Friday, October 15, 2010

Senyum Penoreh Getah

Getah cecah RM11.90 sekilogram

Harga catat sejarah, pekebun kecil RISDA mampu peroleh RM3,000 sebulan

Peningkatan harga getah SMR 20 secara konsisten dengan mencatat paras tertinggi RM11.90 sekilogram pagi kelmarin membolehkan 380,000 pekebun kecil RISDA memperoleh pendapatan sehingga RM3,000 sebulan.

Pengerusi RISDA, Tan Sri Rahim Tamby Chik, berkata kenaikan itu juga dijangka menarik perhatian orang ramai menoreh getah secara sambilan untuk menambah pendapatan, walaupun kegiatan menoreh getah semakin kurang popular sekarang.

"Pada 2008, apabila harga getah RM10 sekilogram, ada kakitangan awam dan swasta sanggup mengambil cuti tahunan untuk menoreh getah dan ada yang bangun awal pagi menoreh dulu sebelum pergi kerja. Berita baik ini juga dapat menarik perhatian belia untuk menjadi penoreh getah moden yang berjaya memandangkan ketika ini pekebun kecil majoritinya berumur 55 tahun ke atas.

"Kenaikan harga getah dan pendapatan yang diperoleh pekebun kecil pada masa ini boleh menarik minat mereka daripada bekerja di pejabat," katanya selepas merasmikan Kelab Keusahawanan RISDA Pahang, di sini semalam.

Sementara itu, Rahim ketika dihubungi berkata setakat jam 5 petang semalam harga SMR 20 ditutup RM12.02 sekilogram, iaitu yang tertinggi dalam sejarah industri getah negara dan dijangka akan terus memberi manfaat kepada pekebun kecil.

Katanya, berdasarkan harga semasa, pekebun kecil yang menjual getah sekerap mampu memperoleh 50 sen bagi setiap mangkuk susu getah yang dihasilkan dan memperoleh pendapatan sehingga RM170 sehari bagi setiap dua hektar kebun.
Pada tengah hari semalam, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia untuk gred tayar SMR 20 mengukuh 31 sen kepada RM12.02 sekilogram, manakala susu getah pukal menambah 8.5 sen kepada RM7.74 sekilogram. Harga penutup jualan tidak rasmi untuk gred tayar SMR 20 naik 27.5 sen kepada RM12.14 manakala susu getah pukal menokok 7.5 sen kepada RM7.78.

Selain itu, Rahim meminta pekebun kecil sentiasa mengamalkan langkah berjimat-cermat memandangkan harga komoditi itu banyak dipengaruhi faktor ekonomi global.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya bercadang mewujudkan skim simpanan khas bagi pekebun kecil bagi membantu mereka untuk jangka masa panjang.

"Malah, ia bertujuan menggalakkan pekebun kecil berjinak-jinak dalam bidang perniagaan supaya tidak hanya bergantung kepada pendapatan menoreh getah," katanya

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails