Monday, December 6, 2010

Badi Penyapu

Khir Toyo Mangsa "Drama" Umno?

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berharap pendakwaan terhadap Khir Toyo atas tuduhan rasuah tidak didalangi oleh agenda politik Umno semata-mata.

Beliau berkata pihak yang mengamalkan rasuah dan menyalahgunakan kuasa harus diheret ke mahkamah demi mendapatkan keadilan, dan bukan atas kepentingan politik sesuatu pihak.

" Saya berharap mereka-mereka yang menyalahgunakan kuasa atau rasuah akan mendapat keputusan yang terbaik oleh mahkamah supaya menjadi satu halangan kepada semua yang ingin mencubanya kemudian. Saya (juga) harap ini bukan sebagai satu drama hanya untuk menunjukkan bahawa Umno sudah mula bertaubat dan membersihkan orang-orang mereka," ujar Khalid.

Kebimbangan Tan Sri Khalid berpaksi kepada hakikat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini turut mengheret beberapa "jerung” ke mahkamah tetapi gagal mensabitkan tuduhan rasuah ke atas mereka.

Antara mereka ialah bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gadam dan Pengerusi Perwaja Tan Sri Eric Chia.

Kasitah dibebaskan pada tahun 2009 manakala Eric Chia terlepas dari hukuman pada tahun 2007.

Hakim dalam kedua-dua kes menegur pendakwaan kerana gagal memanggil saksi-saksi penting, sehingga menjadikan kes terhadap dua tokoh itu rapuh.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago percaya pendakwaan Khir Toyo berkait rapat dengan sifir politik Perdana Menteri, Najib Razak untuk mengadakan pilihanraya umum tidak lama lagi

" Apabila Tun Abdullah, sebelum dia panggil PRU12, apa yang dia buat beliau menangkap Kasitah Gaddam untuk menunjukkan kerajaan tidak takut ambil tindakan terhadap anggota-anggota BN. Adakah ini suatu lagi tindakan 'public relation'? soal Charles.

Sementara itu, ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin menegaskan bahawa Umno tidak harus menanam tebu di bibir apabila memperkatakan mengenai prinsip amanah dan ketelusan.

" Kalau kerajaan BN yang baru berikrar semalam mereka akan bertungkus lumus menjaga kebajikan rakyat, maka buktikan. Khir Yoyo didakwa di mahkamah, dan sekiranya bersalah," tegas Zuraida.

Menteri Besar Termuda Selangor Terpalit Rasuah

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang didakwa di mahkamah hari ini dikaitkan dengan pelbagai salah laku sejak beliau dilantik menjadi Menteri Besar termuda dalam sejarah Selangor pada tahun 2000.

Bekas doktor gigi itu dikatakan pernah dituduh mengelak dari membayar cukai, memanipulasi sistem perakaunan anak syarikat kerajaan negeri, dan meluluskan pembelian apartmen mewah di Makkah RM 9 juta yang tidak menepati prosedur.

Beliau juga dilapor mendapat imbuhan kereta mewah dari anak syarikat negeri tetapi tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Malah Khir juga dikatakan menerima hadiah jam tangan bernilai RM150,000 daripada Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Bekas menteri besar itu berterusan apabila beliau didakwa melancong bersama keluarganya dan beberapa orang exco kanan ke Disneyland di Paris Peranchis dan Orlando Amerika Syarikat dengan kos hampir RM1.8 juta.

Perkara ini didedahkan dalam siasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) sebelum ini.

Kesemua perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh Perbadanan Nasional Selangor Berhad (PNSB), dan didedahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairiyah Abu Hassan di dalam penyiasatan SELCAT.

Dalam Umno, Khir yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar pernah dituduh merasuah perwakilan dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda parti itu tahun lepas.

Lembaga Displin Umno kemudiannya bertindak melepaskan beliau daripada dakwaan tersebut.

Pada tahun 2002, aktivis media, Ahmad Lutfi Othman telah menyerahkan senarai panjang kesalahan rasuah Khir kepada Badan Pencegah Rasuah termasuk yang membabitkan tender kontrak-kontrak awam.

Namun Khir terlepas daripada sebarang pendakwaan sehingga hari ini.

Sumber : tvselangor

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails