Thursday, July 29, 2010

Tarbarai Sudah...

Kumpulan sasarannya ialah kakitangan kerajaan berpendapatan rendah yang dimomokkan dengan keuntungan amat lumayan mencecah enam angka serta kereta mewah bernilai ratusan ribu ringgit setiap satu.

Setiap kali pertemuan, deretan kereta mewah milik ‘upline’ antaranya BMW 5 Series, Nissan Fair Lady, BMW Z4 Spider, Mitsubishi Evo Lancer serta Nissan GTR Skyline akan diparkir di hadapan kafe atau restoran yang menjadi lokasi perjumpaan bagi memancing mangsa, selain menggambarkan keuntungan luar biasa yang bakal diperoleh.

Itu taktik digunakan satu sindiket skim cepat kaya yang mengaut keuntungan atas angin dan aktif sejak tiga tahun lalu, kini disertai ribuan ahli di seluruh negara dengan majoritinya kakitangan kerajaan.

Berselindung di sebalik nama kelab riadah dan keluarga, sindiket itu menawarkan pelaburan eksklusif dengan menjalankan perniagaan jualan langsung berasaskan produk makanan kesihatan sedangkan ia palsu.

Modalnya juga bukan sedikit kerana ahli perlu membuat pelaburan sekurang-kurangnya RM41,000 sedangkan pulangan yang diterima tidak mencecah RM5,000 sebulan.

Sesi perbincangan untuk berkongsi pelan pemasaran tidak berakhir dalam sehari. Dalang yang juga upline berpura-pura akan berkongsi keuntungan dan membantu mencarikan modal pelaburan melalui pinjaman bank yang akan diluluskan segera.

Selain kereta mewah, dalang lintah darat terbabit sentiasa bermegah-megah dengan barangan mewah dan menceritakan pendapatan mencecah puluhan hingga ratusan ribu ringgit sebulan.

Segala taktik itu terbongkar apabila lokasi pertemuan ahli kelab terbabit diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, JSJK Selangor dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) melalui Ops Serama di Pusat Perniagaan Mentari, Bandar Sunway, dekat sini, kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Ketua Penolong Pengarah (Operasi) JSJK Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa, berkata bertindak atas maklumat dan laporan orang ramai pihaknya menyerbu empat restoran dan menahan kira-kira 100 ahli serta dalang skim terbabit.

“Mereka tidak mempunyai pendaftaran syarikat dan bergerak bebas mencari mangsa yang juga kakitangan kerajaan muda serta berpendapatan rendah. Pada peringkat awal, mangsa diminta membuat pelaburan RM41,000. Jika mangsa tidak berkemampuan mereka akan menawarkan pelaburan RM13,000 dan paling rendah RM2,000.

“Namun, dek kerana tamak, ada yang sanggup meminjam daripada ahli keluarga dan saudara-mara untuk melabur dengan modal tinggi kerana dijanjikan keuntungan lebih besar,” katanya sambil memberitahu skim itu menjalankan pelaburan berkonsepkan piramid.

Rohaimi berkata, jika mangsa gagal mendapat pinjaman daripada institusi kewangan, sindiket itu akan bekerjasama dengan koperasi yang ‘tenat’, namun jika gagal mendapatkan pelabur baru untuk melangsaikan hutang, mereka akan menerima ugutan dan ancaman ala along.

“Dalam serbuan itu kami menahan beberapa dalang yang sedang memperdayakan mangsa untuk melakukan pelaburan dan merampas 17 kereta mewah menggunakan nombor pendaftaran 8282, 925 dan 3399 yang menjadi simbol identiti sindiket itu.

“Dalang terbabit memujuk serta meyakinkan mangsa terutama mereka yang bekerja sebagai penjawat awam, badan berkanun atau syarikat swasta yang mempunyai panel dengan institusi kewangan kerana mudah membuat pinjaman melalui skim potongan gaji atau Biro Angkasa,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi.

Menurut Rohaimi, pihaknya sudah sebulan melakukan intipan dan memerhati pergerakan sindiket penipuan terbabit dan pihak KPDNKK juga menerima lebih 30 laporan berhubung kegiatan itu.

“Selepas mengambil keterangan, kami menahan 50 lelaki dan sembilan wanita dipercayai ‘orang kanan’ sindiket terbabit mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan direman sehingga esok.

“Siasatan awal juga mendapati, mereka tidak mempunyai sebarang lesen jualan langsung serta pendaftaran syarikat. Segala transaksi pemindahan wang dimasukkan ke dalam akaun individu upline masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan KPDNKK Putrajaya, Shahrudin Hamzah meminta orang ramai berhati-hati dengan sebarang skim pelaburan cepat kaya dan berkonsep piramid.

“Mereka boleh mendapatkan maklumat melalui laman web KPDNKK bagi mengesahkan sama ada syarikat yang menjalankan aktiviti jualan langsung itu berdaftar atau tidak. Mereka yang meragui kesahihan perniagaan itu diminta membuat laporan di pejabat KPDNKK untuk tindakan selanjutnya.

“Skim cepat kaya ini kebiasaannya menyebabkan mangsa terjebak masalah kewangan, kekeluargaan dan kemasyarakatan serta menjejaskan prestasi kerjaya. Ini perkembangan tidak sihat untuk penjawat awam,” katanya.

Wadauh....kepala yang tak pening pon tetiba boleh jadi pening....mana taknya udah terbarai....mau jadi kaya....sekarang dah jadi pau kaya. Mau miliki kereta mewah bayang pon tak nampak....tension...tension...begitulah keadaanya apabila nafsu melebihi segalanya. Lagi berkenaan cerita terbarai sudah....bolehlah lihat di sini.


No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails