Monday, March 1, 2010

Meriah Dalam Kekalahan

Sambutan Maulidur Rasul meriah

PUTRAJAYA 26 Feb. - Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1431H/2010 yang bertemakan 'Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah' di sini disambut meriah dengan penyertaan 106 kontinjen perarakan melibatkan 6,979 orang peserta. Uniknya pada tahun ini, selepas perarakan berlangsung bermula di Istana Kehakiman hingga ke Dataran Putra, majlis diteruskan di Masjid Putra sebagai simbolik bagi mengingati perjuangan Nabi Muhammad SAW menyampaikan risalah kepada umat Islam. Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah turut berkenan ke majlis tersebut. Turut sama memeriahkan majlis ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin ditemani isteri masing-masing. Di Kota Kinabalu, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah mengetuai perarakan Maulidur Rasul peringkat negeri bersama lebih 5,000 umat Islam bermula dari Padang Merdeka ke Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). Di Pulau Pinang, sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diadakan di Dewan Sri Pinang di sini disambut dengan kehadiran lebih 2,500 umat Islam dari seluruh negeri. Majlis yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas itu dimulakan pada pukul 8 pagi dengan perarakan masuk 55 kontinjen dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang diketuai Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman.

Di Kuala Terengganu, sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diadakan di Stadium Negeri dekat sini disambut meriah dengan kehadiran lebih 5,000 umat Islam dari seluruh negeri. Sambutan tersebut turut dimeriahkan dengan acara perarakan yang dimulakan seawal pukul 8 pagi melibatkan 3,855 peserta. Sementara itu di Taiping, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah serta Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun berkenan berangkat ke sambutan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Dataran Perbandaran Taiping. Sambutan itu, turut disertai kira-kira 3,000 orang mewakili pelbagai agensi kerajaan, swasta, sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir pada majlis itu. Di Johor Bahru, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar melahirkan kekesalan terhadap sikap 'kaki judi' di negeri ini yang tidak mempunyai perasaan malu sehingga sanggup melakukan perbuatan syirik untuk mengejar kemewahan.

Baginda bertitah pada sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Sultan Abu Bakar, di sini hari ini. Di Melaka, sambutan Maulidur Rasul bagi memperingati keputeraan Nabi Muhammad SAW peringkat negeri disambut seluruh masyarakat Islam di negeri ini. Acara kemuncak sambutan itu apabila kira-kira 8,000 umat Islam melibatkan 137 kontinjen berarak dari Stadium Fatimah, Bukit Serindit berakhir di Kompleks Al-Azim dan ia turut disertai Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan isteri, Datin Seri Asmah Abd. Rahman

Sumber : Utusan Malaysia, 27/02/2010

Meriah Dalam Kekalahan

“Hari kelahiran nabi kamu ingati tetapi sunnah dan cara hidup yang ditunjukkan oleh baginda SAW kamu ketepikan”, apa ertinya?

Inilah ulasan dan kata-kata yang paling tepat bagi menggambarkan apa yang dilakukan oleh umat Islam tatkala menyambut Maulidur Rasul, terutamanya kepada para pemimpin negara yang turut tidak melepaskan peluang berarak bersama sebagai tanda kecintaan mereka kepada junjungan besar nabi Muhammad SAW. Hakikatnya, Nabi sendiri tidak menyambut kelahiran baginda. Tetapi umatnya hari ini beria-ia menyambutnya. Apa erti kesemuanya ini? Ini hakikatnya adalah manifestasi umat Islam mengamalkan Islam mengikut acuan hawa nafsunya dan bukannya beramal dengan Islam mengikut acuan Islam yang sebenarnya sebagaimana yang ditunjukkan oleh baginda SAW dan yang dituntut oleh Allah SWT. Apakah umat Islam hari ini mengikuti sunnah Abu Lahab yang bergembira dengan kelahiran Rasulullah SAW tetapi akhirnya Abu Lahab terlaknat sehingga hari kiamat kerana menentang Islam yang dibawa oleh baginda SAW. Firman Allah SWT: “Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama!

Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang.

"Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal". [TMQ Al- Masad (111) : : 1-5].

Dalam riwayat dari Urwah bin az-Zubair dari Tsuwaibah, mantan budak Abu Lahab yang kemudian pernah menyusui Muhammad SAW ketika bayi, diberitakan bahwa Abu Lahab telah memerdekakan Tsuwaibah kerana gembira di atas kelahiran Muhammad SAW ( Muhammad SAW adalah anak saudaranya) [Lihat: HR al-Bukhari dan Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bâri]. Namun akhirnya, dia telah menjadi orang yang paling membenci, memusuhi dan selalu menghalang-halangi dakwah Nabi SAW yang berusaha menyebarluaskan risalah Allah sekaligus menegakkan syariahNya.

Wahai seluruh umat Islam! Jika kamu mencintai Rasulullah SAW maka ikutilah sunnahnya. Wahai para pemimpin umat Islam! Jika kamu mencintai nabi SAW maka ikutilah sistem pemerintahan yang telah ditunjukkan oleh baginda SAW di dalam pemerintahan kamu saat ini. Buangkanlah sistem kufur yang kamu terapkan saat ini dan rangkullah sistem pemerintahan Islam!! Renungilah firman Allah SWT:

“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)”. [TMQ Al-Hasy-r (59) : 7].

Semoga acara Maulidur Rasul ini tidak sekadar menjadi acara rutin tahunan yang tidak membawa apa-apa perubahan dalam kehidupan umat Islam yang saat ini penuh dengan kehinaan, penderitaan dan penindasan.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails