Tuesday, July 13, 2010

Manusia atau Binatang ?

KUALA LUMPUR: Luluh hati seorang ibu apabila menyaksikan sendiri kekejaman anak lelakinya berusia awal 20-an merogol teman wanitanya yang berusia 16 tahun di rumah mereka sehingga gadis berkenaan mengandung, baru-baru ini.

Lebih menyedihkan apabila jeritan dan rayuan wanita berusia awal 40-an itu yang cuba menghalang tindakan keji anak lelakinya tidak diendahkan.

Malah, tindakannya mengetuk pintu bilik anaknya berkali-kali langsung tidak dihiraukan seolah-olah anak lelakinya dirasuk hantu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam hujung bulan lalu di sebuah taman perumahan di Setapak Jaya di sini, mangsa yang juga seorang pelajar dikatakan dirogol empat kali dalam bilik berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa hanya membuat laporan polis kelmarin selepas lelaki terbabit enggan bertanggungjawab terhadap perbuatannya sehingga dia kini disahkan mengandung.

Menurut sumber, semuanya bermula apabila pelajar terbabit dipelawa ke rumah suspek untuk mengenali ahli keluarganya.

“Mangsa tidak keberatan mengikut suspek ke rumah berkenaan kerana ibu teman lelakinya juga ingin mengenali remaja berkenaan.

“Selepas tiba di rumahnya dan berkenalan dengan ibu suspek, teman lelakinya itu bagaikan dirasuk hantu apabila memaksa remaja terbabit masuk ke biliknya,” katanya.

Sumber itu berkata, keengganan mangsa berbuat demikian menyebabkan berlaku pergaduhan sebelum suspek mengheret tangannya masuk ke bilik dan mengunci pintu.

“Ibu suspek yang menyedari perbuatan itu mengetuk pintu, menjerit sambil merayu kepada anak lelakinya supaya tidak melakukan perbuatan buruk ke atas gadis berkenaan.

“Malah, ibu suspek berusaha membuka tingkap di bahagian belakang bilik berkenaan untuk mengintai perbuatan anaknya,” katanya.

Menurut sumber itu, sebaik membuka sedikit tingkap bilik berkenaan, dia terkejut sebaik melihat anaknya bergelut untuk merogol teman wanitanya.

“Ibu suspek berlari semula ke pintu bilik berkenaan dan berulang kali mengetuknya, namun anaknya langsung tidak mengendahkan panggilannya,” katanya.

Sumber itu berkata, suspek merogol remaja berkenaan empat kali sebelum menghantarnya pulang ke rumah.

“Pada mulanya, mangsa tidak membuat laporan polis kerana suspek mendakwa akan bertanggungjawab terhadap perbuatannya itu dengan mengahwininya,” katanya.
Bagaimanapun, katanya lelaki terbabit mungkir janji apabila enggan bertanggungjawab atas perbuatannya selepas remaja berkenaan disahkan mengandung.

“Remaja terbabit memaklumkan kejadian itu kepada keluarganya, namun suspek berkeras enggan bertanggungjawab walaupun rundingan secara baik dilakukan keluarga mangsa,” katanya.

Berikutan itu, mangsa bersama ahli keluarganya membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju di sini, kelmarin, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Difahamkan, lelaki terbabit sudah ditahan di rumahnya semalam bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu kes terbabit sudah dirujukkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Zina ialah persetubuhan yang dilakukan oleh seorang lelaki dengan seorang perempuan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syarak (bukan pasangan suami isteri) dan kedua-duanya orang yang mukallaf, dan persetubuhan itu tidak termasuk dalam takrif (persetubuhan yang meragukan).

Jika seorang lelaki melakukan persetubuhan dengan seorang perempuan, dan lelaki itu menyangka bahawa perempuan yang disetubuhinya itu ialah isterinya, sedangkan perempuan itu bukan isterinya atau lelaki tadi menyangka bahawa perkahwinannya dengan perempuan yang disetubuhinya itu sah mengikut hukum syarak, sedangkan sebenarnya perkahwinan mereka itu tidak sah, maka dalam kes ini kedua-dua orang itu tidak boleh didakwa dibawah kes zina dan tidak boleh dikenakan hukuman hudud, kerana persetubuhan mereka itu adalah termasuk dalam wati’ subhah iaitu persetubuhan yang meragukan.

Mengikut peruntukan hukuman syarak yang disebutkan di dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith yang dikuatkuasakan dalam undang-undang Qanun Jinayah Syar’iyyah bahawa orang yang melakukan perzinaan itu apabila sabit kesalahan di dalam mahkamah wajib dikenakan hukuman hudud, iaitu disebat sebanyak 100 kali sebat. Sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang bermaksud :

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari kedua-duanya 100 kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman siksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”. (Surah An- Nur ayat 2)

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails