Thursday, December 2, 2010

Penuhkan Kantung Sebelum PRU 13

Kenaikkan harga petrol yang diumumkan secara tiba-tiba malam semalam bertujuan mengisi kantung Umno-Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, tahun depan.

Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail melahirkan kebimbangannya berkata tindakan itu akan menyebabkan rakyat makin sengsara menanggung beban tersebut.

"Dulu kerajaan Umno-BN beri alasan terpaksa menaikkan harga petrol kononnya disebabkan harga bahan mentah itu di pasaran dunia.

"Alasan yang kedua selalu diberikan adalah apabila kadar pertukaran asing melibatkan mata wang Amerika Syarikat telah meningkat. Jadi untuk tidak menanggung kerugian maka kerajaan kata kita terpaksa menaikkan.

Apa yang memusykilkan kata Azan, kedua-dua perkara tersebut tidak berlaku.

"Dari segi pertukaran asing, Ringgit Malaysia lebih kuat maka bermakna sepatutnya kita lagi untung kerana nilai dollar AS jatuh.

"Yang kedua, tidak berlaku pun kenaikkan harga minyak yang besar atau serta merta di pasaran dunia.

"Ini merupakan tanda-tanda Umno-BN bersiap-sedia mengumpul dana dengan tujuan mengadakan pilihanraya," ujar beliau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa pula berkata beliau telah menjangkakan kenaikkan tersebut apabila kerajaan Umno-BN menstrukturkan semula subsidi.

"Hasil daripada kesan penstrukturan semula akan menyebabkan harga minyak akan naik dan sudah tentu membebankan orang ramai.

"Ada banyak pendekatan yang banyak dilakukan, sama ada jangka panjang atau pendek. Jangka pendek adalah penstrukturan subsidi minyak kita cadangkan jangan membabitkan semua orang.

Contohnya kata beliau adalah orang berhak mendapat subsidi sepatutnya dikekalkan dan yang berpendapatan tinggi, pemotongan subsidi itu boleh dibuat.

"Bagi orang yang benar-benar perlu subsidi, layaklah dia dapat dan orang yang tidak perlu, ok lah dia mampu naik berapa sen pun tapi dari segi bebanan kesan kitarannya harga barang akan naik yang akhirnya longgokan bebanan itu diserahkan semula kepada pengguna.

"Malah, saya lihat 'trend' harga minyak akan meningkat dan kita jangkakan ianya akan naik lagi sikit demi sedikit kesan daripada penstrukturan semula subsidi tersebut," ujar Mujahid.

Semalam, kerajaan Umno-BN membuat keputusan menaikkan harga petrol RON97 sebanyak 15 sen daripada RM2.15 menjadi RM2.30 seliter yang berkuatkuasa 1 Disember 2010.

Sumber : tvselangor

Tawaran diskaun bagi semua saman trafik yang bermula hari ini adalah bagi meringankan beban rakyat, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira rintihan daripada orang ramai berhubung perkara itu dan ia juga selaras dengan saranan pucuk pimpinan "Rakyat Didahulukan".

"Kita mendengar rintihan daripada orang ramai yang mengatakan ada notis yang dihantar tidak sampai kepada tuannya. Kita juga mendengar bahawa pengurangan saman jika tidak diberikan kelonggaran dan sebagainya, ada kes-kes tertentu yang (boleh menimbulkan) tidak adil.

"Tetapi yang paling penting kita menyampaikan mesej yang jelas iaitu yang salah tetap salah (yang melanggar peraturan jalan raya)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Imigresen di Jabatan Imigresen, di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rasional tawaran kadar kompaun yang munasabah bagi semua saman trafik mengikut beberapa syarat yang ditetapkan mulai hari ini.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi laman Facebook miliknya, menyebut semua saman yang dikeluarkan pada atau sebelum semalam, kadar munasabah akan diberikan secara automasi melalui semua kaedah bayaran iaitu kaunter PDRM, pejabat pos dan Internet.

Ditanya sama ada keputusan itu berkaitan dengan pilihan raya umum akan datang, Hishammuddin berkata, keputusan mengenai pilihan raya hanya akan ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Semua perkara yang kita buat adalah proses yang kita lakukan selepas mengadakan perbincangan yang sedalam-dalamnya. Tidak berkisar dengan politik," katanya.

Mengenai dua syarikat berpangkalan di Malaysia yang dinamakan oleh Amerika Syarikat sebagai firma yang dikawal oleh rangkaian Iran untuk membeli teknologi peluru berpandu dari China, Hishammuddin berkata siasatan akan dilakukan jika berkaitan dengan undang-undang dan keselamatan.

Katanya, ini kerana teras perkhidmatan kementerian ialah untuk memastikan keselamatan dan keamanan negara terjamin. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails