Tuesday, November 30, 2010

Berat Doh...

Kerajaan Pahang berkemungkinan besar akan muflis jika tiada perancangan segera dibuat bagi menangani kegawatan ekonomi di negeri terbesar di Semenanjung itu yang baru-baru ini mencatatkan rekod 13 tahun berturut-turut mengalami belanjawan defisit.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini, Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyelar belanjawan 2011 negeri Pahang yang disifatkan beliau sebagai ‘tidak praktikal’ apabila kerajaan negeri bertindak untuk menuntut 50 peratus keuntungan anak-anak syarikat kerajaan negeri (GLC) kepada kerajaan negeri sebagai satu langkah untuk meningkatkan pendapatan negeri.

“Apa yang mendukacitakan ialah tiada perancangan baru dalam meningkatkan sumber hasil negeri, selain rancangan jangka pendek kerajaan bagi memaksa anak-anak syarikat kerajaan negeri (GLC) menyumbang 50% dari keuntungan kepada kerajaan negeri.

Persoalannya berapa kerat anak syarikat kerajaan negeri yang mencatat keuntungan. Setahu kita hampir semua anak-anak syarikat kerajaan negeri berada dalam keadaan kritikal, dan terus mengharapkan suntikan kerajaan,” kata Tuan Ibrahim, yang baru sahaja pulang ke tanah air selepas menunaikan tanggungjawab haji di Mekah.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim, yang juga merupakan Naib Presiden PAS turut menuntut kerajaan negeri bagi mendedahkan kedudukan kewangan semasa anak-anak syarikat kerajaan negeri untuk dinilai oleh rakyat, sejauhmanakah anak-anak syarikat yang ditubuh untuk membantu kerajaan dapat mencapai hasil sebagaimana diharapkan oleh kerajaan negeri dan seluruh rakyat Pahang dalam menjana pendapatan untuk membiayai belanjawan negeri.

Kenyataan Tuan Ibrahim hari ini merupakan reaksi kepada laporan akhbar Umno dan Perkasa, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mewajibkan semua agensi di bawah naungannya menyalurkan 50 peratus keuntungan tahunan mereka kepada kerajaan negeri berkuat kuasa tahun depan.

"Kita mewajibkan agensi-agensi kerajaan negeri menyalurkan 50 peratus keuntungan kepada kerajaan negeri dan dalam masa sama anak-anak syarikat agensi berkenaan pula diwajibkan menyalurkan 50 peratus keuntungan mereka kepada agensi berkenaan.

"Langkah itu merupakan sebahagian usaha bagi mengurangkan defisit yang dialami oleh kerajaan negeri bagi tahun ke-13 berturut-turut," Adnan dipetik sebagai berkata ketika membentangkan Bajet 2011 Kerajaan Negeri Pahang pada Persidangan Ketiga.

Menurut Adnan, terdapat kira-kira 18 agensi di bawah kerajaan negeri, antaranya Yayasan Pahang, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Amanah Saham Pahang (Aspa), Lembaga Kemajuan Perladangan Pahang (LKPP) dan Lembaga Pembangunan Tioman.

"Bajet 2011 disasarkan sebanyak RM871,117,390 iaitu sebanyak RM600,424,140 disediakan untuk perbelanjaan pengurusan dan selebihnya adalah untuk pembangunan," katanya

Adnan turut meminta rakyat negeri Pahang supaya tidak bimbang dengan Bajet Pahang 2011 yang menyaksikan defisit sebanyak RM92.48 juta dengan memberikan alasan bahawa defisit untuk kali ke 13 berturut-turut itu berpunca daripada usaha pertumbuhan ekonomi di negeri berkenaan.

Malah bukan itu sahaja, Adnan turut menunjukkan kelemahan memimpinnya dengan tanpa segan silu mengaku bahawa ‘kedudukan kewangan negeri Pahang tidak mungkin, bahkan mustahil sehingga Hari Kiamat, boleh menanggung kesemua kos pembangunan tanpa bantuan kerajaan persekutuan.’

“Kenyataan beliau bahawa “kedudukan kewangan negeri tidak mungkin, bahkan mustahil sehingga hari Kiamat, boleh menanggung kesemua kos pembangunan tanpa bantuan kerajaan persekutuan’, benar-benar mengambarkan kerajaan UMNO/BN ‘sudah menopaus’.

Kenyataan ini adalah gambaran keseluruhan belanjawan kerajaan negeri yang hanya merancang dengan bantuan Pusat; tanpa berusaha untuk merangcang sumber baru bagi meningkatkan hasil negeri,” selar Tuan Ibrahim.

Dengan membuat perbandingan dengan RM 500 juta komisyen yang dibayar untuk membeli kapal selam Scorpene negara, Tuan Ibrahim menyoal apakah rasionalnya hanya RM 270.6 diperuntukan untuk pembangunan negeri yang terbesar di semenanjung itu.

“Dengan peruntukan sebanyak RM270.6 juta tentulah tidak banyak perkara yang dapat dilakukan. Ini mengingatkan kita kepada komisyen pembelian kapal selam sebanyak RM530 juta, ternyata melebihi keseluruhan projek pembagunan setahun kerajaan Pahang.

Peruntukan pembangunan yang kecil adalah kerana sumber kewangan yang terhad yang dapat dikutip oleh kerajaan,” kata Tuan Ibrahim.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim turut menyoal ke mana semua hasil negeri terutamanya hasil hutan daripada aktiviti pembalakan.

“Dalam belanjawan yang dibentang kerajaan negeri, ia hanya menyatakan hasrat untuk meneruskan projek penanaman semula hutan yang telah gondol, tetapi rakyat juga perlu tahu berapa hasil diperolehi.

Polisi penebangan sehingga 90% hasil hutan dalam tanah milik kerajaan perlu diubah segera,” saran Tuan Ibrahim, yang turut menyifatkan aktiviti penebangan hutan melampau mencerminkan kerakusan kerajaan UMNO-Barisan Nasional tanpa memikirkan masa depan generasi akan datang.

Selain itu, Tuan Ibrahim turut menyoal ke mana perginya pungutan negeri daripada hasil keluaran emas daripada lombong di Lipis, Raub dan Cameron Highland dan juga hasil dari bijih besi, di Daerah Rompin, Maran dan Jerantut.

“Rakyat perlu tahu kemana hasil tersebut, berapa kerajaan perolehi dan juga usaha kerajaan meneroka sumber minyak di perairan Pahang, yang satu masa dahulu di maklum Pahang berkemungkinan mempunyai hasil minyak.

Demikian juga berapa hasil pelaburan luar yang melabur di Pahang; walaupun kita menyediakan hampir setiap daerah kawasan industri, tapi kawasannya ternyata masih kosong dan terbiar.

Seandainya tiada sesuatu perangcangan segera dibuat, tidak mustahil Pahang akan muflis,” tambah Tuan Ibrahim.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails