Monday, July 12, 2010

PR Pertahan Air Percuma Untuk Rakyat, Bidas Timb. Pres. Umno

Pakatan Rakyat membidas usaha Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin membela dan mempertahankan kepentingan syarikat konsesi air Syabas.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata tuduhan bahawa pemberian air percuma kepada rakyat menyebabkan Selangor menuju kemuflisan adalah usaha untuk mengalihkan perhatian dari kelemahan pentadbiran BN di negeri ini.

Timbalan Presiden Umno itu dilaporkan berkata Selangor menuju krisis air dalam masa dua tahun sekiranya ia meneruskan skim pemberian air percuma kepada rakyat.

Beliau berkata sikap Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang enggan membebankan rakyat dengan tarif air menyebabkan kerajaan negeri menyerap kos kira-kira RM13 juta setiap bulan.

Tony Pua menyanggah mimpi ngeri Muhyiddin ini dan berkata Selangor mampu menampung subsidi air RM120 juta setiap tahun kerana Pakatan Rakyat mampu mengekalkan belanjawan yang sihat dan seimbang hasil dari dasar jimat-cermat serta pembasmian rasuah.

Beliau menambah skim pemberian air ditampung keuntungan yang dijana anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Bhd, dari kepentingan minoritinya di syarikat-syarikat air seperti Splash dan Abass.

"Tan Sri Muhyiddin menyokong dan cuba mempertahankan kroni Umno, Syabas, dan ibu syarikat Puncak Niaga Holdings Bhd, yang menghadapi masalah kewangan serius, termasuklah bon mencecah RM6 bilion dan hutang ratusan juta ringgit," kata Tony.

"Timbalan Perdana Menteri nampaknya telah salah fakta. Air percuma Selangor ini dibiayai hampir sepenuhnya oleh keuntungan dari kepentingan minoriti di syarikat-syarikat air seperti Splash dan Abass melalui anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Bhd," tambah beliau.

Muhyiddin membidas sikap berhati-hati kerajaan negeri Selangor yang sehingga kini enggan memperkenankan projek mengimport air Pahang, terutamanya penyerahan tanah untuk pembinaan pusat rawatan air Langat 2 bagi projek itu.

Tan Sri Khalid dalam satu pertemuan bersama wakil tenaga-tenaga industri sebelum ini berpendirian bahawa Projek Pemulihan Sungai Klang yang digerakkan Pakatan Rakyat adalah RM38 bilion lebih murah dari projek mengimport air Pahang.

Di Parlimen hari ini, Tony Pua menggesa Muhyiddin untuk menjelaskan mengapa kerajaan BN Selangor sebelum ini memeterai perjanjian penswastaan yang menguntungkan konsesi tetapi membebankan rakyat dengan kenaikan tarif 37 peratus pada 2008, 25 peratus pada 2011, 15 peratus pada 2014 dan 10 peratus setiap tiga tahun bermula 2014.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails