Wednesday, February 24, 2010

Made in Korean

Ibarat bercinta dengan kekasih bunian apabila semakin ramai wanita tempatan ‘cair’ dan seterusnya menjadi mangsa tipu muslihat kasanova dan lelaki romantis yang mengaku dari Korea sambil menawarkan cinta ala drama Winter Sonata sebelum melesapkan wang mereka.

Berdasarkan maklumat diperoleh, golongan penipu yang didalangi lelaki Afrika terbabit licik menipu dengan berselindung di sebalik gambar artis atau model lelaki Korea yang fasih berbahasa Inggeris untuk memikat gadis tempatan dengan ayat cinta diluahkan menerusi laman sembang di Internet.

Dalam kejadian terbaru, seorang wanita berusia 20-an mendakwa menjadi mangsa selepas mengenali kekasih halimunannya melalui laman sembang www.tagged.com.

Lelaki terbabit yang mengaku dari Korea bijak bermain kata-kata sehingga mangsa percaya kenalan barunya itu benar-benar serius untuk menjalin hubungan cinta dan akhirnya berkahwin.

“Pada masa sama, mangsa yang mula kemaruk bersembang saling berbalas mesej dengan lelaki terbabit selepas lelaki terbabit mengirimkan foto wajah dirinya melalui Internet yang saling tidak tumpah aktor terkenal Korea, Bae Yong-joon. “Melalui gambar itu, lelaki terbabit digambarkan sebagai jejaka yang berbudi bahasa dan bijak bermain kata-kata manis untuk membuatkan mangsa jatuh cinta dan percaya niat ikhlasnya,” katanya. Bagi meyakinkan mangsa, lelaki terbabit turut berjanji datang ke Malaysia dan berkahwin dengan wanita itu selepas kedudukan kewangannya stabil.

“Selepas enam bulan menjalin hubungan intim melalui Internet, lelaki itu mula menceritakan masalah dihadapinya dan menyatakan hasrat meminjam wang kononnya untuk tujuan perniagaan.

“Mangsa yang bekerja sebagai eksekutif dan daripada golongan berada tidak menaruh sebarang syak wasangka sebelum memberi pinjaman wang secara berperingkat sehingga mencecah RM125,783 kepada lelaki itu melalui pemindahan bank.

“Bagaimanapun, dia mula menyedari diperdaya apabila lelaki terbabit enggan membayar balik hutang terbabit dengan memberi pelbagai alasan sebelum tidak lagi menghubunginya,” katanya.

Dalam kejadian berasingan, seorang wanita turut kerugian RM440,000 selepas mendakwa diperdaya ‘kekasih halimunan’ yang hanya dikenali melalui Internet sejak Disember 2008.

Difahamkan, mangsa yang berusia 40-an tidak pernah bertemu lelaki terbabit, sebaliknya hanya berkomunikasi melalui webcam di laman web mencari jodoh www.match.com.

Lelaki terbabit yang mendakwa tinggal di Hong Kong berhasrat melamar mangsa sebagai tunangnya selepas berkenalan beberapa bulan.

Menurutnya, lelaki itu turut menyatakan keinginan datang ke Malaysia bagi memulakan perniagaan selepas berkahwin dengannya kelak.

“Namun, lelaki terbabit mula membuat helah dengan menyatakan dia diculik dua lelaki dan dua wanita tidak dikenali sejurus menjejakkan kaki di Malaysia.

“Insiden penculikan ‘palsu’ itu menyebabkan wanita berkenaan gelisah dan bimbang terhadap keselamatan bakal tunangnya,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit menghubungi wanita berkenaan dan memintanya membayar tebusan RM440,000 bagi menyelamatkan nyawanya.

“Mangsa yang percaya dengan drama penculikan palsu itu membuat pembayaran berperingkat melalui akaun bank kononnya milik penculik. “Namun, selepas membayar wang tebusan itu, baru dia menyedari diperdayakan apabila lelaki terbabit terus lesap dan gagal dihubungi selepas itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Michael Chong, berkata kes penipuan licik seumpama itu mula dilaporkan kepada pihaknya sejak dua tahun lalu dan jumlah mangsa kian meningkat terutama di kalangan gadis dan wanita yang memburu cinta sejati.

“Mereka biasanya menyamar lelaki bujang dari Eropah atau Asia untuk menjalankan operasi penipuan terbabit. Malangnya mangsa tidak menyedari dalang sebenar adalah lelaki warga Afrika yang tinggal di negara ini.

“Sehingga kini lebih 20 wanita menjadi mangsa dengan jumlah kerugian mencecah jutaan ringgit. Walaupun peringatan diberikan melalui media, kes sama terus berulang,” katanya.


[Ada benarnya berita di atas, dahulu ramai wanita yang berminat kepada hindustan kerana berjayanya filem 'Kuch Kuch Khota eiiii" kini ramai wanita berminat pula dengan lelaki korea kerana berjayanya cerita 'Winter Sonata'.... lepas ni tak pasti la pulak! Apa yang pasti kaum hawa perlulah berhati-hati penuh waspada. Bukan hanya kepada bijak pandai graduan intelek tetapi juga waspada kepada anak-anak anda yang meningkat remaja, jika tak percaya cuba lihat buku-buku teks/latihan mereka....gambar siapakah yang menjadi alas kulitnya atau di dinding bilik tidur mereka artis manakah jadi idola mereka]

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails