Wednesday, April 21, 2010

Gunung TAK Senyum

Bumi Malaysia diketahui sebagai gedung khazanah alam yang unik dan bernilai. Namun, akibat sikap tamak manusia yang tidak pernah memikirkan nilai-nilai yang tersimpan bersama alam ini, perlahan-lahan, sedikit demi sedikit segala khazanah alam ini hilang akibat industri yang dijalankan di atas nama pembangunan. Terbaru, Gunung Jebak Puyuh dan Gunung Senyum bakal menjadi sasaran terbaru ekoran cadangan pembinaan kuari batu kapur oleh YTL cement corporation Snd. Bhd.

Gunung Jebak puyuh dan Gunung Senyum adalah dua bukit yang terbentuk melalui proses yang mengambil masa jutaan tahun. Berusia 240 juta tahun yang menyamai era premian, ia terbentuk daripada cangkerang, terumbu karang yang terurai dan mendap di kawasan tersebut yang satu ketika dahulu merupakan lautan cetek, hasil tindakan haba dan tekanan ia membentuk batu kapur yang kemudiannya muncul di permukaan bumi hasil dari pergerakan kerak bumi. Kesan dari air hujan, gua-gua terbentuk di batu kapur ini seterusnya membentuk stalagtik dan stalagmik dan masih berterusan hingga ke hari ini.

Di sini, kesan dari adaptasi kepada ekosistem unik ini, beberapa spesis flora dan fauna unik dan endemik ditemui, antarannya adalah Senyumia minutiflora, satu-satunya spesis dalam genus minutiflora dan hanya ditemui di Gunung Senyum sahaja di dunia ini. Selain itu ia turut menyimpan artifak-artifak arkeologi era Neolitik yang masih tidak dikaji, gua-gua di sini merupakan warisan kepada negara kita, Malaysia.

Terdapat beberapa justifikasi kepada bantahan terhadap projek ini yang mencakupi kesan kepada penduduk, alam sekitar serta khazanah alam yang tersimpan bersama Gunung Jebak Puyuh dan Gunung Senyum. Kedudukan kuari yang amat hampir dengan perkampungan penduduk dibimbangi akan menjejaskan penduduk dari segi keselamatan, kebersihan udara, malah akan menjejaskan sumber pendapatan ekonomi penduduk. Berdasarkan beberapa kes membabitkan kuari sebelum ini, debu yang datang dari tapak kuari hasil letupan akan mengotorkan udara sekeliling, ia mengganggu penafasan dan penglihatan penduduk sekitar.

Memandangkan kedudukan lokasi cadangan yang terlalu hampir dengan penempatan penduduk, maka kesan itu lebih ketara. Selain dari menjejaskan kebersihan udara seterusnya membahayakan kesihatan penduduk, debu dari kuari ini juga akan merosakkan tanaman-tanaman penduduk, yang mana merupakan kegiatan ekonomi utama penduduk sekitar, diingatkan di sini, debu yang datang dari kilang simen bukan debu biasa sebaliknya debu yang diproses bersama bahan-bahan kimia seperti Mangan (Mn) yang boleh menjeaskan penafasan serta mengubah kualiti tanah sekitar yang menjadi tanaman penduduk. Selain debu, juga dibimbangi, bongkah-bongkah batu yang diletupkan akan terpelanting ke kawasan penempatan dan ladang penduduk sebagaimana berlaku kepada penduduk di kuari sungai singkir, Yan, Kedah.

Dengan terjejasnya ekonomi penduduk, masalah berantai yang dibimbangi adalah masalah sosial di kalangan penduduk. Meskipun pembinaan kuari ini akan membuka peluang pekerjaan, namun tidak ada jaminan orang tempatan akan mengisi semua pelunag pekerjaan itu, memandangkan kepada status sosial penduduk. Kehilangan kegiatan ekonomi akan menimbulkan pelbagai masalah sosial kepada komuniti. Selain itu, kegiatan kuari ini juga bakal mencemarkan sungai yang merupakan sumber loji air Batu Sawar yang membekalkan air bersih kepada 2/3 penduduk seluruh Jengka iaitu hampir 30,000 orang penduduk. Ini antara kesan-kesan yang jelas ke atas penduduk sekeliling.

Dari sudut alam sekitar, pembinaan kuari ini bakal mengganggu habitat beberapa spesis terancam seterusnya membawa kepada kemusnahan spesis. Antara spesis yang dibimbangi pupus adalah Senyumia minutiflora, sejenis pokok keembung. Spesis ini merupakan satu-satunya spesis di dalam genusnya, bermakna ia kepupusan spesis ini bermakna kepupusan genus. Malah, spesis ini hanya ditemui di kedua-dua bukit ini di seluruh dunia.

Kedua adalah Impatiens ridleyi, spesis pokok yang hanya wujud di Batu Caves dan kedua-dua bukit ini, meskipun begitu, spesis ini semakin kurang ditemui di Batu Caves akibat kegiatan kuil di sana, maka Gunung Jebak Puyuh dan Gunung Senyum merupakan tempat yang paling sesuai untuk memastikan kelansungan spesis. Selain hidupan terancam, di sini juga ditemui beberapa spesis yang baru ditemui dan masih dalam kajian antranya adalah Urticaceae (FRI 60086).

Selain dari semua spesis ini, masih terdapat 10 spesis flora dan fauna yang hanya ditemui di kedua-dua bukit ini. Gua di sini juga merupakan habitat kepada hampir 19 spesis kelawar yang bersarang di dalam gua, salah satu ialah Eonycteris spelaea iaitu ejen pendebungaan utama bagi petai dan durian, malah kewujudan begitu banyak spesis kelawar juga berperanan sebagai kawalan biologi kepada serangga-serangga yang merosakkan tanaman. Gangguan kepada ekosistem ini bakal memberi kesan kepada pendapatan tanaman penduduk.

Gunung Jebak Puyuh dan Gunung Senyum bukan sahaja berharga dari sudut spesis, ia juga menyimpan khazanah alam yang unik, lembah-lembah di dalam gua di kedua-dua bukit ini terdapat ekosistem yang tersendiri dengan flora dan fauna yang telah beradaptasi dengan suhu dan tekanan di dalam gua lalu membentuk taman yang tersembunyi. Di semenanjung, taman tersembunyi ini hanya dijumpai di Gua Musang dan kedua-dua bukit ini. Gua-gua di sini juga digunakan oleh masyarakat purba era Neolitik, di sini masih tersimpan banyak artifak-artifak arkeologi yang penting dan berharga untuk kajian. Jelas di sini, pembinaan kuari di Gunung Jebak Puyuh ini hanya akan memberi keuntungan sementara dan dalam masa yang sama, negara kehilangan begitu banyak khazanah dan dalam masa yang sama penduduk sekitar menerima kesan langsung dari projek ini.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails