Thursday, August 12, 2010

Panik? Harga Ayam dan Bawang Putih Naik!

Ayam:-

Pengguna dinasihatkan agar tidak panik dengan harga ayam yang naik mendadak ketika ini kerana ia hanya bersifat sementara, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Abdul Karim.

Katanya kenaikan harga ayam di sesetengah tempat bukan disebabkan faktor kekurangan bekalan tetapi sikap pembekal yang sengaja menaikkan harga sesuka hati berikutan permintaan tinggi terhadap barang itu ketika ini.

"Ini semua taktik mereka kerana daripada mesyuarat yang saya hadiri pagi tadi dengan pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, bekalan lebih daripada mencukupi iaitu 10.5 juta ekor ayam untuk seminggu walhal permintaan ayam sehari hanya satu juta ekor.

"Keadaan ini disebabkan kuasa pasaran iaitu apabila permintaan lebih tinggi dan ayam pula bukan barang kawalan, mereka telah naikkan harga di peringkat runcit," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa dan menyampaikan zakat di Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) di sini, malam Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai harga ayam yang naik mendadak di beberapa buah negeri dengan bermulanya bulan Ramadan ini.

Rohani berkata kementerian itu sentiasa menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan harga barang tidak dinaikkan sesuka hati.

Beliau berkata pengguna juga berupaya mengelakkan diri mereka daripada terus ditindas dengan memainkan 'kuasa pembelian' sepenuhnya.

"Sementara harga ayam tengah naik, pengguna boleh tukar kepada makanan lain dan ini akan menyebabkan permintaan menurun dan akhirnya harga ayam pun akan turun juga kerana ayam bukan gula yang boleh disimpan. Apatah lagi orang sentiasa nak yang segar," katanya.

Bagaimanapun, Rohani menjelang Aidilfitri ayam akan dijadikan barang kawalan dan harganya akan terkawal.

Bawang Putih :-

Kenaikan harga bawang putih di pasaran tempatan kini, adalah sesuatu yang tidak boleh dielak dan dikawal oleh kerajaan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata peniaga tempatan terpaksa menaikkan harga bawang putih kerana mereka telah mengimport bahan makanan itu dari China dengan harga yang tinggi.

"Harga bawang putih naik kerana ia diimport dari China. Keadaan cuaca di China telah menjejaskan pengeluaran bawang putih di negara berkenaan.

"Sebagai pengimport, kita (peniaga tempatan) membelinya dengan harga yang tinggi dari China dan mereka tiada pilihan selain terpaksa menjualnya dengan harga yang tinggi," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Bazar Ramadan di Presint 2, di sini Khamis.

Ismail Sabri berkata Malaysia bergantung kepada China untuk mendapatkan bawang putih kerana negara berkenaan merupakan pengeluar terbesar bahan makanan tersebut.

Katanya kerajaan tidak boleh membuat keputusan tergesa-gesa bagi mendapatkan bekalan bawang putih dari negara lain kerana ia membabitkan kontrak jangka panjang antara pengimport dan pengeluar bahan makanan itu.

Hari ini, harga runcit bagi satu kilogram bawang putih sekarang hampir RM10 disebabkan bekalan yang terhad berikutan banjir di China.

Sesetengah bawang putih bergred tinggi dilaporkan berharga lebih daripada RM10 dan harga itu berbeza mengikut lokasi.

Harga borong bagi bawang putih yang biasanya antara RM3 dan RM3.50 sekilogram melonjak kepada RM8.50 sekilogram.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata daripada tinjauannya hari ini dan di Seksyen 17 Petaling Jaya semalam, harga bahan makanan dan minuman di bazar Ramadan adalah sama seperti tahun lepas, walaupun harga gula naik 25 sen sekilogram, bulan lepas.

"Sebelum ini, rakyat menyuarakan kebimbangan harga bahan makanan dan minuman yang berasaskan gula akan naik tetapi daripada laporan yang saya terima dari pengarah-pengarah negeri juga menyatakan harga bahan makanan dan minuman masih kekal seperti tahun lepas," katanya.

Beliau berkata harga ayam di Putrajaya juga masih berpatutan walaupun di beberapa tempat harga bahan bekalan itu agak tinggi kerana peniaga di sini, berpendapat mereka masih boleh mendapat untung jika menjualnya dalam kuantiti yang banyak.

Ditanya mengenai terdapat peniaga Melayu menjadi mangsa pengusaha-pengusaha pusat beli-belah bertaraf lima bintang yang mengenakan kadar sewa yang tinggi sehingga menyebabkan mereka terpaksa menutup premis masing-masing, Ismail Sabri berkata setakat ini beliau belum mendapat laporan berhubung perkara itu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan peniaga-peniaga terbabit supaya membuat laporan kepada kementeriannya dan beliau akan membangkitkan perkara itu walaupun ia bukan di bawah bidang kuasa pihaknya.

Kerajaan sepatutnya membuat kampen kurangkan makan ayam dan kurangkan penggunaan bawang putih. Kalau gula macam-macam kampen kelihatan agar rakyat diberi kesedaran berkenaan penyakit kencing manis, macam-macam cara di buatnya seperti 'sesudu gula sudah cukup', 'kurangkan gula dalam minuman lebihkan dalam senyuman' dan berbagai lagi....sedangkan ianya hanya untuk meredakan kemarahan rakyat berikutan kenaikan harga gula.

Mungkin tak mustahil akan ada pula nanti 'kurangkan ayam dalam masakan lebihkan burung puyuh dalam hidangan' atau mungkin juga 'sebiji bawang merah sama rasanya seulas bawang putih'.

Lepas ni apa pula barangan yang akan naik? Perayaan sudah semakin menjelma, barangan apa pula yang akan diletakkan sebagai barangan kawalan. Tunggu dan lihat.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails