Wednesday, May 12, 2010

David Cameron Perdana Menteri Baru Britain

David Cameron mengetuai Parti Konservatif untuk kembali mentadbir Britain selepas 13 tahun, awal pagi ini, tetapi Perdana Menteri baru itu masih perlu memuktamadkan gabungan bersama Liberal Demokrat bagi membentuk kerajaan.

Ini berikutan Gordon Brown meletakkan jawatan sebelum itu yang menyaksikan saat dramatik dalam politik Britian.

Parti Buruh pimpinannya menguasai pemerintahan Britain sejak 1997 dengan Perdana Menteri pertama ialah Tony Blair sebelum diambil alih oleh Brown.

Cameron menjadi Perdana Menteri selepas Konservatif memenangi banyak kerusi pada pilihan raya Parlimen, minggu lalu tetapi gagal memenangi majoriti, manakala Parti Buruh kedua dan Liberal Demokrat ketiga.

Dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri, Cameron, 43, berkata matlamatnya untuk membentuk kerajaan campuran pertama di Britain sejak 1945.

Bagaimanapun bentuk kerajaan campuran itu masih tidak jelas kerana Parti Liberal Demokrat masih belum memberi kata putus mengenai tawaran Konservatif bagi bersamanya dalam kerajaan.

"Ia tentunya satu keadaan yang sulit dan sukar. Kerajaan campuran tentunya akan berdepan dengan banyak cabaran.

"Namun saya percaya, kami akan membentuk satu pakatan yang kuat dan stabil dalam kerajaan yang diperlukan negara ini," katanya ditemani isterinya yang sarat mengandung, Samantha.

Apa yang pasti, Cameron muncul sebagai Perdana Menteri paling muda di Britain sejak kira-kira 200 tahun.

Antara cabaran pertamanya ialah bagaimana untuk mengurangkan bajet defisit Britain ketika ini selain menangani kemelesetan ekonomi.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails