Wednesday, September 1, 2010

Bye...bye...Musa Hassan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak akan diberi lanjutan kontrak untuk kali ketiga dan jawatannya akan diambil oleh timbalannya, Tan Sri Ismail Omar.

Menurut SMS berita dari Utusan Malaysia, perkara itu disahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Pengumuman itu menamatkan spekulasi berbulan-bulan lamanya tentang jawatan Musa yang berakhir hujung bulan ini.

Musa, 59, mencapai umur persaraannya pada 2007 tetapi kontraknya diperbaharui sebanyak dua kali. Lanjutan itu mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk pembangkang dan aktivis hak asasi manusia.

Tan Sri Ismail Omar dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baru menggantikan Tan Sri Musa Hassan.

Ini diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, sebentar tadi.


Sudah Tiba Masa Saya Berundur - Musa

PUTRAJAYA: Setelah 41 tahun mencurah bakti dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata sudah tiba masanya beliau bersara daripada perkhidmatan kerana faktor usia.

Seperti pesara yang lain, Musa, 59, yang kontrak perkhidmatannya akan tamat 12 Sept ini (selepas 2 kali disambung), berkata beliau juga ingin berehat selepas ini.

"Saya tidak pernah merasa kecewa bertugas dalam pasukan polis. Saya telah memberi jiwa raga saya sepenuhnya dan sampai masanya saya berundur oleh kerana dah cukup umur," katanya kepada pemberita selepas pengumuman Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara yang baru.

Hishammuddin sebelum itu mengumumkan untuk melantik Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Musa, manakala Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Hussin Ismail pula dicadangkan bagi menggantikan Ismail sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baru.

Cadangan itu bagaimanapun tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Musa berkata beliau juga telah melatih Ismail dalam tugas-tugas seharian sebagai Ketua Polis Negara, dan berharap Ismail akan meneruskan kesinambungan kepimpinan pasukan polis bagi menambah baik pasukan itu serta meneruskan perancangan-perancangan penambaikan yang telah dirancang termasuklah penstrukturan semula pasukan itu.

"Saya menasihatkan supaya pasukan polis dijaga dengan betul kerana kita memerlukan pasukan polis untuk menjaga negara jadi pasukan polis itu sendiri kena elok, kena betul, bagi menjalankan tugas dengan baik dan mendapat kepercayaan penuh daripada masyarakat," katanya.

Ditanya mengenai cabaran terbesar dalam menjalankan tugas, beliau berkata memikul amanah sebagai Ketua Polis itu sendiri merupakan cabaran yang besar, namun selagi tugas itu dilakukan dengan ikhlas dan mengikut peraturan undang-undang, beliau tak perlu takut pada sesiapa.

Sementara itu, Ismail berkata beliau bersedia untuk menerima tanggungjawab tersebut dan berterima kasih kepada kerajaan di atas kepercayaan untuk beliau menerajui pasukan itu.

Beliau berkata beliau juga beruntung kerana walaupun hanya menjadi Timbalan Ketua Polis selama tiga tahun, namun beliau telah bekerja dengan Musa sejak 10 tahun lalu di Jabatan Siasatan Jenayah di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Oleh itu, katanya pandangan Musa akan terus diambil perhatian untuk terus membangunkan pasukan polis yang kuat dan menyampaikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat.

"Jawatan Ketua Polis Negara adalah jawatan, amanah dan tanggungjawab yang cukup berat dan Insya-Allah saya akan laksanakan kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan kepada saya ini dengan sebaik mungkin untuk memastikan negara terus terjamin dari segi keselamatan dan keamanan," katanya. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails