Saturday, July 10, 2010

Virus ragut enam nyawa dalam tiga hari

ULU JEMPOL - Sejenis virus yang dikatakan ‘datang’ dari lokasi mangsa lemas di Hutan Lipur Lubuk Yu pada 26 Jun lalu dipercayai meragut nyawa enam penduduk daerah ini dalam masa enam hari iaitu tiga hari selepas mayat dijumpai.

Kesemua kematian itu disebabkan virus yang sama dan membabitkan mereka yang terlibat secara langsung dan tidak dalam operasi mencari mangsa lemas di pusat perkelahan itu.

Mangsa pertama adalah seorang peneroka Felda Ulu Jempol yang juga waris kepada mangsa lemas, Zakaria Ayub, 52, pada 3 Jun lalu selepas mengalami simptom deman panas, batuk, muntah dan sakit sendi.

Menurutnya anak kedua mangsa, Mohd Zaidi, 28, arwah bapanya berada di lokasi kejadian lemas itu pada tiga hari pertama operasi sebelum demam dengan mengadu rasa amat sejuk walaupun suhu badan panas.

”Arwah ada beritahu sakit badan selain sejuk dan kami menghantarnya ke klinik swasta di Bandar Tun Razak Jengka sebelum dirujuk ke Hospital Jengka.

”Pada hari sama jam 2 petang, arwah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh dan difahamkan mengalami tekanan darah rendah. Arwah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan menghembuskan nafas terakhir, jam 10.40 malam,” katanya kepada Sinar Harian.

Rakan kepada arwah Zakaria yang pergi ke lokasi bersama, Zainal Abidin Ismail, 56, menjadi mangsa kedua virus ini dan mula mengalami simptom sama pada 4 Jun.

Isterinya, Zaharah Mohamad, 52, berkata, pada tarikh itu arwah ditahan wad di Hospital Jengka dengan menerima dua botol air ke dalam badan kerana mengadu sakit sendi serta pening.

Menurutnya, arwah kemudian dibenarkan pulang tetapi dimasukkan semula selepas pitam ketika menikmati hidangan tengah hari di sebuah kedai bersama seorang rakan di bandar itu.

”Arwah pernah bercerita bahawa bermimpikan sesuatu tentang Lubuk Yu lalu minta dibawa ke Rawang untuk berubat cara kampung dan meninggal dunia di sana selepas sesak nafas pada 6 Jun,” katanya.

Pada hari yang sama, bapa kepada mangsa lemas, Azizan Abdullah, 58, turut menghembuskan nafas terakhir.

Pada 7 Jun, seorang bapa kepada dua anak lelaki berusia setahun dan tiga bulan dari Pekan Sungai Jerik, Timothy Hoo Seng Heng, 29, meninggal dunia di HoSHAS selepas mengalami simptom sama.

Ayah mangsa, Hoo Hook Kee, 59, berkata, mendiang tidak menghidap sebarang penyakit namun selepas pulang dari mencari mangsa lemas di Lubuk Yu, mendiang demam panas dan dihantar ke Hospital Jengka sebelum dirujuk ke HoSHAS kerana sesak nafas.

Mendiang yang juga anak kepada Ketua Wanita MCA Cawangan Sungai Jerik itu dipercayai meninggal dunia akibat virus ‘misteri’ sama namun punca jangkitan masih belum dikenal pasti.

Kejadian terbaru, pada 8 Jun membabitkan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Jerik, Lim Sin Lai, 55, dan seorang pemuda lingkungan umur 30an.

Menurut sumber, tiga penduduk termasuk seorang anggota bomba dan penyelamat dalam keadaan kritikal di HoSHAS sementara dua lagi penduduk berbangsa Cina di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails