Friday, August 20, 2010

Piala Ramadhan

Apabila setiap kali tibanya bulan ramadhan yang mulia khususnya 10 malam terakhir ramadhan.

Tepat jam 12 malam 21 Ramadhan 1430H, tok bilal meniupkan wisel tanda bermulanya separuh masa kedua perlawanan akhir bagi Piala Juara-Juara Ramadhan di antara Taqwa United dan Nafsu City. Pengkritik dan penganalisa bola sepak tanah air (ustaz-ustaz) telah banyak memberikan pandangan serta komentar yang pedas (Tazkirah) tentang persembahan longlai dan kurang bersemangat dari pasukan tempatan iaitu Taqwa United dalam tempoh separuh masa pertama perlawanan di stadium (Masjid) berdekatan.

Untuk makluman saudara sekalian,

Taqwa United sedang ketinggalan 3-0 dari seteru tradisi iaitu Nafsu City. Dua gol dijaringkan oleh penyerang berbisa Nafsu City iaitu 'Emmanuel Amarah' manakala satu lagi gol pada minit-minit terakhir perlawanan separuh masa pertama dijaringkan oleh 'Carlos Umpatan' yang mana telah meletakkan pasukan mereka sebelah tangan menggenggam piala teragung buat umat.

Strategi 3-4-4 iaitu dengan meletakkan 4 orang striker dibarisan hadapan yang digunakan oleh pasukan Nafsu City amat sukar dikekang oleh barisan pemain muda Taqwa United. Barisan pertahanan pasukan tempatan yang diketuai oleh Zikir Selawat dan pemain kelahiran Narathiwat, Wirid Harian hilang punca dengan asakan bertali arus dari rangkaian penyerang berbisa yang dibarisi oleh Carlos Umpatan, Kedengkian Hernandez, Berbatov Syahwat dan Emmanuel Amarah (Pemenang Kasut Emas Liga Juara-juara Ramadan musim lalu dengan 30 gol setiap hari).

Penganalisa berpendapat jurulatih pasukan Taqwa United, Sir Iman D'Hati perlu melakukan rombakan besar-besaran bukan sahaja dari sudut taktik malahan kepada para pemain. Pemain-pemain veteran yang longlai seperti Tarak Posa dan Culas Solat perlu diganti dengan pemain muda berbakat seperti Ikhlas Sedekah atau Tadarus Quran demi memantapkan jentera tengah pasukan Taqwa United. Pemain-pemain veteran kelihatan tidak bermaya dan gagal mengekang kelincahan Bryan Boros dan Stephen Tamaki terutama ketika berbelanja waktu berbuka dan di pusat membeli-belah di separuh masa pertama.

Begitu juga dengan rangkaian serangan pasukan Taqwa United yang diterajui Tahjud-Din dan Munajat Malam, mereka perlu dikerah untuk beraksi di segenap kotak sejadah bagi mengucar-kacirkan kubu pertahan lawan yang dikawal ketat Ferdinan Lagho dan Nichlos Tido Lajak. Tambahan pula, penyerang berkembar itu perlu mengelakkan diri daripada terus diselimuti kedua-dua tembok besar pasukan Nafsu City itu untuk menjaringkan gol-gol yang diperlukan.

Namun penganalisa tempatan begitu optimis bahawa pasukan Taqwa United mampu mengurangkan defisit 3 gol lawan dalam separuh masa kedua nanti. Dengan ketiadaan ketua jurulatih pasukan Nafsu City yang digantung, Iblis dan pembantu jurulatih, Satan, pasukan Taqwa United masih berpeluang merangkul kejuaraan kurniaan Ilahi seterusnya meraikan kemenangan syawal di Aidilfitri.

Sewaktu wawancara bersama Sir Iman D'Hati, anak buahnya bersemangat mengejar bonus dan ganjaran berlipat kali ganda yang dikurniakan pada 10 minit terakhir permainan. Mereka juga berharap tuah Lailatul Qadar menyebelahi mereka bagi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka tahun lalu. Selain itu, beliau juga berharap agar ibrah Nuzul Quran dapat dijadikan tonik kemenangan dan pembakar semangat buat pasukan muda Taqwa United dalam mengejar impian mereka bergelar Juara Ramadhan.

Oh ! Kelihatan, penyokong pasukan Nafsu City dan Taqwa United sudah mula memenuhi semula tempat duduk masing-masing. Penyokong kedua-dua pasukan bersorak bersungguh-sungguh demi membangkitkan semangat pasukan kesayangan mereka. Fan Club Nafsu City dengan pakaian yang menjolok mata dan mengurangkan pahala manakala Fan Club Taqwa United dengan pakaian seorang Muslim sejati juga telah berkumpul di tepi padang untuk terus menghangatkan bahang perlawanan.

Siapakah yang akan memenangi perlawanan berprestij ini? Layakkah pasukan Taqwa United menerima imbuhan pelepasan api neraka seperti yang dijanjikan Ilahi selepas tamat perlawanan? atau kemenangan akan bertukar tangan kepada pasukan yang berbelanja besar, Nafsu City musim ini? Jika kemenangan bertukar tangan maka imbuhan kemenangan yang diperolehi akan dijadikan modal oleh Iblis dan Satan untuk terus berbelanja besar pada musim hadapan bagi mengikat pemain-pemain terbaik dunia seterusnya menutup peluang pasukan lain dalam mengejar impian akhirat.

Sama-sama kita saksikan kesudahan perlawanan akhir ini.

Penaja Bersama : iluvislam.com

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails