Ketika kejadian, kebanyakan penduduk sedang sibuk melakukan persiapan untuk berbuka puasa namun masing-masing gempar apabila mendapati bumbung rumah tercabut akibat diterbangkan angin kencang.
Ribut berkenaan turut menyebabkan peniaga dan pengunjung di bazar Ramadan berhampiran dengan sebuah pasar raya bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila melihat khemah peniaga diterbangkan angin.
Salah seorang pengunjung, Rosmawati Jaafar, 39, berkata, dia terkejut apabila melihat pokok besar di tepi jalan tumbang satu demi satu akibat dipukul angin kencang disertai dengan hujan lebat.
“Ketika itu, saya bersama suami dan empat anak dalam perjalanan ke Cenderawasih untuk berbuka puasa namun berhenti untuk mengisi minyak di stesen minyak berhampiran bazar Ramadan.
“Selepas melihat angin kencang yang begitu aneh, suami memberhentikan kenderaan di tepi jalan dan saya boleh melihat dengan jelas dari dalam kereta khemah peniaga diterbangkan angin,” katanya ketika ditemui berhampiran lokasi pokok tumbang.

Sementara itu, salah seorang penduduk di Bukit Setongkol Jaya, Samsuddin Bakar, 53, pula mengalami kerugian kira-kira RM25,000 apabila keseluruhan bumbung di tingkat atas rumahnya tercabut akibat diterbangkan angin.
Katanya, ketika kejadian, dia baru selesai menunaikan solat Asar manakala isteri, dua anak dan anak saudaranya yang berusia empat bulan.
“Tiba-tiba keadaan menjadi kelam kabut dengan bunyi pokok tumbang di luar disertai angin kencang berpusar-pusar dan serentak dengan itu, saya mendengar bunyi bising di tingkat atas.

“Saya terkejut apabila melihat bumbung di tingkat atas habis diterbangkan angin menyebabkan segala perabot basah ditimpa hujan malah komputer anak saya turut rosak,” katanya.
Menurutnya, itu adalah kali kedua kejadian ribut berlaku sejak menetap di situ lebih 20 tahun lalu selepas kejadian pertama pada 2007.
“Walaupun mengalami kerugian, saya bersyukur kerana ahli keluarga selamat dan tidak mengalami kecederaan. Saya menganggap ini adalah dugaan di bulan puasa,” katanya yang merupakan kakitangan kerajaan.
Seorang penduduk yang bumbung rumahnya turut diterbangkan angin, A Chandrasegaran, 48, berkata, dia terkejut apabila sebahagian daripada atap rumahnya diterbangkan angin dalam masa dua saat sahaja.
“Saya, isteri dan anak-anak yang ketika itu leka menonton televisyen segera berlari ke luar rumah kerana bimbang akan ada barang jatuh dan menimpa kami pula.
“Sepanjang 11 tahun menetap di sini, ini adalah kali pertama kami berhadapan dengan ribut kuat sebegini dan saya masih belum dapat menganggarkan kerugian yang dialami kerana ia turut melibatkan kerosakan barang-barang rumah,” katanya.
Katanya, dia mengambil keputusan untuk menghantar anak dan isterinya tidur di rumah saudara berhampiran kerana bimbang kejadian sama akan berulang sekiranya hujan lebat berlaku.

Pegawai Operasi JPAM, Aznor Hafizi Ahmad berkata, pihaknya menerima 20 kes melibatkan pokok tumbang dan bumbung rumah diterbangkan angin bermula pada jam 7 petang.
“Kawasan yang dilanda ribut membabitkan Bukit Setongkol, Indera Mahkota 2 dan juga di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas).
“Setakat ini masih tiada kecederaan yang dilaporkan selain kerosakan harta benda,” katanya.
No comments:
Post a Comment