Sunday, August 7, 2011

Kisah Surah Taha (Kepulangan Nabi Musa a.s)

Surah Taha mengemukakan episod risalah Nabi Musa a.s yang amat bermakna untuk kita hayatinya. Menariknya dalam surah ini, Allah saw taala kemukakan episod-episod kehidupan dan perjalanan dakwah Nabi Musa a.s secara imbasan kembali.

Apakah hikmah, apakah rahsia yang boleh digali dari surah ini? Barangkali Allah ingin tunjukkan kepada kita pembaca al-Quran bahawa surah ini bukan sahaja untuk menggambarkan kehidupan dan liku-liku dakwah Nabi Musa yang berduri dan penuh dengan tribulasi semata-mata tetapi sebenarnya setiap episod kisah-kisah para anbia dan aulia dalam al-Quran telah dirancang dengan teliti oleh Allah swt. Bayangkan setiap episod kehidupan mereka contohnya Nabi Musa a.s merupakan perjalanan proses marhalah-marhalah tarbiyah sehingga baginda diutuskan secara rasmi sebagai seorang Nabi dan rasul.

Dalam surah al-Kahfi yang pernah kita baca sebelum ini, kita pernah berjumpa dengan satu kisah perjalanan baginda bersama seorang hamba yang salih. Dalam perjalanan tersebut ada tiga episod ataupun marhalah tarbiyah yang disediakan oleh Allah untuk baginda. Begitulah seterusnya dalam beberapa kisah yang lain dalam kehidupan Nabi Musa a.s. Apabila kita membaca surah Taha, al-Qasas dan al-Syua’ara contohnya kita akan temui lagi kisah perjuangan hidup dan dakwah Nabi Musa a.s. Masihkah ingat kisah baginda yang dihanyutkan di sungai? Demi menyelamatkan seorang anak, si ibu telah berusaha untuk mencari jalan-jalan terbaik untuk anak yang dikasihi. Tanpa disangka, sungai yang difikirkan jalan yang paling selamat telah membawa Nabi Musa a.s (yang masih kecil) ke istana Firaun? Sebaik sahaja kecamuk si ibu reda melihat anaknya pergi dibawa arus, datang debaran baru tentang haluan peti anaknya menghala ke Firaun, raja segala raja kezaliman.

Dan demi sesungguhnya! Kami telahpun mengurniakan kepadamu berbagai nikmat pada satu masa yang lain sebelum ini. Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya: Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu. Ketika saudara perempuanmu pergi mencarimu lalu berkata kepada orang-orang yang memungutmu: Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada orang yang boleh memeliharanya? Maka dengan jalan itu Kami mengembalikanmu kepada ibumu supaya tenang hatinya dan supaya dia tidak berdukacita kerana bercerai denganmu dan semasa engkau membunuh seorang lelaki, lalu Kami selamatkan engkau dari kesusahan pembunuhan itu dan Kami telah melepaskan engkau berkali-kali dari berbagai-bagai cubaan; kemudian engkau tinggal dengan selamat beberapa tahun dalam kalangan penduduk negeri Madyan; setelah itu engkau sekarang datang dari sana pada masa yang telah ditentukan, wahai Musa! (Taha 37 -40)

Nabi Musa a.s membesar di istana sebagai seorang putera raja. Ditatang bagaikan minyak yang penuh, dipakaikan dengan pakaian yang indah, dihidangkan dengan hidangan yang paling lazat, dilimpahi hidup dengan kemewahan. Disediakan sebaik-baik pendidikan baik untuk menajamkan pemikiran ataupun menguatkan jasad. Pelik bukan? Ibu Nabi Musa a.s menyangka anaknya bakal bertemu ajal sekelip mata, rupanya Allah menjadikan istana tersebut tempat yang paling selamat untuk baginda. Begitulah yang terjadi sebaliknya dalam tadbiran dan pengetahuan Allah s.w.t.

Al-Syahid Sayyid Qutb melahirkan pandangan yang amat menarik dalam penulisannya Fi Zilal al-Quran mengenai kepulangan Nabi Musa as. Inilah babak pertama Nabi Musa dalam surah ini yang berkisar tentang kepulangan. Setiap manusia dia akan terasa suatu ikatan yang amat kuat dengan tempat asalnya. Dari sekecil ‘kepulangan’ sehingga sebesar ‘kepulangan’ ke negeri akhirat. Itulah nature seorang da’iy yang mana dia akan memberikan prioriti untuk berdakwah dan mengubah dirinya sendiri, kaum keluarga, tanah air yang lebih hampir ikatan tersebut dengan dirinya biarpun jasadnya jauh merantau.

Ikatan inilah yang menarik-narik jiwa Nabi Musa untuk pulang walaupun sepuluh tahun berada di bawah bumbung tarbiyah seorang Nabi di Madyan dan berkeluarga di sana, belum menjamin dan tidak memberikan satu desakan yang kuat untuk dia terus berumahtangga dan menyumbang di Madyan. Di tambah pula, kezaliman Firaun di negeri sendiri yang sebut-sebut orang dan didengar-dengar dari jauh telah menyebabkan Nabi Musa merasa bertambah kuat perlu baginya untuk kembali. Inilah perasaan da’iy ataupun pendakwah yang mengetahui di manakah prioriti dan halatuju dakwah mereka.

Tetapi kembali Nabi Musa a.s yang bagaimana? Kembali untuk dihukum sebagai seorang penjenayah? Atau kembali untuk menamatkan hayat di tangan Firaun? Sedangkan dia tahu sebagai seorang lelaki berketurunan bani Israel, hidupnya tidak akan selesa, bahkan sudah ramai yang telah dibunuh baik sejak usia mereka kecil sehinggalah peringkat mereka yang sudah berusia.

Sepuluh tahun dahulu, Nabi Musa a.s terpaksa menyelamatkan dirinya setelah terlibat dengan konflik perbalahan di antara dua bangsa Qibti dan Israil. Konflik bangsa yang sia-sia dan tiada masa depan di bumi Mesir. Tetapi baginda menjadi mangsa keadaan. Seorang manusia yang tidak suka kezaliman dan kekejaman terpaksa masuk campur untuk menamatkan sengketa. Siapakah suka kepada konflik ? Apatah lagi jika hatinya ada jiwa penghambaan kepada Allah taala? Siapakah yang suka penindasan ? lebih-lebih lagi bagi seorang manusia yang menjunjung keadilan dan hak yang sama buat semua?

Baginda yang terperangkap dalam konflik tersebut secara tidak sengaja membunuh seorang yang berbangsa Qibti sewaktu menyelamatkan seorang lagi yang dizalimi kebetulannya dari keturunan bani Israil. Demi mengelak mudarat dan hukuman yang takkan berpihak kepadanya, Nabi Musa a.s terpaksa mencari jalan keluar dari Mesir. Dalam suasana semasa yang akan menyebabkan baginda tidak akan mendapat pembelaan yang adil bahkan boleh jadi hukumannya jika dia terus berada di Mesir, bukan hayatnya sahaja yang terancam tetapi seluruh keluarganya yang ditangkap dan dibunuh, lalu Nabi Musa dengan rasa pahitnya sehelai sepinggang membawa diri sehingga ke Madyan. Baginda merasakan awan akan terus menerus mendung dan membawa hujan rupanya ketentuan Allah lebih hebat. Rupanya ada sinar mentari yang bersinar di sebalik mendungnya awan. Siapa menyangka ada pelangi yang indah selepas turunnya hujan. Allah sediakan beberapa penawar di Madyan. Nabi Musa bukan sahaja mendapat jodoh tetapi berjodoh dengan seorang puteri seorang nabi dan mendapat tarbiyah di bawah bimbingan Nabi Syu’aib as sehingga genap sepuluh tahun.

Antara babak awalan dalam Surah Taha ini menceritakan detik-detik kepulangan Nabi Musa. Allah taala bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w apakah sampai kepadamu kisah Musa? Bayangkan jiwa Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda r.a membaca surah ini di kala mereka menghadapi tentangan hebat oleh golongan Quraisy di Makkah. Bayangkan hati-hati mereka yang terpaksa berhijrah meninggalkan rumah tempat mereka berteduh, isteri dan anak serta harta yang menjadi kesayangan mereka. Mereka terpaksa berhijrah ke Habsyah dan kemudian ke Madinah sehelai sepinggang, terancam nyawa dan tidak tahu apakah untung nasib mereka di tempat baru. Apakah mereka akan dapat pulang kembali nanti? Apakah mereka dapat bertemu lagi dengan anak isteri? Apakah nanti ada galang gantinya setiap yang ditinggalkan?

Dalam perjalanan pulang ke Mesir itulah bermulanya era risalah bagi baginda. Pulangnya baginda bukan sekadar tuntutan peribadi dan jiwanya tetapi ditambah dengan tanggungjawab risalah dan amanah baru sebagai seorang Nabi.

Ketika dia melihat api, lalu berkatalah dia kepada isterinya: Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya atau aku dapat di tempat api itu: Penunjuk jalan. Maka apabila dia sampai ke tempat api itu (kedengaran) dia diseru: Wahai Musa! Sesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi Tuwa yang suci. Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu. Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku. Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang dia usahakan. Maka janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang tidak beriman kepadanya serta dia menurut hawa nafsunya; kerana dengan itu engkau akan binasa. (Taha 10-16)

Pada malam tersebut, baginda bukan lagi insan biasa. Tetapi diangkat sebagai seorang Nabi dan Rasul untuk Bani Israil. Baginda juga ditemukan dengan cahaya dan dianugerahkan dengan bukti-bukti mukjizat sebagai peneguh hujah dan risalah.

Bayangkan seorang pesalah yang di bawa ke mahkamah untuk dihukum. Itulah perasaan Nabi Musa as untuk menghadapi suasana di Mesir. Tetapi biarpun dikira bersalah menurut hukum Firaun, Nabi Musa as bukan seorang pesalah yang sebenarnya. Mukjizat yang diberikan kepada baginda akan menjadi hujah dan bukti kenabian dan risalah yang dibawakan oleh baginda adalah daripada Allah swt. Walaupun sudah ada kekuatan mukjizat baginda tidak putus berdoa agar diberikan kelapangan untuk menghadapi cabaran yang mendatang, diuraikan kesusutan dan kesulitan, dimudahkan urusannya, dilancarkan lidahnya untuk mengeluarkan hujah dan tidak biarkan dirinya berdakwah berseorangan tetapi baginda memohon agar ada di kalangan keluarganya yang akan membantu.

Nabi Musa berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, Supaya mereka faham perkataanku, Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku. Iaitu Harun saudaraku; Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku, Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku, Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu, Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu; Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami. Allah berfirman: Sesungguhnya telah diberikan kepadamu apa yang engkau pohonkan itu, wahai Musa! (Taha: 25-36)

sumber : chekmekmolek

Saturday, August 6, 2011

Ramadhan Bulan Mulia Mengapa Mempersiakanya




video

Dikala pagi menyapa mereka sibuk bersedia mempersiapkan diri bagi mencari nafkah sama ada sesuap nasi mahupun untuk kesenangan dan keselesaan di masa kini jua untuk masa hadapan. Walaubagaimanapun usahlah bertindak di luar keterbatasan keyakinan dan kemuliaan yang diragut oleh kesedihan dan kesimpatian. Berfikirlah sebelum bertindak namun jika keikhlasan yang diumpan oleh kesimpatian dan kesedihan rasa boleh mengundang keterbantutan segala.

Bagi mengetahui lebih lanjut dan melihat paparan yang lebih jelas realiti drama nyata di atas anda boleh lihat di pautan http://www.mazidulakmal.com


p/s :bukan riak diri jauh sekali menghina hanya sekadar menitiskan tinta moden sebagai mengiringi putaran kehidupan manusia yang pelbagai.

Friday, August 5, 2011

Iklan Bermesej



video





video


Padat, ringkas, bermesej dan menarik..... itulah yang dapat diperkatakan setelah melihat iklan-iklan di atas yang tentunya tidak ada bantahan oleh orang ramai malah boleh memberikan mesej yang berguna kepada penonton.

Apa yang pasti iklan sebegini sudah jarang dapat kita lihat di bumi bertuah Malaysia, yang ada cuma iklan yang menimbulkan situasi yang kurang menyenangkan malah mendapat bantahan dari penonton sendiri.

Apakah pengkarya atau karyawan di Malaysia sudah ketandusan idea-idea sebegini atau mungkin masih lagi dilingkungi kepompong-kepompong keterbatasan.

Berjamaah

Kelebihan Solat Berjamaah


عَنِ ابْنِ عُمَرَ اَنَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم
قَالَ صَلاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاةُ الْفَذِّ بِسَبْعٍ
وَعِشْرِيْنَ دَرَجَةً


Dari Ibnu Umar r.a. katanya
Bersabda Rasulullah s.a.w. :
Solat berjamaah lebih baik daripada solat sendirian dua puluh tujuh darjat
Hadis sahih riwayat Muslim

Pentingnya Solat Isya' Dan Subuh Berjamaah


عَنْ أَبِى هُرَيْرَة قَلَ قَلَ رَسُولُ الله صلعم
اِنَّ أَثْقَلَ صَلاةٍ عَلَى الْمُنَافِقِيْنَ الْصَلاةُ الْعِشَاءِ وَاصَلاةُ الفَجْر
وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا لأ تَوْهُمَا
وَلَوْ حَبْوًا وَلَقَدْ هَمَمْتُ أَن آمُرَ بِالصَّلاةِ فَتُقَامَ
ثُمَّ آمُرَ رَجُلا فَيُصَلِّى بِالنَّاسِ
ثُمَّ أَنْطَلِقَ مَعِى بِرِجَالٍ مَعَهُمْ حُزَمٌ مِنْ حَطَبٍ اِلَى قَومٍ
لا يَشْهَدُونَ الصَّلاةَ فَأُحَرِّقَ عَلَيْهِمْ بُيُو تَهُمْ بِالنَّارِ


Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Bersabda Rasulullah s.a.w. :
"Sesunggunhya solat yang terberat bagi orang munafiq ialah solat Isya' dan Subuh sekiranya mereka tahu akan besarnya pahala yang ada pada kedua solat tersebut nescaya mereka itu akan mendatanginya untuk berjamaah walaupun merangkak Sesungguhnya hampir aku perintahkan kepada orang lain untuk mengimamkan solat, sedangkan aku sendiri pergi menuju ke tempat orang-orang yang tidak turut solat berjamaah lalu membakar rumah mereka dengan api
Hadis sahih riwayat Muslim

Sujud Sajadah

Sujud Sajadah/Tilawah


Tilawah ertinya bacaan, dan Sujud Sajadah atau sujud Tilawah itu ialah perbuatan sujud apabila seseorang itu bertemu ayat sajadah dalam bacaan al-Qur'an sama ada di dalam solat ataupun di luar solat.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu dia sujud; maka syaitan jatuh sambil menangis. Katanya, "Celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, maka dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud, tetapi aku menolak maka untukku neraka." (HR Al-Bukhari dan Muslim)

Hukum sujud sajadah adalah sunat mu'akad, atau sunat yang amat digalakkan.

Dari Umar r.a.: Pada suatu hari Jumaat, dia (Rasulullah) membaca surah al-Nahl di atas mimbar, maka ketika sampai pada ayat sajadah, dia lalu turun dan sujud. Dan para hadirin juga turut melakukan sujud. Pada hari Jumaat berikutnya, dibacanya surah berkenaan, lalu apabila sampai pada ayat sajdah dia berkata: "Wahai manusia, sebenarnya kita tidak diperintahkan (diwajibkan) sujud tilawah. Tetapi barangsiapa bersujud, dia telah melakukan yang benar. Dan barangsiapa yang tidak melakukannya, maka dia tidak mendapat dosa." (HR Bukhari)

Ayat-ayat sujud sajadah ialah:

1. Surah 7 (Al-A’Raaf) Ayat 206
2. Surah 13 (Ar-Ra’d) Ayat 15
3. Surah 16 (Al-Nahl) Ayat 50
4. Surah 17 (Al-Isra’) Ayat 109
5. Surah 19 (Maryam) Ayat 58
6. Surah 22 (Al-Hajj) Ayat 18
7. Surah 22 (Al-Hajj) Ayat 77
8. Surah 25 (Al-Furqaan) Ayat 60
9. Surah 27 (An Naml) Ayat 26
10. Surah 32 (As-Sajdah) Ayat 15
11. Surah 38 (Shaad) Ayat 24
12. Surah 41 (Fushshilat) Ayat 38
13. Surah 53 (An-Najm) Ayat 62
14. Surah 84 (Al-Insyiqaq) Ayat 21
15. Surah 96 (Al-'Alaq) Ayat 19

Nota: Perlu dinyatakan bahawa bacaan Surah 38 (Shaad) Ayat 24 menurut Syafi'iyah dan Hanbaliyah tidak termasuk ayat sajadah, tapi ayat yang disunatkan untuk sujud syukur (keterangan sujud syukur akan menyusul selanjutnya). Bacaan surah 22 (Al-Hajj) Ayat 77 pula menurut madzhab Syafi'iyah dan Hanbaliyah dimasukkan sebagai ayat sajadah.

Untuk mengenali ayat-ayat sajadah itu di dalam al-Qur'an, kebiasaannya pada ayat-ayat itu ada ditandakan garis atau simbol dengan tertulis perkataan sajadah.

Bacaan Sujud Sajadah
سجد وجهي للذي خلقه وشق سمعه وبصره بحوله وقوته فتبارك الله أحسن الخالقين

"sajada wajhiya lillazii kholaqohuu wa syaqqa sam'ahuu wa basorahuu bihaulihii wa quwwatihii fatabaarokallahu ahsanul kholiqiin".

Ertinya: "Aku bersujud dengan wajahku kepada Dzat yang telah merupakan dan menciptakannya, dan menciptakan pendengaran dan penglihatannya dengan kekuatan-Nya. Maha memberkati Allah, sebaik-baik Pencipta."

Thursday, August 4, 2011

Hidayah Dalam Islam


ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sesiapa yang Allah kehendaki mendapat hidayah nescaya dilapangkan dadanya untuk menerima Islam dan sesiapa yang dikehendaki sesat nescaya dijadikan dadanya sempit dan sesak seolah-seolah naik ke langit. Demikianlah Allah menimpakan kehinaan kepada orang yang tidak beriman.” (Surah al-An’am, ayat 125).

Allah Maha Berkuasa untuk mengurniakan petunjuk dan hidayah-Nya kepada yang dikehendaki-Nya. Hanya dengan petunjuk dan hidayah Allah saja dapat mengubah manusia dan kehidupannya dari kekufuran kepada keimanan, kemaksiatan kepada ketakwaan, kezaliman kepada keadilan, kegelapan kepada cahaya kebenaran dan kegelisahan kepada ketenangan jiwa.

Hidayah itu ialah petunjuk yang dikurniakan Allah kepada manusia untuk mencapai kesejahteraan serta kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa memohon hidayah petunjuk daripada Allah ke arah jalan yang benar.

Lebih-lebih lagi perjalanan hidup berliku yang ditempuhi setiap insan menuntut ketabahan, kesabaran dan pertolongan Ilahi supaya dia berjaya dalam hidup. Oleh itu, Islam mensyariatkan amalan berdoa dan memohon petunjuk daripada Allah.

Hidayah petunjuk yang dianugerahkan Allah sebenarnya tidak boleh diukur berdasarkan keadaan lahiriah semata-mata. Sebaliknya, ia bergantung kepada keimanan dan ketakwaan yang bertapak kukuh dalam jiwa. Dalam erti kata lain, Allah mengurniakan hidayah kepada hamba yang beriman dan bertakwa.

Hidayah Allah tidak ada kaitan dengan hubungan pertalian darah atau kekeluargaan. Seseorang yang taat dan hidup bahagia dengan hidayah Allah, tidak semestinya anaknya juga begitu. Contohnya, Nabi Nuh dan anaknya serta Nabi Muhammad SAW dengan bapa saudaranya, Abu Lahab.

Ada juga orang fasik yang sentiasa bergelumang dosa tetapi anaknya seorang yang salih dan patuh ajaran Islam. Ini berlaku kepada Nabi Ibrahim dengan ayahnya, pengukir patung berhala.

Oleh sebab itu, kita tidak boleh menyangka orang yang selalu melakukan kejahatan tidak akan mendapat hidayah Allah kerana hanya Allah yang berkuasa memberi hidayah kepada sesiapa dikehendaki-Nya.

Nabi dan rasul, tugasnya menyampaikan kerana tidak ada siapa yang dapat memberi petunjuk melainkan Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Tidaklah kamu diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk, (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk) akan tetapi Allah juga yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya). Dan apa juga harta halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri. Dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah. Dan apa juga yang kamu dermakan dari harta yang halal akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.” (Surah al-Baqarah, ayat 272)

Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Quran al-Azim ada menyebut sebab turunnya ayat kerana ada beberapa orang Islam yang bersedekah kepada fakir miskin penduduk Madinah, kemudian setelah ramai bilangan yang masuk Islam, maka Rasulullah SAW menegah memberi sedekah kepada orang musyrikin.

Tujuannya ialah untuk menarik mereka supaya menganut Islam kerana Rasulullah SAW sangat mengambil berat akan hal ehwal mereka. Lalu turunlah firman Allah yang memerintahkan Baginda supaya terus memberikan sedekah kepada mereka.

Biarpun hidayah menjadi milik mutlak Allah, namun umat Islam dituntut untuk menyampaikan dakwah Islam kepada bukan Islam supaya beriman kepada Allah.

Dakwah yang baik dan berkesan hendaklah berpaksikan kepada tiga kaedah iaitu berdakwah secara hikmah atau bijaksana, memberi pengajaran atau contoh teladan baik dan bertukar fikiran atau berdialog dengan cara lebih baik.

Oleh itu, setiap Muslim perlu mempergiatkan usaha untuk berdakwah dan bersabar dalam menjalankan usaha dakwah Islamiah kepada bukan Islam supaya ia mencapai matlamat yang disasarkan iaitu keadilan Islam, keharmonian hidup serta kecemerlangan dalam hidup.

Hidayah dan petunjuk Allah akan sentiasa mengiringi setiap langkah dan jalan diterokai orang beriman dan bertakwa kepada-Nya dalam rangka untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.

Sumber : islamituindah & ikhwanzhaki

Wednesday, August 3, 2011

Sujud


Kedudukan Tapak Kaki Semasa Sujud Mengikut Sunnah Nabi s.a.w

Berkata Aisyah Radhiyallahu 'anha: "Aku kehilangan Rasulullah s.a.w padahal beliau tadi tidur bersamaku, kemudian aku dapati beliau sujud dengan merapatkan kedua tumit (kaki)nya (dan) menghadapkan Hujung-hujung jari kakinya ke kiblat."
(Hadis diriwayatkan oleh Imam Hakim dan Ibnu Huzaimah).

Ulama mengatakan sujud yang sempurna ketika solat adalah waktu manusia paling menggalakkan sistem pernafasan dan mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya. Percaya atau tidak, berikut adalah hikmah yang diperoleh daripada perbuatan bersujud ketika sembahyang.

1. Membetulkan kedudukan buah pinggang yg terkeluar sedikit daripada tempat asalnya.

2. Membetulkan pundi peranakan yang jatuh.

3. Melegakan sakit hernia.

4. Mengurangkan sakit senggugut ketika haid.

5. Melegakan paru-paru daripada ketegangan.

6. Mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa.

7. Kedudukan sujud adalah paling baik untuk berehat dan mengimbangkan lingkungan bahagian belakang tubuh.

8. Meringankan bahagian pelvis.

9. Memberi dorongan supaya mudah tidur.

10. Menggerakkan otot bahu, dada,leher, perut serta punggung ketika akan sujud dan bangun daripada sujud. Pergerakan otot ini akan menjadikan ototnya lebih kuat dan elastik,secara semula jadi dan ia juga akan memastikan kelancaran perjalanan darah.

11. Bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit buah dada.

12. Sujud juga mampu mengurangkan kegemukan.

13. Pergerakan bahagian otot sewaktu sujud juga boleh memudahkan wanita bersalin. Organ peranakan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar daripada sakit gelombang perut.(Convulsions).

14. Organ terpenting iaitu otak kita juga akan menerima banyak bekalan darah dan oksigen.

15. Mengelakkan pendarahan otak jika tiba-tiba menerima pengepaman darah ke otak secara kuat dan mengejut serta terhindar penyakit salur darah dan sebagainya. Dari segi psikologi pula, sujud membuatkan kita merasa rendah diri di hadapan Yang Maha pencipta sekali gus mengikis sifat sombong, riak takbur dan sebagainya.

Manakala dari sudut perubatan pula, kesan sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migrain, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekali gus menguatkan mentaliti seseorang.

Saat-saat Doa Paling Mustajab

Dari Ibnu Abbas r.a katanya:"Rasulullah s.a.w membuka tirai (kamarnya ketika baginda sakit akan meninggal), padahal ketika itu jamaah sedang solat berjamaah diimami Abu Bakar. Lalu baginda bersabda:"Sesungguhnya tidak ada lagi wahyu kenabian yang ketinggalan yang harus aku sampaikan, kecuali mimpi baik seorang muslim. Ketahuilah! Aku dilarang membaca al-Quran dalam rukuk dan sujud. Agungkanlah Allah Azza wa Jalla di dalam rukuk dan perbanyakkanlah doa di dalam sujud pasti doamu diperkenankan Allah S.W.T." (Riwayat Muslim)

sumber : paranorms & iluvislam

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails