Thursday, July 8, 2010

Pemandu 21 Tahun Terlelap, Gagal Hadiri Hari Peneroka

BENTONG: Faktor mengantuk dan terlelap ketika memandu dipercayai menjadi punca sebuah bas persiaran membawa 40 penumpang di kalangan peneroka merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 48.5 Lebuh raya Karak, dekat sini menyebabkan pemandu bas dan lima penumpang parah, awal pagi semalam.

Malah, lebih menimbulkan tanda tanya pemandu bas terbabit hanya berusia 21 tahun dan baru memperoleh lesen memandu bas.

Difahamkan semua penumpang dalam perjalanan menghadiri majlis Hari Peneroka di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Trolak, Perak, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sumber polis berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 1.45 pagi apabila bas persiaran berkenaan mengelak sebelum merempuh belakang sebuah treler.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan pemandu bas dan lima penumpang bas cedera parah manakala 19 lagi penumpang cedera ringan.

“Difahamkan, ketika kejadian bas dipandu dari Felda Jengka, Pahang, itu membawa kira-kira 40 penumpang. Kebanyakan penumpang yang cedera parah duduk di bahagian hadapan bas,” katanya.

Difahamkan, kira-kira setengah jam kemudian, sebuah lagi treler mengangkut muatan dandang terpaksa berhenti kira-kira 100 meter di belakang bas yang mengalami kemalangan itu.

“Pemandu treler terbabit terpaksa berhenti berikutan muatan dandang besar yang dibawa itu tidak dapat melepasi kawasan kemalangan. Difahamkan, dandang seberat 75 tan terbabit dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang menuju ke Pelabuhan Klang.
“Pada masa sama sebuah kereta Perodua Kancil mengiringi treler besar itu turut berhenti di belakangnya. Namun tindakan itu sekali lagi mengundang nahas apabila sebuah van dipandu seorang lelaki merempuh Perodua Kancil menyebabkan kedua-dua pemandu terbabit cedera,” katanya.
Menurutnya, semua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bentong dengan menggunakan sembilan ambulans dari Hospital Bentong, Selayang, Kuala Lumpur dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Beliau berkata, polis masih menyiasat punca kemalangan berkenaan berikutan kawasan kejadian bukan jalan curam.

Sementara itu, Ketua Polis Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahim yang dihubungi berkata, kemalangan ngeri itu turut membabitkan beberapa kanak-kanak turut menjadi penumpang bas terbabit.

Menurutnya, polis percaya bas berkenaan dipandu laju menyebabkan ia tidak sempat berhenti sebelum merempuh belakang treler terbabit hingga remuk.

“Pemandu bas berusia 21 tahun parah dengan kedua-dua kaki patah selain kecederaan dalaman. Mangsa kini dirawat di Hospital Temerloh, Pahang.

“Konvoi beberapa bas lain yang tidak terbabit dalam kemalangan itu bagaimanapun meneruskan perjalanan menuju ke Trolak, Perak. Polis masih menyiasat punca kemalangan dan tidak menolak kemungkinan pemandu bas mengantuk,” katanya.

Menurutnya, dia juga hairan bagaimana pemandu bas berusia 21 tahun berkenaan dibenarkan memandu bas kerana dia masih terlalu muda dan baru memperoleh lesen memandu.

“Apa yang jelas pemandu bas itu kurang pengalaman dan kes terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu cuai,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails