Monday, July 26, 2010

FDI Corot, Ekonomi Malaysia Hilang Arah

Lesu dan memalukan. Ekonomi yang dahulunya antara yang terpaling rancak di rantau Asia kini selemah negara-negara miskin Asia Tenggara.

Malaysia yang dikemudi Perdana Menteri Najib Abdul Razak tidak ubah seperti hidup segan mati tak mahu. Pelaburan asing negara corot berbanding Filipina, Thailand, Indonesia dan Singapura, bahkan juga negara komunis Vietnam.

Berdasarkan kepada laporan pelaburan dunia 2010 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diterbitkan baru-baru ini, Malaysia sekadar mampu bersaing dengan negara-negara dunia ketiga dan keempat seperti Kemboja, Myanmar, Laos dan Timor-Leste.

Perdana Menteri Najib Razak cuba mengenakan rawatan kosmetik kepada ekonomi negara bagi menarik pelaburan asing dengan harapan ia mampu memacu pertumbuhan keluaran dalam negara kasar ke paras enam peratus dalam jangka masa lima tahun akan datang.

Namun kajian PBB mendapati pelaburan asing ke Malaysia menjunam dari USD2.56 bilion pada tahun 2004 dan USD1.09 bilion pada 2005, kepada negatif USD0.02 bilion tahun seterusnya, negatif USD2.7 bilion pada 2007 dan negatif USD7.67 bilion pada 2008.

"Disamping FDI, berlakunya aliran keluar dana besar-besaran sebanyak RM24 bilion pada 2009 kerana pelabur-pelabur tempatan mahu membuat pelaburan diluar. Kerana apa? Kerana mereka mendakwa peluang dalam negara kurang," kata Ahli Parlimen Dr Dzulkefly Ahmad.

"Mereka ini bukan kroni, justeru mereka tak boleh bersaing. Kementerian kewangan memberi hanya syarikat tertentu. Yang dapat geng-geng tertentu, pi mai pimai muka-muka yang sama. Jadi pelabur terjepit dalam ketidaksamarataan ini," tegas beliau.

Dr Dzulkefly berhujah Perdana Menteri Najib Razak harus akui bahawa negara-negara berprestasi tinggi menawarkan perkhidmatan yang mantap, dan lanskap ekonomi yang mesra perniagaan dan berdaya-saing.

Lantas, Kerajaan Malaysia harus bersikap lebih kompetitif.

"Ada laporan yang menulis pelabur Australia tidak masuk ke Malaysia kerana perkhidmatan internet yang lembab. Saya ada bacakan hal ini di Dewan Rakyat. Pelabur mahu pantas. Pelabur mahu cekap. Kita janjikan jalurlebar megabait, tetapi servis serupa kilobait," ujar Dr Dzulkefly.

Najib Razak tidak lagi boleh menggunakan alasan krisis kewangan sejagat sebagai petualang penguncupan FDI negara, kerana data menunjukkan prestasi negara jauh lebih buruk dari negara-negara ekonomi besar dan kecil di rantau ini.

Kerajaan Pusat dibidas kerana sikap berdolak-dalik dalam melaksanakan Model Ekonomi Baru selepas ia dikritik hebat gerakan rasis seperti Perkasa telah mengoyahkan keyakinan pelabur.

Sikap pentadbiran Umno-BN yang menyesakkan pelaburan swasta dengan mengagih-ngagihkan projek-projek kepada entiti berkepentingan turut meresahkan para pelabur dalam dan luar negara.

Dr Dzulkefly berkata tanpa reformasi menyeluruh, ekonomi Malaysia akan terus hanyut dalam era kesejagatan hari ini.

"Silapnya pimpinan BN ni dia tak sedar diri lagi. Contohnya, saya pernah bangkitkan baru-baru ini isu pembelian 38 unit gerabak Keretapi Tanah Melayu yang dikatakan menelan belanja RM1.8 bilion. Namun selepas disemak ada lebihan bayar sebanyak RM500 juta," jelas beliau.

"Pada awalnya ada 8 pembida untuk tender itu, tetapi semuanya ditolak. Kerajaan pergi ke China, dan beli gerabak-gerabak berkenaan pada harga RM500 juta lebih mahal dari harga sepatutnya. Kementerian Pengangkutan kononnya dipaksa oleh Kementerian Kewangan untuk membeli gerabak-gerabak berkenaan pada harga yang terlebih itu," tegasnya lagi.

"Tengok sahaja pasaran negara hari ini. Dengan pelbagai skandal seperti pembayaran komisyen kapal selam Scorpene misalannya, ia meninggalkan persepsi buruk di kalangan pelabur. Skandal-skandal ini menyakinkan mereka bahawa Malaysia bukan destinasi pelaburan yang tepat," tambah Dr Dzulkefly.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails