Friday, May 14, 2010

Jenazah Ashaari selamat dikembumi

Jenazah bekas pemimpin kumpulan Al Arqam yang diharamkan, Ashaari Muhammad selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Pilin dekat Rembau pada kira-kira pukul 10 malam semalam.

Jenazah Ashaari, yang dibawa dengan kereta persendirian dari Ipoh tiba bersama rombongan di kampung asal Allahyarham, Kampung Pilin pada kira-kira jam 8.30 malam.

Jenazah kemudian ditempatkan di surau kampung itu bagi membolehkan sanak saudara dan orang ramai memberi penghormatan terakhir.

Jenazah Allahyarham kemudian disembahyangkan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan yang terletak bersebelahan dengan surau kampung itu.
Kira-kira 1,000 orang hadir pada majlis pengkebumian.

Ashaari, 73, lebih dikenali dengan panggilan Abuya oleh para pengikutnya meninggal dunia di Hospital Pakar Ipoh, Perak pada pukul 2.10 petang semalam, tiga hari selepas dimasukkan di hospital itu kerana jangkitan paru-paru.

Kumpulan Al Arqam diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 1994.

Apabila ajaran Al-Arqam diharamkan, Ashaari ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 2 hingga 24 Sept 2004 sebelum ditahan mengikut Akta Kediaman Terhad di Rawang dan Wilayah Persekutuan Labuan selama 10 tahun.

Al-Arqam diasaskan oleh Ashaari juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah dan aktivitinya berada di kemuncak sekitar lewat 80-an dan 90-an dan dilaporkan mempunyai kira-kira 10,000 pengikut.

Ashaari menimbulkan kontroversi kerana pernah mendakwa beliau berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW secara sedar dan meramalkan dirinya akan menjadi perdana menteri Malaysia selepas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kumpulan itu dilaporkan menyebarkan kegiatan dakwah Islam melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, perusahaan,perniagaan, perubatan, dan pertanian.

Ehsan : Malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails