Friday, August 20, 2010

Dah La Menunjuk Cerdik Kini Tak Waras Pula

Kerajaan negeri Pulau Pinang menafikan sekeras-kerasnya bahawa nama Ketua Menteri Lim Guan Eng menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat yang dibaca di beberapa masjid di negeri itu.

Exco Hal-Ehwal Agama negeri, Abdul Malik Abul Kassim berkata siasatan awal mendapati ianya tidak berlaku kerana teks khutbah Jumaat, yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam negeri, tidak menggunakan nama Lim.

Katanya, hanya orang yang tidak waras sahaja yang akan menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat.

Abdul Malik berkata, beliau telah membuat siasatan awal dan mendapati kejadian itu tidak berlaku seperti yang didakwa oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi perhubungan Umno negeri.

Abdul Malik menjelaskan, teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) tidak menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Lim, seperti yang didakwa.

"Dan kalau mereka tidak baca teks sekalipun, saya percaya hanya orang yang tidak waras sahaja yang akan ganti nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah," katanya lagi.

Tambahnya, dakwaan itu juga tidak menyebut dengan jelas masjid yang terbabit, sebaliknya hanya menamakan kawasan Permatang Pauh, Jelutong dan Tasek Gelugor.

Ditanya lanjut, beliau berkata kerajaan negeri tidak akan mengambil tindakan lanjut atas dakwaan itu kerana "tidak timbul isu."

"Isu ini sengaja diada-adakan, sebab sememangnya tiada isu. BN yang sengaja wujudkan isu ini," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Abdul Malik juga berkata, sekiranya Ahmad Zahid mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut, beliau hendaklah membuat laporan supaya dakwaan tersebut dapat disiasat.

"Kalau dia ada maklumat, sepatutnya dia buat laporan kepada kerajaan negeri, atau kepada polis atau kepada pejabat mufti, bukannya pergi beri kenyataan kepada media," katanya lagi.

Sementara itu, bercakap dalam satu sidang media pagi ini, Abdul Malik juga berkata kerajaan negeri serta JAIPP tidak menerima sebarang arahan lisan mahupun bertulis untuk menukar nama tersebut dalam teks khutbah.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa sesetengah jawatankuasa masjid menggunakan isu tersebut untuk mensabotaj kerajaan negeri.

Komen Anwar Ibrahim

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan isu khutbah Jumaat merupakan fitnah terbaru "yang dimainkan oleh Umno untuk menyemarakkan api kebenciandi negara ini.

"Tuduhan yang dilemparkan kepada kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang bahawa nama Yang di-Pertuan Agong telah digantikan dengan nama ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah terbukti merupakan satu pembohongan semata," katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau yang juga ketua umum PKR berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut.

Anwar berkata, beliau sendiri memantau perkembangan tersebut, membaca teks khutbah yang diedarkan dan menerusi rakan-rakan di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, katanya beliau mendapati tuduhan tersebut tidak berasas.

"Bahkan ianya merupakan satu fitnah demi laba politik pemerintah yang kian hari kian terdesak," katanya sambil menambah pimpinan Umno berterusan menggunakan aksi politik perkauman sempit yang usang.

Katanya, ia juga menunjukkan kegagalan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memahami nurani rakyat Malaysia keseluruhannya yang mahukan sebuah negara yang kekal aman dan sejahtera.

"Kita yakin usaha pimpinan Umno ini tidak akan berhenti di situ sahaja. Mereka pasti menganyam fitnah yang lain pula demi memecahbelahkan muafakat masyarakat di negara ini yang mahu hidup dalam kerukunan dan sejahtera.

"Mereka menyedari rakyat Malaysia mempunyai keyakinan yang teguh untuk terus beriltizam dengan perubahan dan demi Malaysia yang Adil.

"Oleh demikian saya menyeru rakyat Malaysia untuk perteguh keazaman bersama Pakatan Rakyat dan mara mengharungi serangan yang tidak akan kunjung diam dari pimpinan Umno itu.

"Hanya dengan melakukan perubahan, politik perkauman sempit akan berjaya dihalang," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails