Sunday, July 25, 2010

Dr Hassan Ali Nafi Bertemu Mufti Perak Bincang Perpaduan Umno-Pas

Exco Selangor Datuk Dr Hassan Ali menafikan pertemuan antara beliau dan Mufti Kerajaan Negeri Perak, Dato Seri Harussani Zakaria bagi membincangkan isu perpaduan antara Umno dan Pas.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Dr Hassan Ali turut menafikan bahawa pertemuan itu dibuat secara sulit, tetapi ia dibuat atas kapasiti rasmi selaku Exco Selangor.

Berikut adalah kenyataan rasmi dari Persuruhjaya Pas Selangor ini:

Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah menyekat malah sentiasa menggalakkan ahli-ahli Exconya mengadakan pertemuan dengan mana-mana pihak tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik mereka.

Pertemuan seperti ini diatur bagi meningkatkan keupayaan, kemampuan, prestasi serta profesionalisme ahli-ahli Exco berkenaan. Dengan cara ini sistem pengurusan dan pembangunan negeri terus dapat dipertingkatkan.

Pertemuan saya dengan Dato’ Mufti Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan pada kira-kira dua bulan yang lepas merupakan salah satu daripada “engagement” sedemikian yang dilakukan atas sifat saya sebagai ahli Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab secara langsung antara lainnya portfolio Hal Ehwal Islam dan Adat-adat Melayu.

Pertemuan tersebut diatur bagi membolehkan saya meninjau ilmu dan pengalaman beliau secara amali mengurus Hal Ehwal Islam dan Adat-adat Melayu.

Saya dimaklumkan beliau telah berkhidmat lebih 30 tahun sebagai Mufti dan sebelum itu menjawat jawatan sebagai Kadhi Besar Negeri Perak Darul Ridzuan. Ilmu dan pengalaman yang begitu luas yang beliau miliki sudah tentu dapat dimanfaatkan untuk kebaikan bersama dan umat Islam seluruhnya.

Saya ingin menegaskan bahawa:

1. Pertemuan tersebut adalah pertemuan di antara saya selaku ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor dengan beliau selaku Mufti Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan;

2. Pertemuan diatur bagi meraih kebaikan bersama demi untuk kemajuan Islam dan kesejahteraan umat;

3. Pertemuan tersebut bukan pertemuan sulit, malah diadakan secara terbuka ditempat yang terbuka.

4. Saya tidak pernah diberi mandat oleh parti saya untuk membincangkan hal-hal politik perpaduan, oleh itu tidak ada agenda khusus membincangkan soal itu;

5. Pertemuan tersebut tidak menatijahkan apa-apa tindakan susulan di kedua-dua pihak bahkan tidak ada sebarang perhubungan antara kami berdua selepas itu;

6. Pertemuan itu diadakan sehari sebelum mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri.

Saya telah diminta mewakili kerajaan negeri dalam mesyuarat tersebut. Saya menjadikan pertemuan itu sebagai sebahagian daripada persediaan saya menghadiri mesyuarat tersebut.

Kepada sesiapa yang mempunyai prasangka dan agenda jahat terhadap saya dalam hal ini, saya menyeru supaya mereka dapat merenung semula dan bermuhasabah diri agar tidak menghabiskan masa dengan kerja-kerja yang tidak memberi manfaat kepada kemajuan agama, parti yang sama-sama kita cintai dan umat seluruhnya.

Marilah kita bersama-sama menumpukan tenaga dan pemikiran bagi menghadapi cabaran Pilihanraya Umum Ke 13 yang dijangka akan berlaku tidak berapa lama lagi.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails