Saturday, October 16, 2010

90 Juta Diperuntukkan Bagi Menaiktaraf Jalan

Parlimen Kuala Krau memohon peruntukan sebanyak RM90 juta untuk menaik taraf dan melebarkan tiga jalan Persekutuan utama di daerah ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, peruntukan khas itu akan digunakan menaik taraf jalan Kampung Awah-Simpang Jengka 8, Simpang Felda Jengka 18-Felda Jengka 21 dan melebarkan jalan Jengka 24 ke Kampung Kuala Mai.

Menurutnya, peruntukan itu nanti dapat dimasukkan di bawah RMK-10 memandangkan jalan raya terbabit perlu dinaik taraf dengan segera kerana ia menjadi laluan utama ketika ini.

’Jarak jalan Kampung Awah ke Simpang Felda Jengka 8 adalah sejauh 49 kilometer (km) membabitkan peruntukan RM50 juta manakala laluan jalan Simpang Felda Jengka 18 ke Felda Jengka 21 kira-kira 20km membabitkan kos RM20 juta.

‘’Kesulitan penduduk tanah rancangan Felda dan kampung tradisional di sini turut mendapat perhatian apabila jalan raya sepanjang kira-kira 20km dari Felda Jengka 24 ke Kampung Kuala Mai melalui jambatan baru Kuala Krau perlu dinaik taraf dengan anggaran peruntukan sebanyak RM20 juta,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada majlis hari raya Aidilfitri Parlimen Kuala Krau peringkat Dewan Undangan Negeri Jengka, di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Jengka, Wan Salman Wan Ismail.

Ismail berkata, jalan utama Kampung Awah-Simpang Kampung Awah perlu dinaik taraf segera berikutan jalan yang sempit, berselekoh, dan tidak rata serta mengundang risiko kemalangan maut.

Menurutnya, jalan berkenaan merupakan jalan yang sangat ‘produktif’ kerana menjadi laluan lori kelapa sawit dan getah serta nadi kepada kerancakan ekonomi di kawasan terbabit.

‘’Jalan ini sangat perlu dinaik taraf sekarang berikutan sudah siap pembinaan jambatan Kuala Krau yang merentangi Sungai Pahang sekali gus merancakkan lagi pembangunan di kawasan ini,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails