Thursday, April 1, 2010

Rentasan Bermakna atau Tidak?

DUA REMAJA ISLAM RENTASI SELAT MELAKA

TELUK KEMANG, 28 Mac – Sepasang adik beradik hari ini melakar sejarah manis apabila berjaya melengkapkan renangan tanpa henti merentasi Selat Melaka sekali gus mengukir nama dalam Malaysia Book of Records bagi kategori berasingan. Zahra Ma‘soumah Abdul Halim, 18, dan Salman Ali Shariati Abdul Halim, 12, melengkapkan renangan sejauh 60 kilometer (km) bermula dari Tanjung Medang, Pulau Rupat, Indonesia dan berakhir di pantai Batu 4 dekat sini. Salman yang memulakan renangan kira-kira pukul 1.20 petang semalam itu tiba di sini pada pukul 12.20 tengah hari dengan catatan masa renangan 23 jam. Hasil kejayaan itu, Salman kini memegang rekod sebagai perenang termuda bagi jarak jauh.

Sementara itu, Zahra yang memulakan renangan kira-kira pukul 1.40 petang dari Pulau Rupat berjaya menamatkan renangan dengan masa sama iaitu 23 jam apabila tiba pukul 12.40 tengah hari. Bagi Zahra, kejayaan itu menjadikan dirinya sebagai wanita pertama negara ini untuk berenang jarak jauh.

Menurut Salman yang sudah dua kali mengukir nama dalam Malaysia Book of Records (MBR), kejayaan tersebut merupakan renangan peringkat antarabangsa yang berjaya ditamatkan olehnya. ‘‘Saya gembira dan bersyukur kerana selamat pulang dan tidak menghadapi sebarang masalah ketika ingin melengkapkan renangan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kata Zahra pula, walaupun keletihan tetapi kejayaan tersebut amat bermakna bagi dirinya kerana Selat Melaka merupakan salah satu lokasi sasaran dalam ekspedisi renangan samudera ekstrem lima benua (5XOE). ‘‘Selat Melaka merupakan selat yang tersibuk di dunia dan kejayaan ini amat berharga buat saya dan saya mempunyai empat lagi destinasi renangan untuk dilengkapkan,” katanya. Ditanya mengenai cabaran sepanjang mengharungi laut Selat Melaka selama 23 jam, dua beradik itu memberitahu, cuaca menyebelahi mereka tetapi arus kuat membuatkan mereka sedikit tersasar serta melambatkan renangan.

Dalam pada itu, bapa mereka, Dr. Abdul Halim Manaf yang memantau renangan kedua-dua anaknya itu ketika ditemui memberitahu, beliau bersyukur kerana mereka berjaya menamatkan renangan dengan selamat. ‘‘Semalam saya dimaklumkan bahawa cuaca diramalkan hujan dan ribut, bagaimanapun ia tidak berlaku dan saya amat bersyukur .

‘‘Namun, arus laut amat kuat sehingga menyebabkan jarak renangan yang sepatutnya hanya 50km menjadi 60km ekoran tersasar,” jelasnya.

Tambah Abdul Halim, selepas ini, kedua-dua anaknya itu akan cuba mencipta rekod baru dengan berenang merentasi Selat Cookes, New Zealand; Selat Jibrata, Spain- Morocco;
Selat Inggeris dan Lautan Trans Alantik (benua Amerika - benua Eropah). Sementara itu, wakil MBR, Azrene Abd. Manap ketika ditemui mengesahkan keputusan dan catatan masa itu.


Sumber: nasutu aisyalam, 28/3/2010

Pada tahun 711 Masihi, seorang panglima tentera laut Khilafah Umayyiah, Thariq bin Ziad dengan sejumlah kapal perang dan kelasi-kelasi beliau yang berketurunan Afrika melakukan rentasan menyeberangi Jabal Thariq (Selat Gibraltar) yang menjadi titik permulaan tamadun Islam yang cemerlang dan gemilang di Andalusia (Sepanyol) selama 800 tahun lamanya. Beliau mengarahkan tentera-tentaranya membakar kapal-kapal mereka sebaik sahaja mendarat di bumi Andalusia sebab mereka tidak berhajat untuk berundur balik ke benua Afrika, tetapi mereka telah memberikan diri mereka dua pilihan, sama ada berjuang membuka wilayah Andalusia kepada Islam atau mati syahid di dalam peperangan. Akhirnya mereka menang di dalam peperangan tersebut dan bermulalah sejarah penguasaan Islam di bumi Eropah yang menyaksikan Andalusia menjadi pusat perkembangan ilmu pengetahuan yang menjadi lampu penyuluh kepada seluruh benua Eropah yang berada di dalam zaman kegelapan sesudah kejatuhan empayar Rom. Sehingga sekarang selat yang direntasi oleh beliau dengan bala tentera lautnya dikenali sebagai Jabal Thariq atau Selat Gibraltar, dan nama Thariq terpahat di dalam sejarah Islam sebagai penglima tentera laut yang amat mahsyur dan ternama.

Perbezaan rentasan yang dibuat oleh Thariq adalah menggunakan kapal perang, sementara rentasan yang dibuat oleh kedua adik beradik tersebut menggunakan kekuatan fizikal mereka. Perbezaan keduanya adalah rentasan yang dibuat oleh Thariq adalah sungguh bermakna di dalam sejarah Islam sebab ia membawa kepada titik permulaan kepada tamadun Islam di benua Eropah. Sementara rentasan yang dibuat oleh kedua adik-beradik tersebut hanya mahu mendapat nama di dalam Malaysian Books of Records. Paling penting sekali ialah untuk membuktikan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia yang bersemangatkan “Malaysia Boleh” pun boleh berenang jarak jauh merentas lautan yang luas tetapi sayang, apa yang dilakukan itu di sisi Allah adalah tidak bermakna sebab ia sedikit pun tidak dapat membela atau membawa kepada perlaksanaan hukum Allah di mukabumi ini.

Sesungguhnya generasi muda di dalam Islam adalah golongan yang mempunyai tugas dan tanggungjawab yang sangat penting di dalam melaksanakan hukum Allah di muka bumi ini. Pada awal perkembangan Islam di Makkah, sebahagian besar individu-individu yang memeluk Islam seperti Ali Abi Thalib, Jaafar Abi Thalib, Talhah, Arqam, Zubair, Abdullah Mas’ud dan Saad Abi Waqqas berumur hanya belasan tahun atau kurang dari belasan tahun, dan merekalah pemuda-pemuda yang telah menggerakkan dakwah sehingga Daulah Islam yang pertama tertegak di Madinah.

Generasi muda juga menjadi sasaran Barat untuk melemahkan Islam, sebab Barat mengetahui bahawa sebahagian besar penduduk di negara umat Islam terdiri daripada golongan ini. Oleh itu, golongan tersebut selalu disibukkan dengan perkara-perkara yang mengasyikkan seperti hiburan, muzik, filem yang tidak mendatangkan faedah dan jauh sekali daripada perjuangan untuk melaksanakan hukum Allah di muka bumi ini.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails