata, ISA sepatutnya sudah lama dikuburkan dan dijadikan bahan sejarah.

Wednesday, October 13, 2010

Suara Emas dari Habsyah : Bilal Bin Rabah

Suatu malam, jauh sepeninggalan Rasulullah, Bilal bin Rabbah, salah seorang sahabat utama, bermimpi dalam tidurnya. Dalam mimpinya itu, Bilal bertemu dengan Rasulullah.

"Bilal, sudah lama kita berpisah, aku rindu sekali kepadamu," demikian Rasulullah berkata dalam mimpi Bilal. "Ya, Rasulullah, aku pun sudah teramat rindu ingin bertemu dan mencium harum aroma tubuhmu," kata Bilal masih dalam mimpinya. Setelah itu, mimpi tersebut berakhir begitu saja. Dan Bilal bangun dari tidurnya dengan hati yang gulana. Ia dirundung rindu.

Keesokan harinya, ia menceritakan mimpi tersebut pada salah seorang sahabat lainnya. Seperti udara, kisah mimpi Bilal segera memenuhi ruangan kosong di hampir seluruh penjuru kota Madinah. Tak menunggu senja, hampir seluruh penduduk Madinah tahu, semalam Bilal bermimpi ketemu dengan nabi junjungannya.

Hari itu, Madinah benar-benar diselubungi rasa haru. Kenangan semasa Rasulullah masih bersama mereka kembali hadir, seakan baru kelmarin saja Rasulullah tiada. Satu persatu dari mereka sibuk sendiri dengan kenangannya bersama manusia mulia itu. Dan Bilal sama seperti mereka, diharu biru oleh kenangan dengan nabi tercinta.

Menjelang senja, penduduk Madinah seolah bersepakat meminta Bilal mengumandangkan azan Maghrib jika tiba waktunya. Padahal Bilal sudah cukup lama tidak menjadi muadzin sejak Rasulullah tiada. Seolah, penduduk Madinah ingin menggenapkan kenangannya hari itu dengan mendengar azan yang dikumandangkan Bilal.

Akhirnya, setelah diminta dengan sedikit memaksa, Bilal pun menerima dan bersedia menjadi muadzin kali itu. Senjapun datang mengantar malam, dan Bilal mengumandangkan azan. Tatkala, suara Bilal terdengar, seketika, Madinah seolah tercekat oleh berjuta memori. Tak terasa hampir semua penduduk Madinah menitiskan air mata. "Marhaban ya Rasulullah," bisik salah seorang dari mereka.

Sebenarnya, ada sebuah kisah yang membuat Bilal menolak untuk mengumandangkan azan setelah Rasulullah wafat. Waktu itu, beberapa saat setelah malaikat maut menjemput kekasih Allah, Muhammad, Bilal mengumandangkan azan. Jenazah Rasulullah, belum dimakamkan. Satu persatu kalimat azan dikumandangkan sampai pada kalimat, "Asyhadu anna Muhammadarrasulullah." Tangis penduduk Madinah yang mengantar jenazah Rasulullah pecah. Seperti suara guntur yang hendak membelah langit Madinah.

Kemudian setelah, Rasulullah telah dimakamkan, Abu Bakar meminta Bilal untuk azan. "Azanlah wahai Bilal," perintah Abu Bakar.

Dan Bilal menjawab perintah itu, "Jika engkau dulu membebaskan demi kepentinganmu, maka aku akan mengumandangkan azan. Tapi jika demi Allah kau dulu membebaskan aku, maka biarkan aku menentukan pilihanku."
"Hanya demi Allah aku membebaskanmu Bilal," kata Abu Bakar.
"Maka biarkan aku memilih pilihanku," pinta Bilal.
"Sungguh, aku tak ingin azan untuk seorang pun sepeninggal Rasulullah," lanjut Bilal.
"Kalau demikian, terserah apa kehendakmu," jawab Abu Bakar.

***
Di atas, adalah sepenggal kisah tentang Bilal bin Rabah, salah seorang sahabat dekat Rasulullah. Seperti yang kita tahu, Bilal adalah seorang keturunan Afrika, Habasyah tepatnya. Kini Habasyah biasa kita sebut dengan Ethiopia.

Seperti penampilan orang Afrika pada umumnya, hitam, tinggi dan besar, begitulah Bilal. Pada mulanya, ia adalah budak seorang bangsawan Makkah, Umayyah bin Khalaf. Meski Bilal adalah lelaki dengan kulit hitam pekat, namun hatinya, insya Allah bak kapas yang tak bernoda. Itulah sebabnya, ia sangat mudah menerima hidayah saat Rasulullah berdakwah.

Meski ia sangat mudah menerima hidayah, ternyata ia menjadi salah seorang dari sekian banyak sahabat Rasulullah yang berjuang mempertahankan hidayahnya. Antara hidup dan mati, begitu kira-kira gambaran perjuangan Bilal bin Rabah.

Keislamannya, suatu hari diketahui oleh sang majikan. Sebagai ganjarannya, Bilal di siksa dengan berbagai cara. Sampai datang padanya Abu Bakar yang membebaskannya dengan sejumlah wang tebusan.

Boleh dikata, di antara para sahabat, Bilal bin Rabah termasuk orang yang amat tegas dalam mempertahankan agamanya. Zurr bin Hubaisy, suatu ketika berkata, orang yang pertama kali menampakkan keislamannya adalah Rasulullah. Kemudian setelah beliau, ada Abu Bakar, Ammar bin Yasir dan keluarganya, Shuhaib, Bilal dan Miqdad.

Selain Allah tentunya, Rasulullah dilindungi oleh paman beliau. Dan Abu Bakar dilindungi pula oleh sukunya. Dalam posisi sosial, orang paling lemah saat itu adalah Bilal. Ia seorang perantauan, budak belian pula, tak ada yang membela. Bilal, hidup sebatang kara. Tapi itu tidak membuatnya merasa lemah atau tak berdaya. Bilal telah mengangkat Allah sebagai penolong dan walin-ya, itu lebih cukup dari segalanya.

Derita yang ditanggung Bilal bukan alang kepalang. Umayyah bin Khalaf, sang majikan, tak berhenti hanya dengan menyiksa Bilal saja. Setelah puas hatinya menyiksa Bilal, Umayyah pun menyerahkan Bilal pada pemuda-pemuda kafir berandalan. Diarak berkeliling kota dengan berbagai siksaan sepanjang jalan. Tapi dengan tegarnya, Bilal mengucap, "Ahad, ahad," puluhan kali dari bibirnya yang mengeluarkan darah.

Bilal bin Rabah, meski dalam strata sosial posisinya sangat lemah, tapi tidak di mata Allah. Ada satu riwayat yang membukti-kan betapa Allah memberikan kedudukan yang mulai di sisi-Nya.

Suatu hari Rasulullah memanggil Bilal untuk menghadap. Rasulullah ingin mengetahui langsung, amal kebajikan apa yang menjadikan Bilal mendahului berjalan masuk syurga ketimbang Rasulullah.

"Wahai Bilal, aku mendengar gemerisik langkahmu di depanku di dalam surga. Setiap malam aku mendengar gemerisikmu."

Dengan wajah tersipu tapi tak bisa menyembunyikan raut bahagianya, Bilal menjawab pertanyaan Rasulullah. "Ya Rasulullah, setiap kali aku berhadats, aku langsung berwudhu dan shalat sunnah dua rakaat."

"Ya, dengan itu kamu mendahului aku," kata Rasulullah membenarkan. Subhanallah, demikian tinggi derajat Bilal bin Rabah di sisi Allah.
Meski demikian, hal itu tak menjadikan Bilal tinggi hati dan merasa lebih suci ketimbang yang lain. Dalam lubuk hati kecilnya, Bilal masih menganggap, bahwa ia adalah budak belian dari Habasya, Ethiopia. Tak kurang dan tak lebih.

Bilal bin Rabah, terakhir melaksanakan tugasnya sebagai muadzin saat Umar bin Khattab menjabat sebagai khalifah. Saat itu, Bilal sudah bermukim di Syiria dan Umar mengunjunginya.

Saat itu, waktu shalat telah tiba dan Umar meminta Bilal untuk mengumandangkan azan sebagai tanda panggilan shalat. Bilal pun naik ke atas menara dan bergemalah suaranya.

Semua sahabat Rasulullah, yang ada di sana menangis tak terkecuali. Dan di antara mereka, tangis yang paling kencang dan keras adalah tangis Umar bin Khattab. Dan itu, menjadi adzan terakhir yang dikumandangan Bilal, hatinya tak kuasa menahan kenangan manis bersama manusia tercinta, nabi akhir zaman.

Tuesday, October 12, 2010

Masjid Shanke Yadem di Turki


Bentuknya sederhana besar, namun ramai jemaah yang datang dari setiap penjuru desa sebelum waktu solat masuk.

Mungkin kita tak percaya jika tidak melihat faktanya, kerana masjid ini di bina oleh seorang yang tidak kaya tetapi tergolong miskin, namun mampu membina sebuah Masjid di Turki. Nama masjidnya pun paling aneh di dunia, iaitu “Shanke Yadem”


Kisahnya bermula... di sebuah kawasan bernama Al-Fateh, pinggiran kota Istanbul, ada seorang yang warak dan sangat sederhana, namanya Khairuddin Afandi. Setiap kali ke pasar dia tidak membeli apa-apa. Bila merasa lapar dan ingin makan atau membeli sesuatu, seperti buah, daging atau manisan atau lain-lainnya, dia berkata pada dirinya, "Anggap saja aku dah makan..."

Wang yang sepatutnya digunakan untuk membeli keperluan makanan itu dimasukkan ke dalam kotak simpanan.… Begitulah yang dia lakukan setiap bulan dan sepanjang tahun. Dia mampu menahan dirinya untuk tidak makan dan belanja kecuali hanya untuk menjaga kelangsungan hidupnya saja.

Begitulah, hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun Khairuddin Afandi konsisten dengan amal dan niatnya yang kuat untuk mewujudkan impiannya, membangun sebuah masjid. Tanpa disedari, akhirnya Khairuddin Afandi mampu mengumpulkan dana untuk membangun sebuah masjid kecil di daerah tempat tinggalnya. Bentuknya pun sangat sederhana, hanya sebuah pagar persegi empat, ditanda dengan dua menara di sebelah kiri dan kanannya, sedangkan di sebelah arah kiblat ditengahnya dibuat seperti mihrab.

Akhirnya, Khairuddin berjaya mewujudkan cita-cita yang amat mulia itu dan masyarakat di sekitarnya pun kehairanan. Bagaimana Khairuddin yang miskin boleh membina sebuah masjid? Begitulah hebatnya Khairuddin walaupun miskin wang tetapi kaya dengan sifat dermawan, sehingga orang kaya pun tak mampu buat begitu.

Setelah masjid itu tegak, masyarakat tertanya-tanya dan setelah mendengar cerita yang sangat menakjubkan itu, merekapun sepakat memberi nama, “Anggap saja aku dah makan." atau dalam bahasa Turki disebut 'Shanke Yadem'

Subhanallah! Sekiranya orang-orang kaya dan memiliki pendapatan lebih dari kaum Muslimin di dunia, berfikir seperti Khairuddin, berapa banyak dana yang akan terkumpul untuk kaum fakir miskin? Berapa banyak masjid, sekolah, rumah sakit, dan keperluan umat dapat dibangunkan.. Berapa banyak infra struktur yang dapat kita realisasikan, tanpa perlu meminjam ke lembaga atau negara yang memusuhi Islam dan umatnya?

Berapa banyak pembaziran dilakukan, walaupun dalam bentuk makanan, pakaian dan lain-lain? Bukan saja di negara-negara Arab, bahkan di Malaysia juga. Pembaziran dan gaya hidup mewah raja-raja, sultan-sultan, pemimpin-pemimpin, walaupun bertopengkan Islam?

Kalau kaum Muslimin memiliki konsep hidup sederhana, mementingkan kehidupan akhirat dan mengutamakan istana di syurga berbanding rumah di dunia, seperti yang dimiliki Khairuddin Afandi ini, pastilah umat ini mampu meninggalkan yang haram dan syubhat dalam hidup mereka. Mereka pasti mampu mengalahkan syahwat duniawi yang menipu itu.

Sebagai hasilnya, pastilah negeri-negeri Islam akan berlimpah berkah yang Allah bukakan dari langit dan bumi. Tetapi kenyataan adalah sebaliknya.(Q.S. Al-A’raf / 7 : 96) 'Maka ambil pelajaranlah wahai orang-orang yang menggunakan akal yang sehat!

Jadi kewujudan Masjid Shanke Yadem ini sebenarnya mencabar orang-orang kaya, yang mementingkan gaya hidup mewah membazir, tanpa melihat, mensyukuri dan mempelupori usaha-usaha membangunkan agama Allah. mereka sebenarnya tidak menggunakan akal!

Sumber : ibnuhasyim

Tragedi Oktober 10.10.10


Lagi gambar-gambar sekitar kemalangan Tragedi Oktober 10.10.10 dengan klik disini dan untuk video kemalangan klik disini.

Kesemua 12 mangsa kemalangan ngeri membabitkan dua bas, sebuah van dan tiga kereta di kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Simpang Ampat di sini telah dikenal pasti.

Manakala sembilan daripada mangsa adalah rakyat Malaysia manakala tiga lagi berasal daripada Myanmar.

Polis berkata kejadian berlaku pada kira-kira 6.40 petang apabila sebuah bas ekspres yang menuju ke Kuala Lumpur, gagal dikawal lalu melambung dan memasuki laluan bertentangan.

Bas terbabit kemudian melanggar sebuah van dan menghempap dua kereta lain sebelum melanggar bahagian tepi bas Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menuju ke selatan.Sebuah kereta lagi turut terbabit dalam kemalangan itu, namun pemandu dan penumpangnya selamat.

Mayat telah dikenal pasti oleh pihak polis dengan bantuan ahli keluarga yang mula berkumpul di perkarangan rumah mayat sejak pukul 10 malam semalam.

Mereka yang terkorban adalah pemandu bas R. Ramachandra, 52, dari Kampung Tengah, Klebang Besar; penumpang bas Muhammad Farizuddin Talib, 19 (Balai Panjang, Malim); Azizi Ajis, 19 (Kampung Gapis, Nyalas); Norazmi Abdul Karim, 24 (Kampung Pondok Kempas, Selandar); Sharene Sofia Fadzry Tan, 18 (Semabok Perdana); Nur Shafika Baba, 29 (Pokok Mangga) and Eng Sok Kuan, 52, (Kuala Lumpur), tiga warganegara Myanmar, Pau Khan Tual, 21, Kam Khaw Tual, 28, and Cin Thawa Tuang (umur tidak diketahui).

Pemandu Van Goo Chuan Heng, 34, dari Taman Maju, Batu Pahat dan penunggang motosikal Pang Shi Moei, 57, (Taman Segar, Segamat).

Kemalangan itu turut menyebabkan lebih 40 penumpang lain cedera dan telah menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk di kedua-dua hala.

Mangsa-mangsa kemalangan maut di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat di sini, malam tadi. Mereka (dari kiri) Muhammad Farizuddin Talib, 19, Azizi Ajis, 19, Norazmi Abdul Karim, 24, dan pemandu bas ekspres, R. Ramachandra, 52. - Foto BERNAMA

Mangsa warga Myanmar (dari kiri) Pau Khan Tual, 21, Kam Khaw Tual, 28, dan Cin Thawa Tuang. - Foto BERNAMA

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails