Sunday, March 7, 2010

Pantau Pemohon Sumbangan

BANDAR JENGKA – Pengunjung di beberapa bank dan stesen minyak kurang selesa dengan kehadiran beberapa pengutip derma tegar apabila sering menyerang pengunjung ketika keluar dari bank dan mengisi petrol di stesen minyak.

Salah seorang pengunjung, Mohd Zailan Abu berkata, menjadi fenomena biasa apabila kanak-kanak belasan tahun sekitar usia 10 ke 15 tahun meminta sumbangan membina masjid juga mohon sumbangan ikhlas untuk membina sekolah di utara.

Menurutnya, apa yang mengelirukan pengguna jarak sekolah dan masjid yang dibina amat jauh dengan lokasi mereka memohon sumbangan dan ini mendatangkan tanda tanya bagaimana mereka boleh sampai hingga ke sini semata-mata untuk mencari sumbangan.

“Sudah habis kah keikhlasan warga tempatan di kawasan mereka juga agensi mahupun jabatan yang terlibat untuk memberi sumbangan sekiranya benar apa yang ingin didirikan oleh mereka demi kepentingan pelajar juga masyarakat Islam sendiri.

“Kadang-kala rasa rimas dan malas mahu ke bank akibat ada penunggu di pintunya juga penyambut tetamu di stesen minyak dan tidak kurang bukan sahaja meminta sumbangan malah ada yang mahu menjual kalender, minyak angin dan kismis,” katanya.

Mohd Zailan berkata, bukan menidakkan hukum bersedekah yang besar pahalanya namun akibat terlalu kerap bersedekah untuk perkara yang sama kadang-kadang tahap keikhlasan diri makin kurang.

“Kehadiran penunggu ini membuatkan orang terpaksa bersedekah dan perkara yang sering dinyatakan oleh mereka bahawa mereka anak yatim piatu serta memohon bantuan untuk pembinaan sekolah dan rumah anak yatim dan sebagainya.

“Status anak yatim piatu ini sedikit sebanyak berjaya menimbulkan simpati di hati orang awam yang didekati walaupun diragui namun akibat masalah nak berbasa basi jadi sumbangkanlah dengan keadaan terpaksa,” katanya.

Manakala bagi seorang lagi orang awam, Norhafizah Kamarudin berkata, kenyataan bahawa mereka mengutip sumbangan untuk sekolah dan sebagainya ini mustahil untuk diketahui oleh orang awam memandangkan lokasi sekolah mereka rata-rata dari utara tanah air.

“Kita tidak tahu sama sekali kerana lokasinya yang jauh mustahil untuk kami penderma ini pergi memeriksa kesahihan dakwaan mereka bahawa mereka mengutip sumbangan untuk pembinaan masjid, sekolah mahupun rumah kediaman anak-anak yatim,” katanya.

Norhafizah berkata, kita mohon pihak berkuasa mahupun jabatan yang berkenaan memantau aktiviti mereka yang mendatangkan ketidakselesaan kepada pengunjung tempat-tempat awam seperti bank dan stesen minyak terutamanya.

“Kadang-kadang sedekah yang disampaikan tidak ada nilai dan pahalanya apabila dikeluarkan bukan atas keikhlasan namun kerana mahu melepaskan diri daripada mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

[Hemmm....bukan hanya di setesen minyak atau di bank-bank sahaja mereka beroperasi tetapi setiap bulan pasti ada memohon sumbangan di setiap kedai. Malahan ada juga yang memaki hamun jika sekiranya sumbangan yang diberikan sedikit. Sehinggakan ada peniaga yang meletakkan memo 'kepada peminta sumbangan tidak dibenarkan masuk'.]

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails