Tuesday, August 24, 2010

Letupan Ramadhan

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut dengan mayatnya tersangkut di atas pokok setinggi 15 meter selepas terpelanting apabila sebuah rumah tinggal yang dipercayai dijadikan stor simpanan bunga api dan mercun meletup di Kampung Seberang Baroh, Chabang Tiga di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, dua lelaki berusia 22 dan 23 tahun pula cedera parah dipercayai tercampak ke tanah di bahagian depan rumah berkenaan yang roboh akibat letupan kuat yang dikatakan boleh didengar sehingga sejauh empat kilometer. Seorang saksi, Norshafri Azhar, 36, berkata kanak-kanak itu, Khairul Arif Ayub, ditemui tersangkut di atas pokok, kira-kira lima meter dari belakang rumah berkenaan dengan kepalanya hancur.

"Ketika sampai di tempat kejadian, saya tergamam melihat dua lelaki dalam keadaan berlumuran darah di bawah timbunan kayu dan batu. Seorang daripada mereka yang masih mampu bercakap dalam nada lemah menyuruh saya mencari seorang kanak-kanak lelaki, tetapi saya gagal menemuinya setelah kira-kira 10minit mencari di bawah timbunan batu dan kayu.

"Ketika itu penduduk kampung sudah memenuhi kawasan kejadian dan saya terkedu melihat tubuh kanak-kanak lelaki tersangkut di atas pokok di belakang rumah ini dengan kepalanya hancur dan otak terburai sebelum mayatnya diturunkan penduduk kampung," katanya yang menjadi saksi pertama tiba di tempat kejadian.

Norshafri yang bekerja sebagai penjaja dan tinggal kira-kira 20 meter dari tempat kejadian itu, berkata ketika letupan berlaku dia sedang berehat di rumah sambil menonton berita di televisyen.

Saya terus bergegas ke tempat kejadian sebaik mendengar bunyi letupan kuat. Saya lihat, dua lelaki cedera parah di kaki dan muka, malah bahagian kaki kelihatan seperti hancur dan berlumuran darah.

Seorang daripada mereka masih mampu bercakap, manakala seorang lagi seperti sudah tidak sedar. Seorang daripada mangsa adalah anak pemilik rumah tinggal ini, yang kini menetap di Bukit Payung dan hanya pulang sekali sekali ke rumah ini bersama ibunya," katanya.

Norshafri berkata, dua lelaki terbabit adalah rakan bapa kanak-kanak itu, Ayub Abd Rahman, 28, dan Khairul Arif juga rapat dengan mereka serta sering dilihat mengikut lelaki berkenaan.

Selain memusnahkan bahagian depan rumah berkenaan termasuk tangga batu dan sebuah motosikal, letupan itu turut merosakkan rumah jiran yang terletak kira-kira 20 meter dari tempat kejadian. Antaranya, cermin tingkap bahagian dapur dan bilik belakang pecah, lantai jubin retak dan atap bahagian dapur pecah. Bagaimanapun, ketika kejadian rumah itu tiada penghuni.

Hasnah A Jalil, 54, yang rumahnya turut rosak akibat letupan kuat itu berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana menghantar anak saudaranya ke sekolah berhampiran dan bergegas pulang ke rumah selepas terdengar bunyi letupan kuat serta dimaklumkan adiknya yang ternampak kepulan asap daripada arah belakang rumahnya.

"Rumah yang meletup ini sudah lama tinggal. Selepas bapanya meninggal dunia, baru-baru ini, ibunya berpindah ke tempat lain, tetapi anak lelakinya (yang juga salah seorang mangsa) sering balik ke sini. Dia memang berkawan dengan bapa Khairul Arif dan kanak-kanak itu kelihatan sangat rapat dengannya. Ketika kejadian, bapa Khairul Arif tiada di situ," katanya.

Seorang lagi penduduk, Wan Mayuni Wan Daud, 34, berkata dia yang ketika itu sedang berniaga di Pasar Chabang Tiga pada mulanya menyangka berlaku tsunami selepas terdengar bunyi letupan kuat dan gegaran dahsyat seperti bangunan dibom.

KUALA TERENGGANU: Bapa kanak-kanak yang terkorban dalam letupan di sebuah rumah dipercayai dijadikan stor simpanan mercun di Kampung Makam Lama, Chabang Tiga di sini kelmarin, ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Samsuddin, berkata Ayub Abd Rahman, 28, menyerah diri jam 12.55 tengah hari dan ditahan di lokap Ibu Pejabat Daerah (IPD) di sini untuk membantu siasatan. Katanya, Ayub adalah antara orang disyaki menyimpan mercun di rumah berkenaan yang musnah dalam letupan mengorbankan anaknya, Khairul Arief, 6, manakala dua lelaki cedera parah.

Dia menyerah diri atas nasihat polis dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK). Polis semalam memberi kelonggaran untuk menguruskan jenazah anaknya yang belum dituntut di Hospital Sultanah Nur Zahiran (HSNZ) di sini, katanya selepas meninjau keadaan dua mangsa letupan mercun yang cedera parah di hospital itu, semalam.

Mohd Asrizan Muda, 22, dari Kampung Seberang Baroh, Chabang Tiga cedera di kedua-dua kaki, telinga dan kesan terbakar di muka dan badan, manakala Mazlan Abdullah, 29, dari Bukit Payong, juga cedera di kedua-dua kaki, tangan, mata dan telinga.

Dalam kejadian kelmarin, Khairul Arief maut dengan mayatnya tersangkut di atas pokok setinggi 15 meter selepas terpelanting apabila stor simpanan mercun meletup jam 12.30tengah hari.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan menjelaskan, siasatan awal tidak menunjukkan kejadian itu berpunca daripada mercun buatan sendiri. Bagaimanapun, katanya, polis percaya letupan kuat itu kemungkinan disebabkan jumlah mercun yang sangat banyak hingga menyebabkan kesannya amat kuat sehingga merosakkan dua rumah jiran berhampiran.

Hasil pemeriksaan di tempat kejadian, polis menemui 15 kotak besar mercun yang mempunyai kuasa letupan kuat, katanya.

Mohd Shukri berkata, anggota dari Unit Forensik dan Bom Bukit Aman membuat siasatan di tempat kejadian dan mereka dijangka mengambil masa dua hingga tiga hari untuk menyelesaikan siasatan.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails