Friday, August 6, 2010

Dugaan hebat menjelang Ramadan

JENGKA 8 – Peristiwa tiga permata hati diragut pergi menjadi dugaan terbesar buat Muhamed Faizal Yusuf, 37, menjelang Ramadan dan Syawal ini setelah dirinya berpisah dengan isteri, Rosiah Mohamad Ismail, 35, sejak tiga bulan lalu.

Muhamed Faizal yang bekerja sebagai kontraktor bahagian telekomunikasi dan elektrik di Rawang, sering berulang-alik setiap minggu untuk menemui ketiga-tiga anaknya yang kini tinggal bersama bekas isteri di Bandar Jengka.

Menurutnya, Isnin lalu adalah kali terakhir dia bertemu ketiga-tiga anaknya malah dia sempat membawa mereka bersiar-siar ke Kuantan sebelum berjanji dengan mereka akan pulang Jumaat (semalam) untuk membawa mereka membeli-belah bagi persiapan raya.

“Malah mereka sempat menghantar dan melambai kepada saya dari luar pintu kedai salun kecantikan ibunya (Salun Sinar Ros) Isnin lalu selepas saya menghantar mereka dan pulang ke Rawang untuk bertugas semula.

“Walaupun sebelum ini mereka tidak pernah berbuat demikian malah sayup-sayup saya lihat lambaian tiga beradik ini di luar pintu kedai tersebut,” katanya.

Muhamed Faizal berkata, anak bongsunya, Mohd Faiz Daniel Muhamad Faizal, 6, paling rapat dengannya malah Selasa lalu dia sempat berbual melalui telefon dan itu adalah kali terakhir dia mendengar suara manja anak bongsunya.

“Ketika mula menerima panggilan kira-kira jam 8 malam, rasa tidak percaya apabila dimaklumkan oleh abang ipar bahawa ketiga-tiga anak saya maut terlibat dalam kemalangan namun saya sedapkan hati untuk memandu pulang.

“Ketika sampai di Hospital Bandar Jengka saya masih terkejut namun saya reda ketentuan Ilahi dan menerima takdir tuhan walaupun tidak sempat membelikan baju raya untuk mereka serta menyambut Aidilfitri tahun ini bersama,” katanya.

Anak bongsu mahu ikut kakak

Seperti hilang arah, namun Rosiah Mohamad Ismail, 35, juga reda dengan ketentuan Ilahi apabila tiga permata hatinya maut dalam sebuah kemalangan ketika pulang dari kedai makannya di simpang Felda Jengka 14 menuju ke kediaman mereka di Bandar Jengka.

Menurutnya, selalunya anak bongsunya akan pulang bersamanya dan tidak mahu mengikut kakaknya namun kelmarin dia mahu mengikut kakaknya pulang ke rumah di Bandar Jengka.

Sempat jenguk emak

Menurut ayah kepada Muhamad Azlan (mangsa yang turut maut), Abdul Talib Mat Piah, 59, berkata, anaknya seorang yang mesra dengan keluarga dan mudah disuruh serta tidak banyak karenah.

“Ibunya dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh dua hari lalu untuk menjalani pembedahan penyakit batu karang. Sebelum dirujuk ke HoSHAS, ibunya menerima rawatan di Hospital Jengka.

“Arwah yang juga anak kelapan daripada sembilan beradik sebelum ini tidak bekerja dan dia baru tiga hari memulakan kerja sebagai tukang cuci kereta di sebuah pusat cucian di Jengka 14,” katanya.

Abdul Talib berkata, arwah ada memaklumkan kepadanya untuk pergi melawat emak di hospital bersama rakan petang kelmarin dan tidak merasakan sesuatu yang ganjil pada diri arwah.

“Malah arwah turut bekerja separuh hari hanya untuk melawat ibunya walaupun baru tiga hari memulakan kerja. Sedangkan sebelum ini ibunya menerima rawatan di Hospital Jengka dia tidak sempat melawat namun sebelum kejadian ini, dia sempat melawat ibunya di hospital,” katanya.

Turut hadir melawat jenazah di rumah mayat Hospital Jengka, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada kedua-dua keluarga mangsa yang terlibat kemalangan.

Jenazah Muhamad Azlan dikebumikan kira-kira jam 11 pagi semalam di tanah perkuburan Felda Jengka 14.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails