Monday, June 14, 2010

Pasangan maut balik dari umrah

LANCHANG – Rombongan isteri menyambut kepulangan suami dari umrah bertukar tragedi apabila pasangan terbabit maut selepas kereta dinaiki bersama tiga ahli keluarga yang lain terbabas merempuh besi pengadang jalan dalam kemalangan di Kilometer 99, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di sini jam 9.30 malam kelmarin.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Alza dipandu suami yang masih memakai jubah hilang kawalan lalu merempuh besi pengadang jalan dekat susur masuk ke lebuh raya dari tol Lanchang.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, mereka yang terbunuh ialah pemandu kereta, Mohd Norazuani Mohamad Nor, 30, dan isterinya, Salina Mohd Nawawi, 29, yang duduk di kerusi belakang pemandu.

Menurutnya, Mohd Norazuani cedera teruk di kepala meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini.

“Tiga yang cedera ialah anak pasangan terbabit, Muhammad Adam Nasrullah Mohd Norazuani, 4, kakaknya Anis Zulaikha Mohd Norazuani 8, dan adik Salina, Mohd Nazri Mohd Nawawi 24, kini dirawat di HoSHAS,” katanya.

Ahmad Fadzillah berkata, mereka beralamat E8 Jalan Besar 26400 Bandar Jengka.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Mohd Norazuani dari Kuala Lumpur ke Kuantan hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh hujung besi pengadang jalan.

Beliau berkata, akibat rempuhan itu besi pengadang jalan itu terperosok menembusi kereta lalu mengenai pada Mohd Norazuani dan isteri yang duduk di belakangnya.

Ahmad Fadzillah berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Karak bertungkus lumus mengeluarkan semua mangsa kemalangan yang tersepit.

Menurut saudara terdekat mangsa, mereka dipercayai baru pulang dari mengerjakan umrah dan baru tiba pada sebelah petang kejadian.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails