Sunday, February 21, 2010

Dihempap Jentolak


MASJID TANAH: Keakraban dua sahabat yang bermain di atas sebuah jentolak yang bergerak berakhir dengan tragedi apabila seorang maut dihempap kenderaan berat itu yang terbalik di Kampung Sungai Jernih, Lubok Cina, di sini, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku ketika jentolak dipandu seorang lelaki berusia 40-an berkenaan dikatakan hilang kawalan lalu terbalik dan menghempap kedua-dua mangsa sewaktu menyusur tebing di kawasan sawah terbiar di kampung itu.

Saksi, Junirapi Jemain, 38, yang juga pemilik jentolak, berkata dia ada di lokasi berhampiran dan ternampak dua kanak-kanak bermain di sekitar kawasan kejadian ketika kenderaan berat itu membuat kerja mengisi tanah di dalam karung untuk menambak tanah.

“Pemandu jentolak itu menekan kayu di atas pembetung. Apabila siap, ia (jentolak) mahu berundur untuk menolak tanah. Yang saya dengar, dia (pemandu) menghalau kedua-dua kanak-kanak itu turun (dari jentolak).

“Dia (pemandu) juga beritahu mahu membawa karung guni mengandungi tanah untuk menahan air sementara saya mengambil karung guni. Tiba-tiba saya lihat jentolak itu terbalik ke kiri dan menghempap budak-budak itu,” katanya.

Junirapi berkata, dia sempat melihat seorang remaja cuba bangun selepas dihempap jentolak manakala seorang lagi rakannya tidak bergerak lalu terus memaklumkan kejadian kepada ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di situ.

“Apabila datang balik ke tempat kejadian, baru saya perasan kaki budak yang bangun tadi sudah putus manakala rakannya sudah tidak bernyawa kerana kepalanya terhimpit pada palang bumbung jentolak.

“Saya dan pemandu jentolak cuba menyelamatkan mangsa yang tersepit dengan mengalihkan jentolak, tetapi gagal kerana keadaan mangsa ketika itu di tengah-tengah palang bumbung hingga menyukarkan usaha kami disebabkan tiada kekuatan.

“Berikutan itu, saya terus memaklumkan JKKK, Sidang dan penduduk kampung berhubung kejadian, dan pemandu jentolak terus pergi ke Balai Polis Lubok Cina untuk membuat laporan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, ibu bapa mangsa yang maut dalam kejadian, Mohd Derus Jantan, 47, dan Esam Eddie, 42, yang masih bersedih atas kematian anak kedua daripada lima beradik berkenaan enggan memberi sebarang ulasan.

“Buat masa ini, kami tidak mahu komen apa-apa kerana keadaan kurang sesuai, lagipun seisi keluarga masih bersedih. Insya-Allah bila keadaan tenang kami akan memberi kenyataan,” katanya.

Ketua Umno Cawangan Kampung Sungai Jernih, Datuk Mulup Jantan, berkata beliau tidak menyangka kejadian itu boleh menimpa anak saudara dan juga rakannya kerana pihak kontraktor sepatutnya melarang mana-mana individu yang cuba menghampiri kawasan tapak projek atas aspek keselamatan.

“Sepatutnya mereka menekankan aspek keselamatan, apatah lagi di kawasan kampung di mana kanak-kanak suka perkara sebegini.

“Namun ini semua takdir dan kami reda dengan pemergian arwah dengan cara ini, serta meminta pandangan perundangan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

[Malang Tidak Berbau, Ajal dan maut tidak kira tempat....namun kepada ibubapa haruslah sentiasa mengawasi anak-anak anda]

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails