Sunday, February 28, 2010

Lebih KEJAM dari KEJAM dan BERPERIKEBINATANGAN


Pendarahan otak, Cedera parah di perut, ginjal, Luka, lebam seluruh badan

KAY ELL : Bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang mati dipercayai didera teman lelaki ibunya kelmarin, mendapati berlaku pendarahan otak, kecederaan parah di perut dan sekeliling buah pinggang akibat hentakan kuat di kepala dan abdomen mangsa.

Selain itu, bedah siasat terhadap Syafia Humairah Sahari di Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB), Hulu Selangor yang mengambil masa kira-kira tiga jam mulai 10.30 pagi, juga menemui kesan luka dan lebam seluruh badan, selain kesan penderaan lampau.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Bakhtiar Rashid, berkata polis akan memanggil beberapa individu yang rapat dengan suspek, termasuk ibu mangsa bagi membantu siasatan.

"Polis percaya mereka mempunyai hubung kait atau tahu mengenai penderaan berulang yang dipercayai dilakukan suspek, seorang pemandu teksi berusia 28 tahun itu.

"Kita juga akan memanggil beberapa saksi yang mendakwa melihat suspek menendang kanak-kanak itu di padang berdekatan rumahnya pada hari berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Bakhtiar berkata, bedah siasat yang mendapati kesan kecederaan lama akibat penderaan lampau, termasuk yang dikesan beberapa hari sebelum kematiannya menunjukkan mangsa didera secara berterusan.

"Kecederaan luaran yang baru dan lama itu dipercayai disebabkan pukulan dengan benda keras dan kesan hentakan kuat. Bahagian belakang tubuh mangsa juga ada kesan lebam selain leher, pipi dan bahunya," katanya.

Semalam, akhbar melaporkan, Syafia Humairah mati dengan kesan luka pada muka dan perut, dipercayai didera teman lelaki ibunya di kediaman suspek di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, dekat Batang Kali, malam Khamis lalu.

Mangsa dipercayai ditampar dan disepak di perutnya beberapa kali sehingga mengalami kecederaan parah pada tubuh selain luka di muka, dagu, telinga serta lebam kaki dan tangan.

Syafia Humairah dipercayai meninggal dunia dalam perjalanan ke HKKB ketika dibawa suspek dan ditinggalkan di wad kecemasan selepas mendakwa kanak-kanak itu mati akibat kemalangan jalan raya.

Bagaimanapun, pihak hospital mengesyaki berlaku penderaan terhadap mangsa selepas menemui banyak kesan luka dan lebam pada tubuh kanak-kanak itu dan polis menahan lelaki terbabit kira-kira jam 3 pagi kelmarin yang mengaku mencederakan Syafia Humairah.

Bakhtiar berkata, ujian air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis ganja.

"Suspek kini ditahan reman tujuh hari mulai semalam (kelmarin) dan kita akan memohon untuk melanjutkan tempoh tahanan reman sehingga 14 hari. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Jenazah kanak-kanak malang itu dituntut oleh keluarga ibunya di HKKB sebaik selesai bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuang, kira-kira jam 4 petang.

Terdahulu, suasana di pekarangan bilik mayat HKKB kecoh seketika apabila keluarga teman lelaki ibu mangsa turut datang menziarah jenazah kanak-kanak itu dan dikatakan mahu menuntut jenazah mangsa sebelum keadaan kembali reda beberapa minit selepas itu.

Sumbat bayi dalam tangki tandas

JAY BEE : Seorang wanita berusia 21 tahun disyaki membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya Isnin lalu dengan melemaskan anaknya dalam pam tandas sebuah sekolah memandu di Segamat, bagi melindungi hubungannya bersama dua lelaki daripada terbongkar.

Mayat anaknya itu kemudian disumbat dalam tangki pam tandas berkenaan sehingga menyebabkan tubuh kecil itu remuk dan pecah.

Namun, rahsianya tidak bertahan lama apabila orang ramai yang merungut bau busuk dari tandas berkenaan membawa kepada penemuan mayat bayi yang mula membengkak dan reput.

Sumber polis semalam berkata, kepala bayi yang baru dilahirkan itu hampir hancur akibat disumbat dengan kuat ke dalam tangki pam.

Beliau berkata, lima hari lalu, dia dikatakan ke sekolah memandu berkenaan bagi menduduki ujian memandu, tetapi tergesa-gesa keluar dari kenderaan dengan alasan untuk ke tandas kerana sakit perut.

Difahamkan, ketika kejadian, dia berada hampir dua jam dalam tandas kononnya kerana membuang air besar dan orang ramai tidak mengesyaki sebarang perkara pelik.

Bagaimanapun, dia sebenarnya melahirkan bayi cukup sifat hasil hubungan sulit dengan dua lelaki berkenaan.

"Selepas hampir dua jam dalam tandas, dia keluar dari tandas dan meminta bantuan seorang pekerja sekolah memandu itu untuk mendapatkan beg plastik sebelum kembali semula dalam tandas dengan alasan perutnya kembali memulas.

"Dipercayai dia menggunakan beg plastik berkenaan untuk membungkus bayi baru dilahirkan itu sebelum dimasukkan dalam tangki pam berkenaan dan terus beredar," katanya.

Difahamkan, dia sudah ditahan polis untuk membantu siasatan, manakala polis sedang menjejaki dua lelaki yang dikatakan pernah menjalinkan hubungan sulit dengannya.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Md Ali, ketika dihubungi enggan mengulas lanjut, sebaliknya menegaskan satu sidang media dijangka diadakan Isnin ini.

[Macam-macam perasaan ada apabila membaca artikel di atas. Kita seharusnya maklum bahawa ianya adalah perbuatan jenayah dan lebih kejam dari zaman jahiliah. (Lihat Posting Sebelum ini) Penulis merasakan perbuatan ini bukanlah pertama kali berlaku tetapi sudah banyak berlaku dan pasti akan berlaku lagi dan lagi dan lagi. Kenapa ianya berulang? Tidakah kita BUTA dan TULI! Adakah harus kita menunggu sehingga kanak-kanak dan bayi pupus dahulu? Kenapa kita tidak mengambil iktibar dari apa yang telah berlaku dahulu? Ishhh...terlalu banyak persoalan demi persoalan bermain di benak fikiran, namun sesuatu perlu di ambil peduli oleh WARGA MALAYSIA supaya perkara sebegini tidak berulang]

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails