Thursday, March 11, 2010

Rakyat tiada pilihan, tukar kerajaan BN


BANDAR JENGKA, 10 Mac: Rakyat di negara ini tidak ada pilihan selain daripada menukar kerajaan Umno/BN kepada kerajaan Pakatan Rakyat jika mahu melihat masalah yang dihadapi negara ini dapat diselesaikan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bercakap dalam forum Maulidur Rasul anjuran PAS Kawasan Kuala Krau, di Dataran Masjid Lama, Bandar Jengka, malam tadi, Tuan Ibrahim menambah, adalah amat mengecewakan selama 50 tahun lebih Umno/BN diberikan kuasa oleh rakyat keadaan masyarakat semakin bertambah buruk.

“Bukan kita suka-suka nak sebut tetapi rakyat telah memberikan peluang kepada pemerintah yang ada berkuasa selama lebih 50 tahun. Keadaan masyarakat semakin bertambah buruk.

“Kita tak boleh bayangkan bagaimana teruknya masalah sosial yang melanda negara sekarang ini. Kita ada masalah dadah yang teruk, masalah rasuah, masalah penyelewengan, anak luar nikah dan berbagai masalah yang tidak lagi mampu dikawal. Sebab itu kita nampak tak ada jalan lain melainkan rakyat kena tukar kerajaan yang ada,” katanya.

Turut menjadi ahli panel ialah Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Kamal Ashaari, pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Dasuki Abdul Rani sementara pengerusi forum, Ustaz Sahril Azman di hadapan kira-kira 2,000 pendengar dari kalangan warga Jengka hadir.

sumber:harakahdaily.net


No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails