Monday, August 16, 2010

Wang Ihsan Bukti Kerajaan Pusat Nafikan Hak Rakyat Kelantan

"Peruntukan RM25 juta yang disediakan kepada pelajar Kelantan yang layak menerima wang ihsan itu tahun ini, adalah sebahagian daripada lima peratus daripada hasil minyak yang diperoleh di luar tiga batu nautika perairan negeri ini," katanya kepada pemberita selepas berbuka puasa bersama anggota Batalion Pertama Rejimen Sempadan Kem Batu 11 di sini, Ahad.

Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan menyampaikan bantuan wang ihsan kepada 488 pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Gajah dan Air Lanas di kawasan Parlimen Jeli.

Anggota Parlimen Jeli itu turut merasmikan Bazar Ramadan di Hentian Rehat dan Rawat Gemang serta mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk setempat.

Mustapa berkata kerajaan Pusat sudah menunaikan segala tanggungjawabnya dalam menyediakan peruntukan menerusi pemberian wang ihsan, walaupun bukan dalam bentuk royalti.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan sedang mengkaji keperluan pembinaan benteng atau tembok di kawasan Sungai Golok di sempadan sebelah Kelantan bagi mengatasi masalah tebatan banjir dan keselamatan.

Beliau berkata perkara itu pernah dibangkitkan sewaktu lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

"Kita masih dalam peringkat kajian (mengenai) kemungkinan keperluan pembinaan tembok dan benteng di sempadan itu, memandangkan ia penting untuk keselamatan dan (mengatasi) ancaman banjir," katanya.

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah berkata Kelantan berhak menerima royalti lima peratus seperti termaktub dalam perjanjian perkongsian hasil carigali minyak yang dimeterai antara Kerajaan Pusat, Petronas dan kerajaan negeri dan justeru itu tidak berhak untuk menahan pembayaran royalti kepada negeri itu.

“Perkara ini tidak patut menjadi isu kerana kita telah menandatangani persetujuan meletakkan hak minyak kepada Petronas iaitu kerajaan Kelantan dan negeri-negeri lain sudahpun bersetuju sekiranya minyak ditemui dalam kawasan milik negeri berkenaan.“Tetapi dalam hal ini, minyak ditemui di luar persisiran pantai, yang dimajukan bersama dengan Thailand. Namun begitu sebahagian daripada kawasan terlibat berhampiran dengan negeri Kelantan. Merujuk kepada perjanjian milik minyak tadi, maka Petronas berkewajipan membayar wang kepada negeri berkenaan sebanyak 5 peratus keuntungan minyak,” tegas Tengku Razaleigh yang merupakan salah seorang yang menggubal perjanjian asal Petronas pada awal 1970an

Petronas sebelum ini telah menandatangani perjanjian dengan kerajaan negeri Kelantan untuk memberi hak kepada negeri itu mendapat royalti 5 peratus setahun sama ada onshore (daratan) atau offshore (lautan).

Tengku Razaleigh berkata semua pihak harus menjurus kepada keikhlasan untuk membela rakyat miskin.

“Saya tidak tahu kenapa ini boleh menjadi isu kerana semasa kita buat perjanjian ini, kita sudahpun fikir kedudukan negeri Kelantan, Sabah, Sarawak, Terengganu yang merupakan negeri-negeri miskin, dan sememangnya patut hasil dari keuntungan minyak ini diberi kepada rakyat di negeri-negeri miskin ini untuk mengimbangi pembangunan di negeri-negeri lain yang sudahpun maju.

“Saya telah menandatangani perjanjian bersama kerajaan-kerajaan negeri lain. Kalaulah benar Petronas telah dapat faedah dari minyak yang diusahasama ini, maka berkewajikan Petronas membayar kepada kerajaan negeri Kelantan,” kata Ahli Parlimen Gua Musang itu.Selaku bekas Pengerusi Petronas Tengku Razaleigh berharap tidak ada pihak yang mempolitikkan isu ini.

“Kita sedar bahawa kawasan-kawasan minyak ini terletak dibawah Kerajaan Pusat namun harus difahamkan juga bahawa perjanjian yang kita buat ini adalah untuk membantu negeri-negeri ini, apatah lagi negeri-negeri miskin. Jadi patut hasil minyak ini diberi kepada mereka.

“Saya telah bincangkan perkara ini dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak, untuk merumuskan perjanjian memberi 5 peratus ini, dengan satu matlamat yang jelas iaitu membantu negeri-negeri berkenaan.

“Selain itu, Kerajaan Pusat juga bertanggungjawab untuk menjana pembangunan di negeri-negeri terbabit selain dari lima peratus itu. Jadi tidak perlu diungkitkan lagi dan tidak patut jadi isu kalau Petronas sendiri mengaut keuntungan dari perjanjian ini, maka berkewajipan untuk memberi royalti kepada negeri terbabit,” tegas Tengku Razaleigh.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails