Thursday, November 12, 2009

Tali Gantung - Graduan UKM




Graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Irawadi Mohammad, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam, selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya, Norzi Ayu Md Noor, lima tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Yazid Mustafa, menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati tertuduh yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan, gagal membuktikan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Irawadi, 28, graduan jurusan Ekonomi dan Perniagaan, dituduh membunuh Norzi Ayu, 27, di rumah sewa mangsa di No 2-1-6 Blok ST12, Pangsapuri Sri Tanjung, Jalan 7/1D, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, di antara jam 3.30 petang dan 5 petang pada 26 Julai 2004.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada Oktober 2005, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Roslan Abu Bakar memanggil 18 saksi, manakala pihak pembelaan yang diwakili peguam Imran Hadzalie Abdul Hamid mengemukakan seorang saksi.

Ahli keluarga Irawadi segera mengerumuninya selepas prosiding selesai, manakala tertuduh kelihatan sebak ketika dibawa semula ke lokap mahkamah.

Dalam penghakimannya, Mohd Yazid berkata, mahkamah mendapati pembelaan hanya menumpukan satu isu, iaitu tertuduh tidak mempunyai niat untuk membunuh Norzi Ayu - seorang pegawai penyelidik di Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia, Kuala Lumpur.

"Tertuduh memberi keterangan bahawa dia tertikam si mati ketika si mati cuba menghalang tertuduh keluar (dari bilik) untuk bertemu SP4 (saksi pendakwaan keempat), pengawal keselamatan di UKM, Azman Mat Zain, 37. Keterangan tertuduh jelas bercanggah dengan keterangan saksi," katanya.

Beliau berkata, tingkah laku tertuduh melarikan diri dengan pisau yang telah menikam mangsa jelas menunjukkan dia ada niat membunuh mangsa.

Mohd Yazid juga berkata, ada enam perkara dibangkitkan dalam kes pendakwaan yang tidak disangkal di peringkat pembelaan.

"Mahkamah mendapati berdasarkan keterangan saksi keempat, hubungan tertuduh dan mangsa tidak baik beberapa bulan sebelum kejadian dan mangsa juga ada memberitahu saksi keempat bahawa dia sudah mempunyai kekasih lain dan akan bertunang, jelas tidak dicabar oleh peguam bela tertuduh," katanya.

Selain itu, katanya, keterangan Azman yang juga guru silat mangsa bahawa dia memasuki bilik Norzi Ayu dan mendapati tertuduh sedang merangkul mangsa dengan tangannya memegang pisau, tidak disangkal pada peringkat pembelaan.

"Keterangan saksi sama yang dia mengetuk pintu rumah mangsa selama setengah jam, juga tidak disangkal pembelaan," katanya.

Beliau berkata, pembelaan turut tidak menyangkal keterangan Azman bahawa selepas berlaku pertelingkahan selama setengah jam, Norzi Ayu dapat melepaskan diri dan masuk ke biliknya dengan diikuti tertuduh.

"Selepas masuk ke dalam bilik, tertuduh berada dalam bilik bersama mangsa dalam tempoh lima hingga 10 minit, juga tidak dipertikaikan.

"Dalam tempoh lima hingga 10 minit apabila SP4 menemui kunci, buka pintu dan nampak tertuduh terlentang dengan pisau berlumuran darah serta si mati terbaring di atas katil dalam keadaan tertiarap juga tidak dipertikaikan pembelaan," katanya.

Mohd Yazid berkata, beliau turut meneliti keterangan saksi ke-16 pendakwaan, iaitu Pakar Perunding Patologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Dr Khairul Azman Ibrahim, yang mengesahkan mangsa mengalami lima kecederaan termasuk di pembuluh darah utama di tengah abdomen.

"Kesan kecederaan ini, luka bocor yang agak berat, iaitu 1.5 sentimeter (sm) dengan kedalaman enam sm. Mengikut keterangan ahli patologi, kematian itu disebabkan luka dalaman yang (terhasil) dengan menggunakan satu senjata panjang yang sampai ke tempat luka," katanya.

Mohd Yazid berkata, berdasarkan kesan luka dan kesan lebam pudar pada beberapa bahagian tubuh Norzi Ayu, beliau menolak keterangan tertuduh bahawa dia tercucuk mangsa ketika bergelut.

[Sinopsisnya...masa belajar jangan BERCINTA, kalau boleh kawin je terus...kalau tak inilah akibatnya. Namanya graduan belajar masuk 'U' tapi akai tarak...yelek akai....bocik akai]

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails