Thursday, September 23, 2010

Sedekah


الحمد لله الفتاح الوهاب الهادى إلى الحق والصواب، والصلاة والسلام على رسوله سيدنا محمد خاتم الأنبياء والمرسلين، واله وصحبه أجمعين.

Menghulurkan sedekah sunat adalah satu amalan mulia yang sangat dituntut oleh Islam, kerana ia boleh menggembirakan penerimanya dan juga memberi pulangan manfaat yang banyak kepada pemberi, sama ada di dunia dan di akhirat.

Diantara kelebihan bersedekah itu seperti yang disebutkan ayat dan hadis-hadis berikut:

من ذا الذى يقرض الله قرضا حسنا فيضعفه له أضعافا كثيرة
(سورة البقرة: 245)

Tafsirnya:” siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya.”

(Surah Al-Baqarah: 245)

Dalam Al-Qur’an banyak ayat yang menunjukkan bahawa Allah menyuruh kita bersedekah. Dalam sunnah pula banyak hadis menyuruh berbuat demikian, antaranya sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

من أطعم جائعا أطعمه الله من ثمار الجنة، ومن سقى مؤمنا على ظمأ سقاه الله عز وجل يوم القيامة من الرحيق المختوم، ومن كسا مؤمنا عاريا كساه الله من خضر الجنة

(رواه أبو داود والترمزي)

Maksudnya:”Sesiapa yang memberi makan seseorang yang lapar, Allah akan memberinya makan buah-buahan di syurga, sesiapa yang member minum seorang Mu’min yang dahaga, Allah akan memberinya minuman syurga “rahiq al-makhtum” pada Hari Kiamat, sesiapa yang memberi pakaian seorang Mu’min yang telanjang, Allah akan memberinya pakaian di syurga.”

(Hadis riwayat Abu DAud dan Tirmidzi)

Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lagi:

إن العبد إذا تصدق من طيب، تقبلها الله منه، وأخذها بيمينه، ورباها كما يربي أحدكم مهره أو فصيله، وإن الرجل ليصدق باللقمة فتربو في يد الله، (أو) قال في كف الله، حتى تكون مثل الجبل، فتصدقوا

(رواه أحمد)

Maksudnya:”Sesungguhnya hamba itu apabila dia bersedekah daripada hartanya yang baik, Allah akan menerimanya. Dia akan mengambilnya dengan tangan kananNya, Dia akan memelihara anak kuda atau anak untanya, sesungguhnya seorang yang bersedekah sesuap makanan dia akan membesar di tangan Allah (atau) di tapak tangan Allah hingga sebesar bukit, oleh itu hendaklah kmu bersedekah.”
(Hadis riwayat Ahmad)

Suruhan bersedekah itu boleh dilakukan pada bila-bila masa ada kesempatan dan lebihan perbelanjaan. Kebanyakan ayat dan hadis berkenaan menyebutkan lafaz
أنفقوا yang boleh diertikan sebagai membelanjakan, menafkahkan, mendermakan, menyumbangkan, menyedekahkan atau menghulurkan bantuan.

Allah Ta’ala berfirman:

ويسئلونك ماذا ينفقون قل العفو

Tafsirnya: “Dan mereka bertanya pula kepadamu, apakah yang mereka akan belanjakan (derma/sedekahkan)? Katakanlah: “Dermakanlah (sedekahkan) apa-apa yang berlebih daripada keperluan kamu.”

Melakukan amal-amal kebajikan seperti bersedekah ini pada bila-bila masa dan di tempat mana sekalipun sangat bermanfaat dan lebih digalakkan lagi pada waktu, hari atau tempat yang mempunyai kelebihan dan keutamaan.

Syeikh Ahmad Nasib Al-Mahamid berkata: “Sesungguhnya ibadat yang dilakukan di waktu-waktu seperti ini lebih banyak gunanya dan lebih besar manfaatnya. Ibadat yang dilakukan padanya akan digandakan ganjaran pahalanya, ia menyinari hati, menyucikan jiwa dan menaikkannya ke tahap kesempurnaan hari-hari yang mempunyai kelebihan ini, bahkan yang paling besar keutamaan, pahala dan kebaikannya ialah hari Jumaat. (Khushushiyyat Yaun Al-Jumu’ah: 6)

Hari Yang Utama Bersedekah

Secara umumnya hari yang paling baik dan utama untuk menghulurkan sedekah ialah hari Jumaat, kerana hari Jumaat merupakan penghulu hari-hari lain dalam seminggu dan mempunyai berbagai kelebihan. Bahkan, sesetengah ulama ada yang menyimpulkan kelebihan hari Jumaat mencapai seratus kelebihan sebagaimana yang dicatatkan oleh Imam as-Suyuthi di dalam kitabnya “100 Kelebihan Hari Jumaat.”

Salah satu yang dicatatkan di dalam kitab itu ialah: Hari Jumaat menjadi istimewa kerana pahala sedekah pada hari itu digandakan. Menurut Al-Imam As-Sayuthi: “Pahala sedekah pada hari Jumaat berlipat ganda berbanding sedekah pada hari lain. Ibnu Abu Syaibah telah mentakhrijkan di dalam kitab Al-Musannaf daripada Ka’ab, katanya:

الصدقة تضاعف يوم الجمعة

Maksudnya: “Pahala sedekah berlipat ganda pada hari Jumaat.” (As-Suyuthi, Khushushiyyat Yaum Al-Jumu’ah:103)

Mengikut catatan Ibnu Qayyim, teks lafaznya adalah seperti berikut: “Ka’ab berkata:

والصدقة فيه أعظم من الصدقة فى سائر الأيام

Maksudnya: “Dan sedekah pada hari itu (hari Jumaat) lebih besar pahalanya daripada sedekah pada hari-hari lain.”

Ibnu Qayyim berkata: “Sesungguhnya sedekah yang dikeluarkan pada hari Jumaat mempunyai kelebihan berbanding pada hari-hari lain. Bersedekah pada hari Jumaat nisbah kepada hari-hari lain di dalam seminggu, samalah dengan sedekah yang dikeluarkan di dalam bulan Ramadhan nisbah kepada yang dikeluarkan di dalam bulan-bulan lain di dalam setahun. (Zad Al-Ma’ad, 1/407)

Sekiranya hari Jumaat bertepatan dengan hari Jumaat bulan Ramadhan, keistimewaan bersedekah akan bertambah-tambah lagi pada hari itu kerana bulan Ramadhan mempunyai pelbagai kelebihan berbanding dengan bulan-bulan lain.

Dengan demikian bulan yang paling afdhal menghulurkan sedekah ialh hari Jumaat dan lebih afdhal lagi jika hari itu bertepatan dengan bulan Ramadhan. Sementara bulan yang paling afdhal bersedekah pula ialah bulan Ramadhan kerana At-Tirmidzi meriwayatkan daripada Anas Radhiallhu ‘anhu katanya:

سئل رسول الله صلى الله عليه وسلم، أي الصدقة أفضل؟ قال: صدقة في رمضان.
(رواه الترمزي)

Maksudnya: “Ditanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sedekah apakah yang paling afdhal?” Baginda menjawab: “Sedekah pada bulan Ramadhan.”
(Hadis riwayat Tirmidzi)

Ini kerana fakir miskin pada bulan itu adalah lemah untuk mencari nafkah disebabkan oleh puasa, di samping pahala beribadat dan melakukan amal salih juga sememangnya berlipat ganda pada bulan yang mulia ini.

Kedudukan di atas adalah pada saat dan keadaan biasa. Adapun dalam keadaan-keadaan tertentu, adakala bersedekah itu lebih utama walaupun bukan pada hari Jumaat atau bulan Ramadhan. Misalnya, jika peluang untuk bersedekah pada hari Jumaat atau bulan Ramadhan itu dijangkakan tidak akan dapat dilakukan kerana benda yang akan disedekahkan itu tidak ada lagi pada hari atau bulan tersebut atau ada orang yang betul-betul mengharap dan memerlukan sedekah, seperti keluarga yang ditimpa musibah kebakaran rumah yang musnah semua harta dan keperluan, maka di dalam situasi dan kedudukan begini tidaklah perlu menuggu hari Jumaat tetapi afdhal dan paling eloklah sedekah itu disegerakan.

Sasaran sedekah

Sedekah atau pemberian ialah satu jenis ibadah yang digalakkan oleh syara’, maka panduan siapakah penerima utamanya hendaklah mengikut apa yang telah digariskan oleh syara’ pula.

Dalam ayat 177, surah al-Baqarah Allah Ta’ala menerangkan bahawa yang dinamakan kebajikan itu termasuklah menghulurkan derma atau sumbangan atau sedekah kepada enam golongan iaitu:
(1) Keluarga yang hampir.
(2) Anak-anak yatim.
(3) Orang-orang miskin.
(4) Orang yang terlantar dalam perjalanan.
(5) Orang yang meminta.
(6) Hamba sahaya yang berusaha untuk merdeka.

Firman Allah Ta’ala:

ليس البر أن تولوا وجوهكم قبل المشرق والمغرب ولكن البر من ءامن بالله واليوم الأخر والملئكة والكتب والنبين وءاتى المال على حبه ذوى القربى واليتمى والمسكين وابن السبيل والسائلين وفى الرقاب وأقام الصلوة وءاتى الزكوة والموفون بعهدهم إذا عهدوا والصبرين فى البأساء والضراء وحين البأس أولئك الذين صدقوا وأولئك هم المتقون
(سورة البقرة: 177)

Tafsirnya: “Bukanlah perkara kebajikan itu kamu mengadapkan muka ke pihak Timur dan Barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari Akhirat, dan segala malaikat, dan segala kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya-sedang dia menyayanginya,- kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekkan hamba-hamba abdi.”
(Surah Al-Baqarah:177)

Di dalam ayat lain pula diterngkan bahawa sasaran-sasaran tau golongan yang menerima sedekah itu terbahagi kepada lima golongan iaitu:

(1) Kedua ibu bapa.
(2) Keluarga yang terdekat.
(3) Anak-anak yatim.
(4) Orang-orang miskin.
(5) Orang musafir yang terlantar.

Firman Allah Ta’ala:

يسئلونك ماذا ينفقون قل مآ أنفقتم من خير فللولدين والأقربين واليتمى والمسكين وابن السبيل وما تفعلوا من خير فإن الله به عليم
(سورة البقرة: 215)

Tafsirnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)?” Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada kedua ibi bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan.” Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat daripada jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membakas dengan sebaik-baiknya).”
(Surah Al-Baqarah: 215)

Merujuk kepada ayat diatas, di antara tempat bersedekah atau sasaran pemberian ialah kedua-dua orang tua, keluarga sendiri yang terdekat seperti adik beradik, mertua, bapa saudara dan lain-lain, anak-anak yatim yang tidak berharta, orang miskin atau fakir, orang yang sedang dalam musafir, tetapi terhalang untuk sampai ke tempat tujuan kerana ketiadaan perbelanjaan, orang yang datang meminta bantuan kerana memerlukan perbelanjaan sara hidup dan hamba sahaya yang hendak menebus kebebasan daripada tuannya.

Selain itu termasuklah juga seperti melunaskan hutang, lebih-lebih lagi jika hutang itu bagi mashlahat orang ramai, juga seperti untuk meninggikan syi’ar Islam, penuntut dan guru-guru agama yang miskin dan semua bentuk progam fi sabilillah.

Sama halnya seperti kedudukan memillih masa bersedekah, maka memilih tempat dan si penerima sedekah juga hendaklah diperhatikan. Pihak yang lebih berhajat atau lebih memerlukan, dialah yang didahulukan. Begitu juga sesiapa yang lebih hampir dari segi kekeluargaan atau kejiranan, dialah yang diutamakan, sebagaimana perkara ini dijelaskan melalui ayat dan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Kaum Kerabat

Adalah afdhal bersedekah kaum kerabat, kemudian jiran, kerana firma Allah:

يتيما ذا مقربة
(سورة البلد: 15)

Tafsirnya: “Kepada anak yatim daripada kaum kerabat.”

(Surah Al-Balad:15)
Dan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada Zainab, isteri ‘Abdullah bin Mas’ud:
زوجك وولدك أحق من تصدقت به عليهم

(رواه البخاري)
Maksudnya: “Suamimu dan anakmu lebih berhak menerima sedekah.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Seterusnya Nabi Shallallhu ‘alaihi wasallam bersabda sebagaimana yang diriwayatkan di dalam sebuah hadis hasan oleh Ahmad, ibnu Majah dan At-Tirmidzi:

الصدقة على المسكين صدقة، وهي على ذى الرحم اثنتان: صدقة وصله

Maksudnya: “Sedekah kepada orang miskin hanya sekadar sedekah, tetapi sedekah kepada kaum kerabat dapat dua kebaikan, iaitu sedekah dan menghubungkan tali silaturahim.”

Juga riwayat Al-Bukhari daripada aisyah katanya:

إن لى جارين فإلى أيهما أهدى؟ فقال إلى أقربهما منك بابا

Maksudnya: “Aku mempunyai dua jiran, yang mana satu harus ku ber hadiah?” Baginda menjawab: “yang paling hampir pintunya dengan rumahmu.”

Bersedekah kepada Orang Bersungkai

Tempat menyalurkan sedekah termasuklah orang-orang yang berpuasa ketika mereka itu berbuka puasa. Ganjaran pahala yang diterima sangatlah besar, sama besarnya dengan yang diperolehi orang yang berpuasa itu sendiri.

Rasulullah Shallallhahu ‘alaihi wasallam bersabda:

من فطر صائما كان له مثل اجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا

(رواه الترمذي وابن ماجه وابن خريمة وابن حبان)

Maksudnya: “Sesiapa yang ‘menyungkaikan’ (memberi makan) kepada orang yang berbuka puasa, adalah baginya pahala seumpama pahala orang yang berpuasa itu, tanpa dikurangi walaupun sedikit daripada pahala orang yang berpuasa itu.”

(Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Khzaimah dan Ibnu Hibban)

Oleh kerana orang ramai, khasnya jemaah masjid mungkin mengetahui betapa besarnya pahal sedekah yang diberikan untuk ‘menyungkaikan’ (member makan orang yang berpuasa) sebagaimana hadis di atas, maka itulah sebabnya barangkali mengapa sedekah yang dihulurkan dalam bulan Ramadhan untuk tujuan perbelanjaan ‘bersungkai’ itu lebih banyak jumlahnya berbanding yang dihulurkan untuk bantuan anak-anak yatim. Mungkin juga para jemaah beranggapan bahawa menghukurkan bantuan kepada anak-anak yatim boleh dilakukan pada bulan-bulan lain sepanjang tahun sementara bersedekah unuk tujuan ‘menyungkaikan’ hanyalah dapat dibuat pada bulan Ramadhan sahaja.

Namun dalam hal ini hendaklah kita berhati-hati supaya jangan sampai berlaku pembaziran sewaktu ‘menyungkaikan’ orang yang berpuasa di masjid atau bahan-bahan hidangannya itu tidak sesuai seperti kuih muih yang tidak tahan disimpan.

Walau bagaimanapun, bersedekah dalam bulan Ramadhan pada hari jumaat tetaplah lebih utama berbanding pada bulan dan hari-hari yang lain.

Supaya sedekah itu tinggi mutunya, maka elakkan bersedekah dengan barang-barang yang kurang baik atau si pemberinya kurang menyayanginya kerana sedekah dengan barang-barang yang sedemikian itu kurang nilainya di sisi Allah, firman Allah :

........ولا يتمموا الخبيث منه تنفقون.................
( سورة البقرة : 267 )

Tafsirnya : “ … dan janganlah kamu senghaja memilih yang buruk daripada ( lalu kamu ) dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat….”

( surah Al-Baqarah : 267 )

Bersedekah dengan barang yang paling bermutu dan paling disayangi, itulah yang amat digalakkan sebagaimana firman Allah :

لًن تنالوا حى تنفقوا مما تحبون..........
(سورة آل عمران : 92 )

Tafsirnya : “ kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakihat) kebajikan dan kebaktian ( yang sempurna ) sebelum kamu dermakan sebagian daripada apa yang kamu sayangi….”
( surah Ali ‘Imran : 92 )

Pahala sedekah juga boleh hilang sebagaimana diperingatkan oleh Allah melalui ayat ini :

يأيها الذين ءامنوا لا تبطلوا صدقتهكم بالمن والاذى كالذى ينفق ماله رئاء الناس
( سورة البقرة : 264 )

Tafsirnya : “wahai orang yang beriman ! Jangan rosakkan ( pahala amal ) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan ( kelakuan yang ) menyakiti seperti rosaknya pahala amal sedekah orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia ( ria ).”

( surah al-Baqarah : 264 )

Menurut tafsir, makna المن itu ialah orang yang member sedekah itu menyebut-nyebut kebaikannya kepada penerima sedekah serta membangkit-bangkitkan pemberiannya itu seperti katanya : “ Aku telah membuat baik ( bersedekah ) kepadamu dan menutupi keadaanmu yang kurang.”

Sementara الأذى pula, si pemberi berbangga-bangga dengan pemberiannya dengan menyebut-nyebut kepada orang lain, sedang si penerima sedekah tidak suka didedahkan perkara itu sehingga menyakiti hatinya.

Membangkit-bangkit sedekah atau menyakiti orang yang menerimanya, samalah juga dengan yang membelanjakan hartanya dalam keadaan ria, sebagaimana ayat ini :

كالذى ينفق ماله ، رئآء الناس

( سورة البقرة : 264 )

Tafsirnya : “ seperti ( rosaknya pahala amal sedekah ) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia ( ria ).”

( Surah Al-Baqarah : 264 )

فاستبقوا الخيرات
( سورة البقرة : 148 )

Tafsirnya : “ Berlumba-lumbalah kamu melakukan kebajukan.”
( Surah Al-Baqarah : 148 )

Sumber : Universiti Islam Sains Malaysia

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails