Friday, December 17, 2010

Tok Guru MB : Insaflah

Nik Aziz tidak berhasrat ambil tindakan

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tidak berhasrat untuk mengambil apa-apa tindakan sebaliknya berharap pihak yang membuat dakwaan kononnya terlibat dengan amalan rasuah insaf dan menyesal.

"Biarlah, saya cuma hendak minta supaya mereka berkenaan insaf dan sedar dengan perbuatan itu. Saya tidak bercadang untuk ambil apa-apa tindakan. Islam bergerak antara hukum dan rukun. Maka setiap perbuatan kita mesti kembali kepada Allah.

"Islam sememangnya melarang keras terhadap sesuatu tuduhan tanpa bukti ataupun tidak berasas. Jadi, sekali lagi saya minta mereka terbabit sedar dan insaf," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS itu berkata, dakwaan rasuah yang dilempar ke atasnya sebelum ini adalah berpunca dari rasa benci selain berunsur provokatif dan khianat pihak tertentu terhadapnya yang terus memperjuangkan dasar Islam dalam sistem pentadbirannya.

Semalam SPRM membuat keputusan menutup kes membabitkan Nik Abdul Aziz yang sebelum ini didakwa menerima wang tajaan RM65,000 untuk mengerjakan haji tahun lalu.

Dalam perkembangan yang sama juga SPRM turut menutup kes yang melibatkan menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman.

Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Hadenan Abdul Jalil, dalam sidang akhbar semalam dilaporkan berkata, tiada kes untuk pertuduhan membabitkannya (Nik Abdul Aziz dan Ariffahmi).

Nik Aziz sumbang 1/3 simpanan untuk PAS

Menteri Besar yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bercadang untuk menyumbangkan satu pertiga daripada wang simpanannya kepada PAS bagi memantapkan lagi parti dalam memperjuangkan Islam.

"Saya sudah maklum pada setiausaha saya minta semak duit dalam akaun ada berapa, kemudian bahagi tiga. Saya hendak beri kepada parti sebagai sumbangan dalam memantapkan gerakan daulah Islamiyah," katanya kepada pemberita selepas ditemui di kediamannya hari ini.

Tindakan itu sebagai tanda kesyukuran di atas keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menutup kes bersabit tajaan terhadapnya untuk mengerjakan haji melibatkan kos RM65,000 tahun lalu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, dakwaan berhubung rasuah yang dilempar ke atasnya sebelum ini adalah berpunca dari rasa benci pihak tertentu lantaran kecekalannya memperjuangkan dasar Islam.

"Orang tuduh saya kerana benci dengan saya terus memperjuangkan Islam. Tapi, walau apapun, asal kita ini berada pada landasan yang benar, Allah tetap bantu kita dengan kebenaran.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT dengan keputusan itu," katanya.

Semalam, SPRM membuat keputusan menutup kes membabitkan Nik Abdul Aziz yang sebelum ini didakwa menerima wang tajaan RM65,000 untuk mengerjakan haji tahun lalu

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails