Saturday, July 24, 2010

Cari Siput 'Tijah', Dua Pelajar Lemas

Hasrat lima remaja yang pertama kali ingin mencari siput 'tijah' bertukar tragedi apabila dua daripada mereka mati lemas dalam kejadian di Pantai Sri Tujoh, Tumpat hari ini.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Supt Khalid Munap berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari selepas kira-kira lima minit kelima-lima remaja berkenaan turun ke muara pantai itu untuk mencari siput 'tijah'.

Katanya dua yang mati lemas dikenal pasti Mohd Azimi Abdullah, 16, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Berangan dan Azhar Ab Rahim, 20, pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Biji Wangsa, di sini.

"Pihak kita menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 2.17 petang tadi yang memaklumkan terdapat kejadian lemas berlaku di muara Pantai Sri Tujoh yang terletak di belakang Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat.

"Difahamkan ini kali pertama kelima-lima sahabat itu mencari siput di muara berkenaan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata mengikut maklumat awal yang diterima, kira-kira lima minit selepas kelima-lima remaja itu turun ke muara itu, dua daripada mereka tiba-tiba tidak dapat mengimbangi diri lalu terjatuh dan terkapai-kapai sebelum dilihat tenggelam.

Khalid berkata tiga lagi sahabat mangsa yang terkejut dengan kejadian itu cuba menyelamatkan mangsa bagaimanapun gagal dan hanya mampu melihat kedua-duanya tenggelam sebelum menjerit meminta pertolongan orang awam.

Menurutnya mayat kedua-dua pelajar itu ditemui anggota Bomba dan Penyelamat Tumpat yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat dengan bantuan anggota Marin.

Beliau berkata mayat kedua-dua pelajar dihantar ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails