Wednesday, July 21, 2010

Najib mahu kayakan kroni guna CIMB

Seorang pengusaha stesen minyak Petronas memberitahu bahawa sistem auto-debit menggunakan CIMB Bank telahpun dimulakan bermula 1 Julai lepas.

Beliau yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, sistem baru itu ternyata menyusahkan mereka kerana terpaksa membuat dua simpanan dalam satu masa.

"Untuk pengetahuan Editor Harakahdaily, stesen minyak Petronas sudah mula menggunakan sistem ini pada 1 Julai lepas.

"Sistem ini banyak menyusahkan pengusaha-pengusaha yang terpaksa membuat dua simpanan- satu dalam Maybank untuk bayaran supplier dan kad kredit dan satu lagi dalam CIMB Bank untuk bayaran minyak," tulisnya dalam email kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas pendedahan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub kelmarin yang menerima beberapa aduan daripada beberapa pengusaha stesen minyak Petronas yang telah dipaksa membuka akaun di CIMB Bank selewat-lewatnya akhir bulan Ogos bagi tujuan urus niaga.

Urus niaga dengan CIMB Bank difahamkan, akan mula dikuatkuasa pada 1 September depan namun sebaliknya telahpun dilaksanakan 1 Julai lalu.

Selain itu, kata pengusaha stesen Petronas ini lagi, CIMB Bank juga mahu pembayaran kad kredit yang selama ini dibuat dalam Maybank dipindahkan ke akaun CIMB.

"Ini kerja gila Najib yang menggunakan kuasanya untuk mengkayakan adiknya yang juga CEO CIMB Bank. Pada saya ini salah guna kuasa yang dilakukan oleh Najib demi kroninya," jelasnya kecewa.

Difahamkan CIMB juga mengenakan cas tambahan di mana setiap kali melakukan transaksi tunai melebihi seribu keping maka kos sebanyak RM10 dikenakan manakala untuk setiap seratus keping yang seterusnya kos sebanyak seringgit dikenakan.

Salahuddin sebelum ini menyifatkan kos tambahan tersebut sebagai cara mengutip 'keuntungan atas angin'.

Turut dibimbangi nasib mereka yang tidak mahu membuka akaun di CIMB kerana disifatkan sebagai menyusahkan mereka, dikhuatiri akan berdepan tindakan ditamatkan kontrak penjualan mereka.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails