Saturday, October 2, 2010

Tersedak Susu

Bayi mati tersedak susu

25/09/2010 : Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan, mati dipercayai tercekik susu selepas dibiarkan menyusu sendirian oleh pengasuhnya di sebuah pusat asuhan di Presint 9, di sini, Selasa lalu.

Farisha Nur Hazreen Mohd Fairuz, (atas) disahkan meninggal dunia pada jam 10.50 pagi ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya dan dikebumikan di kampung bapanya, Mohd Fairuz Mohamad Stap, di Felda Sungai Tengi, Kuala Kubu Baru, Selangor, pada hari sama. Mohd Fairuz berkata, anaknya dijaga pengasuh terbabit sebaik isterinya habis pantang selepas dimaklumkan beliau mempunyai sijil latihan dan lesen serta setiap sebulan sekali menerima kunjungan Jabatan Kebajikan Malaysia dan Persatuan Pusat Asuhan Malaysia. “Pengasuh itu turut mendakwa ada pengalaman selama empat tahun,” katanya ketika ditemui, semalam.

Keluarga itu turut menerima kunjungan Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhammad Khairun Aseh, serta ahli jawatankuasanya sebagai tanda prihatin.

Ibu bayi itu, Haney Usniza Abdul Hamid, 30, berkata pada hari kejadian, beliau menghantar anaknya ke rumah pengasuh berkenaan yang terletak di blok sama rumahnya sebelum ke tempat kerja pada jam 8 pagi.

Bagaimanapun, katanya, pengasuh yang berusia 31 tahun itu menghubungi beliau kira-kira jam 10.30 pagi memberitahu Farisha Nur Hazreen tidak sedarkan diri. “Saya segera ke rumah pengasuh tetapi dimaklumkan jirannya, anak saya sudah dihantar ke Hospital Putrajaya.

“Setibanya di wad kecemasan, saya diberitahu anak saya sudah meninggal dunia walaupun doktor cuba sedaya upaya untuk menyelamatkannya. Doktor turut mengesahkan kematian anak saya akibat tercekik susu,” katanya.

Ketika ditanya kemungkinan mengambil tindakan undang-undang, Mohd Fairuz pula berkata, beliau dan isterinya tidak bercadang berbuat sedemikian dan menganggap kejadian berkenaan sebagai takdir.

“Pengasuh itu juga sudah memohon maaf. Namun, saya berharap kecuaian itu tidak berulang dan tiada lagi bayi yang mengalami nasib sama seperti anak saya," katanya.

Hasrat bapa hijrah ke ibu negara cari kerja bertukar tragedi

27/09/2010 : Hasrat seorang bapa berhijrah dari Kuala Krai, Kelantan untuk mencari pekerjaan di Kuala Lumpur bersama anak berusia tiga bulan tidak kesampaian, apabila bayi itu mati akibat tercekik susu, awal pagi semalam. Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, Mohd Zainuddin Md Yusof dikatakan memangku anaknya, Mohamad Ayub selepas diberi susu ketika dalam perjalanan dengan kereta api dari Manik Urai, Kuala Krai ke ibu negara. Sepanjang perjalanan, lelaki terbabit yang kini dalam proses perceraian dengan isterinya terpaksa duduk di atas lantai sambil memangku anaknya kerana koc dinaikinya dipenuhi penumpang lain.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan, berkata sebaik tiba di Stesen Kuala Lipis, beberapa penumpang berdekatan menyedari keadaan mangsa yang kelihatan kaku lalu memaklumkan kepada bapanya.

Katanya, bapa mangsa yang terkejut selepas menyedari perubahan anaknya, kemudian segera meminta bantuan orang awam menghantarnya ke Hospital Kuala Lipis (HKL) untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan di HKL, doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika berada dalam kereta api akibat tercekik susu,” katanya. Abdul Razak berkata, siasatan awal mendapati, mangsa diberi minum susu botol ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur sambil dipangku bapanya sebelum kedua-duanya tertidur.

“Siasatan polis mengesahkan kejadian itu tidak membabitkan unsur jenayah dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, jenazah mangsa sudah dituntut oleh bapanya selepas bedah siasat dijalankan di HKL untuk dikebumikan.

Bapa terkejut bayi jadi biru

02/10/2010 : Akibat keletihan dan tertidur selama dua jam, seorang bapa hanya mampu menitis air mata apabila bayi lelakinya yang baru berusia lima bulan mati akibat tersedak susu ketika dalam jagaannya, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Hadif Hameedullah Mohd Najib diberi minum susu oleh bapanya sebelum diberi pula minum air yang diisi dalam botol.

Namun, bayi itu dipercayai tidak sedarkan diri sewaktu bapanya tersedar dari tidur kira-kira jam 1 tengah hari di rumahnya di Seksyen 2, Wangsa Maju.

Difahamkan, bapa bayi itu berusia 29 tahun mengambil alih menjaga anaknya kerana sedang bercuti. Ketika kejadian, bapa terbabit yang turut mempunyai seorang lagi anak lelaki, cemas apabila mendapati anak bongsunya itu tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, bapa mangsa kemudian mencabut botol susu yang berada pada mulut anaknya selepas mendapati bayi itu kebiruan, selain keluar air dari mulutnya.

“Dia menghubungi isterinya yang bertugas sebagai guru di sekolah berhampiran sebelum bergegas menghantar bayi mereka ke Hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tuanku Mizan.

“Doktor memberi bantuan pernafasan untuk menyelamatkannya, namun gagal apabila mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut dan dibedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati bayi itu mati akibat tersedak susu. Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut tapi siasatan diteruskan. Polis juga mendapatkan keterangan daripada bapa mangsa yang juga saksi kejadian kerana bersama-sama mangsa ketika itu,” katanya.

Menurutnya, jenazah mangsa dituntut bapanya selepas bedah siasat untuk dikebumikan.

Tips Mengelak Tersedak Susu

Menurut pakar perubatan, masalah menelan yang tidak betul atau tiada koordinasi dengan mulut boleh menyebabkan bayi yang sedang dalam penyusuan ibu boleh mengalami tersedak susu. Paru-paru bayi itu akan dimasuki air dan keadaannya seperti tercekik dan sukar bernafas kerana kekurangan oksigen. Jika bayi sukar atau bermasalah untuk menelan susu dihisapnya ia mungkin boleh menyebabkan susu yang mengalir keluar ke dalam mulut bayi akan tersekat pada saluran pernafasan dan menyebabkan bayi lemas sehingga membawa kematian.

Kebiasaannya situasi tersebut banyak terjadi kepada bayi yang menghisap botol susu tetapi kes seumpama yang dikaitkan dengan penyusuan ibu sukar sekali berlaku apatah lagi sehingga menyebabkan bayi meninggal dunia (sekalipun wanita berkenaan tiada pengalaman langsung menyusukan bayi). Walau bagaimanapun, penyusuan ibu pada bayi bagi tempoh usia tiga bulan pertama adalah sangat penting dan memerlukan perhatian teliti terutama dalam mengenalpasti masalah yang mungkin dihadapi bayi ketika penyusuan dilakukan.

Antara masalah yang memungkinkan bayi meninggal dunia ketika penyusuan ibu ialah :

Berlaku refluks iaitu aliran balik suatu cecair atau bertentangan dengan arah pergerakan normalnya ketika penyusuan ibu dilakukan.

Ibu yang berada dalam keadaan berbaring semasa menyusukan bayi tertidur ketika penyusuan dibuat dan tanpa sedar menghimpit bayi sehingga sukar bernafas

Bagi mengelakkan kejadian tersebut berlaku adalah dinasihatkan agar si ibu yang melakukan penyusuan badan:

Memahami teknik penyusuan yang betul.

Ibu perlu lebih berhati-hati dan bersikap peka serta memberi tumpuan sepenuhnya ketika penyusuan badan dibuat.

Sekiranya aliran keluar susu laju (dalam keadaan payudara penuh atau bengkak susu), picit atau pam keluar susu sedikit dahulu agar bayi tidak mudah tersedak.

Pastikan kawasan puting masuk sepenuhnya ke dalam mulut bayi. Ampu bayi dalam keadaan kepala lebih tinggi daripada perut. Selepas menyusu, sendawakan bayi untuk mengeluarkan angin.

Lepas babi menyusu, tegakkan sikit badan dia dan biarkan dalam kedudukan itu sekurang2nya 3-5 minit agar apa yang dia minum dapat masuk betul2.

Memperlengkapkan diri dengan pengetahuan cara-cara menangani masalah dalam kecemasan apabila berlaku sesuatu kepada anak mereka.

Mempunyai pengetahuan mengenai pertolongan cemas (contohnya CPR). Ini membolehkan ibu bapa bertindak pantas dan memberikan pertolongan sewajarnya kepada anak jika berlaku sebarang perkara tidak diingini, sebelum bantuan profesional tiba.

Jika ibu itu sedar keadaan bayi itu tercekik dan sukar bernafas hendaklah segera membantu bayi itu memulihkan pernafasan. Dalam keadaan badan bayi ke bawah, tepuklah belakangnya sehingga keluar lendir atau kahak terkumpul yang menyukarkannya bernafas.

Jika masih tidak bernafas lagi, ibu perlu memberikan bantuan pernafasan yang dilakukan dengan menghembus nafas ke dalam mulut dan secara langsung kepada paru-paru bayi.

Perlu diingat, bayi yang kerap mengalami muntah atau batuk ketika menyusu tidak boleh dibiarkan berlanjutan serta dipandang remeh sebaliknya, perlu dirujuk segera kepada pakar bagi mengenalpasti apakah masalah sebenar dialaminya sehingga berlaku keadaan seperti itu.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails