Tuesday, July 13, 2010

Pusat Perkelahan atau Pusat Maksiat dan Arak?

ULU JEMPOL - Pelbagai persoalan bermain di fikiran penduduk setempat apabila ada beberapa pihak saling tuding-menuding berhubung isu kebersihan dan maksiat di pusat perkelahan Lubuk Yu.

Siapakah yang perlu dipersalahkan sama ada Majlis Daerah Maran (MDM), Jabatan Perhutanan Negeri, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Jerik, Jabatan Agama Islam Daerah (Paid), wakil rakyat, peniaga makanan ringan atau pun pengunjung.

Misteri kawasan perkelahan Lubuk Yu yang meragut enam nyawa minggu lepas didapati terlalu kotor selain didakwa menjadi lokasi pasangan muda mudi melakukan maksiat dan perbuatan bertentangan agama seperti berjudi dan tempat meminum arak.

Perbuatan bertentangan agama dikatakan berleluasa sejak perkelahan terkenal itu menjadi tumpuan ramai terutama muda mudi yang tidak segan silu meminum arak dan melakukan maksiat.

Penduduk Sekitar Felda Wilayah Jengka dan Maran bersetuju dengan arahan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai supaya Pusat Perkelahan Lubuk Yu di sini didapati kotor ditutup serta merta ekoran penularan wabak bakteria meilioidosis dan leptospirosis.

Lubuk itu kini di bawah Jabatan Perhutanan Negeri dan difahamkan tiada agensi bertanggungjawab dalam menyelenggarakan kemudahan asas termasuk sampah.

Dalam usaha memberi keselesaan kepada pengunjung, peruntukan Kerajaan Negeri disalurkan namun cukup mengecewakan apabila kemudahan yang dinaik taraf tidak dapat digunakan selepas dua hari kerja siap.

Walaupun tong sampah disediakan, namun longgokan sampah sarap dengan botol minuman keras bersepah-sepah sehingga menyakitkan mata memandang.

Seorang belia, Zainal Abdul Manan, 27, berkata, isu itu bukan perkara baru kepada pengunjung dan penduduk kerana berlarutan sejak tujuh tahun lalu malah tiada sebarang tindakan diambil untuk mengatasinya.

Menurutnya, adalah lebih baik pusat perkelahan itu diserahkan kepada Majlis Daerah Maran sebagai pentadbir dan diurus mana-mana JKKK dengan mengenakan bayaran kepada pengunjung.

Lagi artikel berkenaan Lubuk Yu disini

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails