Wednesday, April 21, 2010

Pokok Kapitalisme Akan Terus Mengeluarkan Buah Busuknya

Jenayah keganasan seks meningkat

KUALA LUMPUR - Jumlah kes jenayah keganasan seks, termasuk liwat dan sumbang mahram yang dilaporkan meningkat hampir 50 peratus dalam tempoh lima tahun bermula 2005. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pada tahun lalu 4,238 kes jenayah keganasan seks termasuk rogol, liwat dan sumbang mahram dilaporkan berbanding 2,427 kes yang dicatat pada 2005.

Pada 2006 pula, 2,943 kes jenayah berkenaan dilaporkan diikuti 3,689 (2007) dan 3,986 (2008), katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat di sini, semalam. Beliau berkata, demikian bagi menjawab soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) mengenai pecahan bilangan laporan polis berkenaan kes jenayah yang berkaitan dengan jenayah seks sejak 2005 hingga 2009.

Hishammuddin berkata, berdasarkan statistik jumlah tangkapan bagi kes keganasan seks bagi tempoh yang sama ialah 1,504 pada 2005, 1,837 (2006), 2,649 (2007), 2,656 (2008) dan 2,701 (2009).

“Manakala statistik pesalah yang didakwa di mahkamah menunjukkan 308 pesalah didakwa pada 2005, 410 (2006), 304 (2007), 228 (2008) dan 187 (2009),” katanya.

Menjawab soalan Kok mengenai langkah diambil kementerian untuk menangani masalah kematian dalam penjara dan pusat tahanan pendatang tanpa izin, Hishammuddin berkata, kementerian antara lain menyediakan perkhidmatan doktor panel seluruh institusi penjara bagi tujuan memeriksa dan merawat penghuni.

“Penghuni dan tahanan depot juga diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan semasa kemasukan,” katanya.

Beliau berkata, kementerian turut menyediakan prosedur mempercepatkan rawatan kesihatan di hospital luar penjara, menyediakan kemudahan ‘sick-bay’ serta meningkatkan kemudahan ubatan dan peralatan klinik dalam penjara.

“Kementerian juga mengadakan kerjasama antara Jabatan Imigresen dan Kementerian Kesihatan bagi pengisian jawatan Pembantu Perubatan Gred U29 di setiap Depot Tahanan Imigresen,” katanya. Anggota penjara turut dilatih sebagai ‘medical-orderly’ untuk mengawal pemberian ubat dan menyelia keperluan rawatan lawatan penghuni selain menyediakan kemudahan Sistem Maklumat HIV (SIMHIV) di Jabatan Penjara untuk kemudahan penghuni penghidap HIV. - Bernama

Sumber: Sinar Harian

Apa lagi yang dapat kita katakan mengenai data statistik yang dinyatakan oleh Hishammuddin melainkan bahawa sistem Kapitalisme yang diterapkan oleh pemerintah sekular hari ini sejak 53 tahun yang lalu telah gagal untuk memberikan kebaikan kepada manusia.

Sistem Kapitalisme yang muncul dari akidah sekularisme ini telah menjadikan manusia hari ini bertingkah laku seperti binatang. Kehidupan mereka dipandu dan diacu dengan hawa nafsu semata-mata, bukannya hukum syara’. Apa yang menyedihkan kita lagi ialah bagaimana kerosakan yang berlaku dalam masyarakat hari ini tidak mampu menyedarkan para pemimpin sekular umat Islam betapa perlunya mereka menerapkan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Kita melihat seolah-olah para pemimpin sekular hari ini bagaikan orang yang pekak, bisu dan buta dalam melihat kebenaran Islam sebagai penyelesaian segala masalah kehidupan. Oleh itu tidak hairanlah Allah SWT mengumpamakan manusia yang tidak menggunakan segala pancainderanya untuk beriman kepada Allah SWT ini adalah seperti binatang ternak malahan lebih buruk lagi.

Firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai”. [TMQ al-A'raf (7) : 179].

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails