Monday, October 11, 2010

10/10/10 : 12 Maut 40 Cedera

Sekurang-kurangnya 12 maut dan lebih 40 cedera dalam kemalangan membabitkan dua bas, tiga kereta dan sebuah van di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Pedas, malam tadi. Kemalangan berlaku jam 7.12 malam apabila sebuah bas Ekspres Delima dari arah selatan menuju ke Kuala Lumpur terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah van. Sebuah bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tiga kereta turut terbabit dalam kemalangan itu. Setakat tengah malam tadi, jumlah sebenar mangsa belum dikenal pasti kerana semua yang terbabit sama ada yang meninggal dunia dan cedera, termasuk parah dihantar ke hospital.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom, berkata kemalangan berlaku di lebuh raya menghala ke selatan, iaitu di antara Hentian Pedas-Linggi dan Plaza Tol Simpang Ampat.

“Sebahagian besar mangsa dihantar ke Hospital Tampin, Alor Gajah dan Melaka bagi memudahkan mereka menerima rawatan kerana kemalangan berlaku di lebuh raya menghala ke selatan,” katanya kepada Berita Harian malam tadi.

Sementara itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat, berkata 24 pegawai dan anggota dari balai Rembau, Tampin dan Alor Gajah dihantar ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

Seorang penumpang bas ekspres yang cedera dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS), Nur Najlaa Aqilah Mohd Ghazali, 19, berkata dia sedang tidur ketika kejadian.

Pelajar Universiti Malaya itu berkata, dia terkejut daripada tidur apabila bas bergoyang kuat dan berpusing beberapa kali sebelum terbabas di lebuh raya bertentangan.

“Bas menimpa sebuah kereta sebelum dirempuh sebuah bas dari arah bertentangan. Keadaan kelam kabut dan nasib baik saya hanya cedera ringan,” katanya yang cedera muka dan tangan.

Difahamkan, bas JKM terbabit membawa bekas tentera yang menghadiri Perhimpunan Raksasa Persatuan Bekas Tentera Malaysia di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, petang semalam.

Kemalangan yang meragut 12 nyawa di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara Selatan di antara Hentian Pedas-Linggi dan Tol Plaza Simpang Ampat, mengakibatkan laluan di kawasan itu bagi kedua-dua arah mengalami kesesakan teruk kira-kira empat jam malam tadi.
Laluan paling teruk mengalami kesesakan adalah ke arah Selatan apabila ribuan kenderaan terkandas agak lama berikutan dua bas dan beberapa kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu melintang di atas lebuh raya. Beberapa mayat serta orang ramai yang cedera bergelimpangan di atas jalan turut menyebabkan keadaan bertambah buruk. Tinjauan mendapati banyak kenderaan berhenti di tepi jalan, dipercayai akibat pemandunya tidak mahu terperangkap dalam kesesakan atau untuk mengelakkan enjin kenderaan terlalu panas.

Kelihatan juga polis trafik dan peronda bertungkus-lumus cuba membantu bagi melancarkan perjalanan.

Plaza Tol Simpang Ampat yang letaknya kira-kira enam kilometer dari lokasi kemalangan terpaksa ditutup sejurus selepas insiden pada kira-kira jam 6.50 petang itu.

Ini menyebabkan ribuan pengguna terutama yang hendak ke Kuala Lumpur terpaksa menggunakan laluan lama melalui Rembau, Negeri Sembilan manakala bagi ke Selatan, menggunakan Plaza Tol Ayer Keroh.

Antara yang dilaporkan terperangkap dalam kesesakan itu adalah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Beliau dikatakan terpaksa masuk ke Tol Plaza Pedas Linggi, Negeri Sembilan, sebelum menuju ke Rembau dan Simpang Ampat.

Kebanyakan pengguna lebuh raya yang hendak memasuki Melaka atau menuju ke Johor datang dari Kuala Lumpur selepas bercuti hujung minggu.

Sementara itu, jurucakap Pusat Kawalan Trafik PLUS memaklumkan, laluan di lokasi kemalangan mula ditutup jam 8.45 malam, kira-kira dua jam selepas kejadian bagi kerja pembersihan dan penyuraian trafik, menyebabkan lebuh raya kesesakan teruk sejauh 15 kilometer menghala ke selatan dan lapan kilometer di laluan arah utara.

“Hampir keseluruhan laluan di kedua-dua arah terjejas berikutan kemalangan itu kerana membabitkan banyak kenderaan,” katanya.

“Kami mengambil masa agak lama untuk membersihkan lokasi nahas bagi memberi ruang kepada kerja menyelamat oleh pihak berkaitan, termasuk polis, bomba dan paramedik sebelum itu,” katanya ketika dihubungi.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails