Monday, August 30, 2010

Koo, Tan Kandas


PENANTIAN badminton negara untuk bergelar juara dunia berterusan lagi.
Pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong gagal melaksanakan tugas selaku pilihan utama apabila kecundang akhirnya di tangan juara bertahan dari China, Cai Yun-Fu Haifeng 21-18, 18-21, 14-21 pada perlawanan akhir beregu lelaki di Stade Pierre de Coubertin malam tadi.

Permulaan baik ketika mereka berjaya mengungguli kehebatan lawan bagaikan satu impian palsu apabila mereka tenggelam dengan asakan demi asakan lawan dan kecundang dalam tempoh 63 minit.

Ia menamatkan terus niat skuad negara mengakhiri kemarau kejuaraan pada Kejohanan Badminton Dunia edisi ke-18 di Paris selepas gagal melakukannya sejak kejohanan sulung pada 1977 di Malmo, Sweden.

Kien Keat-Boon Heong patut menyalahkan diri sendiri kerana gagal beraksi seperti ketika pusingan suku akhir dan separuh akhir kelmarin. Mereka banyak melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya sekali gus memberikan lawan mata mudah.

“Kami beraksi bagus pada set pertama tapi pada set kedua kami mula bimbang dan memberikan lawan peluang untuk banyak menyerang.

“Pada set penentuan, semuanya mengenai keyakinan dan jelas keyakinan kami mengendur manakala pasangan China itu semakin yakin untuk mengalahkan kami,” kata Kien Keat.

Boon Heong turut bersedih kerana gagal melaksanakan tugas pada peringkat terakhir.

“Sayang sebenarnya kerana kami tak ambil kesempatan ini. Peluang untuk mara ke perlawanan akhir bukannya selalu. Saya sedih kerana mengakhiri kempen sebegini,” katanya.

Kekalahan itu memberikan peluang buat kem China menyapu bersih semua lima gelaran dipertandingkan, dengan Chen Jin mengatasi Taufik Hidayat pada perseorangan lelaki dan tiga lagi acara - beregu campuran, perseorangan wanita dan beregu wanita - menyaksikan pertemuan sesama pemain mereka sendiri.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails