Tuesday, August 17, 2010

Bulan Ramadhan Bulan Barokah

Rasullulah SAW telah bersabda "Sekiranya hamba-hamba Allah mengetahui apa yang ada dalam bulan Ramadhan, sudah tentu mereka bercita-cita supaya bulan Ramadan berpanjangan selama setahun". (Tabrani dan Baihaqi)

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan yang mana pada bulan ini disyariatkan ibadah yang amat mulia di sisi Allah SWT, iaitu puasa. Sabda Rasulullah SAW “Telah tiba kepada kamu bulan Ramadhan, iaitu bulan yang penuh keberkatan. Allah telah mewajibkan ke atas kamu agar berpuasa pada bulan itu.” (Ahmad)

Kalamullah al-Quran telah diturunkan pada bulan ini. Seluruh umat Islam beriman bahawa al-Quran merupakan kitab yang menjadi petunjuk bagi sekalian hamba Allah SWT untuk membezakan di antara kebenaran dan kebatilan. Allah SWT berfirman “(Kamu diwajibkan berpuasa) pada bulan Ramadhan yang mana diturunkan Al-Quran pada bulan itu. (Al-Quran itu) menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan juga membawa keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Al-Baqarah: 185)

Pada bulan Ramadhan yang penuh berkat ini juga dibuka seluas-luasnya pintu syurga bagi mereka yang beriman dan taat kepada perintah Allah SWT. Bahkan, di bulan yang mulia ini jugalah dilimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-Nya yang menjadi penyebab memudahkan mereka masuk ke syurga. Sabda Rasulullah SAW “Apabila datang bulan Ramadhan, pintu-pintu syurga akan dibuka.” (Bukhari)

Allah SWT meluaskan rahmat-Nya agar menaungi seluruh hamba-hamba-Nya yang tekun beribadah dan taat kepada-Nya dengan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Sabda Rasulullah SAW “Apabila tiba bulan Ramadhan maka dibuka pintu-pintu rahmat.” (Muslim)

Allah SWT membuka pintu langit seluas-luasnya pada bulan Ramadhan yang mulia ini untuk menurunkan limpahan rahmat-Nya kepada sekalian hamba-hamba-Nya serta segala amalan-amalan berbentuk ketaatan kepada-Nya akan naik secara terus kepada-Nya. Sabda Rasulullah SAW “Apabila masuk bulan Ramadhan, pintu-pintu langit dibuka.” (Bukhari)

Pintu-pintu neraka pula ditutup serapat-rapatnya pada bulan Ramadhan. Ia menunjukkan bahawa pada bulan Ramadhan yang mulia ini hamba-hamba Allah yang tekun beribadah dan menurut segala perintah-Nya terlindung daripada dorongan untuk melakukan perbuatan-perbuatan terlarang yang boleh menjadi penyebab untuk mereka dicampakkan ke dalam api neraka. Sabda Rasulullah SAW “Apabila masuk bulan Ramadhan, pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu neraka jahanam ditutup.” (Bukhari)

Pada bulan Ramadhan syaitan dan jin dirantai untuk menghindari mereka dari mengganggu atau menghasut orang-orang yang beriman. Sabda Rasulullah SAW “Apabila tibanya malam pertama bulan Ramadhan dibelenggu syaitan-syaitan dan jin yang derhaka.” (Tirmizi)

Pada bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding 1000 bulan, iaitu Lailatul Qadar. Allah SWT berfirman “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadar itu? Lailatul Qadar ialah malam yang paling baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” (Al-Qadr:1-5)

Kehadiran Ramadhan yang penuh dengan keberkatan membawa isyarat bahawa umat Islam diwajibkan berpuasa pada siang hari selama sebulan. "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas umat yang sebelum kamu, supaya kamu bertakwa" (Al Baqarah:183)

Secara mudah takwa bermaksud gemar melakukan segala suruhan Allah SWT dan bersungguh-sungguh menjauhi segala laranganNya. Orang yang bertakwa sentiasa merasa takut dan gerun terhadap janji siksaan daripada Allah SWT. Oleh itu, mereka akan sentiasa istiqamah, redha dan berasa kecukupan dengan apa yang dikurniakan Allah SWT kepadanya dan sentiasa bersiap sedia menghadapi saat-saat kematian.

Rasulullah SAW bersabda "Allah telah berfirman: Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa, sesungguhnya ia untuk Ku dan Akulah yang akan memberi ganjarannya, puasa itu adalah perisai. Apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar. Jika seseorang mencacimu katakanlah kepadanya: Saya berpuasa, saya berpuasa. Demi tuhan yang diri Muhammad ditangannya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan yang akan diraikannya, ia gembira ketika berbuka dan apabila bertemu Tuhannya ia bergembira dengan puasanya". (Bukhari)

Peliharalah kesucian Ramadhan dengan melaksanakan ibadat puasa disamping menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang boleh mengurang dan merosakkan ibadat puasa seperti mengumpat, bercakap bohong, melakukan perkara yang sia-sia, melihat perkara yang memberangsangkan nafsu syahwat, mendengar ucapan yang kotor dan keji, bertengkar sesama insan yang membawa kepada perkelahian dan apa jua perbuatan atau amalan yang membawa dan mendorong kepada kejahatan, perbuatan yang keji dan dosa.

Pada bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding 1000 bulan, iaitu Lailatul Qadar.

Sabda Rasulullah SAW “Carilah lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadhan.” (Bukhari)

Rasulullah SAW juga bersabda “Carilah (lailatul qadar) pada sepuluh malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir.” (Muslim)

Kombinasi dari kedua-dua hadis di atas dapatlah kita simpulkan bahawa kita sepatutnya menggandakan ibadah pada malam yang ganjil bermula sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadhan terutamanya pada malam ke 23, 25, 27 dan 29.

Ibadah yang amat dianjurkan oleh Rasulullah SAW ketika berada di bulan Ramadhan antaranya ialah ibadah qiamullail, memperbanyakkan doa, berzikir, dan membaca Al Quran.

Doa yang amat dianjurkan dibaca pada malam Lailatul Qadar selepas membaca tasyahhud adalah sebagaimana hadis yang telah diriwayatkan oleh Ali bin Abu Talib RA: Sesungguhnya Rasulullah SAW membaca pada solat witirnya (selepas tahiyat) “Ya Allah! Sesungguhnya Aku berlindung dengan keredhaan Mu daripada segala kemurkaan Mu. Aku juga berlindung dengan kemaafan Mu daripada segala balasan yang bakal ditimpakan. Aku juga berlindung dengan Zat Mu yang tidak terhitung segala nikmat dan belas kasihan yang telah Engkau berikan, kami hanya mampu berusaha memuji Mu seperti mana pujian yang layak bagi Zat Mu.” (Tirmizi, Nasaai, Abu Daud, Ahmad)

Sumber : masjidbulat.com

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails