Friday, December 31, 2010

Kepulangan Disambut Meriah

BONUS lumayan – sekitar RM25,000 – menunggu wira skuad Harimau Malaya pimpinan K Rajagobal yang mengerah keringat habis-habisan menamatkan kemarau 14 tahun menjuarai Piala Suzuki AFF di Jakarta, kelmarin.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad berkata presiden persatuan, Sultan Ahmad Shah akan membuat satu pengumuman penting mengenai ganjaran menarik itu setibanya pulang ke tanah air, minggu depan.

“Tuanku seorang yang sangat bermurah hati dan tidak berkira dengan pemain negara. Apa yang pasti bonus bakal diterima pemain kita nanti agak tinggi,” katanya selepas menyambut skuad negara yang pulang ke tanah air, semalam selepas menewaskan Indonesia dalam final di Stadium Gelora Bung Karno.

Angka besar yang bakal menggembungkan kocek pemain negara itu berpandu kepada perkiraan kasar hadiah kemenangan AS$100,000 (RM308,450).

Andai dibahagikan sama rata kepada 22 pemain serta RM5,000 setiap orang daripada Kementerian Belia dan Sukan dan RM4,000 setiap orang menerusi Tabung Akujanji Ganjaran Skuad Negara setakat ini.

Berpandu kepada kejayaan bersejarah itu, angka itu mungkin bertambah dengan FAM juga mungkin bermurah hati menambah wang sendiri buat menceriakan pemain kebangsaan sebagai satu penghargaan mengharumkan nama badan induk itu di pentas global.

Sementara itu, Azzuddin berkata skuad negara akan dikekalkan namun dalam masa yang sama tidak menutup pintu memasukkan lebih ramai bakat baru pada masa depan.

'Kami perlu sokongan padu media, masyarakat untuk jadi skuad digeruni'

Pada firasat K Rajagobal, skuad bola sepak negara yang baru menjuarai Piala Suzuki AFF mustahil dapat berkembang maju tanpa sokongan padu media dan masyarakat.

Pengendali skuad kebangsaan itu menambah barisan muda bergelar Harimau Malaya ini amat memerlukan elemen berkenaan ketika dia menilai barisan didiknya itu ada ramuan menjadi sebuah pasukan yang bakal digeruni. “Ini baru permulaan kepada perjalanan yang masih panjang,” kata pengendali kebangsaan, K Rajagobal yang menjadi tulang belakang kepada dua kejuaraan berturut-turut, termasuk memenangi pingat emas Sukan Sea 2009 di Laos.

“Kemenangan tidak datang setiap masa, ada masanya kita akan kalah. Tetapi hanya dengan sokongan padu media dan masyarakat, pasukan kita terutama barisan muda ini akan berkembang menjadi sebuah pasukan handalan di rantau Asia.”

Mungkin ada sesuatu yang boleh dipelajari dari Indonesia ketika sokongan padu seluruh warga negara republik itu kepada skuad Garuda memberi impak besar kepada cabaran pihak lawan itu. Ia harus dicontohi rakyat Malaysia.

Apapun, perjalanan Malaysia menjuarai Piala Suzuki yang bermula dengan keaiban dibelasah lawan 5-1 pada 1 Disember lalu boleh disamakan dengan laluan Sepanyol sebelum muncul juara Piala Dunia 2010, Julai lalu - cuma dalam skala lebih kecil.

Kehadiran sotong kurita bernama Gudel yang meramalkan kemenangan Indonesia sehari sebelum perlawanan, trumpet vuvuzela di Stadium Gelora Bung Karno dan aksi final Malaysia-Indonesia yang belum pernah bergelar juara layak disamakan dengan aksi Sepanyol-Belanda di Afrika Selatan.

Fahmi tahu rahsia kapten Indonesia

KHAIRUL Fahmi Che Mat mengulangi betapa dia menghargai teguran penting K Rajagobal tempoh hari ketika menyelamatkan sepakan penalti Indonesia pada minit ke-18 yang menjadi penentu kejayaan skuad negara menjulang trofi Piala Suzuki, malam kelmarin.

“Saya masih ingat apa coach kata - “Fahmi, penalti Indonesia biasanya akan diambil kaptennya, (Firman Utina). Dua kali sebelum ini dia tendang ke kanan, iaitu ke kiri kamu, tetapi dalam permainan nanti kamu boleh buat keputusan sendiri.” Saya pegang kata-kata itu dengan baik, kata penjaga gol utama negara itu.

Dia tidak menolak kemungkinan selepas menyelamatkan gawang pasukan, dia dan rakan bertambah semangat untuk mempertahankan kedudukan agregat 3-0 ketika itu dan ia mengubah wajah cabaran skuad. Ketika Firman tampil untuk mengambil sepakan, latihan ketika di Wisma FAM sebelum berangkat ke Jakarta terbayang di mindanya. Hasilnya, sepakan Firman tepat ke kanan Fahmi dan dia dengan mudah menafikan gol awal Indonesia.

“Kejayaan menyekat sepakan penalti itu menambah lagi keyakinan kami untuk terus mempertahankan gawang negara,” kata Fahmi yang menjadikan bekas penjaga gol Azmin Azram dan Shahizan Ismail sebagai idolanya.

“Saya masih ingat pesan Rajagobal pada sesi latihan lalu. Ternyata ramalannya tepat. Saya berterima kasih kepada jurulatih yang banyak memberi tunjuk ajar kepada kami sehingga menjadi juara.”

Fahmi yang meraih gelaran kedua, musim ini selepas membantu Kelantan muncul juara Piala Malaysia berkata kejayaan pasukan negara bukan kerana faktor dia sahaja malah menghambur pujian kepada rakan barisan pertahanan yang turut berfungsi hebat.

“Saya harap kejayaan ini tidak berhenti setakat ini. Masih banyak kejohanan yang perlu diharungi dalam mengembalikan kegemilangan bola sepak negara. Ini baru permulaannya,” kata Fahmi.

Sumber : bharian

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails